Browsing Tag

sinarislamplus

Makan masakan bukan Islam
Hukum,

Boleh makan masakan bukan Islam dengan syarat ini

Boleh makan masakan bukan Islam dengan syarat ini

PANTANG melihat kedai viral, pantas sahaja orang kita ‘serbu’ tempat berkenaan.

Lebih-lebih lagi hidangan rare atau makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai.

“Orang kata sedap, saya nak cuba juga. Tak kisahlah walaupun kena beratur panjang dan tunggu lama pun.”

Begitulah alasan klise yang acap kali kita dengar. Bukan itu sahaja, ada segelintir orang yang sanggup datang dari jauh atau negeri berasingan semata-mata untuk menikmati dan merasai sendiri makanan tersebut.

Ya, begitulah hebatnya penangan ‘kuasa tular’. Cepat sahaja cerita sebegitu tersebar luas.

Meskipun demikian, ada sesuatu yang menggusarkan apabila ia melibatkan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam. Bolehkah Muslim menjamah hidangan tersebut?

Baca juga Boleh bermuamalat dengan bukan Islam. Ini konsepnya yang perlu kita tahu…

Sinar Islam Plus merujuk kepada bebenang di Twitter milik pendakwah dan penulis terkemuka, Ustaz Addien Abdul Kadir mengenai hal itu.

Makan masakan bukan Islam

STATUS Muslim atau tidak bukan menjadi kayu ukur bagi sesuatu makanan yang dimasak oleh mereka halal atau haram, sebaliknya adalah zat dan bahan ketika memasak. -Foto: Canva

Beliau memulakan perkongsiannya dengan menukilkan petikan daripada Kitab Jami’ li Ahkam al-Quran yang bermaksud: “Masakan orang bukan Islam halal dimakan walaupun bukan dalam keadaan darurat. Yang tak boleh makan hanya daging yang mereka sembelih atau masakan yang mengandungi benda haram. Selain itu, semuanya halal walaupun dimasak oleh non Muslim.”

Melihat kepada pernyataan tersebut, kata Ustaz Addien, sama ada seseorang berstatus Muslim atau tidak, ia tidak menjadi kayu ukur bagi sesuatu makanan yang dimasak oleh mereka halal atau haram.

Sebaliknya, jelas beliau, apa yang menjadi ukurannya adalah zat dan bahan ketika memasak.

“Andai orang Islam masak daging babi, ia tetap haram. Kalau orang bukan Islam masak ayam, sayur dan nasi, ia tetap halal,” ungkapnya.

Ia selari dengan pandangan Qatadah iaitu murid kepada Anas bin Malik yang menjelaskan: “Boleh makan makanan Majusi (penyembah api) selain sembelihannya.” (Musannaf Abdul Razzaq 6/109)

Ustaz Addien menambah, perkara tersebut sepatutnya tidak menjadi isu.

Baca juga Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

“Tak pernah jadi isu sejak ribuan tahun. Sebab itu penting beragama dengan ilmu, bukan rasa-rasa.

“Waktu tak darurat pun kita boleh makan, apatah lagi waktu semua orang tak kira bangsa dan agama sedang dilanda bencana alam,” katanya.

Bagaimana pula jika makanan tersebut dimasak dengan alatan dan bekas yang pernah digunakan untuk memasak hidangan tidak halal?

Makan masakan bukan Islam

JIKA kita mahu menjamah hidangan dimasak oleh orang bukan Islam, pastikan ia dimasuk menggunakan peralatan yang bebas daripada makanan haram. Andai tiada, cukup jika peralatan tersebut dibasuh bersih. -Foto: Canva

Dalam hal itu, Ustaz Addien menjelaskan, Rasulullah SAW pernah memberi panduan bahawa jika kita mahu makan hidangan dimasak oleh orang bukan Islam, pastikan ia dimasak menggunakan peralatan yang bebas daripada masakan haram.

“Jika tiada, pastikan alatan itu dibasuh bersih, kemudian dibolehkan makan dan minum,” katanya.

Perkara itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah al-Khusyani yang bertanya Baginda: “Sesungguhnya kami berjiran dengan ahli kitab. Meraka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selaonnya, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

Pendakwah itu kemudian mengemukakan pandangan Mazhab Syafie yang menyatakan, makan dari alatan yang pernah digunakan untuk memasak hidangan tidak halal, kemudian dibersihkan, hukumnya adalah makruh.

“Sekali lagi, suka saya ingatkan bukan siapa yang masak jadi ukurannya, tetapi bahan yang dimasak.

“Kalau yang masak khinzir itu orang Islam, alatan itu nantinya pun jadi makruh bila digunakan,” terangnya panjang lebar.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Telefon berbunyi
Ibadah,

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

KETIKA solat, tiba-tiba sahaja telefon berbunyi. Sudahlah pada masa itu sedang mendirikan sembahyang jemaah.

Deringan kuat dari peranti tersebut membuatkan kekhusyukan solat kita dan para jemaah lain sedikit terganggu.

Walaupun masjid dan surau sudah memasang papan tanda atau peringatan supaya memastikan telefon bimbit dalam mod senyap ketika di rumah ALLAH, tetapi adakalanya kita terlupa berbuat demikian.

Dalam keadaan solat ketika telefon berbunyi tadi, bolehkah jika kita mematikan deringan tersebut? Bimbang pula perbuatan itu akan membatalkan ibadah yang sedang dikerjakan.

Baca juga Sama ke pahala baca al-Quran guna telefon dengan mushaf? Jom baca penjelasan ini…

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam situasi tersebut, andai pergerakannya banyak, maka ia akan menyebabkan solat seseorang itu batal.

USTAZ AZHAR IDRUS

Sebaliknya, katanya, jika ia hanya melibatkan pergerakan yang sedikit, maka tidaklah ia membatalkan sembahyang.

“Bagaimanapun, seandainya ada tujuan untuk bermain-main dengan pergerakannya itu, maka batal solatnya walaupun sedikit pergerakannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Mengukuhkan faktanya, penceramah terkemuka itu kemudian menukilkan pandangan Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi dalam Kitab Hasyiah Al-Bujairimi yang menyatakan: “Maka batal solat dengan gerakan yang banyak secara mutlak, tidak batal dengan gerakan yang sedikit secara mutlak kecuali jika diqasadkan bermain.”

Menurut pandangan Syeikh Bakr Syatha dalam Kitab I’anah At-Talibin: “Dan tempat kata tidak batal solat itu adalah dengan sebab perbuatan yang sedikit jika tidak ada tujuan bermain dengannya dan jika tujuan bermain, maka ia membatalkan solat.”

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, tidak mengapa andai seseorang itu mematikan telefon bimbitnya ketika solat dengan syarat dia menjaga pergerakannya.

“Ini kerana nada dering telefon amat mengganggu jemaah lain untuk khusyuk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Ujar ahli akademik itu, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain.

DR AHMAD SANUSI

Dalam Hadis Riwayat Imam Abu Daud diceritakan bahawa: “Suatu hari Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid dan Baginda mendengar ada sahabat menguatkan bacaan al-Quran mereka. Rasulullah lalu menyelak tabur Baginda dan berkata: “Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada ALLAH? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu) (sebahagian riwayat menyatakan meninggikan suara ketika solat kamu).”

Berdasarkan hadis berkenaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, andai perbuatan meninggikan suara ketika sedang mengalunkan kalamullah itu pun ditegur oleh Baginda, inikan pula nada dering dengan lagu yang merosakkan tumpuan orang lain dalam solat mereka.

Menyambung hujahnya, ujar beliau, Mazhab Syafie menyatakan bahawa terdapat beberapa syarat yang mesti dijaga oleh seseorang bagi mengelakkan batalnya solat yang dikerjakan.

Bagi mereka yang ingin mematikan telefon yang berdering ketika solat, tetapi pada masa sama mengelakkan sembahyang didirikan terbatal, maka ahli akademik itu menasihatkan agar kita menjauhi:

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

1. Pergerakan yang banyak.
2. Pergerakan yang bukan daripada pergerakan solat yang jelas seperti berjalan dengan sengaja (tanpa keperluan) atau memukul.
3. Dilakukan dengan sengaja dalam keadaan seseorang itu tahu perbuatan tersebut dilarang.
4. Pergerakan yang dilakukan secara berturut-turut.
5. Pergerakan yang tiada keperluan syarak membenarkannya.

Andai seseorang menjaga segala keperluan itu, maka Dr Ahmad Sanusi berkata, pergerakan kecilnya untuk mematikan telefon bimbit tadi adalah sesuatu yang harus.

“Ingatlah, membiarkan telefon berbunyi sehingga mengganggu jemaah lain adalah lebih dilarang,” tegas beliau.

Korban
Ibadah,

Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?

TINGGAL sebulan sahaja lagi umat Islam bakal menunaikan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha nanti. Ramai yang sudah mula buat persiapan ke arah itu.

Ia termasuklah mencari haiwan terbaik untuk dikorbankan pada hari berkenaan.

Berbicara tentang ibadah yang satu itu, acap kali juga kita lihat orang yang sama sahaja melakukan tersebut di kariah masing-masing.

Barangkali individu berkenaan mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Lagipun, tidak salah mereka melakukan ibadah tersebut.

Begitupun, ada yang berpandangan mereka yang sudah melakukan ibadah korban sebanyak tujuh kali, ia seumpama mereka menunaikan haji sekali. Benarkah begitu?

Pendakwah Ustazah Asmak Husin menjelaskan, ibadah korban tidak mempunyai persamaan langsung dengan Rukun Islam kelima walaupun ia menggantikan haji.

USTAZAH ASMAK

“Dari segi hukum, berkorban adalah sunat muakkad untuk kita lakukan sekali dalam setahun dan wajib selagi kita mampu. Ia sehinggakan ada mazhab yang mewajibkan ibadah berkenaan.

“Oleh sebab kita mengikut Mazhab Syafie, maka umat Islam sangat dituntut untuk melaksanakan ibadah tersebut.

“Jadi selagi ada kemampuan, kita lakukanlah walaupun hanya satu bahagian korban. Andai kita mempunyai wang yang lebih, tiada masalah untuk lakukan lebih banyak lagi. Itulah yang sebaiknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video tentang korban yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Seperkara lagi, pernyataan popular tentang ‘umrah tujuh kali bersamaan dengan satu pahala haji’ adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana ia tidak disebut dalam mana-mana hadis sahih berkaitan dengan melaksanakan ibadah umrah. Demikian ulasan yang dipetik menerusi laman web umrahhajitravel.com.

Berbalik kepada isu tentang orang sama melakukan ibadah korban tanpa gagal pada setiap tahun, Sinar Islam Plus pernah mengajukan soalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Beliau menjawab, tidak salah andai sesiapa mahu melakukan ibadah korban saban tahun.

“Malah, digalakkan untuk berkorban bagi mereka yang berkemampuan, sekalipun pada setiap tahun.

“Namun, jika kita tidak melaksanakannya, ia tidaklah dihukumkan sebagai berdosa,” terangnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Hilang di Tanah Suci
Faraid,

Ini yang waris wajib tahu jika keluarga hilang di Tanah Suci

Ini yang waris wajib tahu jika keluarga hilang di Tanah Suci

SERUAN kemuncak ibadah dalam Islam iaitu haji untuk tahun ini kembali lagi. Ibadah itu dianggap klimaks penyerahan kepada Ilahi kerana mengandungi pelbagai elemen pengorbanan yang perlu disempurnakan sepanjang menjalani manasik tersebut.

Faktor lokaliti tanah suci yang jauh daripada famili menjadi bukti pengorbanan untuk meninggalkan keluarga dan negara masing-masing. Paling menyedihkan apabila meninggalkan insan tersayang diakhiri dengan kematian mahupun kehilangan.

Kehilangan jemaah haji bukan sesuatu yang baharu. Tragedi Terowong al-Muassim pada 2 Julai 1990 perlu dijadikan iktibar sebagai peristiwa menyayat hati yang berlaku ketika musim haji. Terowong pejalan kaki yang menghubungkan Makkah dan Mina itu runtuh yang mengakibatkan 1,426 jemaah maut.

Status Waris Hilang

Waris hilang dikenali dengan istilah al-mafqud telah banyak dibincangkan oleh ilmuan fiqh terdahulu mahupun semasa. Fokus perbincangan terjadi berdasarkan keadaan menimpa orang atau waris yang hilang tersebut.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Penyelesaiannya adalah sama iaitu para fuqaha telah berijtihad untuk mencapai satu hukum yang menjamin kemaslahatan pihak-pihak terlibat terutamanya ‘waris hilang’ tersebut, begitu juga waris-waris lain kepada si mati yang layak dan berhak.

Istilah al-mafqud merujuk kepada seseorang yang hilang daripada ahli keluarganya atau negerinya tanpa diketahui sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia dan tidak diketahui di mana tempatnya berada.

Dengan berlalunya satu tempoh masa berlakunya keadaan tersebut, maka individu tersebut boleh dianggap sebagai hilang.

Penentuan Anggapan Kematian

Baca juga Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Ilmuwan fiqh bersepakat bahawa harta orang hilang tidak boleh diagihkan kepada waris serta-merta selepas kehilangannya, sama ada kebarangkalian hidup masih tinggi ataupun kebarangkalian matinya lebih tinggi.

Namun, terdapat perselisihan antara mereka dalam menentukan tempoh menunggu tersebut. Kebijaksanaan mahkamah menurut majoriti fuqaha diperlukan dalam menentukan tempoh menunggu orang yang hilang itu untuk dianggap telah meninggal dunia atau tidak.

Dari sudut amalan, sebagai contoh menetapkan empat tahun untuk mengeluarkan suatu deklarasi anggapan kematian seperti dinyatakan dalam Seksyen 53, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Pewarisan Waris Hilang

Terdapat dua situasi utama bagi orang hilang sebagai penerima harta pusaka daripada ahli keluarganya yang meninggal dunia sebelum kematian orang hilang tersebut disahkan.

Situasi pertama ialah orang hilang tersebut merupakan waris tunggal kepada si mati atau merupakan pendinding (hajib) kepada waris-waris yang lain. Dalam situasi ini, ditangguhkan segala pembahagian harta si mati sehingga jelas keadaan orang hilang tersebut.

Contohnya (Jadual 1), si mati meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki yang masih hilang dan seorang saudara lelaki kandung.

Hilang di Tanah Suci

Disebabkan anak lelaki merupakan wakil yang berhak, maka pengesahan kematiannya perlu ditunggu dan harta si mati (ayahnya) dibekukan sehingga anggapan kematian diperoleh. Setelah disahkan anak lelaki tersebut meninggal dunia, barulah harta tersebut diagihkan kepada saudara lelaki si mati tersebut.

Sementara, situasi kedua ialah wujud waris lain yang turut berkongsi bahagian bersama orang hilang tersebut.

Dalam situasi itu, para ulama berselisih pandangan, namun majoriti mereka berpandangan bahawa waris-waris lain selain orang hilang tersebut diberikan bahagian yang paling yakin iaitu bahagian paling rendah antara dua keadaan.

Sementara, situasi kedua ialah wujud waris lain yang turut berkongsi bahagian bersama orang hilang tersebut.

Hilang di Tanah Suci

Dalam situasi itu, para ulama berselisih pandangan, namun majoriti mereka berpandangan bahawa waris-waris lain selain orang hilang tersebut diberikan bahagian yang paling yakin iaitu bahagian paling rendah antara dua keadaan.

INFO

Hilang ketika tunai haji dianggap mati mafqud

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-27 yang bersidang pada 3 Oktober 1990 telah membincangkan isu jemaah haji hilang dalam Tragedi Terowong al-Muassim. Muzakarah memutuskan bahawa kehilangan 19 orang jemaah haji Malaysia akibat tragedi itu dianggap sebagai ‘mati mafqud‘.

Keterangan atau baiyinah bagi mensabitkan kematian itu ialah:

  1. Telah habis usaha mencari mereka.
  2. Tidak ada bukti atau sangkaan bahawa mereka masih hidup dan bersembunyi di mana-mana tempat di Arab Saudi atau keluar dari negara itu ke negara lain dan bersembunyi di sana.
  3. Bahawa mereka itu bukan orang yang mencari peluang untuk melarikan diri dari negara ini.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

AI tak mencabar Tuhan
Aqidah,

AI tiada roh, tak boleh dianggap mencabar Tuhan

AI tiada roh, tak boleh dianggap mencabar Tuhan

KEBIMBANGAN terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) ada asasnya. Bukan sekadar output dikhuatiri tidak asli tetapi berkaitan isu salah guna hingga mendatangkan natijah buruk.

Paling menggusarkan apabila Al dianggap mencabar kuasa ALLAH SWT. Masakan tidak, kemudahan tersebut persis otak manusia yang mampu memahami dan menjawab segala pertanyaan.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan, kehadiran AI sama sekali tidak bertentangan dengan akidah Islam yang mengajar tentang ALLAH sebagai Tuhan Maha Pencipta dan tiada sekutu bagi-NYA.

Baca juga Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

Malah, katanya, manusia mesti bersyukur kepada-NYA kerana memberi petunjuk sehingga mampu mencipta akal tiruan yang boleh diprogram untuk membuat kerja sebagaimana dikehendaki.

“Secara mudah, AI adalah sistem komputer yang dibina untuk menjalankan tugas yang biasanya dilakukan oleh manusia dalam pelbagai bidang.

“Ia termasuklah teknologi maklumat, transaksi kewangan, media, bisnes, pembelajaran, perubatan dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DR WAN SALIM

Melihat kepada definisi dan peranannya, jelas agamawan itu, penciptaan AI tidak boleh sama sekali dianggap mencabar Tuhan.

“Bahkan, ia sekadar alat yang direka untuk meniru perbuatan manusia.

“AI tidak mempunyai roh dan sifat makhluk hidup,” tegas beliau.

Baca juga Jangan buat kerja Tuhan

Meskipun ada pihak tertentu mencanang bahawa tiada unsur keaslian bagi mereka yang menggunakan AI untuk memudahkan diri dan urusan kerjanya, Dr Wan Salim tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Menurutnya, keaslian masih wujud kerana hak cipta dimiliki sepenuhnya oleh individu yang memprogramkan AI untuk menyempurnakan tugasan.

“Ia jelas menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya buat masa ini, AI masih tidak dapat menandingi kecerdikan akal manusia yang dianugerahkan ALLAH.

“Sebaliknya, alat itu hanya mampu melakukan apa yang diprogramkan oleh manusia tetapi tidak mampu melakukannya sendiri. Alat yang ketiadaan roh tentunya tidak berkuasa melakukan kehendak sendiri,” terangnya.

Wujudkan garis panduan

Bagaimana pula pandangan Islam tentang kemudahan AI yang senang ‘diceroboh‘ untuk memudahkan kerja-kerja kreatif seperti penulisan, merekayasa gambar atau atur letak, memplagiat dan sebagainya?

Menjawab tanda tanya itu, Dr Wan Salim menjelaskan, apa juga rekayasa boleh disalah guna oleh orang yang tidak amanah dan integriti.

“Segalanya bergantung kepada hati nurani. Di sinilah letaknya kepentingan pendidikan rohani yang berperanan menyucikan hati dengan iman dan takwa.

AI tak mencabar Tuhan

PENCIPTAAN AI tidak boleh sama sekali dianggap mencabar Tuhan. Bahkan, ia sekadar alat yang direka untuk meniru perbuatan manusia. -Foto: 123rf

“Ingatlah, keunggulan dan keanggunan peribadi seseorang terbentuk sebagai hasil daripada keakraban hubungannya dengan Tuhan menerusi ibadah serta akhlak yang baik.

“Kombinasi iman, takwa, ibadah dan akhlak mampu membentuk keperibadian yang baik serta amanah kepada Tuhannya dan sesama manusia,” ungkapnya.

Dalam pada itu, tokoh agama itu turut sependapat dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya diwujudkan garis panduan tentang AI agar tidak disalah guna.

Jelas beliau, ia penting agar perkara itu tidak membawa natijah yang merosakkan manusia dan makhluk-makhluk lain.

Baca juga Pasak nilai kemanusiaan dalam diri, jangan sampai bersifat seumpama haiwan

“Ini adalah tanggungjawab pihak kerajaan. Sebagaimana diketahui, agama Islam mewajibkan mereka yang diberikan kuasa pemerintahan supaya melakukan yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran.

“Ia sepertimana kita memerlukan peraturan dalam bidang-bidang lain yang tidak boleh dicerobohi, maka begitu jugalah dalam AI.

“Perlu ada undang-undang tertentu yang bertujuan mengawal bidang ini supaya tidak dicerobohi sehingga boleh memesongkan matlamatnya yang baik iaitu untuk kesejahteraan hidup manusia,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar pihak kerajaan menerusi Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan Digital boleh menggubal undang-undang dan peraturan untuk mencegah pencerobohan hak cipta serta plagiarisme dalam teknologi AI.

AI tak mencabar Tuhan

UMAT Islam disarankan untuk menerima AI dan menggunakannya demi menyeru (dakwah) manusia kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera. -Foto: Pexels

“Ia sebagaimana yang lazim dilakukan untuk melindungi hak cipta dalam pencetakan dan penerbitan hasil kreatif buku, filem dan sebagainya.

Sebelum mengakhiri bicara, Dr Wan Salim menitipkan pesan agar umat Islam menerima AI dan menggunakannya untuk menyeru (dakwah) manusia kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Teknologi AI
Isu,

Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

TATKALA imej seorang nenek bermain papan selaju tular baru-baru ini, ramai menyuarakan rasa tidak logik.

Namun, apabila mengetahui imej itu dihasilkan menerusi janaan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), warganet mula memuji dan mengagumi kecanggihan aplikasi tersebut.

Meskipun demikian, bibit kebimbangan tetap menerjah. Khuatir andai teknologi itu disalah guna. Paling menakutkan apabila ia menerbitkan natijah buruk kepada manusia.

Mampukah AI memberi manfaat kepada umat Islam? Apakah cara mengatasi herotan kemudahan berkenaan dan apakah pandangan Islam mengenainya?

Baca juga Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia

Mudahkan urusan

Bagi mendapatkan pencerahan, Sinar Islam Plus mewawancara Jurutera Kanan AI Torum Technology Sdn Bhd (Torum Technology), Dr Fairoza Amira Hamzah.

Teknologi AI

DR FAIROZA AMIRA

Jelas beliau, teknologi tersebut sebenarnya memudahkan banyak proses pekerjaan.

Salah satunya melibatkan urusan menunaikan haji. Lembaga Tabung Haji sedang membangunkan aplikasi bagi memudahkan prosedur umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima itu, ungkapnya.

“Jika sebelum ini kita membuat permohonan visa secara manual tetapi dengan AI, semua kecekapan urusannya akan diperbaiki.

“Sistem sebegitu bukan hanya memberi manfaat kepada umat Islam tetapi seluruh dunia,” katanya.

Sebagai umat Islam, jelas beliau, kita bukan sahaja memainkan peranan sebagai ‘abid (beribadah) tetapi juga menjadi khalifah di bumi ini.

“Mudah kata, kita tidak boleh hanya fokuskan akhirat dan meninggalkan duniawi. Kedua-duanya perlu seiring.

“Umat Islam perlu menceburkan diri dalam bidang ini agar tidak timbul isu berat sebelah di situ, selain menyeimbangkan antara kedua-dua peranan mereka,” katanya.

Pendek kata, melihat fungsinya yang menyeluruh, AI sebenarnya membantu umat Islam dalam menyempurnakan fardu kifayah!

Baca juga Jurutera Cipta Tudung PPE Mudahkan Wanita Muslim Bekerja Dalam Bidang Lasak

Lebih enam dekad

Mengulas lanjut, lulusan PhD Sains Maklumat dan Kejuruteraan Kawalan, Nagaoka University of Technology Jepun itu menjelaskan, AI dalam bahasa mudahnya ‘menjadikan sesuatu alat mempunyai kepintaran’.

Teknologi AI

DR FAIROZA AMIRA mengendalikan AI dalam semua platform media sosial Torum Technology bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Sepertimana kita boleh bercakap, bertanya, menjawab soalan, memahami dan seumpamanya, begitu juga dengan AI.

“AI mendapat data-data jawapan yang kita tanyakan tadi kerana ia diajar semua perkara tersebut dan memahaminya. Jadi, segala pertanyaan, carian atau apa sahaja yang dikehendaki boleh ditafsir dengan baik oleh AI,” katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menelusuri historiografinya, AI sudah melewati enam dekad usianya.

Menurut Dr Fairoza, ia bermula sejak tahun 1950-an lagi. Ketika itu, ia dalam bentuk fuzzy logic (komputer dapat meniru kecerdasan manusia).

“Kini, banyak bentuk AI boleh dilihat seperti ChatGPT, Midjourney dan lain-lain. Malah, ada AI yang boleh menghasilkan muka sendiri dan sesuatu yang seumpama itu,” katanya yang bertugas mengendalikan AI dalam semua platform media sosial Torum Technology bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat.

Meskipun AI bukanlah suatu teknologi baharu, namun Dr Fairoza yang terlibat secara langsung dalam penyediaan cadangan hala tuju atau roadmap AI Malaysia menjelaskan, ia baru sahaja popular 10 tahun kebelakangan ini di Malaysia.

“Boleh dikatakan, sekarang di mana-mana saja ada AI. Sebagai contoh, Torum Technology mengendalikan platform media sosial bagi mata wang kripto yang mempunyai lebih 230,000 pengguna. Ia sama seperti platform laman sosial yang lain.

“Apabila kita menulis hantaran (posting), kemudian orang ‘spam’ atau guna perkataan yang menyakitkan hati, sudah tentulah kita tak suka. Jadi, di sinilah fungsi AI untuk membantu menapis ‘spam’ tadi dalam media sosial.

“Dalam bidang kewangan pula misalnya, AI membantu memastikan tiada penipuan berlaku,” terangnya.

Buatkan manusia jadi malas?

Sepertimana rekayasa yang lain, AI juga ada pro dan kontranya.

Baca juga Ada yang malas bekerja dan lesu bila beribadah? Nabi SAW sarankan doa ini dibaca setiap hari

Apatah lagi, baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kemenangan seorang jurufoto asal Jerman yang menghantar karya dengan bantuan AI pada pertandingan Anugerah Fotografi Dunia Sony 2023.

Teknologi AI

JELAS Dr Fairoza Amira, sekalipun seseorang menggunakan AI, ia memerlukan kebijaksanaan dan daya imaginasinya untuk menghasilkan sesuatu. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Meskipun empunya diri mengakui menggunakan AI dan menolak kemenangan tersebut tetapi isu itu membiaskan sisi buruk penggunaan teknologi berkenaan.

Dalam hal itu, Dr Fairoza mempunyai pandangannya sendiri.

Jelas beliau, ia hanyalah isu terpencil. Malah dari satu segi, menggunakan AI juga memerlukan kebijaksanaan supaya satu imej yang cantik akan terhasil sebagaimana bidikan lensa jurufoto profesional.

“Bukan semua orang ada kemampuan imaginasi sebegitu walaupun sama-sama menggunakan AI. Sudah tentu jurufoto tadi mengerah ideanya demi mendapatkan hasil yang hebat.

“Jika saya sebagai juri, saya akan ambil kira 50-50 iaitu idea dan teknologi AI yang digunakan,” ujarnya sambil menjelaskan, kerajaan sedang menyiapkan polisi, dasar dan etika tertentu bagi menangani masalah berbangkit tentang AI.

Paling penting, katanya, setiap orang perlu ada kesedaran.

“Andai seseorang menggunakan AI dalam melakukan tugasan seperti fotografi tadi, dia perlu isytiharkan,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Fairoza menjawab: “Bagi saya, AI tidak akan merampas pekerjaan manusia, cuma ia menjadikan kita sedikit malas.

“Namun, andai ada sesuatu yang memudahkan, pastinya kita tetap perlu berfikir dan berimaginasi seperti kes jurufoto tadi untuk menghasilkan gambar yang cantik serta mampu menang.

“Barangkali ada sebilangan pekerjaan yang akan kurang menggunakan tenaga manusia. Sebagai contoh, ChatGPT yang boleh menulis hantaran di media sosial. Bagaimanapun, manusia tetap perlu menyunting dan menambah apa yang patut supaya ia tidak canggung dan nampak seperti bahasa komputer.

“Hakikatnya, sejauh mana pintarnya AI, bijak lagi manusia. Tiada siapa mampu menandingi kuasa ALLAH SWT yang mencipta kita dan akal fikiran kurniaan-NYA .”

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Ulama tegur
Berita Semasa,

‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

GOLONGAN ulama boleh menegur kerajaan dalam perkara berkaitan bagi membentuk negara bangsa yang maju dan sejahtera selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutup Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam, pada Khamis.

“Ulama harus berani menegur dengan ikhlas. Insya-ALLAH, kita akan mendengar. Ada hal-hal (tertentu) yang kadangkala kita setuju, tetapi tidak mungkin dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita.

Baca juga Dizalimi dan dipenjarakan, lima ulama ini terus bertahan demi Islam

“Seperkara lagi, tahap kefahaman umat juga satu hal (lain). Adakalanya apa yang kita bicarakan tadi ditafsirkan secara berbeza dan satu uslub (kaedah) jahat dalam politik.

“Namun, saya yakin kita berada di landasan yang baik, boleh angkat martabat umat dan negara ini, sesuai dengan cita-cita balad (negara) madani,” katanya pada majlis berkenaan.

Ulama tegur

DARI kiri, Habib Umar, Amirudin, Anwar dan Dr Ali Jum’ah ketika majlis Muzakarah Ulama 0 Umara tang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. -Foto: ROSLI TALIB

Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ia turut menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, al-Imam al-Allamah Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengasas & Pengetua Dar Al Mustofa, Tarim, Yemen, al-Allamah Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz sebagai tetamu utama.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kedua-dua ulama tersebut turut menekankan perkara sama iaitu memberi teguran dengan baik, menghormati dan mendampingi kerajaan untuk memperbaiki mana yang patut selaras dengan hasrat negara.

“Ia bukanlah untuk mencerca, memfitnah atau menghukum.

“Kepada pimpinan pula, apabila ulama bercakap dengan ikhlas dan berani menegur, terimalah teguran itu serta menjawabnya dengan baik,” katanya.

Ulama tegur

SEBAHAGIAN ulama, tokoh agama, agamawan dan hadirin yang menghadiri Muzakarah Ulama – Umara di Shah Alam, pada Khamis. -Foto: ROSLI TALIB

Mengulas tentang isu kalimah ALLAH yang masih hangat dibincangkan ketika ini, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tetap berpendirian bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam penerbitan orang bukan Islam di Semenanjung sahaja kecuali di Sabah dan Sarawak.

Baca juga Isu kalimah ALLAH, pihak berwajib perlu lebih prihatin

Baca juga Kalimah ALLAH, antara nas dan realiti

“Saya sudah jelaskan dalam Parlimen berulang kali. Itu keputusannya. Sebab itu tidak ada rayuan dalam kes yang melibatkan Sarawak kerana sesuai dan selari dengan titah bahawa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

“(Isu kalimah ALLAH) Boleh bahas lagi dalam majlis tertutup, tetapi tidak patut mengelirukan umat,” katanya.

Tiket konsert
Berita Semasa,

‘Tiket konsert mahar nikah’, Muslimin perlu elak syubhah

‘Tiket konsert mahar nikah’, Muslimin perlu elak syubhah

APABILA video memaparkan seorang suami memberikan tiket konsert Coldplay sebagai sebahagian mahar nikah, ramai yang terkesima.

Meskipun insiden berkenaan berlaku di negara jiran, namun ia memberi impak terutamanya kepada umat Islam.

Ekoran tularnya video tersebut, ada yang mula keliru tentang pemberian tiket konsert sebagai mas kahwin.

Baca juga Selain wang tunai atau barang kemas, bolehkah mas kahwin diberikan dalam bentuk lain?

Bagaimanapun, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menegaskan, pemberian mas kahwin atau mahar sedemikian tidak sah kerana tidak mempunyai nilai, selain bercanggah dengan hukum syarak.

ABDUL RAHMAN

“Mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai dan berharga. Ia merupakan satu pemberian suami kepada isteri. Andai gagal dipenuhi, maka wajib bayar semula hutang berkenaan.

“Di mana nilainya tiket itu? Dari segi syarak, ia bercanggah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Sinar Harian.

Menerusi klip video yang tular itu, selain tiket Coldplay, pengantin perempuan di Indonesia tersebut turut menerima 21 gram emas sebagai mas kahwin dan sepersalinan solat.

Baca juga Mas kahwin terbaik dari pandangan Islam, Ini yang bakal pengantin patut tahu

Berdasarkan mahar yang diperoleh itu, Abdul Rahman menegaskan, hanya emas dan persalinan solat sahaja yang diterima.

Senada dengan agamawan itu ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau menegaskan, antara syarat mas kahwin adalah ia mesti terdiri daripada perkara yang mendapat keredaan ALLAH SWT.

“Mudah kata, apa sahaja yang disukai dan disenangi bakal isteri yang terdiri daripada perkara mempunyai nilai dan halal boleh dijadikan sebagai mahar.

“Ia boleh jadi sama ada harta benda atau sesuatu yang mempunyai nilai moral seperti bacaan al-Quran, hadis ataupun kata-kata hikmah dan seumpamanya,” katanya dipetik daripada Buletin TV9.

DR WAN SALIM

Sementelah, bagi perkara-perkara yang jelas haram, selain bersifat samar dan meragukan perlu dielakkan, ungkapnya.

“Umat Islam diingatkan supaya tidak mengikut perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya syubhah ketika akad nikah,” tegasnya.

Isu berkenaan turut mendapat respons daripada warganet.

Antaranya, pemilik akaun Facebook Adib Saat dalam laman sosialnya membuat hantaran tentang isu ‘illegality of contract’ dalam Islam dan sivil.

Dalam Islam, beliau yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, sesuatu barangan yang diakad untuk jual beli perlu ada nilaian (qimah), barulah dikira sah dan cukup syarat urusan berkenaan.

“Dalam kes ini, tiket Coldplay tiada nilai ringgit dari segi hukum syarak untuk menjadi mas kahwin.

“Sebagai contoh lain, jual beli arak (tiada nilai) adalah tidak sah. Maka, kontrak tersebut tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan ketidakabsahan tersebut,” katanya.

Begitu juga halnya dalam sivil, jelas beliau, terdapat kaedah sama iaitu ‘illegality of contract’.

“Misalnya, perjanjian jual beli dadah di Malaysia tidak boleh dikuat kuasa di mahkamah sivil kerana isu ‘illegality of contract’.

“Sama juga dengan perjanjian sambung bayar kenderaan tanpa persetujuan bank. Perjanjian tersebut tidak dapat dikuatkuasakan terhadap bank kerana faktor yang sama,” katanya yang menyeru agar soal hukum-hakam diserahkan kepada pihak berautoriti agar agama Islam tidak diremehkan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Muka sama
Aqidah,

Ada 7 orang muka sama di dunia, apa kata Islam?

Ada 7 orang muka sama di dunia, apa kata Islam?

“EH, muka awak sama dengan jiran saya di rumah lama dulu. Betullah, memang ada tujuh orang muka sama dengan kita di dunia ni.”

Demikian tegur seseorang kepada insan yang baru ditemuinya. Suratan atau kebetulan? Barangkali ramai berfikiran sebegitu apabila melihat seseorang individu ada iras atau persis kenalannya.

Bukannya mahu dijadikan sebagai modal memulakan bicara, tetapi hakikatnya memang itu yang dirasakan. Sudah tentulah kita menunjukkan ekspresi teruja dan penuh minat kerana terjumpa orang yang berwajah sama dengan kita atau rakan masing-masing.

Persoalannya, benarkah memang ada tujuh orang muka sama dengan kita? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Baca juga Tak mengapa hodoh di dunia, di akhirat nanti kita dapat memilih wajah yang diinginkan

Memetik infografik yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak, pernyataan tersebut tidak tsabit dari sudut saintifik, syariah mahupun al-Quran dan as-Sunnah.

“Tidak tahu dari mana datangnya pernyataan ini. Oleh itu, jangan sibukkan diri dengan soalan-soalan sedemikian kerana tidak memberi manfaat kepada kita.

Muka sama

ALLAH SWT menciptakan setiap orang berbeza walaupun mempunyai iras atau paras rupa yang hampir sama. -Foto: 123rf

“Ketahuilah bahawa ALLAH SWT menciptakan kita berbeza, insya-ALLAH. Mungkin ada yang nampak seperti sama, tetapi sudah tentu berlainan antara satu sama lain,” katanya dipetik menerusi infografik berkenaan.

Baca juga Manusia ciptaan ALLAH yang unik, sama-sama kita sayangi diri

Sementara itu, memetik artikel kemusykilan agama yang disiarkan menerusi laman web al-ahkam.net, walaupun tiada nas sahih yang memerihalkan Rasulullah SAW pernah bersabda sedemikian, tetapi kita boleh mempercayainya.

“Contohnya, kepercayaan bahawa makan Tongkat Ali boleh menyebabkan seseorang kuat, percaya sesiapa yang memiliki ‘lesen terbang’ kelak akan ditangkap oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan seumpamanya.

“Begitu juga dengan kepercayaan yang tidak pernah disebut langsung oleh Rasulullah SAW. Misalnya, bapa lebih tua daripada anak dan setiap benda atau jisim sudah tentu memenuhi sesuatu ruang. Begitu jugalah halnya dengan masalah tujuh orang berwajah sama,” katanya.

Portal Al-Ahkam turut memetik pandangan ahli Biologi yang menyatakan, terdapat tujuh orang yang mempunyai wajah sama atau hampir sama (sama, tetapi tidak serupa).

“Tidak mustahil daripada teori inilah tercetusnya idea untuk mengkaji konsep dan kaedah pengklonan manusia. Itulah kata mereka.

“Terpulang kepada kita sama ada hendak percaya ataupun tidak,” katanya.

Muka sama

MESKIPUN seseorang percaya kepada teori yang menyatakan, terdapat tujuh orang muka sama dengan kita di dunia, ia tidaklah sampai merosakkan iman. Jika tidak percaya juga tidak menyebabkan seseorang itu berdosa. -Foto: 123rf

Artikel itu turut menyebut, andai kita percaya kepada teori tersebut, ia tidaklah merosakkan iman kita dan jika tidak percaya juga tidaklah menyebabkan seseorang itu akan berdosa.

“Ia kecuali jika kita percaya bahawa ALLAH tidak berkuasa mencipta tujuh orang yang berwajah sama, bahkan seiras. Maha Suci ALLAH daripada kata-kata ini.

“Kalau teori itu memang benar, maka ia lebih menambah keyakinan kita kepada kehebatan dan kekuasaan ALLAH SWT untuk berbuat apa sahaja.

“Andai teori itu salah, kita tetap yakin bahawa ALLAH SWT itu MAHA BERKUASA dan MAHA BIJAKSANA dalam mengatur perjalanan alam maya,” titipnya.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Solat tanpa berpakaian dalam
Ibadah,

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

MENUNAIKAN solat tanpa berpakaian dalam bukan perkara asing bagi segelintir orang. Masakan tidak, sesetengah daripada kita mungkin sudah terbiasa melakukannya.

Bagaimanapun, perbuatan itu menimbulkan persoalan tentang status ibadah mereka.

Baca juga Enaknya menguap, tapi jangan terlalu kuat sampai solat terbatal

Apabila tidak memakai pakaian dalam, sudah tentu banyak ‘pergerakan’ berlaku ketika menunaikan sembahyang. Apakah hukumnya dalam Islam?

Dalam perihal pergerakan anggota badan yang boleh membatalkan solat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merujuk kepada pandangan Imam al-Nawawi dalam Mazhab Syafie menerusi Kitab Minhaj at-Tolibin.

Kata Imam an-Nawawi: “Dan jika dia melakukan di dalam solatnya sesuatu perbuatan lain sekalipun dari jenisnya, maka terbatal solat kecuali kerana terlupa. Dan jika perbuatan itu bukan dari jenisnya, maka batal solatnya jika dilakukan dengan pergerakan yang banyak, dan pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat.”

Baca juga Perhatikan lima jenis kentut dalam solat, lakukan perkara ini bila berlaku

Solat tanpa berpakaian dalam

PERGERAKAN yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam sembahyang seperti menambah rukuk dan sujud membatalkan ibadah tersebut. -Foto: 123rf

Melihat ungkapan tersebut, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apa sahaja pergerakan yang dilakukan secara sengaja selain daripada perbuatan asal dalam solat dan pergerakan dalam solat (seperti menambah rukuk atau sujud) adalah membatalkan sembahyang tersebut.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan andai kita dalam keadaan terlupa.

Baca juga Dosa tidak akan terhapus walaupun telah qada solat yang ditinggalkan

“Bagi pergerakan yang tidak termasuk sebagai jenis perbuatan dalam solat, maka terbatal sembahyang tersebut jika ia dilakukan dengan pergerakan yang banyak.

“Adapun, pergerakan yang sedikit tidak akan membatalkan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-772: Hukum Solat Tanpa Memakai Pakaian Dalam yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Artikel tersebut turut menyenaraikan perbezaan pergerakan banyak yang boleh membatalkan solat dan pergerakan yang sedikit.

Berikut perinciannya:

1. Pergerakan banyak mestilah dilakukan oleh anggota badan yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.

Jika hanya melibatkan pergerakan anggota badan yang ringan seperti lidah, kelopak mata, bibir, zakar atau jari (tanpa menggerakkan telapak tangan seperti menggaru), maka tidak batal solat sekalipun dilakukan secara berulang kali kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Solat tanpa berpakaian dalam

PELIHARAH solat dan elakkan melakukan pergerakan tidak perlu ketika menunaikannya. -Foto: 123rf

2. Pergerakan yang banyak dilakukan tiga kali secara berturut-turut atau lebih menurut uruf setempat.

Baca juga Benarkah bergerak lebih tiga kali membatalkan solat?

Berturut-turut itu dikira apabila pergerakan kedua tidak terputus daripada pergerakan pertama dan pergerakan ketiga tidak terputus daripada pergerakan kedua.

Sebagai contoh, seseorang yang melangkah kaki dengan dua langkah sederhana atau pukulan sederhana atau memberi isyarat menjawab salam tidak akan membatalkan solat kerana ia termasuk dalam pergerakan yang sedikit.

Terdapat satu lagi pandangan menjelaskan, berturut-turut adalah dengan kadar tamakninah antara dua pergerakan dan pendapat itulah yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita.

3. Pergerakan tersebut mestilah bukan termasuk daripada pergerakan yang tidak mampu dikawal seperti menggaru kudis dan menggigil kerana kesejukan.

Berdasarkan fakta tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, pergerakan zakar mahupun payudara bagi orang yang menunaikan solat termasuk dalam jenis anggota badan yang bukan kategori pilihan mereka.

Demikian pandangan di sisi fuqaha Syafi’iyyah.

“Ini kerana pergerakan itu diqiaskan dengan solat dalam keadaan tidak mampu mengawal pergerakan.

“Ia juga dikaitkan dengan pergerakan sedikit kerana hanya melibatkan anggota badan yang ringan iaitu zakar dan payudara.

“Justeru, mereka yang solat tanpa memakai pakaian dalam adalah sah dan tidak membatalkan sembahyangnya sebanyak mana pergerakan sekalipun,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Pexels