Browsing Tag

sirah

Ibu Nabi Musa
Aqidah,

Teladani sirah bonda Nabi Musa AS yang tawakal sepenuh jiwa kepada ALLAH SWT meskipun anaknya diancam bunuh

Teladani sirah bonda Nabi Musa AS yang tawakal sepenuh jiwa kepada ALLAH SWT meskipun anaknya diancam bunuh

BERBICARA tentang Hari Ibu yang jatuh pada 14 Mei semalam, dalam sejarah Islam sendiri, ada begitu banyak wanita hebat yang berjaya memperjuangkan syiar ALLAH di luar tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu di rumah.

Kisah-kisah para penghulu wanita ahli syurga seperti Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid serta Fatimah binti Muhammad Rasulullah SAW pula menjadi ibrah membuktikan kaum Hawa memiliki kelebihan tersendiri meskipun tidak serupa dengan golongan Adam.

Namun, di sebalik tokoh-tokoh Muslimah yang biasa didengari, ada seorang ibu yang jarang didendangkan walaupun kisahnya pernah difirmankan ALLAH SWT dalam kitab suci al-Quran.

Baca juga Hibanya Nabi Musa tatkala bertemu Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj, ini sebabnya

Ibu Nabi Musa

Baca juga Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

Wanita yang dimaksudkan itu adalah ibu kepada Nabi Musa AS.

Walaupun pernah disebutkan sebanyak dua kali dalam al-Quran, tetapi tidak dinyatakan secara khusus dalam kitab itu mahupun dalam mana-mana teks hadis mengenai nama sebenar ibu Nabi Musa AS.

Memetik portal bincangsyariah.com, para ulama berbeza pendapat tentang nama ibu Nabi Musa. Lantas, beliau digelar dengan beberapa nama seperti Yukabad, Mihyanah dan Yarikha.

Apa yang pasti, ibu Nabi Musa dilahir serta dibesarkan di Mesir. Beliau juga dikatakan seorang wanita memiliki nasab yang elok serta baik budi pekertinya.

Tulis portal berkenaan, Nabi Musa AS dilahirkan setelah ibunya berkahwin dengan Imran bin Qahat bin Lawi bin Yaakub AS.

Turut disyorkan Agungnya mukjizat Rasulullah SAW, pohon kurma menangis dengar khutbah Baginda

MENARIKNYA, ibu Nabi Musa AS disebutkan oleh ALLAH SWT sebanyak dua kali dalam kitab suci al-Quran. Foto: Unsplash

Baca juga Musa AS, Nabi yang paling banyak diceritakan dalam al-Quran

Ibu Musa AS disebutkan dalam al-Quran
Musa AS adalah nabi yang paling banyak dikisahkan dalam al-Quran. Bahkan nama baginda dipetik oleh kitab suci itu sebanyak 136 kali menceritakan pelbagai peringkat kehidupannya.

Bagi ibu Nabi Musa AS, beliau telah disebutkan oleh ALLAH sebanyak dua kali, iaitu dalam Surah Taha dan Surah al-Qasas.

Firman ALLAH, “Ketika KAMI ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: “Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuh-KU dan musuhnya; dan AKU telah tanamkan dari kemurahan-KU perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasan-KU.

Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu:” Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?” Maka dengan jalan itu KAMI mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu KAMI selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan KAMI telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan…” (Surah Taha, ayat 38 hingga 40)

Baca juga Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

Ibu Nabi Musa

KISAH Nabi Musa AS yang dihanyutkan dalam sebuah peti di Sungai Nil oleh ibunya diketahui ramai orang. Foto: Pexels

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Manakala, ALLAH juga berfirman,

Dan KAMI ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan KAMI akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul KAMI.

Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah; Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah KAMI kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).” (Surah al-Qasas, ayat 7 hingga 10)

Baca juga Memuliakan ibu, akhlak sebenar Islam

ATAS kuasa takdir ALLAH SWT, Nabi Musa dikembalikan kepada ibunya sebagai anak susuan. Foto: Pexels

Baca juga Kisah masyhur Nabi SAW memberi makan kepada Yahudi buta adalah palsu, jangan sebar sembarangan

Tawakal kepada ALLAH SWT
Berdasarkan ayat tersebut, ALLAH telah menggambarkan bagaimana ibu Nabi Musa AS sangat sayang sekali kepada puteranya. Wanita itu begitu bimbang anaknya akan dibunuh oleh Firaun dan bala tentera.

Kisah ibu Nabi Musa itu memberikan pelajaran kepada kita tentang seorang ibu yang solehah. Walaupun gelisah dengan keselamatan anaknya, namun beliau tidak terlepas daripada menjalankan perintah ALLAH dan bertawakal kepada-NYA. Imannya sangat kuat kerana beliau yakin ALLAH pasti akan menepati janji-NYA dengan menjaga Nabi Musa AS.

Sumber: Bincang Syariah

Foto: Pexels & Unsplash

hindun hamzah
Hukum,

Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

ADA sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya iaitu perihal Hindun memamah hati sahabat Nabi SAW bernama Hamzah RA ketika peperangan Uhud.

Kisah itu banyak diceritakan dalam buku-buku sirah, dan semuanya diambil daripada jalur Ibnu Ishaq. Pun begitu, agamawan terkemuka Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, cerita berkenaan berstatus tidak sahih.

Baca juga Cinta Rasulullah tumpah di bukit Uhud, inilah sirah yang patut diketahui seluruh Muslim

Menurut catatan, Hindun binti Utbah merupakan isteri kepada Abu Sufyan, seorang pembesar yang berkuasa di Makkah yang pada awalnya adalah penentang utama dakwah Rasulullah SAW.

Di samping itu, dia juga adalah ibu kepada Muawiyah, pengasas kepada kerajaan Umayyah dan Ummu Habibah (Ramlah binti Abu Sufyan) yang menjadi salah seorang isteri Rasulullah SAW.

SAIDINA Hamzah bin Muttalib sangat hebat dalam memanah berkuda. Beliau juga dikenali sebagai ‘Asadullah’ yang bermaksud ‘Singa ALLAH’ atas keberaniannya di medan peperangan. Foto: 123RF

Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

Oleh itu, Hindun sebenarnya adalah ibu mertua kepada baginda. Saidina Hamzah RA pula ialah bapa saudara Nabi SAW dan beliau antara orang yang gugur syahid dalam peperangan Uhud.

Menurut penceritaan Ibnu Ishaq, Hindun binti Utbah termasuk beberapa perempuan lain turut memotong telinga serta hidung para sahabat Rasulullah SAW yang terbunuh dan menjadikannya gelang kaki dan rantai. Perhiasannya itu pula diberikan kepada Wahsyi, hamba Jubair bin Muth’im yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah RA.

Turut disyorkan Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

Ibnu Ishaq memberitahu bahawa riwayat itu diambil daripada Soleh bin Kaisan, iaitu seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi boleh dipercayai). Walau bagaimanapun, Soleh bin Kaisan lahir pada 70 Hijrah dan meninggal dunia pada 140 Hijrah. Beliau juga tua sedikit daripada Ibnu Ishaq.

Peristiwa peperangan Uhud pula telah berlaku 70 tahun lamanya sebelum beliau lahir, bermakna cerita yang dinukilkan oleh Soleh bin Kaisan diambil daripada para tabi’i yang lain. Justeru sanad riwayat ini dikategorikan sebagai mursal dan tidak boleh diterima.

SIAPA sangka kisah yang dipopularkan melalui pelbagai buku sirah itu ternyata tidak mempunyai sumber yang kukuh. Foto: 123RF

Baca juga Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

Kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, sekiranya kisah berkenaan benar-benar berlaku pastilah ramai sahabat yang melihat sendiri peristiwa tersebut dan meriwayatkannya dengan sanad yang sahih.

Dalam pada itu, cerita yang lebih kurang sama juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Ibnu Mas’ud RA:

Maksudnya: “… lalu para sahabat mencari dan menjumpai Hamzah dalam keadaan terbedah perutnya. Hindun telah mengambil hati Hamzah dan mengunyahnya, namun dia tidak dapat untuk menelannya. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah dia memakan sesuatu (daripada tubuh Hamzah)?” Para sahabat menjawab, “Tidak!”. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah ALLAH akan memasukkan sesuatu pun daripada jasad Hamzah ke dalam neraka. Lalu baginda pun mensolatkannya…”(Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, 4414)

Namun begitu, tokoh Islam, Ibnu Kathir mengulas dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah bahawa Imam Ahmad bersendiri dalam meriwayatkannya dan sanad hadis ini mengandungi kelemahan daripada jalur ‘Atha’ bin as-Sa-ib.

hindun hamzah

Tetapi kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad para sahabat yang mati syahid dalam perang Uhud sememangnya berlaku seperti yang dicatatkan dalam Kitab Sahih Bukhari. Foto: 123RF

Justeru, berdasarkan penjelasan tersebut, Dr Zulkifli memberitahu bahawa kebanyakan riwayat yang menceritakan mengenai Hindun memakan hati Saidina Hamzah adalah tidak sahih.

Tetapi kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad para sahabat yang mati syahid dalam perang Uhud memang benar-benar berlaku dan ada dinukilkan dalam Kitab Sahih Bukhari.

Untuk pengetahuan, Wahsyi yang diketahui umum sebagai pembunuh upahan yang membunuh Saidina Hamzah, serta tuannya Jubair bin Muth’im akhirnya memeluk Islam selepas itu.

Malah Hindun juga memeluk Islam pada peristiwa Fath al-Makkah mengikuti suaminya, Abu Sufyan setelah menerima dakwah Nabi SAW.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: 123RF

empat kisah rasulullah menangis
Berita Semasa,

Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

EMPAT kisah di mana Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Dalam budaya masyarakat kita, tangisan kadangkala dilihat sebagai suatu tanda jiwa yang lemah. Apatah lagi jika individu yang menitiskan air mata tersebut adalah daripada kaum Adam. Pastinya akan ada label-label seperti ‘tak macho’ dan ‘lembut’ yang terpalit pada dirinya.

Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW seorang yang gagah perkasa juga pernah menangis.

Baginda beberapa kali pernah dilihat mengalirkan air mata oleh para sahabat. Bahkan, Nabi Muhammad pula tidak menyorokkan wajahnya menangis.

Baca juga Nabi Muhammad tidak menguap, ini keistimewaan yang ada pada baginda

Berikut beberapa perkara yang membuatkan Rasulullah SAW menangis:

1. Menangis ketika menghadap ALLAH SWT.

Ketika solat berjemaah, Nabi SAW pernah menangis sehinggakan suara esak tangis di dadanya didengari oleh para sahabat yang menjadi makmum baginda.

Aku pernah melihat Rasulullah SAW solat, ketika itu baginda menangis. Rintihan air mata baginda telah jatuh ke dadanya dengan banyaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

empat kisah nabi menangis

RASULULLAH SAW menangis ketika mendengar alunan kalamullah kerana teringatkan azab ALLAH SWT yang sangat dahsyat.

2. Menangis ketika mendengar ayat suci al-Quran.
Suatu hari Nabi Muhammad SAW meminta Abdullah bin Mas’ud membaca al-Quran. Beliau berkata, “Adakah saya layak membacanya kepada tuan sedangkan ia turun kepada tuan?”

Nabi SAW berkata, “Saya suka mendengar bacaan daripada orang lain.”

Lalu Abdullah membacanya daripada Surah al-Nisa’. Sampai sahaja pada ayat 41, Rasulullah berkata, “Cukuplah, cukuplah.”

Abdullah Mas’ud melihat wajah baginda sedang menitiskan air mata.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

3. Menangis kerana kehilangan orang terdekat yang dicintainya.

Dinukil dari portal Liputan 6 yang memetik buku ‘Sahabat-sahabat Cilik Rasulullah’ karya Nizar Abazah, apabila Ibrahim, salah seorang putera Rasulullah meninggal dunia, air mata baginda mengalir deras sehingga membasahi wajahnya

Melihat hal itu, sahabat Abdurrahman bin Auf bertanya, “Engkau menangis Rasulullah?” Bukankah engkau sendiri melarang menangisi kematian seseorang?”

“Ibnu Auf, aku tidak melarang menangis. Yang ku larang adalah dua teriakan dosa; nyanyian yang tidak bermakna dan melalaikan serta ratapan histeria ketika ditimpa musibah dengan menampar wajah dan merabak-rabakkan pakaian. Sedang yang terjadi padaku ini adalah ungkapan kasih sayang,” jawab baginda.

empat kisah rasulullah

NABI Muhammad SAW juga pernah melalui ‘Tahun Kesedihan’ di mana baginda berada kesedihan yang amat mendalam setelah kehilangan bapa saudara kesayangannya, Abu Talib serta isterinya, Khadijah pada tahun yang sama.

4. Menangis teringatkan kita umatnya.

Pernah satu ketika berlaku gerhana matahari. Keadaan mendung dan kelam ini mengingatkan Rasulullah SAW tentang azab yang menimpa umat terdahulu di mana bumi menjadi gelap. Baginda lantas melaksanakan solat gerhana.

Dalam sujud yang panjang, Nabi SAW menangis dan merintih:

“Wahai Tuhanku, bukankah Engkau berjanji tidak akan memberi azab terhadap umatku sedangkan aku di sisi mereka?

“Wahai Tuhanku, bukankah ENGKAU berjanji tidak akan memberi azab terhadap mereka sedangkan mereka beristighfar?” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Muslim)

Malah, menurut Abdullah ibnu Amr, ketika Rasulullah SAW membaca ayat berkenaan doa Nabi Ibrahim terhadap umatnya (Surah Ibrahim, ayat 36) dan doa Nabi Isa tentang umatnya (Surah al-Maidah, ayat 118), baginda tiba-tiba menangis lalu berdoa:

“Ya ALLAH, umatku, umatku.” (Hadis riwayat Muslim)

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Sebenarnya masih banyak peristiwa lain yang membuatkan Rasulullah SAW menitiskan air mata. Namun, sebahagian besar sebab baginda menangis adalah kerana takut apabila terbayangkan azab ALLAH SWT serta perasaan risau ketika teringatkan nasib umatnya.

Begitulah betapa tingginya cinta Rasulullah SAW kepada kita. Dalam solat, baginda SAW menangis kerana teringatkan kita. Ketika membaca al-Quran, teringat lagi tentang kita lalu baginda menangis.

Oleh itu, mari perbanyakkan selawat buat Rasulullah SAW sebagai tanda sayang kita kepada baginda.

Foto: Unsplash