Browsing Tag

sinar karangkraf

syria care
Berita Semasa,

Kempen Syria Care bantu pelarian Syria hadapi musim sejuk

BAGI membantu penduduk Syria menghadapi musim sejuk yang bakal melanda negara itu tidak lama lagi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care mengadakan kempen Bantuan Musim Sejuk 10.0 (BMS10.0) bermula 21 September hingga 31 Disember ini.

Tahun ini adalah kali ke-10 kempen tersebut diadakan bertujuan mengumpul bekalan buat pelarian berada di utara Syria yang mana sejuk melampau di bawah paras beku mampu meragut nyawa penduduk tempatan.

Sehubungan itu, Syria Care dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai kerjasama strategik untuk menjayakan BMS10.0, petang semalam.

Baca juga Pelarian Syria: Cerita kita dan kisah mereka

syria care

MAJLIS tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Syria Care dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. itu diadakan atas tujuan hebahan dan pemerkasaan bersama kempen BMS10.0. Foto: Sinar Harian

Menurut Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, antara projek yang dijalankan di bawah kempen tersebut termasuk ‘Warm Their Winter’ di mana orang ramai boleh menyumbangkan pakaian musim sejuk mereka untuk kegunaan pelarian Syria.

Tambahnya, proses pengumpulan pakaian musim sejuk itu akan dijalankan dari 2 hingga 8 Oktober ini di Laman 83, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Bagi mereka yang berada di kawasan Selatan, pakaian tersebut boleh diserahkan ke Mahallah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Pagoh di Muar, Johor pada 17 hingga 24 Oktober akan datang.

Dalam masa sama, penyertaan sukarelawan ke lapangan turut diperlukan bagi membantu proses pengumpulan serta pembungkusan barangan sepanjang projek Warm Their Winter berlangsung.

Baca juga Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

AMBIL peluang untuk menghulurkan bantuan dengan mendermakan pakaian musim sejuk di tempat dan pada tarikh yang tertera.

Kata Siti Sakinah lagi, krisis kemanusiaan di Syria telah berlanjutan lebih 10 tahun dan pihaknya sangat mengharapkan kesediaan umat Islam untuk turut sama menyempurnakan misi BMS10.0 bagi meringankan beban saudara-saudara seIslam yang ada di negara tersebut.

“Kemelut kemanusiaan di Syria telah berlanjutan lebih dari 10 tahun dan lebih 6.9 juta orang (penduduk Syria) telah kehilangan tempat tinggal.

“Jadi saya ingin mengambil kesempatan di sini, khususnya (kepada) kita umat Islam, kerana Syria adalah sebahagian dari bumi Syam yang disebut dalam al-Quran sebagai tanah yang diberkati.

“Kita berperanan membantu saudara-saudara kita yang ada di tanah yang terpilih ini (untuk) meringankan bebanan mereka untuk menghadapi musim sejuk tahun ini,” ujar beliau kepada Sinar Islam Plus selepas majlis tandatangan MoU dijalankan di Karangkraf, Shah Alam.

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

syria care

PENGERUSI Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki. Foto: Sinar Harian

Mengulas tentang kerjasama Syria Care dan Sinar Karangkraf, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pihaknya akan memastikan misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut dapat dijayakan serta sampai ke destinasi yang sepatutnya di Syria.

Kata beliau lagi, Karangkraf sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan yang ikhlas ingin membantu umat Islam di serata dunia.

“Mana-mana organisasi NGO yang hendak membantu umat Islam di Palestin atau Ukraine, umpamanya, Insya-ALLAH kita akan membantu.

“Kami (Karangkraf) membuka peluang kepada sesiapa (untuk bekerjasama) dengan syarat, (mereka) jujur, ikhlas dan berjuang kerana ALLAH,” ujar Muhammad Nasir ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

syria care

BUAT pelarian Syria, musim sejuk umpama mimpi buruk kerana kesejukan melampau di bawah paras beku boleh meragut nyawa mereka. Foto: Sinar Harian

Bagi sebarang pertanyaan atau sumbangan, sila hubungi Syria Care di talian 03-5523 4077 atau 011-2880 9820 atau layari laman sesawang www.syriacare.org.my serta saluran media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter atau subscribe Syria Care Media di Youtube.

Foto: Sinar Harian & Facebook Syria Care

 

Antarabangsa,

Kedutaan negara Islam dan NCSW adakan bengkel antarabangsa pemerkasaan wanita yang pertama

HASIL kerjasama pihak kedutaan dari Indonesia, Malaysia, Jordan, Arab, Tunisia dan Turki bersama Suruhanjaya Kebangsaan tentang Status Wanita (NCSW), sebuah bengkel antarabangsa tentang pemerkasaan wanita dalam dunia ekonomi telah dianjurkan di Islamabad, Pakistan baru-baru ini.

Memetik laporan berita The News, acara ini adalah sebahagian daripada suatu siri perbincangan tentang peranan wanita sebagai perintis dalam hal ehwal sosio-ekonomi, politik dan penggubalan dasar dalam dunia Islam.

Upacara perasmian acara telah dihadiri oleh ramai pihak termasuklah pegawai kedutaan yang terlibat, komuniti diplomatik, Pengerusi NCSW, Nilofar Bakhtiar serta Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Hak Kanak-Kanak, Afshan Tehseen.

Dalam ucapan perasmiannya, duta Indonesia, Adam Tugio menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti wanita dalam ekonomi negara.

Pegawai kedutaan Tunisia, Borhene El-Kamel pula sempat berkongsi usaha pemerkasaan wanita yang sedang dilakukan di Tunisia.

Selain itu, Pengerusi NCSW menjelaskan idea di sebalik pelancaran bengkel tersebut serta mencadangkan penubuhan kumpulan usahawan wanita baru yang berbakat untuk menghubungkan mereka dengan usahawan wanita berjaya yang lain di serata dunia.

Baca juga 5 tokoh wanita Islam yang wajid dijadikan inspirasi dan tauladan kaum Hawa

Bengkel tersebut juga memberi fokus kepada keadaan ekonomi wanita Islam. Empat panel dari berlainan negara termasuk pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2015, Wided Bouchamaoui dari Tunisia turut berkongsi pengalaman mereka sebagai usahawan wanita.

Di samping itu, Afshan Tahseen turut menitipkan pesanan, “Jika anda menyokong seorang wanita bererti anda juga sedang menyokong sebuah negara”.

Pegawai kedutaan dari Jordan, Ibrahim al Madani kemudian mengakhiri upacara dengan menyatakan usaha pemerkasaan wanita dalam bidang ekonomi seharusnya diberikan keutamaan tinggi dalam pelan pembangunan negara.

UPACARA perasmian bengkel dihadiri oleh beberapa tokoh wanita seperti pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2015, Wided Bouchamaoui untuk berkongsikan pengalaman mereka sebagai usahawan wanita.

 

Satu lagi acara akan diadakan pada masa hadapan tentang cara meningkatkan peranan wanita dalam bidang politik di negara Islam diikuti dengan peranan ulamak dalam usaha pemerkasaan wanita.

Kesemua acara ini bertujuan mengumpulkan para cendekiawan dan penyelidik dari negara-negara Islam untuk membincangkan serta berkongsikan pengalaman dan pendapat bagi memperkasakan hak wanita seperti yang dijamin oleh agama.

Foto: Laman web Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad

Antarabangsa,

Legenda bola sepak Belanda, Clarence Seedorf peluk Islam

LEGENDA bola sepak dari Belanda, Clarence Seedorf telah mengesahkan dia sudah memeluk Islam menerusi akaun media sosialnya.

Dalam satu hantaran di Instagram, Seedorf menulis, “Saya sangat gembira dan bersyukur untuk menyertai saudara baharu saya khususnya isteri saya, Sophia yang mengajar saya mengenai erti Islam dengan sangat mendalam.”

Bekas pemain AC Milan, Real Madrid dan Ajax itu menambah, “Saya tidak menukar nama saya dan akan terus menggunakan nama yang diberikan oleh ibu bapa saya, Clarence Seedorf.”

Sebagai rekod, Seedorf merupakan satu-satunya pemain yang berjaya memenangi Liga Juara-Juara UEFA sebanyak empat kali bersama tiga pasukan berbeza.

Baca juga Radwa Helmy, hakim pertama tembusi tembok konservatif Mesir 

Sejak 2001, ikon bola sepak Belanda ini telah menubuhkan serta menguruskan beberapa kelab bola sepak dan liga komuniti di seluruh dunia termasuk Suriname, Amerika Syarikat dan Belanda.

Sebagai pemain tengah, Seedorf dahulu pernah memenangi UEFA pada tahun 1995 bersama Ajax, tahun 1998 bersama Real Madrid serta pada tahun 2003 dan 2007 dengan AC Milan.

Sepanjang kariernya, beliau juga menjuarai La Liga tahun 1997 bersama Real Madrid dan Serie A sebanyak dua kali pada tahun 2004 dan 2011 ketika dalam AC Milan.

Ruangan komen di akaun Instagramnya dipenuhi dengan ucapan aluan dan tahniah kepada Seedorf kerana telah memeluk Islam.

MENURUT Seedorf, beliau mula mengenali keindahan Islam melalui isterinya, Sophia.

Isterinya, Sophia turut menulis menerusi Instagram, “Saya sangat gembira dan berbangga menjadi sebahagian daripada detik indah untuk orang yang saya sayangi, Clarence Seedorf yang memeluk Islam.”

“Selamat datang dan semoga kamu akan terus dirahmati dan memberi inspirasi kepada seluruh dunia.”

Foto: The Siasat Daily & Instagram Clarence Seedorf (@clarenceseedorf)

Antarabangsa,

Pelarian Muslim Ukraine disambut dengan tangan terbuka oleh komuniti Islam Jerman

SEJAK bermulanya konflik Russia-Ukraine dua minggu lalu, bilangan pelarian yang melarikan diri dari Ukraine sudah mencecah 2 juta orang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Jerman, stesen keretapi Berlin sesak dengan ribuan pelarian Ukraine yang tiba dari negara jiran Poland. Berlin menjadi hab utama bagi sesetengah pelarian yang ingin bergerak ke kawasan Eropah yang lebih jauh apabila pengendali keretapi utama Jerman, Deutsche Bahn menawarkan tiket perjalanan percuma kepada mereka.

Menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, lebih 50 ribu pelarian Ukraine kini berada di negara itu. Mereka disambut baik oleh sukarelawan tempatan yang menawarkan makanan, bekalan perubatan dan penginapan.

TRT World melaporkan komuniti Muslim di Jerman antara sukarelawan yang aktif membantu pelarian beragama Islam. Masjid serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim telah diseru oleh Majlis Pusat Umat Islam di Jerman (The Central Council of Muslims in Germany) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Di Masjid Baru di Spandau Berlin, keadaan lebih riuh daripada biasa. Anak-anak muda biasanya mengisi waktu senggang di ruang belajar masjid yang dipenuhi dengan tilam. Manakala, di tempat makan masjid pula kelihatan beberapa keluarga yang sedang menjamu selera.

MASJID Baru di Spandau, Berlin antara masjid yang aktif membantu pelarian beragama Islam dari Ukraine. Seluruh kawasan masjid telah ditukarkan menjadi tempat perlindungan.

Apabila pegawainya diberitahu tentang pelarian Muslim dari Ukraine yang terkandas di stesen keretapi hampir 20 jam tanpa arah tuju, kawasan masjid serta-merta ditukarkan menjadi tempat perlindungan yang mampu menempatkan hampir 50 pelarian.

Khadija Sofi dan keluarganya yang berasal dari Afghanistan adalah antara pelarian yang sedang berlindung di masjid itu. Mereka yang baru sahaja ingin membina hidup baharu di Ukraine akhirnya terpaksa melarikan diri disebabkan peperangan tersebut.

Dengan hanya berbekalkan beberapa helai baju, dokumen serta dua ekor kucing, mereka telah bermusafir selama tujuh hari, menyeberangi Ukraine dan Poland untuk sampai ke Jerman. Khadija Sofi meluahkan rasa syukur diberikan tempat tinggal di masjid tersebut.

“Kami telah berjumpa dengan ramai orang baik dan menemui kawan baru jadi kami berasa selamat dan kami dalam keadaan baik sekarang,” ujar Khadijah.

Selain menyediakan tempat tinggal, ahli-ahli Masjid Baru juga membantu pelarian Ukraine dalam pelbagai urusan lain seperti membeli tiket keretapi untuk mereka yang ingin ke negara Eropah lain. Bagi yang memilih untuk tinggal di Jerman pula, mereka dibantu dalam urusan permohonan suaka.

Menurut salah seorang ahli Lembaga Masjid Baru, Kenan Yilar, pertolongan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti makanan dan pakaian, malah termasuk sokongan mental.

“Pelarian-pelarian ini datang dari jauh. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan mental. Oleh itu, imam-iman di sini juga bersedia untuk membantu mereka dari segi itu.” kata Yilar kepada TRT World.

RAMAI pelarian Muslim dari Ukraine asalnya merupakan pelarian dari negara-negara Arab yang berpindah ke Ukraine untuk membina kehidupan baru.

Tatkala timbul isu pilih kasih antara negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikatakan hanya sudi menerima pelarian Ukraine berbangsa putih ke dalam negara masing-masing, komuniti Islam di Jerman hadir dengan tangan terbuka untuk menerima pelarian beragama Islam.

Semangat ukhuwah dan silaturrahim sering ditekankan dalam agama Islam. Ini bererti Muslim tidak perlu gentar ke mana sahaja mereka bermusafir kerana pasti akan disambut baik oleh saudara Islam yang lain.

Foto: TRT World, Michael Sohn/AP

Tok kenali
Personaliti,

Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

TOK Kenali, seorang tokoh ulama terkenal di sebalik gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberikan kepada negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang guru agama Islam yang masyhur, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Asia Tenggara dan pencetus ilmu pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Kelantan, sekitar awal abad ke-20. 

Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan sekitar tahun 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dan warak. Bapanya seorang petani yang dikenali dengan kesolehannya. 

Membesar didampingi ajaran Islam, Tok Kenali sudah khatam al-Quran sejak kecil. Di Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru agama tersohor seawal usia sembilan tahun. Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah.

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tok Kenali mula mekar apabila mula berguru dengan Syeikh al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya. Beliau juga sempat belajar bersama Nik Mahmud bin Nik Ismail di sana. Setelah gurunya meninggal dunia, Tok Kenali kembali ke Kelantan pada tahun 1909, setelah 22 tahun berada di Mekah.

TOK Kenali telah berguru dengan ramai guru agama terkemuka sejak kecil lagi.

Menurut catatan, Tok Kenali mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan. Jasa beliau paling bermakna adalah dengan memperkenalkan sistem pengajian pondok.

Sekembali dari Mekah, Tok Kenali telah membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Paya. Dalam masa dua tahun sahaja, namanya telah dikenali seluruh negeri dan ramai individu dari dalam dan luar negara termasuk Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia datang menuntut ilmu darinya.

Pondok Kenali telah melahirkan ramai ulama dan cendekiawan yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 

Selain itu, Tok Kenali juga merupakan seorang pengarang dan penterjemah. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menterjemah buku-buku Arab seperti Kitab al-Umm, Tafsir Khazin, and Tafsir Ibn Kathir. 

PONDOK Tok Kenali kekal sehingga hari ini. Antara jasa terbesar beliau adalah memperkenalkan sistem pengajian pondok.  Pondok Tok Kenali telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh agama tersohor.

Segala usaha perjuangan ulama tersohor ini dimungkinkan dengan kegiatan aktif beliau dalam bidang politik. Tok Kenali pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau termasuk dalam tokoh-tokoh penting yang telah terlibat dalam penubuhan Majlis Agama Islam, perpustakaan negeri dan sebuah jabatan percetakan kerajaan.

Tok Kenali meninggal dunia di usia 65 tahun pada hari Ahad, 2 Syaaban tahun 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi. Jenazah beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Foto: Amir Irsyad Omar, Google

Antarabangsa,

Radwa Helmy, hakim pertama tembusi tembok konservatif Mesir

RADWA Helmy telah melakar sejarah sebagai hakim wanita pertama yang berjaya duduk di atas podium Mahkamah Pentadbiran pada Sabtu lepas. 

Helmy yang muncul di Mahkamah Kaherah, merupakan antara 98 wanita yang telah dilantik tahun lepas untuk sertai Majlis Wilayah, salah satu badan kehakiman utama di Mesir susulan suatu keputusan daripada presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

“5 Mac menjadi hari bersejarah bagi wanita Mesir,” kata Maya Morsy selaku Ketua Majlis Negara untuk Wanita (NCW).

Langkah itu dilakukan menjelang Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac.

Memetik laporan berita The Guardian, wanita di Mesir telah berjuang bertahun lamanya untuk mendapatkan hak mereka.

Walaupun Mesir mempunyai ramai peguam wanita namun usaha untuk seseorang meniti tangga kehakiman dan dilantik sebagai seorang hakim bukan mudah.

Tahani al-Jabali menjadi satu-satunya hakim wanita yang dilantik dalam Mahkamah Perlembagaan pada tahun 2003. Beliau memegang jawatan tersebut hampir 10 tahun sebelum dipecat pada tahun 2012 oleh Mohamed Morsi, presiden Mesir pada waktu itu.

Meskipun tiada undang-undang yang menghalang wanita menjadi hakim, namun secara tradisionalnya, badan kehakiman di negara majoriti Islam yang konservatif itu dikuasai oleh lelaki.

Majlis Wilayah adalah sebuah badan bebas yang mengadili isu pentadbiran dan kes tatatertib. Sejak penubuhannya pada 1946, belum pernah ada wanita yang berjaya menembusi Mahkamah Pentadbiran Mesir. Bahkan pihak Majlis menolak sebarang perlantikan wanita. 

3 Oktober 2021 menjadi tarikh bersejarah apabila Presiden Abdel Fattah el-Sisi melantik 98 orang wanita sebagai hakim dalam Majlis Wilayah.

HARI bersejarah bagi 98 orang wanita yang dilantik sebagai Hakim Majlis Wilayah susulan keputusan daripada Presiden, Abdel Fattah el-Sisi pada tahun lepas.

Helmy yang berasa bangga dengan amanah yang diberikan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir dalam sebuah sidang media. Bagi beliau, keputusan bersejarah itu menjadi titik penting dalam usaha pemerkasaan wanita di negara tersebut. 

“Jangan berhenti mengejar impian anda. Dunia sedang mengalami perubahan. Berusaha memperbaiki diri supaya lebih banyak peluang akan terbuka untuk menunjukkan keupayaan wanita”, pesan Helmy kepada Wanita Mesir dalam suatu laporan berita Arab News.

Menteri Kehakiman, Omar Marwan pula menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam menyempurnakan perlantikan tersebut. Beliau menjangkakan peningkatan bilangan kehadiran wanita dalam pelbagai bahagian mahkamah pada tahun akan datang.

MENURUT Menteri Kehakiman Mesir, Omar Marwan, tahun akan datang bakal menyaksikan lebih ramai wanita dalam pelbagai sektor mahkamah.

Magda Mostafa yang memegang jawatan tinggi dalam Kementerian Pendidikan di Mesir menganggap perlantikan seperti ini adalah sebuah kejayaan bagi para wanita Mesir.

“Setiap hari, wanita Mesir membuktikan kebolehan mereka”, ujarnya kepada Arab News.

Foto: Samer Abdallah/AFP, Khaled Elfiqi/EPA, Daily News Egypt

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan
Berita Semasa,

Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan

MENURUT Islamic Republic News Agency (IRNA), masjid di seluruh dunia setakat tahun 2019 mencecah 3.85 juta buah. IRNA yang memetik laporan Al-Bayan berkata, bilangan masjid sedia ada di kebanyakan negara masih tidak mencukupi lantaran jumlah penduduk yang beragama Islam semakin meningkat di seantero benua dari semasa ke semasa. Hal itu dikatakan lebih meruncing di negara
The post Masjid jadi platform penyatuan penduduk berbilang agama di negara Eropah. Ini 5 masjid paling mahal lagi menawan appeared first on Sinar Plus.