Browsing Tag

sinar plus

Berita, Berita Semasa,

Campur cuci pakaian dengan anak, tak muliakan suami? Ini penjelasannya

SEJAK tiga hari lalu, agak kecoh di media sosial tentang kes seorang wanita yang menaikkan status yang mempersoalkan campur pakaian suami dan anak-anak ketika membasuh pakaian menerusi Facebook miliknya.

Kata wanita berkenaan, walaupun hukum kata basuhan suci, tapi dia berpandangan perkara itu adalah adab dan antara cara memuliakan suami.

Dek kerana status berkenaan, ia menimbulkan ‘pendebatan’ dalam kalangan kaum Hawa yang sudah berumah tangga. Ramai yang mengemukakan pandangan masing-masing dan kebanyakannya menganggap ia tidak wajar dilakukan.

Bagaimanapun, status berkenaan telah dipadamkan daripada Facebook wanita tersebut kerana enggan memanjangkan isu.

Berbalik kepada status yang viral itu, apakah memang benar kita perlu asingkan baju suami sebagai tanda memuliakan mereka?

Tampil menjawab persoalan berkenaan, pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman memberikan pencerahan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Jelas beliau, tiada dalil al-Quran dan hadis sahih yang menyuruh kita asingkan pakaian suami daripada pakaian anak-anak atas alasan adab dan hormat suami.

Bila keluar kenyataan ‘asingkan pakaian suami sebagai tanda memuliakan suami’, tambah beliau, sedikit sebanyak ia akan memberikan tempias kepada para isteri yang mencampurkan pakaian suami dan anak-anak. Mulalah mereka rasa diri mereka ni tak memuliakan suami.

“Kalau kena asingkan pakaian suami tanpa sebab kukuh seperti kelunturan warna baju atau najis pada pakaian anak-anak, maka kelihatan ia berlebih-lebihan.

“Kalau korang buat sistem atau undang-undang pengurusan di rumah yang korang selesa dan mampu untuk lakukan, jangan bersifat ‘memaksa’ orang lain buat atas nama agama,” kongsinya.

Tegas PU Azman yang mesra disapa Cik Man, kita perlu mengambil kira tentang situasi juga. Bukan semua suri rumah itu sama situasinya. Mungkin cara tersebut akan menimbulkan kesukaran untuk mengasingkan pakaian.

“Islam bukan agama yang menyusahkan. Ini dinamakan takalluf (memberatkan) dalam agama.

“Jangan buat orang lain rasa bersalah dalam agama,” nasihat beliau.

TIADA nas yang jelas untuk mengasingkan pakaian suami dan anak-anak atas alasan adab dan hormat kepada suami, terang PU Azman.

PU Azman turut mengingatkan bahawa suatu pakaian yang suci adalah pengiktirafan syariat. Maka tiada faedah jika ia diasingkan atas alasan adab.

“Sama macam kita cakap, kalau susun baju suami jangan campurkan dengan baju anak-anak. (Yang dimaksudkan ialah asing atas dasar memuliakan, tapi kalau atas dasar supaya senang nak pilih, takda masalah). Ini tak masuk akal.

“Kita bersetuju bahawa isteri berhak mohon pertolongan suami untuk buat kerja-kerja rumah. Dan hal ini jauh lebih berat daripada sekadar mencampurkan pakaian suami. Tetapi kita tak cakap pula isteri yang minta suami bantu kerja rumah sebagai isteri yang tak memuliakan suami. Jadi, takkan sekadar campurkan pakaian tu dikatakan tak memuliakan suami.

“Suami dan isteri adalah rakan kongsi rumah tangga. Maka mereka saling memudahkan, bukan menyusahkan.

“Apa guna asingkan baju suami, tapi kata-kata tajam isteri pun buat suami rasa terASING,” demikian teguran beliau.

(Artikel berkaitan: Pakaian anak bernajis, boleh ke terus basuh guna mesin?)

Ada banyak cara muliakan suami

SinarPlus turut mendapatkan pandangan pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan tentang cara memuliakan suami.

Meskipun tiada nas yang jelas tentang mengasingkan baju anak dan suami, tetapi hakikatnya membasuh baju suami adalah termasuk dalam perbuatan memuliakan suami.

“Apa yang penting, kita hanya nak pakaian itu suci dan dibasuh guna air yang bersih. Baik pakaian anak atau suami, matlamatnya adalah kepada bersih dan suci.

“Tak adalah pula kata membasuh campur itu mengubah hukumnya (kecuali pakaian bernajis),” katanya.

Jelas Imam Muda Hassan, ada banyak cara lagi bagi seorang isteri untuk memuliakan suaminya.

Campur basuh baju suami dan anak

TERDAPAT banyak cara memuliakan suami selain mencuci pakaiannya yang boleh dilakukan oleh para isteri.

Antaranya, menjaga amanah suami dengan sebaiknya. Andai suami bekerja, jagalah rumah dengan sebaiknya, nasihat beliau.

“Kemudian, jaga aib suami pun antara cara memuliakannya. Sekalipun kita jumpa dengan orang hatta dengan adik-beradik sekalipun, jangan sesekali hebohkan suatu perkara yang boleh mengaibkan suami masing-masing.

“Satu lagi, tunggu suami balik depan pintu (bagi suri rumah atau wanita yang pulang awal bekerja). Nampak perkara ni macam remeh dan jemu kalau buat hari-hari, tapi kalau kita istiqamah, ia akan mengikat kasih sayang.

“Bukanlah sampai nak jadikan isteri tu hamba suami, tapi syurga isteri itu terletak pada suami. Walaupun isteri penat, tapi itulah cara dia memuliakan suaminya,” kongsi beliau.

Kepada para isteri, tak kisahlah bagaimana cara kita nak basuh baju atau muliakan suami, pastikan ia tidaklah sampai melanggar hukum syarak. Itu paling penting.

Janganlah kita ‘hukum’ orang lain pula andai suatu perkara itu tak kena di mata kita atau ikut keselesaan kita.

Ingatlah bahawa bukan semua orang situasinya sama macam diri kita. Jadi, kita tak boleh sewenang-wenangnya buat orang lain ikut cara kita juga.

Sumber: Instagram puazmanofficial

Berita Semasa, Panduan,

Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

MUSIM haji kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Buat pertama kalinya, Malaysia tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Mahu atau tidak, kita terpaksa akur menerimanya dengan hati terbuka demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perasaan sedih memang tak dapat nak dibendung. Lebih-lebih lagi kepada bakal jemaah yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan lagi.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi ALLAH jualah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Barangkali ada hikmah di sebaliknya.

Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan.

Mudir Pusat Pengajian Darul Ilmi, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman baru-baru ini berkongsi 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Jom kita tengok apa yang boleh kita lakukan:

Amalan pahala haji

TUNAIKAN solat Subuh di masjid dan berjemaah di rumah ALLAH.

1. Pergi solat Subuh di masjid dan iktikaf sampai naik matahari, kemudian solat

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat seperti mendapat pahala haji dan umrah.” (Riwayat al-Tirmizi)

2. Pergi menuntut ilmu

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang keluar waktu pagi ke masjid semata-mata menuntut ilmu atau mengetahuinya, pahala seperti menunaikan haji yang sempurna.” (Riwayat al-Tabarani)

3. Pergi solat berjemaah di masjid

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti tunaikan haji.” (Riwayat Abu Daud)

4. Berjalan kaki ke masjid untuk solat fardu

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid untuk solat fardu berjemaah seperti mendapat pahala haji.” (Riwayat Ahmad)

Amalan pahala haji

LAYANLAH insan yang telah melahirkan kita ke dunia dengan baik dan penuhi keperluan mereka.

5. Berbuat baik kepada ibu bapa

Sesungguhnya seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.”

Nabi Muhammad bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?”

Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.”

Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad.” (Riwayat Abu Ya’la)

6. Umrah bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW: “Umrah dalam bulan Ramadan, pahala menunaikan haji bersamaku.” (Sahih Muslim)

7. Zikir subhanallah, alhamdulillah dan Allahu akbar selepas solat fardu

Sesungguhnya sejumlah orang dari fakir-fakir Muhajirin berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka mempunyai kelebihan harta. Mereka pergi haji, umrah, berjihad dan sedekah.”

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu mahu aku beritahu amalan yang mana kamu dapat capai orang yang terdahulu dan menyamai orang yang kemudian dan tidak ada yang dapat mengatasi kamu kecuali yang beramal seperti kamu?”

Mereka berkata: “Ya, ya Rasulullah. Masihkan dikatakan berpahala di antara seseorang di antara kami yang menyalurkan syahwatnya?”

Baginda bersabda: “Bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33 kali selepas solat fardu.” (Sahih Muslim)

8. Niat yang betul nak buat haji, tapi terhalang

“Di Madinah, terdapat dua lelaki yang berjalan seperti kamu dan tidak melalui lembah seperti kamu, tetapi mendapat pahala seperti kamu; mereka tidak bersamu kerana sakit.” Dalam riwayat lain menyebut, “mereka terhalang dengan keuzuran” dan dalam riwayat lain “mereka dapat seperti kami”. (Sahih Bukhari)

9. Mempersiapkan orang yang hendak pergi haji

Dalam sebuah hadis sahih: “Sesiapa yang mempersiapkan orang berperang atau yang pergi haji, menjaga ahli keluarga yang ditinggal oleh yang pergi haji / jihad atau yang memberi makan kepada orang berbuka, dia dapat pahala seumpama mereka tanpa mengurangkan pahala mereka.”

Amalan pahala haji

BERBUAT baik dan berikan khidmat yang sempurna kepada suami antara amalan yang boleh dilakukan untuk mendapatkan ganjaran seperti pahala haji.

10. Isteri yang berkhidmat kepada suaminya dengan sempurna

Ibnu Athir meriwayatkan daripada Asma binti Yazid RA, beliau mengadu pada Rasulullah bahawa orang lelaki boleh keluar buat macam-macam seperti haji, solat jemaah, ziarah orang sakit dan jenazah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya baiknya khidmat kamu pada suami kamu, mencari reda suami kamu dan mengikut kehendaknya akan menyamai pahala yang suami lakukan.” (Asadul Ghabah)

Dalam banyak-banyak amalan ini, kalau kita tengok balik, nampak mudah untuk kita lakukan dalam situasi sekarang. Macam nombor 3, 4, 5, 7 dan 10.

Pilihlah mana-mana amalan mudah yang boleh kita buat setiap hari. Asalkan apa yang kita lakukan tadi istiqamah sampai bila-bila.

Moga tahun depan, ada rezeki kita untuk menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci. Teruskan berdoa semoga ALLAH segera angkat pandemik Covid-19 di muka bumi ini.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: 123rf & Bernama

Berita Semasa, Panduan,

Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…

JANGAN basuh anggota wuduk lebih 3 kali, berikut penjelasan yang diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus.

Ramai dalam kalangan kita yang berwuduk dengan tiga kali basuhan pada setiap anggota wuduk.

Masing-masing sudah terbiasa buat begitu berbanding satu kali basuhan. Lagipun, hukum basuh tiga kalikan sunat, sudah tentulah ramai yang mengambil peluang itu.

Tak kisahlah sama ada satu atau tiga kali basuhan, ia tidak menjadi masalah ketika berwuduk. Tapi andai kata, kita basuh lebih daripada tiga kali macam mana pula?

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

Boleh ke buat macam tu sebab ada orang kata hukumnya makruh? Tapi kalau kita ambil wuduk di kawasan sungai yang banyak air pun jatuh hukum makruh juga ke jika kita berwuduk dengan lebih tiga kali basuhan pada anggota wuduk?

Menurut pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, makruh hukumnya membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali sekalipun kita berwuduk di kawasan sungai atau tasik.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis yang memerihalkan tentang perkara itu.

Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah lalu berdekatan Sa’ad RA yang sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapa berlebih-lebihan dengan air wahai Sa’ad?”

Berkata Sa’ad: “Adakah dalam berwuduk ada juga berlebih-lebihan?”

Jawab baginda SAW: “Ya, walaupun kamu sedang berada di sungai yang deras airnya.(Riwayat Ahmad)

Baca juga Naikkan seri wajah dengan air wuduk, benarkah begitu?

Dalam sebuah hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr yang mana seorang Arab Dusun telah datang kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya tentang wuduk.

Maka, baginda SAW menunjukkan kepadanya dengan membasuhnya dengan tiga kali dan bersabda: “Beginilah berwuduk. Maka siapa yang melebihkan dari ini maka dia telah salah dan berlebihan serta zalim.” (Riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibnu Majah)

Berdasarkan dua hadis berkenaan, jelas Ustaz Azhar Idrus, membasuh tiga kali pada anggota wuduk itu adalah sunah Nabi Muhammad SAW.  Namun, melebihi tiga kali itu menyalahi sunah.

“Dan hendaklah diketahui bahawa hukum makruh membazir air ketika berwuduk itu adalah apabila air itu milik sendiri atau bukan milik sesiapa seperti air sungai dan air laut atau air yang diwakafkan.

“Adapun jika adalah air itu milik orang seperti mengambil wuduk di rumah orang atau air yang diwakafkan seperti mengambil wuduk di masjid dan surau, maka membazir padanya adalah haram, bukan lagi makruh,” jelas beliau sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya hari ini.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Justeru, berhati-hatilah ketika berwuduk. Jangan sampai berlebih-lebihan hingga membazirkan air.
Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan air yang diwakafkan di rumah ALLAH atau ketika menumpang wuduk di rumah orang lain.

Ingatlah bahawa kita berwuduk dengan matlamat untuk bersuci. Jangan cemarkan kesucian matlamat itu pula.

Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…

Sumber: Instagram uaioriginal

Berita, Berita Semasa,

Ini hukum ubah wajah berlainan jantina di FaceApp

SEJAK kebelakangan ini, viral orang berkongsi gambar ‘kembar’ di media sosial masing-masing. Kembar yang dimaksudkan ini bukanlah pasangan adik-beradik kembar atau individu yang seiras mereka.

Tapi ‘kembar’ yang ‘dibuat-buat’ menggunakan teknologi terkini. Semuanya mudah dengan hanya aplikasi FaceApp. Mudahkan nak buat apa-apa sekarang ni, tak perlu nak edit-edit lagi bagai. Semuanya tersedia dalam kemudahan yang ada.

Mereka hanya gunakan gambar sendiri untuk mengubah wajah macho masing-masing jadi rupa wanita yang begitu rupawan dengan FaceApp.

Walaupun ada banyak lagi function, tapi kebanyakan gambar yang viral tu gambar orang lelaki ubah wajah jadi wanita seolah-olah jadi trend sekarang.

Nampak macam seronok bila buat macam tu. Rasa macam boleh nampak rupa sendiri bila jadi wanita.

Lepas tu tak pasal-pasal ada pula kaum sejenis mengorat mereka bila gambar tu dimuat naik dalam media sosial. Maklumlah nampak cun bila lelaki tadi ubah wajah jadi wanita cantik.

Walaupun tindakan itu hanya dibuat sekadar suka-suka, tapi apa pandangan Islam tentang perkara ini? Bukan ke haram kalau lelaki menyerupai wanita?

Tapi kalau ubah wajah guna FaceApp pula macam mana? Boleh ke?

Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa Semasa dan Kajian Syariah, Pusat Fiqh Fatwa dan Kajian Syariah & Felo Kanan Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkongsi ‘Hukum Mengubah Wajah Menggunakan Aplikasi FaceApp’ dalam bentuk infografik mudah menerusi Instagram miliknya hari ini.

Ubah wajah dengan FaceApp

MOHD IZHAR ARIF menjelaskan hukum mengubah wajah menggunakan FaceApp di Instagram miliknya pada hari ini.

Jelas Mohd Izhar Ariff, hukum asal lelaki menjadi mak nyah adalah haram.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Antara halal dan haram terdapat perkara syubhah…”

Menjelaskan tentang pengharamannya, ujar Mohd Izhar Ariff, FaceApp tersebut mengubah lelaki jadi perempuan agar melupakan kita hukum asal mak nyah walaupun ia sekadar hiburan.

“Umat Islam marah golongan transeksual, pondan dan lain-lain. Tapi hakikatnya kita sendiri bergembira dengan perbuatan itu walaupun sekadar hiburan.

“Hati-hati dengan App seperti ini kerana ia agenda musuh Islam dan termasuk dalam App yang syubhah,” jelasnya menerusi Instagram miliknya.

Justeru, beringatlah ketika menggunakan mana-mana aplikasi yang ada pada hari ini ya. Apa pun patuhilah apa yang ditetapkan dalam Islam.

Jangan terlalu seronok sampai membelakangkan hukum syarak. Kelak, diri sendiri yang susah.

Sumber: Instagram mohdizharariff_official

Foto: news18.com & Instagram mohdizharariff_official

Berita Semasa, Panduan,

Subhanallah begitu besarnya kebaikan pahala kita dapat bila sebut ALLAH…

NAK buat pahala, tidaklah sesukar mana. Jika diikutkan, senang sangat nak dapat pahala iaitu hanya dengan membuat apa saja yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada orang.

Kebaikan ini tidaklah terhad dengan hanya bersedekah, tolong orang atau baca al-Quran. Ramai yang anggap begitu.

Walhal ada banyak lagi perkara yang boleh mendatangkan pahala. Antara yang paling mudah adalah dengan menyebut nama ALLAH.

Pasti ramai tertanya-tanya kenapa sebut nama ALLAH saja boleh dapat pahala. Kalaulah kita tahu betapa banyaknya kelebihan yang kita dapat dengan hanya menyebut nama YANG MAHA ESA, tentu ramai yang tak akan lepaskan peluang ini.

Sesungguhnya, kelebihan pahala menyebut ALLAH memang bukan calang-calang. Ia sepertimana yang dijelaskan oleh Ketua Kluster Hadis Majlis Akademik Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Dr Mohd Khafidz Soroni.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis masyhur bagi menerangkan tentang kelebihan berkenaan.

Daripada Ibn Mas‘ud RA katanya; Sabda Rasululah SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab ALLAH, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dilipat 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan, alif lam mim sebagai satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Berdasarkan hadis berkenaan, jelas Dr Mohd Khafidz, orang yang menyebut nama ALLAH dengan niat sebagai satu lafaz al-Quran, maka ia akan mendapat empat kebaikan.

“Ini kerana lafaz الله (ALLAH) itu terdiri daripada 4 huruf iaitu:  ا ل ل هـ (alif lam lam ha). Manakala satu kebaikan digandakan 10, justeru ia akan memperolehi 40 kebaikan.

“Maka, menyebut nama الله sahaja jelas akan diberi ganjaran pahala berdasarkan hadis sahih di atas,” kata beliau yang dipetik daripada laman sosial Facebook Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ISLAMI baru-baru ini.

Subhanallah tak sangkakan dengan menyebut ALLAH saja kita beroleh kebaikan pahala. Bukan satu, tapi sampai 40 kebaikan pahala.

Kalaulah kita nampak pahala-pahala tadi terapung-apung di sekeliling kita, pasti kita takkan biarkan ia berlalu begitu saja.

Jadi lepas ni, jom sama-sama kita sebut nama ALLAH. Niatkanlah ia sebagai satu lafaz dalam al-Quran. Semoga kebaikan pahala yang bakal diperoleh akan berganda.

Tapi ingat ya, jangan pula dalam tandas pun nak sebut nama ALLAH yang suci. Tak boleh sebut ALLAH dalam tandas. Beragaklah bila buat sesuatu, tengok sesuai ke tak dalam situasi tu.

Sumber: Facebook Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia – ISLAMI

Berita, Berita Semasa,

Esok gerhana matahari separa, ini dia cara mudah tunaikan solat sunat kusuf

ESOK kita bakal menyaksikan satu lagi kebesaran ALLAH yang begitu menakjubkan. Ia adalah fenomena gerhana matahari separa.

Insya-ALLAH ia akan berlaku pada waktu petang. Sempatlah semua orang saksikan peristiwa yang bukan selalu kita dapat lihat.

Kalau nak tahu waktu sebenar bila berlakunya fenomena ini, bolehlah merujuk kepada portal pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Ini kerana, waktu di setiap negeri adalah berbeza.

Di Kuala Lumpur misalnya, fenomena itu dijangka akan bermula jam 2.50 petang hingga 4.54 petang, Selangor pula pada jam 2.50 petang hingga 4.53 petang dan Perak antara jam 2.42 petang hingga 4.56 petang.

Namun, bagi mereka yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, gerhana matahari separa akan mula jam 3.09 petang hingga 5.24 petang.

Bagi mereka yang hendak melihat fenomena itu dengan lebih dekat, bolehlah menyaksikan proses cerapan secara Live Streaming yang dilakukan di mana-mana media sosial terlibat terutama di balai cerap dikendalikan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Secara ringkasnya, fenomena gerhana matahari separa berlaku ketika bulan hanya menutupi sebahagian permukaan matahari.

Pada kemuncak gerhana pula, matahari akan kelihatan separa. Jadi kalau kita berhasrat nak tengok, kita kena guna alatan khas bagi menapis cahaya matahari yang terlalu kuat.

Tengok, tengok juga. Tapi janganlah terlalu teruja sampai terlupa lakukan perkara sunat ini.

Bila berlakunya fenomena gerhana matahari separa, jangan lepaskan peluang untuk tunaikan solat sunat kusuf.

Umat Islam disunatkan untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari sama ada secara bersendirian atau berjemaah.

Tak tahu tunaikan solat sunat kusuf? SinarPlus kongsikan kaifiat mudah untuk kita lakukannya.

Ia sepertimana yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi laman sosial Facebook milik jabatan itu baru-baru ini.

Jom kita tengok satu persatu macam mana nak tunaikan solat sunat gerhana matahari (kusuf).

Rakaat pertama:

1. Takbiratul ihram dan niat

2. Membaca doa iftitah, Surah al-Fatihah dan surah pilihan

3. Rukuk

4. Kemudian, bangkit membaca Surah al-Fatihah dan surah pilihan

5. Rukuk

6. I’tidal

7. Sujud

8. Duduk antara dua sujud

9. Sujud

Gerhana matahari separa

JANGAN lepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari atau kusuf ketika fenomena itu berlaku esok.

Rakaat kedua:

10. Ulangi rakaat kedua seperi rakaat yang pertama

11. Tasyahud akhir

12. Salam

*Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.

*Disunatkan mandi untuk solat gerhana seperti hendak solat Jumaat.

*Disunatkan untuk membaca khutbah khas gerhana. Untuk mereka yang tinggal di negeri Selangor, muat turun di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Nampak mudahkan untuk tunaikan solat sunat gerhana matahari? Jom kita praktis esok ketika berlakunya fenomena ini. Tapi lakukannya tatkala fenomena itu sedang berlangsung.

Untuk makluman, ada sesetengah masjid yang dibenarkan untuk tunaikan solat sunat gerhana ini seperti di Perak.

Apa pun, jangan lupa untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing ya.

Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Jabatan Mufti Negeri Perak

Foto: Bernama

Berita Semasa, Panduan,

Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

BAGI mereka yang puasa ‘tak cukup hari’ pada bulan Ramadan lalu, jangan buat-buat lupa pula untuk ganti puasa.

Gantilah sikit-sikit dari sekarang. Kan senang sebab tempohnya masih panjang untuk sampai ke Ramadan akan datang.

Bukan apa, takut nanti lambat-lambat ada pula yang tiba-tiba tak sempat nak qada puasa disebabkan masalah-masalah tertentu seperti tak sihat dan sebagainya.

Apa tidaknya, kita sendiri tak tahu apa akan jadi pada masa akan datangkan, jadi eloklah kalau kita percepatkan apa yang wajib ke atas kita ni.

Andai kata kita dah mula puasa qada, tiba-tiba tengah hari itu, kawan ajak pula makan sama-sama dan siap janji nak belanja lagi atau mungkin ada sebab lain yang bukan disebabkan oleh keuzuran yang dibenarkan syarak, boleh ke kita nak batalkan puasa qada tadi?

Lepas tu, kalau kita batalkan puasa tu, kita kena gandakan ke puasa ganti tadi?

Ujar pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, hukum asal puasa qada adalah ia tak boleh dibatalkan tanpa uzur yang diizinkan oleh syarak.

USTAZ MUSTAFAR

“Uzur ini seperti musafir, haid, nifas dan selainnya. Maka, seseorang mesti meneruskan puasa qadanya sehingga selesai disebabkan ia adalah perkara yang wajib,” jelas beliau.

Agamawan itu menjelaskan, puasa qada boleh dilakukan dengan berturut-turut atau diselang-selikan.

“Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama sama ada ia perlu disegerakan atau ditangguhkan. Lebih utama adalah menyegerakannya,” katanya.

Menjawab tentang persoalan membatalkan puasa qada secara sengaja, Ustaz Mustafar menegaskan, pelakunya perlu bertaubat kepada ALLAH SWT kerana ia termasuk larangan dalam syariat.

Pun begitu, tambah beliau, tiada kafarah jika pelaku tersebut sengaja membatalkan puasa qada berkenaan tanpa keuzuran syarak.

“Cuma, dia wajib menggantikan puasa qadanya sahaja tanpa membayar kafarah dan tanpa menggandakan puasa. Ini pendapat Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Qudamah,” jelas beliau.

Walaupun tiada kafarah, tapi sendiri mahu ingatlah. Takkan kita dah mula ganti puasa setengah hari, lepas tu nak buka dan sia-siakan puasa tadi.

Kita kena ingat, puasa qada yang kita lakukan itu adalah wajib. Jadi anggap saja benda tu wajib macam puasa bulan Ramadan. Jangan mudah kalah dengan godaan-godaan lain ya.

Berita Semasa, Panduan,

‘Trade in’ telefon lama, ‘top up’ lagi untuk dapatkan yang baru dikira riba?

TELEFON pintar sekarang seakan-akan menjadi keperluan dalam zaman milenial ini. Masakan tidak, segala benda boleh dibuat dengan telefon berkenaan.

Ia termasuklah untuk kegunaan membeli-belah walaupun hanya barang dapur. Memang boleh dikatakan agak penting jugalah untuk memudahkan urusan kita seharian.

Tapi tak semua orang mampu beli dan mengikut trend terkini. Itu yang kita lihat, bila ada orang nak beli handphone baharu, yang lama pasti kita trade in.

Kadang-kadang kita buat tukaran telefon lama di kedai dan hanya top up sikit je untuk dapatkan yang baharu.

Riangnya rasa hati akhirnya dapat juga merasa telefon baru yang ‘canggih’. Tapi bila kita buat tukaran macam tu, adakah ia dikira ada unsur riba juga ke?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, riba adalah kontrak atas pulangan barang tertentu.

USTAZ MUSTAFAR

“Tidak diketahui wujud persamaannya dalam timbangan tertentu atau melewatkan pertukaran antara dua barang tertentu,” katanya.

Ujar beliau, barang tertentu atau item ribawi yang dimaksudkan di atas adalah berdasarkan sebuah hadis daripada sahabat, Saidina Ubadah bin Samith yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Emas dengan emas; perak dengan perak; tamar dengan tamar; gandum dengan gandum; barli dengan barli; garam dengan garam; apabila berbeza jenis, maka berjual belilah sepertimana yang kamu kehendaki, selagi mana ia dilakukan dengan serah segera (on the spot basic).” (Riwayat Muslim)

Ustaz Mustafar turut menukilkan pandangan Sheikh Dr Muhammad Zuhaily dalam kitabnya al-Muktamad yang membahagikan sebab pengharaman emas dan perak kerana ia adalah mata wang seperti duit, sebagai pengukur nilai dan alat tukaran.

Sementara itu, gandum, barli, tamar dan garam pula kerana ia adalah makanan asasi serta sifatnya boleh disimpan dan ditimbang.

Secara asasnya, kata agamawan itu, apabila hendak membuat tukaran ia mestilah barang yang sama seperti emas dengan emas yang sama.

“Maka syaratnya kedua-dua itu mesti sama dari sudut timbangan dan serah segera dalam majlis akad. Jika pertukaran berbeza seperti emas dan garam, maka syaratnya adalah serahan segera dalam majlis akad,” katanya.

Merujuk kepada persoalan tentang tukaran handphone secara trade in dan top up dengan wang untuk mendapatkan gajet yang baharu, Ustaz Mustafar menambah, telefon tidak termasuk barang tertentu atau item ribawi.

“Maka, ia bebas ditukar milik, ditentukan harga dan sebagainya.

Namun jika melibatkan enam item ribawi di atas, maka saya nasihatkan rujuk dahulu pakarnya kerana isu riba adalah perkara yang amat susah untuk dikenal pasti,” jelas beliau.

Jadi, tiada masalah jika kita tukar telefon lama dalam erti kata lain, trade in telefon itu dan buat tambahan dengan wang untuk mendapatkan handphone yang baharu.

Berita Semasa, Panduan,

Suami tersilap atau lupa bacaan ketika imamkan solat, apa isteri perlu buat?

SUAMI tersilap atau lupa bacaan ketika imamkan solat, apa isteri perlu buat?

Sejak kita terpaksa ‘berkurung’ di rumah akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, alhamdulillah semakin ramai yang mengamalkan solat berjemaah bersama keluarga kecil masing-masing.

Seronok pula kita lihat perubahan yang baik tu. Yang paling best, lelaki yang tak pernah memimpin isteri solat atau jadi imam tiba-tiba saja boleh jadi imam.

Apa taknya, sebab dia soranglah satu-satunya lelaki dalam rumah tu. Nak tak nak kenalah jadi imam. Dalam masa yang sama, mereka sebenarnya nak praktis sekali untuk bulan Ramadan tempoh hari.

Baca juga Sedap atau tidak bacaan, terimalah imam kita seadanya

Selalunya pada bulan Ramadan, ramai yang selesa untuk ke masjid atau surau bagi menunaikan solat tarawih. Namun, apakan daya, tahun ini terpaksalah semua lakukan solat sunat itu di rumah bersama keluarga.

Alangkah seronoknya jika dikenangkan kembali momen-momen itu. Perkara tu seakan jadi biasa kepada semua. Malah, ada yang istiqamah solat berjemaah bersama keluarga hingga hari ini.

Tapi kita sebagai manusia, ada juga kurang di mana-mana. Kadangkala ketika solat jemaah bersama suami atau isteri masing-masing, imam ada tersilap, tersasul dan adakalanya terlupa membaca ayat dalam surah tertentu ketika ‘mengepalai’ solat.

Baca juga Solat tak sah jika makmum baca al-Fatihah bersama-sama imam?

Si isteri yang kebetulannya menjadi satu-satunya makmum dan juga wanita runsing tak tahu nak buat apa. Ada juga keluarga yang mungkin berjemaah bersama anak-anak yang masih kecil, mereka lagilah tak tahu nak tegur macam mana.

Jadi, apa yang perlu isteri tadi lakukan untuk memperbetulkan kesilapan suaminya yang terlupa atau tersilap bacaan ketika solat berjemaah?

Persoalan ini Sinar Islam ajukan kepada pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki untuk merungkaikannya.

USTAZ MUSTAFAR

Jom kita ikuti jawapan beliau;

“Hukum asal menegur kesalahan imam dalam solat adalah disyariatkan sama ada bagi makmum lelaki atau wanita.

Ia berdasarkan sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertasbih untuk lelaki, menepuk pula untuk wanita.” (Riwayat al-Bukhari)

Tegahan mengucapkan tasbih bagi wanita disebabkan asal kepada hukum wanita ajnabi, mereka disuruh merendahkan suara untuk mengelakkan fitnah.

Begitupun, bagi lelaki ajnabi pula, mereka ditegah menepuk pada belakang tangan kiri seperti wanita kerana tepukan sinonim dengan wanita seperti dinyatakan oleh Al-hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari.

Imam al-Syaukani menyatakan bahawa berdasarkan hadis itu, para ulama sepakat, makmum mesti menegur imam yang tersalah dalam perbuatan solat mahupun bacaan.

Maka, hukum asal isteri menegur suami tersilap atau terlupa pada bacaan mahupun perbuatan adalah dengan menepuk tangan kanan di atas belakang tangan kiri dalam kedudukan dekat.

Pun demikian, sebahagian ulama Mazhab Syafie seperti disebutkan oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj, mengharuskan isteri atau wanita dibenarkan menegur dengan bertasbih sahaja jika solat itu dilakukan bersama mahram,” jelas Ustaz Mustafar.

Baca juga Lambat baca al-Fatihah ketika solat berjemaah. Perlu ‘kejar’ imam atau tidak?

Justeru, diharap penjelasan agamawan ini dapat merungkaikan segala kekusutan kita tentang perkara ini.

Ingat tau, tak kiralah walaupun kita hanya satu-satunya makmum hatta wanita sekalipun, kena tegur imam bila kita perasan ada kesilapan bacaan atau perbuatan yang dilakukan mereka ketika memimpin solat berjemaah.

Suami tersilap atau lupa bacaan ketika imamkan solat, apa isteri perlu buat?

 

Panduan,

Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

HIDUP kat dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

Macam-macam ragam dan sikap manusia yang kita boleh nampak. Ada orang yang baik dan pemurah, tidak kurang juga yang bersifat kedekut walaupun baik.

Macam mana orang baik, tapi dikatakan kedekut tu? Bunyinya memang pelik, tapi hakikatnya memang ada orang bersifat macam tu.

Contoh paling mudah yang mungkin kita tak perasan, kita pergi ke rumah seseorang beraya misalnya, lepas tu bila minta password wifi, pelbagai alasan diberikan seolah-olah tak nak kita gunakan wifi dia.

Walhal dari sisi lain, individu itu memang baik, suka membantu orang dan sebagainya. Tapi bab wifi boleh pula dia berkira.

Walaupun perkara tu nampak remeh, tapi perilaku itu pun termasuk dalam kategori kedekut juga.

Sebenarnya, semua manusia memang ada sikap ini. Cuma antara sedar dengan tak je kita ada sifat kedekut dalam diri.

Demikian fakta yang dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Elyas Ismail menerusi Facebook Live di laman sosial miliknya baru-baru ini.

USTAZ ELYAS

Firman ALLAH SWT: “…Sifat bakhil kedekut tak suka beri untuk tolak ansur itu adalah tabiat manusia…” (Surah al-Nisa’, ayat 128)

Jelas Ustas Elyas, ada tiga tanda-tanda nak tahu bagaimana seseorang itu kedekut iaitu;

1. Dirinya tak yakin pada rezeki ALLAH

Ya, orang kedekut ini tak yakin pada rezeki ALLAH. Andai seseorang itu pemurah dengan sedekah, tolong orang, share ilmu dan kemahiran yang ada, dia yakin ALLAH akan berikan rezeki lagi banyak lepas ini.

Bahkan, ALLAH menjanjikan rezeki yang berlipat ganda dalam pelbagai bentuk jika seseorang itu bersedekah dan berinfak sama ada dalam keadaan kita senang atau susah.

2. Anggap harta itu hak mutlak dirinya

Golongan yang bakhil ini akan anggap segala apa yang diperoleh adalah atas usahanya sendiri. Langsung tak anggap semua itu datang daripada ALLAH.

“Aku kerja penat-penat, takkan nak sedekahkah kat orang pula.”

Itu ayat yang sering kita dengar, tapi tolonglah jangan sesekali fikir begini. Hakikatnya segala apa yang dikurniakan kepada kita ini adalah milik ALLAH dan boleh ditarik pada bila-bila masa pun. Kita ni cuma sekadar pengurus harta saja.

3. Orang kedekut hidupnya tak akan tenang

Mungkin riak wajahnya nampak okey seperti tiada masalah, tapi dalam hatinya siapa yang tahu? Sebenarnya orang yang kedekut ini hidupnya tak akan tenang.

Dalam Surah al-Ma’arij, ayat 19 hingga 21 mengingatkan bahawa manusia bersifat gelisah dan kedekut bila ada masalah dalam hidupnya.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

BERBUAT baiklah kepada orang lain dan jangan bersifat kedekut kerana ALLAH menjanjikan balasan yang sama kepada mereka yang berbuat perkara itu kepada yang lain.

Kedekut itu sama dengan berjimat cermat ke?

Ramai yang menganggap begitu, tapi kata Ustaz Elyas, sebenarnya kedua-dua sikap ini langsung tak sama. Sebaiknya, betulkan persepsi yang salah ini.

“Jangan salah faham pula. Lawan kepada sifat berjimat cermat ini adalah membazir. Membazirkan amalan syaitan.

“(Tanda) Orang yang berjimat cermat ini berbelanja ikut kemampuan, mengutamakan yang hak dulu dan fikirkan untuk simpanan masa depan,” jelas beliau.

Ustaz Elyas turut mengingatkan agar kita menjauhkan diri daripada sifat kedekut ini. Bayangkan ALLAH akan membalas perbuatan buruk ini bukan saja di akhirat, tapi juga di dunia lagi.

Baca juga 8 Perkara Jadi Penghalang Untuk Kita Bahagia Di Dunia Dan Akhirat

Balasannya untuk orang bersifat kedekut di dunia begitu dahsyat iaitu:

1. Hilang kebahagiaan dan keceriaan dalam hidup

Semua orang nak hidup ceria, gembira, seronok dan hidup sentiasa dikelilingi kawan-kawan yang sentiasa support dan menjadi ‘bahu’ untuk kita. Tapi kalau dah kedekut, siapa nak kawan dengan kita?

Ingatlah, life is about networking (hidup adalah jaringan perhubungan). Hidup orang kedekut ni tak akan ke mana.

Sebaliknya, buatlah kebaikan kerana ulama berpesan: “Balasan daripada kebaikan adalah kebaikan selepasnya.”

2. Hidup tak pernah rasa cukup

Macam manalah tak rasa begitu kalau setiap kali nampak orang minta sedekah je, dia sudah anggap ia macam satu ancaman buatnya.

3. Didoakan kecelakaan oleh malaikat

Perkara ini ada dinyatakan dalam hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ingat bahawa yang berdoa itu malaikat, bukan manusia. Jadi berhati-hatilah.

Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya

Justeru, rasanya tiada sebab untuk kita kedekut dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH kepada kita.

Janganlah pernah ada rasa kedekut kerana kelak kita tak tahu siapa yang akan menolong kita nanti, lebih-lebih lagi di akhirat.

Satu lagi, janganlah kita kedekut dengan ALLAH. Walhal ALLAH tak pernah langsung kedekut dan berkira dengan kita. Ingatlah, udara yang kita hirup ini adalah kurniaan ALLAH SWT. Malah, ada banyak nikmat lain yang kita kecapi kini datangnya daripada YANG MAHA ESA.

Sumber: Facebook Ustaz Elyas Ismail