Browsing Tag

sinarislam

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

SIFAT pengotor sememangnya bertentangan dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menjaga kebersihan.

Pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menjelaskan, kekotoran itu bukan sahaja dari segi luaran seseorang, malah merangkumi akidah, syariat, akhlak dan muamalat.

Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

“Dari segi akidah misalnya, perbuatan seseorang merosakkan kepercayaan kepada ALLAH SWT yang dicampur adukkan dengan fahaman jahiliah dan perkara karut-marut. Jika melibatkan kekotoran dari segi syariat, ia melibatkan perihal hukum-hakam seperti makan benda yang kotor dan tidak kisah benda yang halal mahupun haram.

“Mudah kata, umat Islam dituntut menjaga kebersihan bukan sahaja dari segi zahir, tetapi juga batiniah (kerohanian). Andai mereka tidak ambil kisah dari segi syariat, makanannya, kebersihan pakaian dan seumpamanya, sukar untuk mereka mendekatkan diri dengan YANG MAHA ESA,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, agamawan tersebut mengingatkan bahawa berdosa andai kita bersifaf pengotor. Namun, dosa berkenaan bergantung kepada tindak-tanduk seseorang.

“Terdapat dosa yang berat, contohnya pada badan seseorang itu ada najis seperti sentuhan khinzir dan tahi cicak. Ada pula melibatkan kesalahan yang masuk dalam kategori dosa ringan dan boleh kita beristighfar serta bertaubat dengannya.

“Dosa seperti mendedahkan aurat, melalak dan berpakaian tidak mengikut syariat, ini juga termasuk dalam kategori tidak menjaga kebersihan tubuh badan.

“Sedangkan ALLAH SWT telah memberikan nikmat yang cukup kepada kita. Banyak pakaian mengikut syariat yang mampu kita beli untuk menutup badan kita.

“Usahlah kita kotorkan badan dengan membiarkan orang lain memerhatikan tubuh kita. Tindakan itu menyebabkan mata orang lain yang melihat berdosa, telinga mahupun tangan orang lain juga berdosa apabila menyentuh kita seperti berjabat tangan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Begitupun, bagi orang yang berkelakuan sedemikian rupa kerana kejahilannya, jelas Hassan Mahmud, semua itu boleh akan diampunkan sekiranya mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

“Misalnya, orang yang termakan benda-benda haram boleh menyucikan dirinya dengan bertaubat dan beristighfar kepada ALLAH,” terangnya.

Bukan itu sahaja, pendakwah itu berkata, sikap jelik tersebut juga boleh membawa penyakit kepada tubuh badan dan masyarakat.

“Ketahuilah, orang yang bersih itu amalannya diterima oleh ALLAH SWT. Mereka juga dijanjikan ganjaran pahala di akhirat. Bahkan, rakan-rakan sekeliling juga rasa selesa, tambahan orang yang jaga kebersihan biasanya akan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Justeru, jangan campakkan diri kita kepada keburukan dan kekotoran. Sebaiknya, ikutilah cara Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan tidak kiralah sama ada ketika hendak tidur, makan dan sebagainya,” pesan beliau.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: he zhu/Unsplash

korban 1
Berita, Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

Oleh RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

HARI Raya Aidiladha atau disebut juga sebagai Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan yang sangat bermakna kepada umat Islam.

Ini adalah kerana peristiwa tersebut berkaitan dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu mengerjakan haji di Mekah.

Jika kita sebagai rakyat Malaysia yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita menghafalnya, begitulah juga dengan rukun Islam.

Malahan kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami, melaksana dan menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam dibangunkan di atas lima perkara, persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan puasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap Hari Raya Aidilfitri lebih utama atau bermakna jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidiladha.

Hal itu mungkin disebabkan kerana tradisi atau pemahaman kita sejak dahulu lagi yang memungkinkan Aidilfitri ini lebih besar daripada Aidiladha.

Namun, jika kita lihat semuanya secara teliti, beberapa perkara yang mungkin memperlihatkan bahawa Aildiladha itu lebih istimewa disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah bilangan hari setiap umat Islam disunatkan bertakbir berbeza.

Begitu juga dengan sambutan Aidiladha yang lebih ke arah pengorbanan berdasarkan kepada peristiwa yang masyhur di antara Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mengisahkan suruhan dan tuntutan ALLAH SWT dalam ibadah penyembelihan.

Selain itu juga, sambutan Aidiladha yang berkaitan rapat dengan ibadah haji pastinya menitipkan kerinduan dalam kalangan umat Islam untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Haram.

Apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang dilanda wabak Covid-19, pastinya seluruh umat Islam akan sentiasa berdoa agar wabak tersebut akan lenyap daripada muka bumi, sekali gus memberi harapan untuk hadir sebagai tetamu ALLAH SWT.

Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh ALLAH SWT sebagai tempat manusia untuk berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata untuk mengabdikan diri kepada MAHA PENCIPTA.

Berziarah ke Baitullah juga memberi peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-NYA.

Justeru, ibadah Haji merupakan satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah Al-Hajj: 27)

Baca juga Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

Selain Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini, selain kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW.

Hal berkenaan jelas membuktikan bahawa Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat istimewa kepada umat Islam di atas dunia yang fana ini.

Maksud tanah haram adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh ALLAH SWT akan kesuciannya daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada penciptanya iaitu Allah SWT.

Ia adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan dan ruang yang terbaik kepada hamba-hamba-NYA dalam kesempatan yang diperoleh untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-NYA.

Sehubungan itu, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur hidup kita.

Jangan sesekali putus asa atau mengalah daripada terus berharap kepada ALLAH SWT.

Sekiranya kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi menunaikan rukun Islam ke-5 ini.

Janganlah sesekali bertangguh atau melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui ALLAH SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Jika ditakdirkan nyawa kita telah diambil oleh ALLAH SWT terlebih dahulu sebelum kita menjejakkan kaki ke bumi Makkah, menjadi tanggungjawab waris terdekat untuk menyempurnakan haji kita.

Oleh demikian, jadikan peristiwa dan perayaan Aidiladha sebagai medan untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan di sisi ALLAH SWT.

Sentiasa berlapang dada untuk berkorban ke arah kebaikan kerana setiap pengorbanan yang baik itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Yakin di atas segala usaha dan tindakan yang dilakukan demi membuktikan keimanan kita kepada MAHA PENCIPTA iaitu ALLA SWT.

Jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam apa jua tindakan serta kelakuan kita termasuk pengorbanan dalam kehidupan, sudah tentu ganjaran kebaikan akan kita miliki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH SWT, mereka itulah orang yang benar.” (Surah Al-Hujurat: 15)

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

 

RAFIUDDIN ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Sialm, UiTM Cawangan Segamat, Johor
Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Bernama, Unsplash, Freepik & 123rf

 

 

ibu
Soal Jawab Agama,

[VIDEO] Doa ibu angkat mustajab? Ini penjelasannya

HIDUP dan jalan cerita setiap orang adalah berbeza. Walaupun rambut mungkin sama hitam, tetapi liku-liku kehidupan yang dilalui setiap dalam kalangan kita langsung tidak sama.

Ada orang yang dilahirkan dalam keluarga yang penuh penyayang oleh ibu bapa kandung. Namun begitu, ada segelintir pula dibesarkan oleh ibu dan bapa angkat. Barangkali ibu dan bapa kandungnya sudah tiada lagi di bumi yang fana ini.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita. Itulah sikap yang diajar sejak kita masih kecil.

Malah, agama Islam juga mengajar umatnya supaya berbuat baik dan menghormati insan yang lebih berusia.

Namun begitu, dari segi doa pula, mustajabkah doa ibu angkat? Adakah taraf doa ibu angkat adalah sama dengan ibu kandung?

Menjelaskan persoalan itu, pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen memetik sebuah hadis masyhur tentang doa yang dikabulkan oleh ALLAH SWT tanpa diragui lagi.

DA’I ADNEEN

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang dizalimi, doa orang dalam perjalanan yakni orang yang bermusafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ujar beliau, orang tua yang dimaksudkan dalam hadis itu merujuk kepada ibu dan bapa kandung.

“Sama juga halnya seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis-hadis lain berkaitan dengan seruan terhadap anak-anak untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapanya.

Baca juga Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

“Hak keistimewaan ibu bapa daripada anak-anak yang disebutkan turut merujuk kepada ibu bapa kandung,” terangnya.

Namun begitu, Da’i Adneen menjelaskan, alasan itu bukanlah satu tiket untuk seorang anak berbuat tidak baik kepada ibu bapa angkatnya.

“Bahkan, seorang anak bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada ibu bapa angkatnya sepertimana dia bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan kepada orang di sekelilingnya.

“Sekiranya seorang anak menyakiti hati ibu atau bapa angkatnya, maka bersegeralah memohon maaf. Moga-moga perkara tersebut tidak diulangi lagi,” ujarnya.

Justeru, berbuat baiklah kepada ibu kita tidak kiralah siapa pun mereka. Sekalipun wanita dan lelaki yang membesarkan kita bukanlah orang tua kandung, tetapi mereka menjadi individu penting yang membesarkan dan memberi didikan kepada kita.

Foto: Freepik & 123rf

jutawan
Personaliti,

5 jutawan Muslim ini tidak pernah mendongak ke langit. Ini yang dilakukan oleh mereka…

MEREKA sudah berada di puncak kekayaan. Harta yang dimiliki juga melimpah-ruah. Bahkan, ada antara mereka sudah bergelar bilionair. Individu yang dimaksudkan ialah Iskander Makhmudov, Azim Premji, Sulaiman Al Rajhi, Imran Khan dan Malala Yousafzai.

Begitupun, kesemua tokoh Islam itu tidak pernah mendongak ke langit, berjoli sakan apalagi menikmati harta bersendirian, seperti yang dilaporkan oleh portal berpengaruh Indonesia, Republika dan Forbes.

Latar belakang mereka adalah tidak sama. Setiap daripada hartawan itu memiliki cerita dan konstitusi kehidupan berbeza-beza. Ada dalam kalangan mereka dilahirkan dalam keluarga yang kaya, namun kebanyakannya datang daripada keluarga yang sederhana.

Terdapat satu perkara yang membezakan lima tokoh Islam itu berbanding dengan jutawan lain. Tidak lain tidak bukan pastinya didikan daripada ahli keluarga yang sentiasa mengingatkan dan menanamkan iktikad kepercayaan bahawa berkongsi harta kekayaan bakal menjamin tempat di syurga.

Seperti kata pengasas Bank Al Rahji, Sulaiman Al Rajhi: “Satu pelaburan yang sangat bermakna dan berguna pada saya kelak adalah pelaburan yang dapat menyelamatkan saya di akhirat kelak.”

Kepada India Today, seorang lagi bilionair terkemuka dari India, Azim Premji pula berkata: “Saya sangat percaya bahawa kita yang mempunyai hak istimewa untuk memiliki kekayaan, harus memberi sumbangan yang besar untuk mencuba dan mencipta dunia yang lebih baik bagi berjuta-juta orang yang kurang mendapat hak istimewa.”

Sesungguhnya, mencari manusia yang mahu berbahagikan kekayaan yang dimiliki tidak mudah dan manifestasi kerendahan hati yang mereka tunjukkan sangat menyentuh perasaan. Ikuti perjalanan kisah lima konglomerat Islam yang memiliki jiwa sosial yang tinggi.

1. Iskander Makhmudov

Jutawan Muslim

ISKANDER (kiri) disebut-sebut sebagai bilionair yang budiman dan dermawan di Rusia.

Bilionair berusia 57 tahun itu dilaporkan mempunyai nilai aset bersih sebanyak AS$9.2 bilion (RM37 bilion). Malah, majalah Forbes menamakannya sebagai orang ke-205 terkaya dunia pada tahun ini.

Beliau merupakan pemilik utama pengedar tembaga Uralskaya Gorno-Metallurgicheskay Kompaniya (UGMK Holdings) yang menguasai kepentingan lebih daripada 300 syarikat di sembilan wilayah di Rusia.

Selain itu, beliau memiliki beberapa syarikat dalam industri perlombongan dan menjadi Presiden di Ural Mining and Metallurgical Company (UMMC).

Iskander berasal daripada keluarga etnik Muslim Uzbekistan di Bukhara juga merupakan pemegang saham di Transmashholding, pembuat lokomotif dan peralatan rel terbesar di Rusia.

Bukan sahaja popular dengan kekayaannya, Iskander juga begitu terkemuka dengan sikap dermawannya. Menurut Forbes, nama beliau sentiasa disebut-sebut sebagai seorang dermawan yang berhati mulia.

Buktinya, sepanjang sedekad lalu, Iskander telah menyumbang lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion). Demikian menurut laporan yang disiarkan dalam richestrussian.com. Semuanya diberikan kepada badan amal selain memberikan rawatan kesihatan percuma kepada anak-anak pekerjanya.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi makhmudoviskander.wordpress.com pula, sekitar tahun 2013, Iskander dilaporkan pernah menyumbang lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion) untuk tujuan sosial, sivik dan dermawan sejak tahun 2001.

Bahkan, ketika tempoh pembangunan semula Rusia dan liberalisasi ekonomi, laporan berkenaan turut menyebut, Iskander membantu transisi peralihan negara ke pasaran bebas, kapitalis dan menghasilkan kemakmuran ekonomi.

2. Azim Premji

Jutawan Muslim

AZIM PREMJI (kanan) tidak pernah lelah membantu badan amal yang berusaha untuk memberikan khidmat mereka kepada insan-insan yang susah.

Bagi rakyat India, nama lelaki itu tidak asing lagi. Masakan tidak, beliau ialah taikun teknologi di negara berkenaan.

Bekas Pengerusi Eksekutif Wipro Limited itu merupakan penyumber luar keempat terbesar di India dengan pendapatan AS$8.2 bilion (RM33 bilion) hingga Ahad lalu sebagaimana dipetik menerusi laporan www.forbes.com.

Bahkan, nama Azim yang kekal sebagai pengarah bukan eksekutif Wipro Limited itu turut disenaraikan sebagai individu ke-15 terkaya di India dan berada kedudukan ke-253 bilionair dunia oleh Forbes.

Menelusuri salasilahnya, Azim, 75, dilahirkan di Bombay, India dalam keluarga Muslim Gujarati. Siapa sangka di sebalik kekayaannya itu, ada kisah sedih yang pernah dilalui oleh beliau.

Pemilik nama penuh Azim Hasham Premji itu pernah meninggalkan pengajiannya di Universiti Stanford di Amerika Syarikat gara-gara kematian bapanya secara tiba-tiba pada tahun 1966. Beliau kemudian menerajui perniagaan keluarganya yang menjadi pengeluar minyak masak hidrogenasi.

Beliau yang terkenal dengan jolokan Maharaja Industri Teknologi Maklumat India itu kemudian berjaya mengembangkan perniagaan itu menjadi syarikat perisian terkemuka pada masa kini.

Namun, kemewahan itu membuatkan dirinya menjadi bilionair yang begitu dermawan. Buktinya, Forbes.com melaporkan, Azim telah memberikan lebih AS$21 bilion (RM85 bilion) kepada yayasan amal untuk kerja-kerja amal.

Pada April lalu, Azim menerusi Azim Premji Foundation telah memberi bantuan sejumlah AS$134 juta (RM542 juta) kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Namun begitu, beliau dilihat sebagai seorang yang amat merendah diri. Akui beliau, inisiatif filantropi (kedermawanan) adalah tugas yang agak rumit berbanding dengan menjalankan perniagaan.

“Kejayaan kami dalam perniagaan telah mengajar kami dalam banyak hal.

“Begitupun, kami belajar dan akan menyumbang, tetapi memerlukan banyak kesabaran dan kerendahan hati berbanding dalam perniagaan,” katanya dipetik menerusi portal business-standard.com.

Pada tahun 2019, Azim juga melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai dermawan Asia paling murah hati. Masakan tidak, forbesindia.com melaporkan, Azim memberikan saham bernilai AS$7.6 bilion (RM31 bilion) di firma teknologi Wipro kepada Yayasan Azim Premji.

3. Sulaiman Al Rajhi

Jutawan Muslim

SULAIMAN AL RAJHI (kanan) sanggup miskin buat kali ketiga walaupun dirinya dilimpahi kekayaan dan kemewahan.

Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mempunyai rangkaian perbankan Islam terawal di dunia iaitu Bank Al Rajhi. Sulaiman yang juga pengasas bersama Bank Al Rajhi dilaporkan oleh Forbes mempunyai nilai aset berjumlah AS$2.1 bilion pada tahun 2015.

Sekitar tahun 2013, laman web itu melaporkan bahawa Sulaiman telah memindahkan 20 peratus daripada sahamnya di Bank Al Rajhi ke sebuah dana amal atas namanya.

Langkah itu dilakukannya selepas beliau membuat pengumuman pada tahun 2011 untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya untuk aktiviti amal, membiayai usaha antikelaparan dan pendidikan di Arab Saudi.

Pada tahun sama juga, Sulaiman, 92, membuat kejutan apabila beliau memilih untuk menjadi miskin semula buat kali ketiga. Apa tidaknya, bapa kepada 26 anak itu memindahkan kekayaannya kepada semua anaknya.

Menurut laporan Islamtics.com, beliau telah memberi dua pertiga daripada semua kekayaannya dan hanya satu pertiga untuk keluarganya.

Walaupun dirinya diulit kemewahan, namun Sulaiman tidak malu, bahkan sudah jatuh miskin sebanyak tiga kali dalam hidupnya.

“Ya, saya sekarang sehelai sepinggang. Setahu saya, ini bukanlah suatu yang pelik. Keadaan kewangan saya pernah dua kali jatuh ke angka kosong. Jadi, saya mempunyai pemahaman (mengenai kemiskinan) yang baik.

“Namun, perasaan itu sekarang telah digantikan dengan kebahagiaan dan ketenangan. Fasa sifar (tiada wang) dalam hidup kali ini adalah keputusan dan pilihan saya sendiri,” ujarnya sebagaimana dipetik menerusi portal Arab News.

(Artikel berkaitan: Mulia sungguh hati hartawan ini. Hidup dilimpahi kekayaan, tapi Sulaiman Al Rajhi rela infak semua wang dalam bank hingga ‘jatuh miskin’)

4. Imran Khan

Jutawan Muslim

IMRAN KHAN (kanan) merupakan pemimpin berkaliber dan tidak mengesampingkan golongan yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri Pakistan sejak tahun 2018 ini turut diisytiharkan sebagai Man of the Year pada tahun ini oleh The Muslim 500 yang sinonim dengan penyenaraian 500 individu Muslim paling berpengaruh saban tahun.

Menelusuri historiografinya, sebelum ini, beliau ialah pemain kriket selama 20 tahun sebelum bersara pada tahun 1992. Imran Khan juga pernah menjadi kapten pasukan kriket nasional Pakistan.

Memetik laporan networthpost.org, anak kelahiran Lahore, Punjab yang berfahaman Ahli Sunah Waljamaah itu dianggarkan mempunyai nilai aset sejumlah AS$50 juta (RM202 juta) pada pertengahan tahun 2016.

Bahkan, Imran Khan juga terkenal dengan sikapnya yang dermawan dan membantu dalam banyak projek yang memberikan manfaat kepada masyarakat meskipun beliau pada ketika itu merupakan orang biasa sahaja.

Memetik artikel themuslim500.com, Imran Khan misalnya pernah memulakan projek mengumpul dana untuk hospital kanser selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 1985 akibat barah. Akhirnya, dana tadi cukup untuk membangunkan Shaukat Khanum Memorial Cancer Hospital dan pusat penyelidikan di Lahore pada tahun 1994.

Bukan itu sahaja, beliau juga terlibat dalam projek pembinaan Universiti Namal yang memberikan bantuan kepada lebih 90 peratus pelajarnya.

Pada tahun 2015, beliau mengumpulkan AS$25 (RM101 juta) juta untuk membina dan mendirikan hospital baharu di Peshawar.

5. Malala Yousafzai

Jutawan Muslim

MALALA (kanan) bersama keluarga yang menjadi tulang belakang kepadanya.

Nama Malala Yousafzai pasti tidak asing lagi dalam bidang pendidikan kerana beliau merupakan aktivis pendidikan dan wanita.

Bahkan, keberanian beliau mempertahankan hak dan isu berkaitan kaum Hawa dan pendidikan itu memberikan kredit kepada Malala, 23, untuk menerima hadiah Nobel Keamanan termuda atas usahanya dalam pendidikan dan hak-hak perempuan pada usianya 17 tahun.

Menyelak kembali kisah silamnya, ia agak tragis untuk dikenang oleh seorang budak seusianya. Bayangkan pada usianya 15 tahun, anak muda itu pernah ditembak di kepala oleh seorang lelaki bersenjata yang dipercayai daripada puakTaliban.

Semuanya gara-gara suaranya yang lantang mempertahankan hak pendidikan yang telah dinafikan oleh Taliban. Beliau dengan lantang mempertahankan haknya dan hak semua wanita untuk mendapatkan pendidikan biarpun ketika itu usianya baru sahaja 11 tahun.

Namun, ALLAH MAHA BERKUASA. Hayat Malala yang berasal dari keluarga Muslim (Ahli Sunah Waljamaah) etnik Pashtun mampu bertahan sehingga kini walaupun lukanya agak parah dan mengambil masa untuk sembuh.

Selain itu, figura berkenaan juga merupakan antara seorang yang kaya. Namun, sesaat pun beliau tidak pernah melupakan golongan yang memerlukannya untuk menerima bantuan.

Menurut laporan reuters.com sekitar tahun 2016, Malala dan keluarganya menjadi jutawan dalam masa kurang empat tahun kerana berjaya menjual buku mengenai kehidupannya dan penampilannya sebagai penceramah di peringkat global.

Laporan berkenaan turut menyebut, memoir nukilannya, I Am Mala yang diterbitkan pada tahun 2013 telah ratusan ribu terjual dengan nilai keseluruhan AS$3 juta (RM12 juta) di seluruh dunia.

Dikhabarkan, beliau telah menyumbangkan sejumlah besar pendapatan yang diperoleh kepada organisasi amal yang memfokuskan kepada pendidikan.

Bagi dirinya, tiada sesiapa pun yang mampu menghalang kematian. Justeru, beliau akan terus mempertahankan apa yang dirasakan perlu.

“Perasaaan saya (untuk berjuang) tidak ada yang dapat menghentikan kematian tidak kisahlah sama ada daripada Taliban atau orang lain. Jadi saya harus lakukan apa sahaja yang saya mahu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi myhero.com ketika memperjuangkan hak pendidikan dan wanita waima dirinya diancam.

Sesungghnya, begitu besar perjuangan mereka untuk menyisihkan sebahagian harta dan keringat mereka untuk insan miskin dan fakir.

Semoga kisah mereka memberi inspirasi dan menjentik semangat kepada kita untuk terus menjadi individu yang pemurah untuk membantu sesiapa sahaja yang mendambakan pertolongan.

Bakhil undang kemurkaan ALLAH, tak dapat doa malaikat

Pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, orang yang bakhil sering kali akan merasakan kesempitan di dunia.

DA’I FUAD

“Orang yang hidup dalam keadaan kedekut itu sebenarnya tidak akan merasai nikmat kebebasan dalam memberi (berkongsi rezeki). Sedangkan itu adalah makna hidup yang paling besar,” katanya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Semua itu disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah kamu daripada melakukan perbuatan zalim kerana sesungguhnya kezaliman akan membawa kegelapan pada hari kiamat dan takutlah kamu bersifat bakhil kerana sesungguhnya perbuatan tersebut membinasakan umat-umat sebelum kamu.” (Riwayat Muslim)

Seperkara lagi, Da’i Fuad mengingatkan kita tentang natijah apabila bersifat bakhil. Sikap itu katanya akan mengundang kemurkaan ALLAH SWT dan tidak mendapat doa daripada para malaikat.

“Ketahuilah, doa para malaikat sering kali diberikan kepada orang yang melakukan infak dan sedekah. Namun, orang yang sangat kedekut pula akan terlepas daripada kurniaan dan pemberian daripada ALLAH SWT,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Hidup kat dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu)

Justeru, beliau menitipkan pesanan kepada umat Islam agar menjauhi sifat tercela itu yang jelas disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 180, Surah Ali ‘Imran.

“Ingatlah bahawa mereka yang kedekut ini telah melakukan dosa kepada ALLAH SWT, selain masyarakat kerana terlalu mencintai hartanya.

“Namun, ia bukanlah bermaksud kita langsung tidak boleh merancang kewangan, tetapi janganlah terlalu kedekut dalam hidupnya ataupun terlalu banyak sangat sedekah atau infaknya sehinggakan tidak boleh meneruskan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Bagi mengikis diri daripada bersikap kedekut, Da’i Fuad turut berkongsi tip. Antaranya melakukan sedekah secara berjadual iaitu dengan merancang infak dalam akaun masing-masing.

“Satu lagi, pandanglah orang yang banyak bersedekah bagi mendapatkan inspirasi daripada mereka. Kita sememangnya banyak belajar daripada memandang dan melihat orang lain. Apa kata, cuba cara ini sebagai alternatif untuk bersedekah,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Sumber & Foto Republika.co.id, Forbes.com, en.wikipedia.org, richestrussian.com, makhmudoviskander.wordpress.com, iskander-makhmudov.com, britanicca.com, business-standard.com, forbesindia.com, forbesmiddleeast.com, Arab News, Facebook Imran Khan Official, thetimes.co.uk, reuters.com, myhero.com, biography.com, reuters.com, networthpost.org & Islamtics.com

***Artikel disiarkan pada 25 Disember 2020

Berita Semasa,

Sekarang masa terbaik sediakan pelan pewarisan harta pusaka. Ini yang perlu kita sediakan…

RAMAI yang bekerja di rumah pada saat ini. Meskipun tidak menetap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun itulah normal baharu yang perlu dibiasakan pada saat pandemik Covid-19 masih memuncak di negara kita.

PKPB juga memberi peluang kepada ahli keluarga untuk menikmati masa bersama.

Selain itu, ia merupakan waktu yang sesuai untuk menyediakan satu pelan pewarisan harta pusaka.

Secara umumnya, harta pusaka adalah harta yang dimiliki semasa hayat dan dibahagikan kepada waris-waris selepas kematian pewaris.

Masalah harta pusaka bukan lagi masalah kecil di negara kita. Dianggarkan lebih RM70 bilion harta pusaka tidak dituntut. Ia akan membarah dan barangkali menjadi kian parah jika tiada sebarang tindakan dilakukan sama ada dari pihak kerajaan, pewaris dan waris.

Jika kita telusuri, antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah harta pusaka ialah waris tidak mengetahui harta yang dimiliki oleh pewaris atau si mati. Terdapat pewaris yang merahsiakan pembelian harta seperti kereta dan rumah.

Selepas berlaku kematian, waris perlu membuat permohonan pengurusan pusaka sama ada di Amanah Raya Berhad, Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Antara dokumen yang diperlukan adalah dokumen berkaitan pemilikan harta oleh pewaris. Jika waris tidak mengambil maklum tentangnya, ia akan menyebabkan waris membuat permohonan pengurusan pusaka berulang-ulang kali.

Dalam satu kes, ada pewaris yang tidak menyenaraikan harta dimiliki secara formal, malah, dokumen pemilikan tidak disimpan secara tersusun dan sistematik. Barangkali ada waris yang maklum tentang kewujudan harta tersebut, namun dokumen pemilikan tidak ditemui.

Oleh itu, penulis berpendapat, pewaris perlu menyediakan satu senarai lengkap harta-harta yang dimiliki berserta dokumendokumen pemilikan seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan atau hutang dan sijil takaful.

Harta pusaka

Jika waris tidak mempunyai dokumen yang lengkap itu, mereka akan mengalami kesukaran dalam membuat carian di Pejabat Tanah (andai harta dalam bentuk tanah atau rumah) dan permohonan surat pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Para waris sukar untuk mendapatkan maklumat akaun si mati jika berurusan dengan pihak institusi kewangan kerana ia berkaitan dengan perlindungan data peribadi.

Senarai itu juga sangat diperlukan supaya waris dapat menganggarkan jumlah nilaian harta yang ditinggalkan. Nilaian dan jenis harta (harta alih seperti kenderaan dan simpanan serta harta tidak alih seperti rumah dan tanah) sangat penting untuk membantu waris mengenal pasti agensi yang tepat dalam membuat permohonan pusaka.

Hal ini disebabkan terdapat tiga agensi pengurusan pusaka di Malaysia yang masing-masing mempunyai bidang kuasa berbeza.

Unit Pembahagian Pusaka Kecil umpamanya, mempunyai bidang kuasa untuk permohonan harta pusaka kecil (harta alih dan tidak alih) yang bernilai kurang daripada RM2 juta, Amanah Raya Berhad pula bagi harta pusaka ringkas (harta alih sahaja) yang bernilai kurang daripada RM600,000, manakala Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta pusaka biasa yang bernilai lebih daripada RM2 juta.

Pada masa sama, pewaris juga perlu menyenaraikan hutang-hutang yang masih belum diselesaikan seperti pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan pendidikan.

Perkara itu bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Bukan hanya hutang-hutang kepada manusia, hutang kepada ALLAH juga perlu disenaraikan seperti fidyah, kifarah dan zakat yang belum diselesaikan. Senarai hutang ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka diagihkan kepada waris-waris mengikut pembahagian faraid.

Selain daripada senarai harta, pemilik harta perlu mempunyai senarai waris. Waris-waris boleh terdiri daripada pasangan, anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik. Bagi menyemak waris-waris yang layak menerima pusaka, pewaris perlu merujuk pakar ilmu pusaka atau merujuk laman web http://www.esyariah.gov.my/ dan http://faraid.usm.my.

(Artikel berkaitan: Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah)

Waris

Secara umumnya, waris-waris yang layak menerima pusaka dibahagikan kepada dua iaitu ashab al-furud dan asabah. Waris ashab al-furud merupakan waris yang layak menerima pusaka dan bahagiannya telah ditetapkan dalam al-Quran. Contohnya, suami atau isteri, ibu bapa dan anak perempuan.

Harta pusaka

Bagi waris asabah pula, ia melibatkan waris yang layak menerima pusaka dan bahagian pusaka. Ia tidak ditentukan jumlah kerana bergantung pada jumlah yang tinggal selepas waris ashab al-furud mendapat bahagiannya. Misalnya, anak lelaki atau anak lelaki bersama dengan anak perempuan. Senarai waris itu sangat diperlukan kerana kemungkinan terdapat waris-waris yang layak, tetapi tidak diketahui status.

Terdapat juga kes berkaitan pusaka yang mana waris tidak disenaraikan ketika membuat permohonan pusaka. Perkara yang sering terjadi ialah waris yang terdiri daripada anak-anak pewaris daripada perkahwinan yang terdahulu. Walaupun pasangan yang terdahulu tidak mendapat bahagian pusaka, namun anak-anak daripada hasil perkahwinan tersebut layak untuk menerima bahagian pusaka.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kes yang mana pewaris menyembunyikan perkahwinan dan mempunyai anak. Sedangkan, pasangan dan anak-anak tersebut juga layak menerima pusaka.

Bagi mengatasi masalah itu, suka untuk penulis mencadangkan agar pemilikpemilik harta membuat dua senarai penting ini bagi memudahkan waris-waris untuk menuntut pusaka selepas kematian.

Penulis: Dr Mohd Khairy Kamarudin, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Jangan pinggirkan prinsip hidup berjiran… Berdosa jika kita tak sambung silaturahim dengan tetangga

PADA zaman ibu bapa dan nenek moyang kita, kemesraan mereka bersama jiran dijalin sangat mesra dan menyeronokkan. Bayangkan kalau seorang dikhabarkan sakit, berduyun-duyun orang kampung berziarah. Itu belum kerja kahwin atau majlis cukur jambul lagi.

Keadaan itu sangat berbeza dengan perilaku orang zaman milenial ini yang memang pelik. Bagi sesetengah mereka, jiran tidak membawa sebarang makna. Hal ini bukan sekadar cakap kosong, malah memang terjadi terutama mereka yang menghuni kondominium dan perumahan elit.

Tidak tahu mengapa situasi itu tidak boleh diwujudkan pada masa ini? Adakah sebab kesibukan yang melanda atau sikap yang enggan menjaga tepi kain orang telah disalahertikan?

Tambahan pula, dalam musim pandemik Covid-19 ini, memang ramai tidak keluar rumah kecuali atas urusan kerja dan penting serta kecemasan sahaja.

Begitupun, berdasarkan semua situasi berkenaan, kita tidak sepatutnya meminggirkan adab berjiran.

Dengan kecanggihan teknologi yang pada hari ini dan jaringan telekomunikasi yang baik, kita sepatutnya menggunakan peluang itu untuk bertanyakan khabar jiran.

Masakan tidak, itu antara pendekatan untuk memuliakan orang terdekat dengan kita sebagaimana yang dianjurkan dalam agama Islam. Berbuat baik kepada jiran turut diperintahkan dalam kalam ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “…Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki…“ (Surah an-Nisa‘, ayat 36)

Jelaslah bahawa sangat penting untuk kita menjaga pertuturan, tingkah laku dan segala tindak-tanduk kita terhadap jiran.

Kenapa berbuat baik kepada jiran begitu penting? Benarkah mereka yang tidak memuliakan jiran tidak layak masuk ke syurga milik ALLAH SWT?

40 buah rumah

Bagi membicarakan tentang topik itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia‘mat.

USTAZAH NOURUL IMAN

Beliau terlebih dahulu mengajak kita untuk menyelami definisi jiran dalam konteks Islam. Jelasnya, jiran bermaksud orang yang tinggal sebelah-menyebelah dengan kita sama ada di kiri, kanan, depan mahupun belakang rumah.

“Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan at-Tabarani, jiran merupakan orang yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah dari kediaman kita. Ia merangkumi jiran dari keempat-empat arah rumah kita.

“Kaedah dalam konteks Islam ini untuk membantu kita mengenal pasti siapa jiran kita untuk diberikan hak yang sebaiknya kepada mereka,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Ustazah Nourul Iman menjelaskan, umat Islam diajar supaya memuliakan tetangga masing-masing kerana jiran seolah-olah menjadi pengganti kepada kaum keluarga yang jauh di mata.

Masakan tidak, jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita berbanding ahli keluarga pada ketika ini. Justeru, pendakwah itu mengingatkan agar menjaga hati dan silaturahim yang terjalin.

“Jiran itu ibarat lidah dan kita pula umpama gigi. Apabila sekali lidah tergigit, ia akan menghasilkan kesan yang sangat sakit.

“Begitulah juga apabila kita lakukan sesuatu perkara yang tidak disukai jiran dan menyakiti hati tetangga kita,“ katanya.

Betapa rapatnya perhubungan sesama jiran itu sehinggakan Rasulullah SAW bersabda: “Jibril selalu menasihati aku tentang jiran hinggakan aku menyangka bahawa jiran itu akan menerima pusaka daripada jirannya.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hak jiran

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustazah Nourul Iman menjelaskan, ada beberapa hak jiran yang perlu dipenuhi sebagai tanda memuliakan mereka. Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Indama Yahlu al-Masa‘.

Hidup berjiran

MULIAKAN jiran tetangga dan sesekali menjamu mereka makan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin.

Jika jiran itu merupakan seorang Muslim, ujar beliau, berilah salam tatkala bertemu dengannya. Namun begitu, ketika bersembang-sembang dengannya, usahlah memanjangkan perbualan tersebut.

“Selain itu, sentiasalah bertanyakan hal keadaan jiran kita. Jika menjadi kelaziman kita melihat jiran keluar untuk sidai baju atau siram pokok bunga, tetapi sudah dua atau tiga hari kita tidak nampak kelibatnya, bertanyalah khabarnya. Barangkali mereka sakit, dalam kesempitan dan sebagainya.

“Ikutilah contoh Rasulullah SAW yang menziarahi jiran Yahudi baginda. Dalam keadaan tersebut, perilaku tersebut memberi satu kebaikan kepada kita dan memberi satu tanda bahawa hebatnya Islam itu iaitu antaranya dengan memuliakan jiran,“ jelas beliau.

Seandainya menerima khabar jiran kita sakit, beliau menambah, ziarahlah mereka dan sampaikan takziah dan mendoakannya, terang beliau.

Saat jiran ditimpa musibah pula, ujar beliau, bantulah mereka sedaya yang mungkin. Begitu juga apabila tetangga kita mencapai satu bentuk nikmat daripada ALLAH SWT ataupun peningkatan hidup, raikanlah keseronokan dan kebahagiaan mereka.

“Andai jiran kita mempunyai sifat yang jelik, maafkanlah kesalahannya dan sentiasa mencintainya iaitu dengan cara sentiasa berdoa semoga ALLAH SWT memberikan hidayah kepada jiran berkenaan,“ katanya.

Ustazah Nourul Iman turut mengingatkan kita agar tidak sesekali mencari keaiban yang disembunyikan oleh jiran. Lebih-lebih lagi untuk dijadikan ‘bahan‘ menyakiti mereka dan sebagainya. Ini termasuklah tidak terlalu memerhatikan apa sahaja yang dibawa pulang oleh jiran, terang beliau.

Hidup berjiran

USAHLAH sibuk mencari keaiban yang cuba disembunyikan oleh jiran atau dalam erti kata lain, menjaga ‘tepi kain’ mereka untuk dicanang kepada orang lain.

Umpamanya, jiran membawa balik sofa, televisyen besar dan segala bentuk kenikmatan yang diperoleh, tetapi kita pula sibuk-sibuk untuk melihatnya.

“Suka untuk saya ingatkan, berbuat baik itu bukan kepada jiran sahaja, tetapi juga anak-anak mereka.

“Misalnya, apabila anak-anak jiran bersapaan dengan kita, bersikap baiklah dengan mereka. Jangan pula kita memandang mereka seolah-olah ingin mencari kesalahan mereka untuk diadukan dalam grup WhatsApp,“ jelasnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Nourul Iman menjelaskan: “Tidak akan masuk syurga mereka yang tidak mengamankan jirannya. Perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis masyhur.

“Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim, ada dijelaskan bahawa seorang wanita yang berpuasa pada siang harinya, mengerjakan solat pada malam harinya, tetapi melakukan perkara yang menyakiti jirannya, maka Rasulullah SAW bersabda: “Wanita itu di dalam neraka.” 

Beliau menambah, hadis berkenaan menjadi amaran kepada kita bahawa mereka yang tidak menjaga lidah dan menyakiti jirannya sekalipun seseorang itu beramal soleh serta mempunyai hubungan yang baik dengan ALLAH SWT, tetap tidak akan selamat daripada api neraka.

Kenapa jiran perlu diutamakan? Bagi menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad menjelaskan, perkara itu ada dinyatakan dalam kaedah usul fiqh.

DA’I FUAD

Katanya, apabila ingin mencari kediaman untuk menetap, ulama meletakkan keutamaan jiran tetangga sebelum mendahulukan daerah atau penempatan rumah tersebut.

Disakiti jiran

“Ini kerana jiran begitu signifikan dalam kehidupan kita. Dengan jiran itulah, ia memerlukan komuniti yang soleh dan taat kepada ALLAH SWT.

“Oleh sebab itu, apabila kita menjaga hak antara jiran tetangga, pastinya ia akan memelihara kemuliaan dan kebahagiaan hidup bersama dalam masyarakat komuniti. Ia tidak kiralah sama ada jiran tetangga yang Muslim ataupun bukan Islam. Sesungguhnya, berbuat baik kepada jiran tidak mengira agama mereka kerana masing-masing ada hak berjiran,“ katanya.

Ujar pendakwah itu lagi, para ulama menyatakan, terdapat tiga elemen penting untuk kita ketahui tentang hak jiran dalam kehidupan.

“Pertama, tidak sesekali menyakiti hati mereka. Kedua, bersabar apabila disakiti dan ketiga, menghormati dan berbuat baiklah kepada mereka,“ nasihat beliau.

Seandainya ditakdirkan kita memiliki jiran yang menguji kesabaran dan menyakiti hati, Da‘i Fuad menyarankan agar kita tetap menunjukkan perwatakan dan keperibadian yang baik.

“Namun, jika mereka telah melampaui batas dan melibatkan hal-hal keselamatan setelah berlakunya perbincangan, maka lanjutkanlah kepada pihak berkuasa,“ saran beliau.

(Artikel berkaitan: Adab berjiran tetap kena jaga, lebih-lebih lagi waktu PKP ini)

Menjawab satu soalan lain, Da‘i Fuad berkata: “Sesungguhnya, mengabaikan dan tidak menjalinkan silaturahim antara jiran tetangga itu telah melanggar perintah ALLAH dalam Surah an-Nisa, ayat 36.

“Ia adalah satu dosa yang sering dilakukan dalam masyarakat pada hari ini apabila tidak melaksanakan kebaikan dan perintah berbuat baik terhadap jiran tetangga mereka. Hal ini kerana dalam Islam, hak jiran tetangga itu telah nyata terdapat dalam al-Quran dengan perintah untuk melakukan kebaikan kepada mereka.

“Bagaimana kita nak lakukan kebaikan jika kita tak mengenali mereka? Bukan itu sahaja, dalam hadis sahih Riwayat alBukhari, ada menyatakan, sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.”

Justeru, santunilah jiran tetangga kita tanpa mengira agama dan bangsa dengan sebaiknya. Jangan pernah langsung menyakiti hati mereka dengan perilaku, kata-kata dan tindakan kita.

Jangan pulaukan jiran yang ditimpa musibah Covid-19

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini membuatkan masyarakat begitu berhati-hati dalam pergaulan termasuklah hubungan dengan jiran tetangga.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak memuliakan individu yang duduk berhampiran dengan kita. Ia sama ada mereka tinggal dekat mahupun jauh yang meliputi 40 buah rumah di kiri, kanan, depan belakang, atas dan bawah kediaman kita sebagaimana maksud jiran dalam konteks Islam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhairi menegaskan, sekalipun jiran kita disahkan positif penyakit tersebut, umat Islam tidak boleh memboikot apatah lagi memulaukan mereka.

DR MOHD HASRUL

“Berdasarkan nas al-Quran dan hadis serta pandangan para ulama seperti Imam al-Ghazali, antara hak jiran adalah perlu menziarahi ketika mereka sakit, menghiburkan mereka ketika ditimpa musibah dan menemaninya ketika sedih.

“Oleh sebab terdapat peraturan khas disebabkan Covid-19 berkaitan penjarakkan sosial, sekurang-kurangnya kita perlu menghubungi jiran tadi untuk bertanya khabar mereka.

“Seperkara lagi, tuturkanlah ungkapan yang boleh menyenangkan hati mereka. Sesiapa yang memulaukan jiran mereka (akibat ditimpa ujian Covid-19) dianggap tidak memenuhi adab berjiran jika mereka diboikot,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hasrul turut mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan suatu perkara yang kurang menyenangkan jiran. Umpamanya, membiarkan anak mereka bermain terlalu lama di rumah jiran hingga menimbulkan rasa kurang senang kepada tetangga.

“Ingatlah, Islam melarang menyakiti hati jiran seperti menghina atau mencaci jiran tetangga kerana ia tanda iman tidak sempurna. Agama suci ini juga melarang umatnya daripada menghina pemberian jirannya walaupun pemberian itu sedikit,“ katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.“ (Riwayat al-Bukhari)

“Berdasarkan hadis itu, jelaslah bahawa hidup berjiran secara harmoni merupakan tanda kebahagiaan bagi sesebuah masyarakat,“ katanya mengakhiri bicaranya.

ANEKDOT

Hidup berjiran

MENYAPA dan bertanya khabar jiran apabila bertemu dengannya sebagai tanda memuliakan tetangga yang begitu rapat rumahnya dengan kita.

TIGA jenis jiran dan hak mereka

1. Jiran yang merupakan keluarga atau kerabat kita.
– Orang itu merupakan jiran kita dan pada masa sama individu berkenaan juga mempunyai pertalian keluarga dengan kita seperti bapa saudara, anak saudara, abang atau kakak kita.
– Jiran seperti itu mempunyai tiga hak daripada kita yang perlu ditunaikan. Ia melibatkan hak kekeluargaan, hak sebagai jiran dan hak sebagai seorang Islam.

2. Jiran beragama Islam.
– Seandainya jiran kita itu saudara seagama, tetapi bukan kerabat kita, terdapat dua hak yang perlu kita berikan kepada mereka.
– Ia merupakan hak sebagai Islam dan hak sebagai jiran.

3. Jiran bukan Islam.
– Hak yang terlibat adalah hak sebagai jiran.

Sumber: Pendakwah, Ustazah Nourul Iman Nia‘mat dan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar​​​​​​​

Berita, Berita Semasa,

Miskin akibat Covid-19, LZS bantu golongan terkesan

PANDEMIK Covid-19 memberi impak yang begitu mendalam kepada kehidupan masyarakat.

Bukan sahaja kesan dari sudut kesihatan dan normal baharu yang diamalkan, tetapi juga impak kepada ekonomi keluarga.

Tempiasnya turut dirasai apabila ada keluarga yang hilang mata pencarian dan jatuh miskin sementara akibat hilang pekerjaan. Malah, ada juga yang dipotong gaji oleh pihak majikan.

Melihat situasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, pihaknya menyediakan Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) yang akan diberikan kepada 5,000 hingga 6,000 keluarga miskin sementara yang terkesan akibat pandemik itu.

Jelas beliau, menerusi unjuran dilakukan pihaknya pada bulan April dan Mei lalu, LZS menjangkakan peningkatan jumlah asnaf sehingga 80,000 keluarga di negeri itu pada tahun ini.

“Dalam program BAIT yang dimulakan bulan ini, mereka akan diberikan bantuan selama tiga hingga enam bulan iaitu sebanyak RM500 hingga RM1,500 sebulan dan juga bantuan lain yang diperlukan mengikut keadaan keluarga masing-masing.

“Ia adalah antara cara kita memastikan bahawa mereka yang menjadi miskin sementara akibat Covid-19 ini dapat kita dibantu secepat mungkin.

“Bantuan secara sekali gus (one-off) ini dapat membantu sementara mereka mendapat pekerjaan baharu atau berniaga,“ katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Zakat Korporat kepada Restoran-Restoran McDonald’s di Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini.

Miskin akibat Covid-19

SAIPOLYAZAN (kiri) dan Azhar ketika Majlis Penyerahan Sijil Zakat Korporat kepada Restoran-Restoran McDonald’s menyatakan komited membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19 dan golongan asnaf.

Pada majlis itu, LZS menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada pengendali rangkaian restoran McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Ia sebagai satu bentuk akuan kepada syarikat-syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Malah, McDonald’s Malaysia menjadi penerima pertama sijil berkenaan daripada LZS.

Sijil berkenaan akan dipamerkan di 94 buah restoran McDonald’s di seluruh Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, selain membayar zakat, syarikat itu turut terlibat membantu golongan asnaf.

Beliau menambah, pihaknya juga bekerjasama dengan pusat-pusat zakat negeri bagi mengenal pasti anak-anak asnaf untuk diserapkan dalam Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.

“Sejak 2017, sebanyak 1,200 belia termasuk 62 anak asnaf mengikuti kursus di bawah program berkenaan.

“Sebanyak RM30,000 peruntukan disediakan bagi setiap peserta termasuk elaun bulanan sebanyak RM1,200 dan mengambil kira segala tanggungan sepanjang program dua tahun ini.

“Mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Tahap 3 dalam bidang pengendalian makanan daripada Kementerian Sumber Manusia.

“Sebahagian mereka yang tamat pengajian telah pun mendapat tawaran bekerja dengan McDonald’s Malaysia,“ katanya sambil memberitahu program perantis berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membayar zakat korporat 2019 sebanyak RM1.4 juta untuk seluruh negara. Di Selangor sahaja, sebanyak RM101,000 zakat korporat dibayar.

Foto: 123rf

Berita Semasa,

Lakukan amalan ini untuk ‘pagar’ rumah daripada gangguan syaitan

RUMAHKU, syurgaku. Frasa itu sering kali diungkapkan oleh masyarakat kita. Jelas betapa pentingnya rumah yang selesa kepada kehidupan kita.

Tidak hairanlah jika ramai yang suka menghias kediaman mereka dengan begitu cantik dan memberikan ketenangan.

Ini kerana segala kehidupan kita bermula dengan kediaman. Rumah yang mendamaikan akan memberikan persekitaran yang relaks dan positif kepada diri.

Kadangkala segala macam cara sudah dilakukan bagi memberikan mood yang berbeza di dalam kediaman masing-masing.

Namun, ia seolah-olah tidak memberikan kesan.

Hati rasa tidak tenang, jiwa rasa gelisah, hubungan suami isteri tidak berjalan dengan baik, anak-anak kerap menangis atau bergaduh dan seumpamanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Jika ada petanda yang kelihatan pelik tanpa punca yang jelas seperti ini, maka rajin-rajinkanlah diri untuk membaca Surah al-Baqarah di rumah masing-masing.

Surah kedua dalam al-Quran itu sering dikaitkan sebagai amalan untuk ‘memagar’ rumah daripada gangguan syaitan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bacalah oleh kalian Surah al-Baqarah, sesungguhnya membacanya adalah keberkatan manakala meninggalkannya adalah kerugian dan ia tidak akan mampu ditahan oleh para tukang sihir.” (Riwayat Muslim)

'Pagar' rumah


Bukan itu sahaja, dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya Surah al-Baqarah.” (Riwayat Muslim dan al-Nasa’ie)

Jika ada petanda yang kelihatan pelik tanpa punca yang jelas seperti ini, maka rajin-rajinkanlah diri untuk membaca Surah al-Baqarah di rumah masing-masing. Surah kedua dalam al-Quran itu sering dikaitkan sebagai amalan untuk ‘memagar’ rumah daripada gangguan syaitan.

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, apa yang dimaksudkan dengan menjadikan ‘rumah seperti perkuburan’ adalah: “Rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan. Maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati.

(ARTIKEL BERKAITAN: Cat rumah dengan berus yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu babi, apa yang perlu kita lakukan)

“Di antara makna lain bagi hadis ini adalah tidak boleh mengebumikan orang-orang yang mati di dalam rumah. Akan tetapi, hadis ini menunjukkan pada makna yang pertama iaitu rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan.” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 146/8)

Berdasarkan nas di atas, jelas begitu besarnya fadilat Surah al-Baqarah. Namun, ia perlulah dibaca penuh bermula daripada ayat satu hingga ayat terakhir iaitu ayat ke-286.

Andai tidak mampu, fokuskanlah kepada dua ayat terakhir Surah al-Baqarah pada waktu malam.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada malam hari, maka ALLAH akan mencukupinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, hidupkanlah rumah kita dengan alunan kalamullah dan mengamalkan zikir-zikir yang dianjurkan oleh Islam.

Mudah-mudahan ia akan menjadi pelindung dan pendinding kepada diri serta ahli keluarga daripada sebarang gangguan.

Apa-apapun jangan sesekali tinggalkan ibadah fardu yang wajib iaitu solat lima waktu. Siapa lagi yang hendak kukuhkan ‘tiang agama’ dalam rumah kalau bukan diri kita sendiri.

Sumber: Instagram fiqih.remaja & laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Semasa,

Ini fahaman sesat yang boleh musnahkan akidah…penting untuk kita tahu

NABI MUHAMMAD SAW diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk memberitahu kepada semua manusia bahawa sesiapa yang sesat dan menyimpang daripada prinsip-prinsip syariat yang telah tetapkan-NYA, maka kemungkaran dan kesesatan itu akan menimpa diri mereka.

Firman ALLAH SWT dalam surah Yunus, ayat 108: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepada-NYA), maka hidayah itu berguna untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Aku pula bukanlah menjadi penjaga terhadap (amalan) kamu.”

Antara yang tergolong mengingkari ALLAH SWT pada hari ini adalah tindakan individu atau kumpulan dalam kalangan manusia yang berpegang kepada aliran pemikiran yang hanya tertumpu kepada penjanaan akal, logik dan buah fikiran bersifat eksperimental tanpa disatukan dengan teras Islam iaitu akidah, fiqah dan tasawuf.

Tindakan yang berlandaskan hukum akal semata-mata ditolak oleh Islam. Sesungguhnya, Islam tertakluk dengan implimentasi dan gabungan akal (akliah) dengan wahyu (naqliah).

Akal dengan segala hujahannya adalah lemah dan tertolak dengan apa yang ditetapkan oleh dalil-dalil naqliah (al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas) secara mutlak jika ia tidak menepati kehendak nas atau bercanggah dengannya.

Ketahuilah, Islam tidak pernah memisahkan antara dunia dengan akhirat atau antara sains dengan agama. Semuanya saling menguatkan antara satu sama lain. Semua elemen itu begitu penting dan mempunyai peranan masing-masing.

Pemikiran sesat

Perlu dijelaskan, fahaman sekular adalah aliran pemikiran yang melahirkan fahaman humanisme (yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia serta tidak mementingkan nilai-nilai lain), modenisme (segala yang baharu adalah dianggap lebih baik), empirisisme (teori atau pengetahuan yang berdasarkan pancaindera sahaja yang dianggap wujud), feminisme (gerakan atau faham yang menuntut persamaan hak wanita dengan kaum lelaki) dan relativisme (tiada nilai mutlak bagi menghukum sesuatu perbuatan) yang mana semuanya adalah pemikiran-pemikiran yang membawa kepada kesesatan yang nyata.

Fahaman sesat

UMAT Islam perlu jauhi fahaman yang menyimpang daripada landasan Islam. -Gambar hiasan

Sekularisme adalah kesesatan lahir dari dunia Barat dalam mengamalkan agama mereka sendiri. Ia menular dalam pemikiran umat Islam hari ini dalam pelbagai aspek kehidupan. Sekularisme merujuk kepada sifat keduniaan yang memisahkan langsung alam rohani atau akhirat. Ia juga boleh difahami sebagai suatu pemikiran yang memisahkan roh dan jasad.

Satu lagi fahaman besar yang sesat adalah fahaman liberalisme. Liberalisme adalah aliran pemikiran yang bertujuan meningkatkan batas kebebasan yang diberikan kepada individu tanpa sekatan atau dengan sekatan paling sedikit dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi, politik, perundangan dan sosial (kebebasan moral).

Liberalisme mempunyai gagasan pemikiran bahawa individu lebih penting daripada masyarakat, masyarakat wujud untuk individu dan individu bebas daripada nilai-nilai agama.

Aliran liberal juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kelahiran negara demokrasi Eropah yang melaungkan cogan kata ‘kebebasan, persaudaraan dan persamaan’.

Seperkara lagi, sekularisme dan liberalisme saling berkaitan antara satu sama lain. Sekularisme menyebabkan lahirnya liberalisme dalam hal negara, politik, ekonomi dan nilai etika. Fakta-fakta yang ada memberi banyak bukti bahawa kebebasan cara fikir sesat ini tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat.

Kebebasan yang berlebihan kepada individu tertentu pada masa yang sama menyekat kebebasan individu lain serta menghancurkan kedamaian dan kebahagian dalam masyarakat.

Fahaman liberal atau liberalisme itu sendiri kini telah menjadi alat untuk memusnahkan insan, nilai manusiawi dan nilai-nilai baik agama-agama.

Kelompok liberalis berjuang bagi menghapuskan halangan-halangan tabii antara lelaki dengan wanita seperti rasa malu. Bagi golongan ini, sifat malu adalah satu sifat yang negatif, tidak baik dan warisan manusia purba.

Justeru, marilah kita memahami bahawa hari ini kita sedang dibelenggu oleh cara berfikir yang bercanggah dengan Islam. Dalam apa pun juga, kita boleh melihat bahawa tindakan, suara dan pendapat mereka sering berlegar dalam isu-isu cabang yang menuju ke arah pola pemikiran dan perjuangan yang sama.

Umat Islam amat dilarang mengikut cara berfikir seperti cara berfikir mereka dan hendaklah kita menolaknya secara total.

Firman ALLAH SWT: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-KU (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu dari jalan ALLAH. Itulah diperintahkan oleh ALLAH kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-An’am, ayat 153)

Sesungguhnya, penolakan terhadap pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam itu perlu dibuat dengan kaedah tidak meredai cara fikir, perbuatan dan program anjuran mereka.

Individu Muslim tidak boleh menyokong apatah lagi mengambil bahagian dalam mendukung kumpulan ini. Pada masa sama, setiap Muslim hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengenal ALLAH SAW, pengetahuan-pengetahuan berkaitan ilmu akidah, fiqah dan tasawuf yang merupakan ilmu fardu ain kepada kita untuk mendalaminya.

Demi memastikan Islam dan syariatnya menjadi perisai dalam gelodak pelbagai pemikiran sesat pada hari ini, umat Islam perlu mempertingkatkan kesabaran dan keimanan kepada ALLAH SWT dengan sentiasa bersyukur dan bertawajuh kepada-NYA.

Umat Islam tidak boleh hanya menyalahkan, menghina dan mencerca pihak-pihak tertentu. Sebaliknya, umat Islam perlu berhadapan dengan segala cabaran dengan kefahaman sebenar tentang agama Islam.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor      

Berita Semasa,

[VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

RAMAI orang sedia maklum tentang kelebihan apabila kita bersedekah. Ganjarannya bukan calang-calang.

Malah, rezeki bertambah murah andai kita melazimkan diri berbuat amalan mulia ini. Bukan itu sahaja, bersedekah juga boleh menolak musibah.

Disebabkan kelebihan dan imbalan tersebut, maka tidak hairanlah ramai yang memilih untuk melakukan sedekah walaupun jumlahnya kecil.

Namun begitu, andai diri kita masih berhutang dengan orang lain, tetapi tetap ingin melakukan sedekah sunat, adakah dibolehkan untuk berbuat demikian?

Apa hukumnya jika tetap bersedekah sekiranya masih lagi dalam proses membayar hutang?

Memperincikan lanjut, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah, membayar hutang adalah wajib, manakala bersedekah pula hukumnya adalah sunat.

“Justeru, keutamaan bersedekah adalah terletak di bawah keutamaan untuk membayar hutang.

“Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ada dinyatakan bahawa tidak boleh bersedekah jika wang tersebut satu-satunya yang digunakan untuk membayar hutang. Lebih-lebih lagi jika tempoh membayarnya semakin hampir.

“Adapun, Imam Mawardi dan al-Ghazali pula menjelaskan, makruh untuk bersedekah ketika mempunyai hutang kepada orang lain,” katanya.

Namun, tambah beliau lagi, terdapat keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan kita bersedekah sunat.

“Ia termasuklah jika wang yang disedekahkan tersebut tidak mempengaruhi wang yang perlu dibayar untuk hutang.

“Satu lagi, terdapat jaminan yang kuat bahawa ada sumber kewangan lain yang boleh digunakan untuk membayar hutang dalam tempoh ditetapkan, lebih-lebih lagi jika ia mempunyai tempoh fleksibel.

“Apa pun, utamakanlah yang wajib terlebih dahulu baru mengerjakan yang sunat kecuali ada lebihan wang sebagaimana yang disebutkan tadi,” nasihat beliau.