Browsing Tag

sinar islam

masjid-pogung-dalangan-GGtHPUYx6oI-unsplash
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Ikhtiar rawat kanser dengan amalkan Surah al-Fil. Lakukan penuh yakin, sabar dan berharap agar ALLAH  sembuhkan, selain teruskan rawatan moden

TIADA sesiapa yang mahu dirinya ditimpa kesakitan. Apatah lagi jika penyakit yang menyerang itu boleh membawa maut seperti kanser. Pastinya, perasaan gerun menguasai diri dan kematian sudah membayangi diri.

Namun demikian, kudrat seorang insan sememangnya tidak mampu melawan qada dan qadar. Semua itu sudah diatur dan disusun cantik oleh-NYA sejak azali lagi.

Sejauh mana pun kita berlari, andai sudah tersurat begitu takdirnya, masanya akan tiba jua. Pun demikian, mereka yang diuji dengan kesakitan tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata.

Ketahuilah, Islam mengajar agar umatnya berikhtiar mencari penawar di atas setiap kesakitan yang dialami, selain bertawakal dan berdoa mengharapkan kesembuhan daripada-NYA.

Surah al-Fil

BERSABARLAH andai diuji dengan kesakitan dan jangan pernah menyerah begitu sahaja tanpa berusaha serta berikhtiar untuk mencari penawarnya.

Selain mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dalam perihal perubatan, ayat al-Quran dijadikan sebagai medium penting untuk pulih.

Untuk penyakit kanser misalnya, antara pendekatan rohani yang sering kali dijadikan amalan adalah dengan melazimkan bacaan Surah al-Fil saban hari. Hal itu banyak sekali dikongsikan menerusi di platform media sosial.

Apakah sebenarnya kekuatan dan keistimewaan yang tersirat dalam surah berkenaan? Seperkara lagi, benarkah penyakit kanser datang daripada gangguan jin?

Kekuasaan ALLAH SWT

Sinar Islam mewawancara pendakwah Muhammad Hadi Talhah bagi mengupas lanjut mengenainya. Sebelum berbicara lanjut mengenainya, beliau memperincikan inti pati Surah al-Fil terlebih dahulu.

MUHAMMAD HADI

Ujar beliau, surah ke-105 dalam al-Quran itu diturunkan di Makkah (Makiyyah). Ia memerihalkan tentang bagaimana ALLAH SWT bertindak ke atas tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah al-Ashram untuk meruntuhkan Kaabah.

“Abrahah sebenarnya diutuskan oleh Raja an-Najasyi untuk bertindak demikian. Ini kerana di Yaman, ada sebuah gereja besar. Mereka berpandangan, sekiranya Kaabah tidak diruntuhkan, orang tidak akan datang untuk beribadat di sana.

“Namun, kuasa ALLAH SWT mengatasi segalanya. Walaupun gajah ialah haiwan yang besar dan kuat, malangnya ia tidak boleh mendekati Kaabah, seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya.

“Bayangkan kekuasaan ALLAH SWT melindungi dan memelihara kiblat umat Islam. Akhirnya, DIA mengutuskan burung Ababil yang mana setiap burung berkenaan membawa tiga biji batu daripada neraka. Lalu, dilontarkan batu itu kepada tentera-tentera bergajah tadi menyebabkan mereka musnah bagaikan daun yang dimakan oleh ulat,” jelasnya.

Berdasarkan kisah itu, jelas Muhammad Hadi, ia membuktikan betapa hebat dan berkuasanya ALLAH SWT yang menciptakan dan menguasai sekalian alam.

Surah al-Fil

AMALKAN membaca Surah al-Fil selepas solat fardu.

“Ia sebagai satu bentuk peringatan. Rumah ALLAH sentiasa dalam peliharaan-NYA. Jangan ada usaha untuk merobohkannya,” tegasnya.

Surah itu walaupun tiada satu pun dalil yang mengisahkan tentang merawat penyakit kanser, namun ujar pendakwah itu, ia sering kali dilazimkan sebagai amalan.

Boleh dikatakan, pendekatan tersebut sebagai satu bentuk percubaan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini. Semuanya demi menghancurkan sel-sel kanser, terangnya.

Beliau menambah, terdapat beberapa tatacara tertentu untuk mengamalkannya. Antaranya, surah berkenaan dibaca pada setiap kali selepas solat fardu. Ini kerana ia antara waktu doa mudah dikabulkan oleh ALLAH.

Usai sahaja solat fardu, bacalah Surah al-Fatihah sebanyak satu kali, Surah al-Ikhlas (tiga kali), selawat ke atas nabi (tiga kali) dan kemudian diikuti dengan Surah al-Fil sebanyak 21 kali secara konsisten selama 21 hari.

“Seperkara, setiap kali membaca Surah al-Fil, hembus atau tiup pada anggota yang terkena kanser itu jika ia melibatkan penyakit di luar. Ketika hembus itu, niatlah supaya ALLAH SWT menghancurkan sel-sel kanser berkenaan seperti daun-daun yang dimakan oleh ulat.

“Seandainya kanser itu melibatkan tempat yang dalam seperti usus, limpa dan sebagainya, maka setiap kali selepas membaca Surah al-Fil, tarik nafas dalam-dalam seolah-olah kita sedang ‘masukkan’ surah itu ke dalam jasad kita.

“Lakukanlah ia dengan penuh keyakinan, sabar dan mengharapkan agar ALLAH SWT memberikan kesembuhan. Insya-ALLAH dengan keizinan-NYA, penyakit boleh pulih,” katanya.

Gangguan jin

Begitupun, Muhammad Hadi yang juga pengamal perubatan Islam menegaskan, semua usaha tersebut hanyalah sebagai asbab atau wasilah semata-mata.

“Kita hanya mampu berikhtiar merawat mengikut kaedah ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Apa-apapun ingatlah, hanya ALLAH SWT sahaja yang berkuasa untuk menyembuhkan penyakit,” katanya.

Surah al-Fil

SELAIN mengamalkan bacaan Surah al-Kahfi, teruskan mendapatkan rawatan daripada pihak yang pakar untuk kesembuhan penyakit yang dihadapi.

Pada masa sama, pendakwah itu mengingatkan agar mereka yang mengamalkannya itu teruskan berikhtiar dengan rawatan moden. Gabungan kedua-duanya adalah lebih baik.

“Di samping itu, penyakit juga boleh dirawat dengan cara bersedekah sebagaimana disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat Abu Daud sebagai satu jalan untuk sembuh.

“Jangan lupa berdoa minta supaya ALLAH sembuhkan penyakit di samping rawatan moden dan ruqyah. Kemudian, banyakkanlah beristighfar. Barangkali kita sakit akibat dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Semoga dengan istighfar penuh keikhlasan akan terangkatlah dosa-dosa tadi,” katanya.

Benarkah penyakit kanser datang daripada gangguan jin? Menjawab persoalan itu, Muhammad Hadi lantas mengiyakan, tetapi beliau menegaskan tidak semua penyakit berpunca daripada makhluk ALLAH yang satu itu.

“Ya, kadang-kadang ada juga penyakit kanser akibat daripada gangguan jin. Adakalanya jin boleh menyebabkan organ-organ kita sakit apabila ia berada di dalam badan. Jadi, kita kena buat ruqyah terlebih dahulu untuk mengesannya.

“Jika benar ada gangguan jin, besar kemungkinan ia punca kepada penyakit kronik tersebut. Seandainya tidak, ia merupakan penyakit fizikal daripada pelbagai penyebab lain antaranya faktor pemakanan, genetik dan seumpamanya.

“Maka, sebab itulah pentingnya untuk kita mendapatkan kedua-dua jenis rawatan iaitu moden dan ruqyah,” jelasnya.

Baca juga Amalkan ayat al-Quran ini untuk penawar semua penyakit. Insya-ALLAH dengan izin-NYA

Amalan segelintir ulama

Fakta yang dilontarkan oleh Muhammad Hadi turut dipersetujui oleh perawat perubatan Islam, Dr Jahid Sidek.

DR JAHID

Agamawan itu menjelaskan, inti pati Surah al-Fil sarat dengan kudrat dan iradat ALLAH menghancurkan dalam tentera Abrahah yang mahu menyerang Kaabah.

Maka, disebabkan itulah orang awam dan segelintir ulama memilih surah berkenaan untuk ruqyah, ungkapnya.

“Misalnya, para ulama yang hatinya sentiasa memandang hakikat, semua ayat al-Quran boleh digunakan untuk merawat apa jua penyakit. Ia termasuklah penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser.

“Bagi mereka, ungkapan kalimah Bismillahir rahmanir rahim sahaja pun sudah memadai sebagai doa penyembuh kepada pelbagai penyakit.

“Namun begitu, bagi orang Mukmin di luar (umpamanya orang awam), mereka tetap juga memilih ayat-ayat yang menyebut kekuasaan ALLAH atau kisah-kisah tertentu yang telah atau akan berlaku,” katanya.

Menyambung hujahnya, Dr Jahid yang merupakan pakar rujuk dalam bidang perubatan Islam itu menjelaskan, rata-rata perawat yang menggunakan Surah al-Fil sebagai wasilah menumpukan seluruh kekuatan rohani terhadap rahmat dan pertolongan ALLAH SWT. Ia terutama pada dua ayat terakhir surah berkenaan.

“Ketika itu, perawat akan membayangkan ALLAH dengan rahmat dan inayah-NYA membinasakan syaitan atau jin yang menyebabkan kanser atau apa sahaja penyakit lain.

“Ia sebagaimana ashabul fil (bala tentera bergajah) dibinasakan oleh ALLAH. Maka demikianlah juga halnya ALLAH SWT membinasakan syaitan atau jin yang menjadi penyebab kapada kanser.

“Cuma, kadangkala ada segelintir perawat akan menambahkan bacaan Surah al-Fil dengan ayat-ayat al-Quran lain antaranya Surat al-Hasyr, ayat 21 hingga 24. Malah, ada juga sesetengah daripada mereka turut menambah bacaan ayat 63 dan 64, Surah Yasin,” ujarnya.

Kepada satu soalan, Dr Jahid berkata: “Sebenarnya terlalu banyak kelebihan yang dikurniakan kepada orang Mukmin yang istiqamah mengamalkan Surah al-Fil.

“Antaranya mendapat pahala, dikurniakan pelbagai rahmat dan nimat zahir serta batin, ditakuti dan digeruni musuh, menjauhkan diri daripada godaan syaitan, selain diberi kesabaran dan ketenangan.

“Bahkan, mereka yang melazimkannya juga akan selamat dan aman daripada pelbagai penyakit zahir serta batin, dikuatkan iman, mudah memperoleh rezeki, musuh takut dan dimusnahkan oleh ALLAH serta dikurniakan kubur yang terang lagi lapang,” katanya menoktahkah bicaranya.

Al-Quran penawar jasmani, rohani umat Islam

Al-Quran bukan sahaja mukjizat agung Nabi Muhammad SAW yang diturunkan kepada umatnya untuk dijadikan pedoman hidup.

Malah, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, kalam ALLAH SWT itu sebenarnya mengandungi penawar kepada penyakit jasmani dan rohani. Ia sebagaimana disebutkan dalam kitab suci itu sendiri dan beberapa hadis masyhur.

DA’I FUAD

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berubat dengan dua ubatan iaitu al-Quran dan madu.” (Riwayat Ibnu Majah)

Firman ALLAH SWT: “Dan KAMI turunkan darial-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dengan al-Quran dan tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selaindaripada kerugian.” (Surah al-Isra’, ayat 82) 

Berdasarkan dalil berkenaan, kata Da’i Fuad, jelaslah banyak pengisian dalam kalamullah itu yang mempu memberikan ubat atau penawar kepada diri kita waima penyakit itu berkaitan rohani, jiwa mahupun jasmani.

Beliau juga mengajak kita mendasari satu peristiwa sahabat nabi, Abu Sa’id al-Khudri. Ketika Abu Sa’id memasuki sebuah perkampungan, beliau terserempak dengan seseorang yang sakit kerana terkena racun akibat digigit kala jengking.

“Abu Sa’id bingkas bangun dan membacakan Surah al-Fatihah. Dengan izin ALLAH, kesakitan orang itu semakin hilang.

“Sesungguhnya, kisah itu menjadi bukti bahawa kemampuan ayat-ayat al-Quran terhadap segala jenis penyakit termasuklah jiwa,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Da’i Fuad menjelaskan, Nabi Muhammad SAW pernah ditimpa penyakit rohani dan jasmani. Bahkan, baginda juga pernah diuji apabila disihir oleh Labid bin al-A’sam daripada Bani Zuraiq.

“Meskipun nabi tidak sihat selama 40 hari menanggung sakit, ia tidaklah menyebabkan baginda terlupa dengan riwayat atau hadis-hadis berkaitan ilmu-ilmu agama ALLAH SWT. Baginda tetap menghadapinya dengan sabar.

“Sehinggalah apabila nabi hampir hilang kekuatan untuk meneruskan baki kehidupannya, baginda memohon kepada ALLAH SWT dengan membaca surah al-Mu’awwidzatain iaitu Surah al-Falaq dan Surah an-Nas.

“Baginda membaca kedua-dua surah itu agar diberikan kesembuhan dan menjauhkannya daripada kesakitan, selain bala bencana,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Fuad menjelaskan: “Mengambil sepotong atau beberapa ayat al-Quran bagi rawatan perubatan itu adalah diharuskan kerana para anbia, rasul-rasul dan orang yang soleh juga berbuat demikian dalam kehidupan mereka.

“Bahkan, orang soleh terdahulu ‘menzikirkan’ al-Quran hingga ayat suci itu menjadi syifak dan merawat semua jenis penyakit sama ada jasmani mahupun rohani.”

Surah al-FilANEKDOT

ANTARA ayat al-Quran boleh diamalkan ketika sakit

– Sebelum merawat segala jenis penyakit, ambil dahulu faedah daripada ujian tersebut.

– Meskipun ada sebahagian penyakit yang membuatkan kita ‘lumpuh’ seketika untuk menjalani kehidupan, ketahuilah bahawa ia sebenarnya mendidik seseorang untuk lebih dekat dengan ALLAH SWT.

– Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman-NYA: “Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan ALLAH (dengan iman dan taat).” (Surah al-Insan, ayat 29)

– Demikian ayat yang memberi kekuatan kepada kita. Apabila kita beramal dengannya, ia boleh menangkis apa sahaja jenis penyakit dalam kehidupan.

– Sebenarnya ada banyak amalan para alim ulama yang mengkhususkan beberapa penyakit dengan menggunakan beberapa ayat al-Quran tertentu.

– Antaranya, ayat yang boleh diguna pakai bagi merawat 1,001 jenis penyakit adalah ayat 80, Surah al-Syu’ara’.

– Ayat itu berbuyi: “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku”. Amalkan sebanyak 21 kali selepas solat dan zikir untuk diniatkan agar kita keluar daripada kesakitan dan diberikan kesembuhan oleh ALLAH SWT. Insya-ALLAH, DIA akan memberikan ubat daripada jalan-jalan yang diizinkan dalam agama suci ini.

– Selain itu, digalakkan juga untuk mengamalkan ayat 82, Surah al-Isra’ iaitu “Dan KAMI turunkan darial-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang berimandengan al-Quran dan tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selaindaripada kerugian.”

– Demikian antara ayat al-Quran yang acap kali digunakan oleh majoriti kebanyakan ulama ketika ingin merawat pelbagai jenis penyakit dalam kehidupan mereka.

Sumber: Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar

 Foto: Freepik & Unsplash

 

samantha-gades-RHAtRIT3-CE-unsplash
Berita, Dari Fail Mahkamah Syariah,

Gara-gara nikah sindiket, anak dapat bahana

PERASAAN cinta sememangnya lumrah bagi setiap insan. Namun, ia haruslah diterjemahkan dan disemai mengikut saluran yang betul. Ini kerana cinta itu buta dan tidak mengenal siapa pun.

Demikian yang dirasakan oleh Syamsul Sulaiman (bukan nama sebenar). Lelaki itu sebenarnya sudah berkahwin dan memiliki seorang anak. Namun, entah apa yang merasuk fikirannya, dirinya kembali jatuh cinta dengan wanita lain.

Entah mengapa sukar benar Syamsul mahu menidakkan rasa sayangnya dengan seorang janda, Suhaila Ariffin (bukan nama sebenar) biarpun baru mengenalinya selama empat bulan.

Bukannya lelaki itu tidak sayangkan isterinya. Barangkali kerana terlalu tunduk dengan desakan hati, beliau akhirnya memilih untuk memperisterikan Suhaila sebagai isteri kedua.

Lalu, pernikahan diaturkan. Oleh sebab tidak mendapat restu keluarga, mereka bernikah menggunakan wali hakim di sebuah negeri di selatan tanah air. Perkahwinan itu disifatkan pasangan itu sah kerana menggunakan jurunikah bertauliah. Tambahan pula, Suhaila seorang janda. Jadi, prosedurnya tidaklah serumit mana. Mereka juga diberi sijil nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Nikah sindiket

Sepertimana pasangan lain, kehidupan mereka diulit bahagia. Biarpun Syamsul terpaksa membahagikan masanya dengan adil dengan isteri pertamanya, Suhaila tidak kisah kerana sedar status dirinya.

Kehidupan mereka semakin bertaut erat apabila diserikan lagi dengan kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih. Syamsul dan Suhaila dikurniakan seorang bayi lelaki yang comel.

Pada masa itu, barulah Syamsul dan Suhaila seakan tersedar sesuatu. Mereka dihambat rasa ragu-ragu tentang status anak tersebut. Masakan tidak, pasangan itu berkahwin dengan wali hakim dan tidak mendapat persetujuan bapa Suhaila. Syamsul juga berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya.

Sebelum menasabkan bayi lelaki itu, kedua-dua mereka sepakat untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah syariah untuk pengesahan taraf anak.

Dalam kes pasangan itu, mahkamah syariah terlebih dahulu melihat proses perkahwinan tersebut sama ada mengikut rukun dan syarat-syarat sah nikah. Namun, Syamsul dan Suhaila gagal mengemukakan sebarang saksi.

Bagaimanapun, hakim telah menggunakan kaedah syarie. Jurunikah berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan. Rupa-rupanya, ketika tarikh pernikahan itu, beliau sudah menamatkan perkhidmatan sebagai jurunikah. Malah, nombor kad pengenalan dan nama jurunikah itu juga dieja dengan salah. Bahkan, surat nikah itu juga diperakui palsu oleh pihak JAIN.

Setelah meneliti semua pengesahan autoriti pihak berwajib, mahkamah memutuskan perkahwinan tersebut tidak menepati kehendak rukun dan syaratsyarat sah nikah. Hakim juga berpendapat, Syamsul dan Suhaila tertipu dengan pernikahan tersebut. Mahkamah juga menganggap bahawa pernikahan tersebut merupakan satu sindiket nikah yang menjalankan operasi tanpa mengenal mangsa.

Oleh sebab status perkahwinan itu tidak sah, mahkamah tidak boleh mensabitkan nasab anak tersebut sebagai anak sah taraf kepada bapanya. Oleh itu, kes itu telah diketepikan dan permohonan ditolak.

Nikah sindiketBaca juga Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

Mendengar keputusan itu, Syamsul dan Suhaila dihantui rasa sesal akibat kejahilan masing-masing. Apatah lagi apabila mengenangkan masa depan anak yang tidak berdosa itu.

Wajib dapatkan permohonan wali hakim di mahkamah

Kurang pengetahuan agama dan tunduk dengan keinginan menurut hawa nafsu menyebabkan kebanyakan pasangan mengambil langkah mudah dengan berkahwin lari atau terjebak dengan pernikahan sindiket.

Itu yang terjadi ke atas pasangan Syamsul Sulaiman dan Suhaila Ariffin (kedua-duanya bukan nama sebenar).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, walaupun pasangan itu tidak tahu atau tertipu dengan ejen yang menjalankan operasi sindiket pernikahan, ia bukanlah ‘tiket’ untuk menentukan kesahan suatu perkahwinan.

FAZRU ANUAR

“Perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak menepati rukun dan syarat sah nikah berkaitan wali. Kejahilan dalam agama atau sesuatu ilmu tidak boleh menjadi penyebab suatu kesalahan itu dibenarkan.

“Selain itu, mereka juga tidak mengikuti proses yang betul dalam menjalankan pernikahan. Tidak salah bagi Syamsul jika mahu berpoligami, namun perlulah mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu,“ katanya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 22 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu.

Ditanya tentang syarat-syarat yang membolehkan penggunaan wali hakim, pengamal undang-undang itu menjelaskan, ia boleh digunakan jika wali enggan menikahkan.

Begitu juga halnya apabila bakal pengantin wanita tiada wali nasab, wali qarab (terhampir) yang tidak cukup syarat-syarat, ketiadaan wali ab’ad dan perkahwinan melibatkan anak tidak sah taraf atau anak angkat, jelasnya.

“Seseorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu Islam, adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang daripada menguruskan hartanya kerana boros dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.

“Oleh itu, jika dalam situasi seseorang wali aqrab itu tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan untuk menjadi wali dan tiadanya wali ab’ad, maka wali hakim boleh digunakan,” katanya.

Begitupun, bagi setiap perkahwinan yang menggunakan wali hakim, permohonan hendaklah dibuat terlebih dahulu ke mahkamah syariah melalui Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan dengan menyatakan alasan-alasan berbuat demikian.

Nikah sindiket

“Secara prosedurnya, wali hakim terdiri daripada pegawai awam yang dilantik khas oleh sultan sebuah negeri. Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan alasan-alasan permohonan wali hakim, perintah untuk membenarkan perkahwinan dan pelantikan wali hakim akan dikeluarkan,” ujarnya.

Kepada pasangan yang mahu berkahwin, Fazru Anuar menasihatkan, elakkanlah bernikah di luar Malaysia. Jika wali enggan menikahkan, buatlah permohonan perkahwinan menggunakan wali hakim di Mahkamah Syariah.

“Sekiranya terdapat apa-apa masalah atau isu berbangkit, boleh segera berunding dan minta nasihat daripada mana-mana peguam syarie atau pegawai di Pejabat Agama Islam. Elakkan meminta nasihat daripada pihak yang tidak berkelayakan,“ nasihatnya.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-arif-id-3861471
Isu,

Berhijab tak susah, namun wanita sukar istiqamah

SEMPENA HARI HIJAB SEDUNIA  (SIRI 2)

PENDAKWAH Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi menyifatkan berhijab itu tidak susah, namun inti pati paling sukar adalah bagaimana untuk kekal istiqamah.

Ini kerana katanya, syaitan akan berterusan dan tidak akan duduk diam sebaik melihat seorang Muslimah mula memakai hijab.

Berdasarkan firman ALLAH: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.“ (Surat Hud, ayat 112)

Ustaz Ahmad Lutfi

USTAZ Ahmad Lutfi menyifatkan berhijab tidak susah, namun inti pati paling sukar adalah untuk kekal istiqamah.

Sehubungan itu, kata pendakwah berkenaan, seseorang yang ingin berubah perlu berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan segala perkara yang boleh menjuruskan diri mereka kembali kepada keadaan asal.

“Kehidupan di dunia penuh dengan dugaan, maka kaedah pertama untuk seseorang kekal istiqamah adalah berdiri di jalan ALLAH dengan memohon doa kepada-NYA sama seperti yang Rasulullah SAW lakukan.

“Manusia diciptakan tak ada yang sempurna. Baginda pernah katakan bahawa sekuat-kuatnya seorang manusia, dia tidak akan mampu beristiqamah sebenar-benarnya istiqamah,“ terang beliau.

Berikut saranan Ustaz Ahmad Lutfi untuk Muslimah kekal istiqamah dalam menutup aurat dan bertudung secara sempurna:

1 Mengingati mati
Renungkan apakah kita menunggu kain kafan yang akan menjadi hijab yang pertama dan terakhir?

2 Menghitung nikmat ALLAH

tudung
Renungkan betapa banyak nikmat ALLAH beri. Sungguh tidak terhitung banyaknya. Dari situ, kita harus berfikir begitu banyak DIA memberikan nikmat dan apa yang kita minta, tetapi ketika ALLAH meminta berhijab, mengapa kita ingkar?

3 Bergaul orang beriman
Berkumpul dengan golongan yang menitikberatkan ajaran agama Islam. Belajar untuk istiqamah, kuatkan iman dan ucapkanlah ‘selamat tinggal‘ untuk segala keburukan dan perkara sia-sia.

4 Berubah mengikut kemampuan
Melakukan amalan baik sudah pasti diberikan ganjaran hebat daripada ALLAH. Ramai beranggapan jika ingin berubah ia perlu dilakukan secara drastik. Sebenarnya, amalan paling dicintai ALLAH ialah amalan yang sedikit, tetapi berterusan.

tudungSabda Rasulullah SAW: “Aishah bertanya kepada Nabi SAW: Amalan apakah yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab; ‘Yang dikerjakan terus-menerus walaupun sedikit. Baginda juga bersabda: ‘Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian.‘“ (Sahih Al-Bukhari).

5 Doa senjata orang mukmin
Pernah suatu ketika seorang lelaki berjumpa dengan Syeikh Ramadhan Al-Buti lalu bertanyakan mengenai perilakunya yang sentiasa melakukan maksiat sehinggakan merasai ‘kelazatan‘ perbuatan itu.

Menangis Syeikh Ramadhan mendengar keluhan pemuda itu. Lalu dia berkata:
“Wahai pemuda janganlah engkau mengadu kepadaku, tetapi mengadu kepada ALLAH yang MAHA MENDENGAR, MAHA MENGETAHUI.“

Baliklah pemuda itu kerumah. Selang beberapa bulan pemuda itu datang semula kepada Syeikh Ramadhan dan berkata: “Wahai Syeikh sesungguhnya pada waktu aku mengadu kepada engkau, aku merasai kelazatan melakukan maksiat, tetapi hari ini aku merasai kemanisan dalam ibadah.“

ANEKDOT
BEZA antara jilbab dan khimar

– Hijab bukan hiasan, tetapi menjadi ‘gaun kehormatan’.
– Hijab terbahagi pada jilbab dan khimar (kerudung).
– Secara ringkas, lilbab merupakan pakaian longgar dan labuh yang menutup secara keseluruhan sehingga tidak menampakkan sebarang bentuk tubuh.
– Sementara itu, khimar pula menutup kepala, leher hingga bahagian dada wanita dari belakang dan depan termasuk tulang selangka.

Sumber: Pendakwah Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi

Foto: Canva, Freepik & Pexels

habib-dadkhah-REBIdR3c2DE-unsplash
Isu,

Turban, tudung pendek nampak dada berdosa. Tidak ikut syariat Islam

SEMPENA HARI HIJAB SEDUNIA (SIRI 1)

DUNIA milenial sekarang memang bermacam ragam. Apabila menyentuh perihal aurat, pendakwah mahupun agamawan sangat kecewa. Masakan tidak, dunia fesyen Muslimah disifatkan semakin tercemar dan tergelincir daripada landasan agama.

Pada masa kini, ramai yang memakai hijab, tetapi ibarat bertelanjang lantaran pemakaian mereka tidak sesuai dengan syariat Islam. Rata-ratanya hanya mengundang tabarruj iaitu berhias secara berlebih-lebihan sehingga mendedahkan aurat.

Bercerita tentang aurat, penulis ingin kongsikan satu situasi yang dialami oleh rakan yang dikenali sebagai Rozie, 30. Dipendekkan cerita, beliau memiliki segala-galanya, daripada kediaman sendiri sehinggalah kenderaan mencecah ratusan ribu ringgit.

Pun demikian, terdapat satu perkara yang membuatkan beliau buntu. Tidak lain tidak bukan, soal jodohnya yang masih terawang-awang. Biarpun memasang impian untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun, tetapi bayangan untuk melayari bahtera perkahwinan masih lagi samar.

Secara ringkasnya, Rozie merupakan seorang yang berperibadi mulia dan kuat bersedekah. Cuma, dirinya masih belum menutup aurat secara sempurna. Beliau hanya memakai selendang.

tudungApabila Rozie mengaudit kembali dirinya, beliau menyedari, antara faktor mengapa doanya tidak dimakbulkan oleh ALLAH SWT mungkin disebabkan pemakaiannya yang tidak patuh syariah.

“Boleh jadi juga ya mengapa doa saya lambat. Meskipun bertudung, kadangkala baju yang saya pakai menampakkan bentuk badan,“ akuinya yang kini sedikit demi sedikit berusaha mematuhi cara menutup aurat yang sebenar dalam meraih keberkatan hidup.

Adakah benar andaian wanita itu? Adakah trend fesyen terkini telah mengundang banyak perbuatan tabarruj yang boleh menjerumuskan ramai wanita ke dalam neraka jahanam?

Maruah
Merungkai lanjut mengenainya, Sinar Islam mendapatkan pandangan pendakwah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood atau lebih dikenali sebagai Ustazah Siti Nor Bahyah.

Menurutnya, secara asasnya Muslimah harus memahami asbab ALLAH memerintahkan wanita wajib menutup aurat kecuali pada muka dan kedua-dua telapak tangan.

“Ini disebabkan Islam amat memuliakan wanita. ALLAH menciptakan kaum Hawa dengan pelbagai keistimewaan untuk menjaga dan memelihara kehormatan, kesopanan dan maruah diri. Justeru, menerusi pemakaian sempurna, secara tidak langsung ia menunjukkan keperibadian seseorang. Disebabkan itu, ALLAH SWT menegaskan sebaik-baik pakaian adalah takwa.

“Sesungguhnya, takwa akan melindungi pemakainya daripada azab api neraka, maka salah satu bentuk pelaksanaan takwa kepada-NYA, golongan wanita wajib menutup aurat,“ katanya yang turut mengajak kita menyelami makna di sebalik ayat daripada Surah al-A‘raaf.

tudung USTAZAH Siti Nor Bahyah

USTAZAH Siti Nor Bahyah menjelaskan, pemakaian turban, tudung singkat menampakkan dada tidak boleh dikategorikan bertudung mengikut syariat.

Firman ALLAH SWT: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).“ (Surah al-A‘raaf, ayat 26)

Kata Ustazah Siti Nor Bahyah lagi, wanita yang sudah mencapai akil baligh diwajibkan menutup aurat seperti dianjurkan syariat.

Dalam Hadis Imam Abu Daud, Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda mengenai batasan aurat wanita. Seperti yang tercatat dalam hadis itu, Asma binti Abu Bakar pergi menemui Rasulullah SAW dalam berpakaian nipis.

Maka, Nabi Muhammad Rasulullah SAW berpaling daripadanya lalu berkata: “Wahai Asma! Sesungguhnya jika seseorang wanita itu telah mencapai masa haid (sudah baligh), tidak baik baginya jika ada bahagian tubuhnya yang terlihat kecuali ini (menunjukkan wajah dan telapak tangannya).“

Justeru, kepada ibu bapa, mereka wajib menyarankan anak agar berpakaian sopan seawal usia sembilan tahun.

Seperti yang dibincangkan, era moden kini menyaksikan wanita Islam terikut-ikut dengan elemen fesyen yang meminggirkan peraturan agama yang digariskan dalam Kalamullah. Hal tersebut turut mendapat perhatian Ustazah Siti Nor Bahyah.

Demikian kata dua pendakwah berkenaan: “Bertudung wajib mengikut syariat, bukan bersandarkan trend fesyen semata-mata!“

Pernyataannya itu selari dengan kandungan ayat 31, Surah an-Nur yang menjelaskan, wanita tidak boleh menzahirkan perhiasan tubuh, sebaliknya perlu melabuhkan tudung sehingga menutupi dada.

“Pastikan pakaian yang dipakai tidak jarang, tidak nipis dan tidak ketat termasuk tudung yang tak menampakkan leher dan dada,“ katanya.

tudung

WANITA diwajibkan bertudung kerana perintah agama, bukannya bermegah dengan tabarruj sehingga menarik perhatian insan sekeliling.

Ujar Ustazah Siti Nor Bahyah, sesungguhnya, wanita yang menjaga kehormatan diri dan memelihara maruah termasuk dalam lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam Surah al-Ahzab, ayat 59, ALLAH SWT berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI.“

Tabarruj
Pendakwah itu turut memberikan komentarnya mengenai pemakaian turban dalam kalangan wanita Muslimah.

“Memakai turban atau skarf pendek hingga menampakkan leher sama sekali tidak boleh dikategorikan sebagai bertudung mengikut syariat. Ia mendatangkan dosa,“ katanya.

Menyentuh hal tersebut, beliau lantas mengimbas kembali peristiwa rombongan wanita daripada suku Bani Tamim yang menziarahi Saidatina Aisyah RA dengan berpakaian nipis.

Saidatina Aisyah RA secara terang-terangan berkata kepada mereka: “Jika kamu sekalian wanita Mukmin iaitu beriman dengan sebenar-benar iman, maka pakaian-pakaian yang kamu pakai ini bukanlah daripada orang beriman‘.“

Sama juga halnya pada zaman ini, kata Ustazah Siti Nor Bahyah. Kaum Hawa memakai hijab, namun digayakan dengan baju-T lengan pendek dan seluar denim sendat.

“Ingat ya wahai di luar sana, menutup aurat bukan sekadar bertudung, tetapi ia meliputi pelbagai segi. Mereka yang mempraktikkan corak pemakaian sedemikian adalah wanita yang hanya mengikut trend, bukannya berpandukan Islam,“ jelasnya.

Sementara itu, Dr Anisah Abdul Ghani daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) turut melontarkan pandangannya mengenai pemakaian hijab pada zaman urbanisasi ini.

tudung dr anisah

DR ANISAH menyatakan tidak salah menggayakan tudung ikut trend semasa asalkan dari kepala hingga bahagian kaki ditutup sempurna.

Katanya, tidak salah menggayakan tudung mengikut selera terkini, namun jangan sesekali menyalahi syarak. Beliau juga memahami, stail gaya tudung di setiap negara berbeza-beza

“Boleh tiru gaya mereka, namun ingin saya tegaskan, pastikan ia mematuhi syariat iaitu dari kepala hingga kaki harus ditutup dengan helaian pakaian potongan longgar baik tudung, baju mahupun seluar.

“Kita wanita diwajibkan memakai tudung kerana perintah agama, bukannya bermegah dengan tabarruj sehingga mendedahkan aurat dan menarik perhatian insan sekeliling. Ia berdosa,“ katanya.

Dr Anisah juga tidak bersetuju dengan persepsi sesetengah wanita yang menyifatkan berhijab secara sempurna merupakan kelompok ketinggalan zaman.

“Meskipun kita sedang meniti arus modenisasi, tidak seharusnya timbul isu ‘kekampungan‘ apabila wanita memperbaiki diri dengan bertudung litup.

“Mengapa perlu gusar jika dilabel ketinggalan zaman, walhal pada hari ini, ramai wanita intelektual dan bertamadun merupakan mereka yang mengenakan hijab mengikut syariat? Jadikan ia contoh kerana dalam mengejar duniawi, mereka tetap menjaga penampilan atas batas syarak,“ katanya lagi.

tudung

TEPIS persepsi wanita tampak ‘kekampungan’ apabila sedang berusaha memperbaiki diri dengan bertudung litup.

Kepada wanita yang sudah berkahwin, bantulah suami dengan menutup aurat kerana kecantikan anda itu hanya untuk si suami. Sementelah golongan bujang pula, lakukanlah jika sayangkan ibu dan ayah, ujar beliau.

“Golongan ibu bapa jangan berputus asa memanjatkan doa kepada ALLAH agar membuka hati anak perempuan yang telah cukup umur untuk memakai tudung,“ katanya.

Sebelum menutup bicara, Dr Anisah sempat menitipkan pesanan buat Muslimah yang mengalami situasi terpaksa membuka tudung atas desakan majikan di tempat kerja.

tudung

WANITA dinasihatkan supaya mencari pekerjaan yang mana pihak manjikan membenarkan mereka bertudung.

“Sebaik-baiknya wanita terbabit berbincang dengan pihak majikan akan keperluan Muslimah menutup aurat atas tuntutan agama,“ katanya.

Bagaimanapun, sekiranya pihak pengurusan masih tidak mengizinkan, maka wanita tersebut perlu segera meninggalkan pekerjaan itu sejurus mendapat kerja lebih baik demi kemaslahatan diri dan agama.

“Ingat, keberkatan sumber pendapatan kita bersangkut paut dengan pekerjaan yang kita lakukan. Yakinlah dan bergantung pada ALLAH kerana DIA yang mengurniakan rezeki, bukannya manusia,“ katanya.

ANEKDOT
ANTARA Kesilapan wanita mengenai aurat
– Aurat itu memakai tudung sahaja.
– Bertudung, tetapi mengenakan baju-T lengan pendek.
– Bertudung, tetap memakai baju kebarung atau kebaya terbelah di bahagian tengah.
– Bertudung, tetapi memakai baju sendat, sempit dan nipis lalu menampakkan bentuk tubuh.
– Bertudung, tetapi longgar tudungnya hingga sengaja menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
– Bertudung, tetapi hanya memakai di pejabat sahaja. Tanggalkan tudung apabila ke pasar raya.
– Bertudung, tetapi tudung dilempar ke belakang leher, maka terdedah belahan dada daripada ditutupi kain tudung.
– Bertudung, tetapi mengenakan tudung nipis hingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dada.
Sumber: jakimsabah.islam.gov.my

Foto: Freepik, Canva & Unsplash

masjid-maba-QhzQfD0ihnI-unsplash
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Jangan sombong, berdoalah hanya ALLAH SWT mampu memenuhi kehendak manusia

BERSAMA DR MOHD NASIR MASROOM
Timbalan Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia

DALAM meniti kehidupan di dunia serba mencabar ini, manusia tidak mampu hidup bersendirian tanpa meminta pertolongan daripada manusia lain.

Namun begitu, adakalanya kita berdepan dengan situasi yang mendukacitakan apabila tiada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan, apatah lagi jika kita tidak berharta, tiada pangkat mahupun pengaruh.

Sebenarnya, hanya ALLAH SWT yang mampu memenuhi segala kehendak manusia. DIA TUHAN MAHA AGUNG, MAHA KUASA, MAHA KAYA, MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG kepada setiap mahkluk-NYA.

Firman ALLAH SWT: “Berdoalah kamu kepada-KU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Ghafir, ayat 60).

Ayat tersebut secara jelas menyebut tentang janji ALLAH yang akan memperkenankan setiap permintaan hamba-NYA yang berdoa. Bukankah sebagai umat Islam, kita wajib yakin bahawa janji ALLAH adalah benar? Pun demikian, sejauh manakah keyakinan kita terhadap janji itu?

Hakikatnya, tahap keyakinan bergantung pada keimanan seseorang terhadap apa yang dipercayainya. Tahap keyakinan iman pula, dinilai berdasarkan keimanan kepada keagungan, kebesaran dan kekuasaan mengharapkan reda daripada-NYA, bersungguh-sungguh dan ikhlas mengerjakan ibadah.

Sesungguhnya, berdoa kepada ALLAH, manusia tidak akan sesekali rugi. Jika kita mendapat perkara yang dipohon, maka ia adalah satu keberuntungan.

Bagaimanapun, jika tidak diberi sekalipun, ia juga satu keuntungan kerana akan diganti dengan pahala memandangkan berdoa adalah satu ibadah. Perkara yang diminta itu akan diberi pada hari akhirat kelak.

Jika manusia tidak berdoa, ia sekali gus menggambarkan sifat sombong mereka kerana diri merasakan tidak memerlukan pertolongan daripada ALLAH.

doa

DR MOHD NASIR menitipkan dalam konteks seorang mukmin, ALLAH SWT satu-satunya Tuhan layak disembah dan berdoa agar dihapuskan kesusahan yang sedang ditanggung.

Ketahuilah, berdoa merupakan fitrah manusia terutamanya apabila kita berada dalam keadaan sukar, musibah atau terdesak. Dalam keadaan seperti itu lazimnya, manusia akan mencari kekuatan diri dengan berdoa.

ALLAH SWT berfirman: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang menderita apabila dia berdoa kepada-NYA dan yang menghapuskan kesusahan serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan lain bersama-sama ALLAH? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat ALLAH itu).“ (Surah al-Naml, ayat 62)

Dalam ayat tersebut, terdapat dua perkataan perlu direnungi iaitu ‘orang yang menderita (al-mudtharra)‘ dan ‘yang menghapuskan kesusahan‘.  Secara jelas, ALLAH bertanya siapakah yang akan memperkenankan doa orang menderita?

Doa seiring ikhtiar

Ini menunjukkan apabila manusia berada dalam kesengsaraan dan kesulitan, mereka akan berdoa kepada Tuhan yang dipercayai dan diimani.

Dalam konteks seorang mukmin, ALLAH SWT satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan diminta segala harapan serta doa agar dihapuskan kesusahan yang sedang ditanggung.

Terdapat beberapa lagi ayat al-Quran yang menyebut bahawa berdoa kepada ALLAH SWT adalah fitrah manusia. Antaranya dalam Surah Yunus (ayat 12) dan Surah Az-Zumar (ayat 8 dan 48).

Rasulullah SAW sebenarnya telah mengajar pelbagai bentuk doa berdasarkan satu peristiwa, keadaan, tempat dan masa-masa tertentu. Ia bermula dari detik baginda bangkit daripada tidur sehinggalah kembali ke tempat tidur semula.

Doa seiring ikhtiar Ini menunjukkan bahawa doa bukanlah sekadar amalan harian yang perlu dilakukan, tetapi terdapat kelebihan yang akan mencetuskan kekuatan dan harapan kepada seseorang.

Hal itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa seorang mukmin perlu berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada ALLAH SWT yang merupakan Pencipta kerajaan di langit dan di bumi.

doa

BERDOA merupakan fitrah manusia terutamanya apabila kita berada dalam keadaan sukar, musibah atau terdesak.

Pun demikian, sayangnya, sebahagian individu di alam semesta ini beranggapan doa tidak memberi implikasi besar dalam kehidupan mereka.

Mereka berdoa, tetapi secara acuh tidak acuh, seadanya sahaja atau langsung mengendahkannya. Golongan seperti itu berpendapat, kejayaan dan kegagalan bukan ditentukan dengan doa, tetapi usaha bersungguh-sungguh.

Ternyata, tanggapan itu silap sama sekali! Ini kerana doa dan ikhtiar dituntut dilakukan serentak! Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Ini bermaksud, berdoa kepada ALLAH SWT, sama penting dengan usaha.

Ketahuilah, berusaha sedaya upaya, namun meninggalkan doa merupakan perbuatan menjerumuskan diri dalam kepompong keangkuhan diri yang hanya merugikan.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka): ‘Sesungguhnya AKU (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU, maka hendaklah mereka menyahut seruan-KU (dengan mematuhi perintahKU), dan hendaklah mereka beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul.“ (Surah al-Baqarah, ayat 2).

doa

SAYANGNYA, sebahagian individu beranggapan doa tidak memberi implikasi besar dalam kehidupan mereka.

Ayat berkenaan antara lain menjelaskan, ALLAH SWT hampir dengan hamba-NYA terutamanya ketika sedang berdoa. Bagi mereka yang menghadapi kesulitan hidup, inilah saatnya untuk hampir kepada ALLAH melalui amalan berdoa, berharap dan meminta kepadaNYA.

Mengapa doa tidak dimakbulkan ALLAH SWT? Ketika Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni orang ramai. Ada yang bertanya, mengapakah doa mereka tidak dikabulkan oleh Allah, sedangkan mereka selalu berdoa kepadaNYA? Beliau menjawab: “…kerana hati kamu buta disebabkan 10 perkara.“

10 perkara itu adalah:

1. Kamu mengenal ALLAH, tetapi kamu tidak menunaikan hak-NYA.
2. Kamu sangka cinta kepada Rasulullah SAW, tetapi telah meninggalkan sunnahnya.
3. Kamu membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengannya.
4. Kamu makan dan kecapi nikmatnikmat ALLAH, tetapi tidak mensyukurinya.
5. Kamu berkata syaitan itu musuh, tetapi tidak menentangnya.
6. Kamu berkata syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.
7. Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8. Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
9. Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
10. Kamu kebumikan mayat-mayat, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Rasulullah SAW juga ada menyebutkan keadaan doa yang akan dimakbulkan ALLAH SWT. Daripada Abi Umamah baginda bersabda: “Rasulullah SAW pernah ditanya, bilakah waktu berdoa paling didengari? Baginda menjawab, ketika separuh malam kedua dan sesudah solat-solat diwajibkan (solat lima waktu).“ (Riwayat al-Tirmizi)

Baginda SAW bersabda lagi: “Doa tidak ditolak di antara azan dan iqamat.“ (Riwayat al-Tirmizi). Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW pernah bersabda tiga golongan dikabulkan doanya iaitu doa orang dizalimi, doa musafir dan doa ibu bapa kepada anak-anaknya.“ (Riwayat
al-Tirmizi dan Abu Daud)

Berdasarkan keterangan berikut, jelaslah doa boleh dipohon pada bila-bila masa sahaja, terutamanya pada waktuwaktu tertentu seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Foto: Freepik, 123rf & Unsplash

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

a

sejadah
Agama,

[VIDEO] Kaedah yang betul lupuskan sejadah lama…

SETIAP kali menunaikan solat, kebanyakan kita gemar menggunakan sejadah sebagai alas tempat solat.

Masakan tidak, kita sudah terbiasa menggunakannya sejak mula-mula diajar untuk menunaikan ibadah fardu berkenaan.

Malah, apabila menunaikan kewajipan itu di mana-mana, sejadah tetap akan digunakan. Bahkan, ada yang sanggup mengusung sejadah ke mana-mana sebagai kemudahannya untuk solat.

Apatah lagi, ketika musim pandemik Covid-19 kini, semua orang perlu membawa sejadah masing-masing jika ingin mengerjakan solat di rumah ALLAH.

Seandainya sejadah yang biasa kita gunakan sudah lama dan usang, bagaimanakah caranya untuk kita melupuskannya?

Bolehkah ia dibuang begitu sahaja? Apakah kaedah terbaik melupuskan sejadah tadi?

Jelas pendakwah Ustazah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen, sejadah yang lazimnya menjadi alas tempat kita bersujud itu diperbuat daripada kain dan benang.

DA’I ADNEEN

Justeru, jika ingin melupuskan sejadah lama atau sudah lusuh, boleh sahaja kita membuang alas solat berkenaan sebagaimana kita membuang pakaian yang telah lusuh, ujarnya.

“Namun, kita perlu pastikan bahawa sejadah yang ingin dilupuskan itu tidak mengandungi ayat-ayat al-Quran.

“Selain itu, kita dibolehkan untuk membakar sejadah tersebut atau mengitar semula sejadah tersebut,” jelas beliau.

Apa-apapun sebelum membuang sejadah lama, pastikan terlebih dahulu alas yang menjadi tempat sujud kita tidak mengandungi kalam ALLAH.

Lupus sejadah lamaIni kerana kita tidak boleh sembarangan membuang apa sahaja barang yang mengandungi ayat-ayat ALLAH begitu sahaja. Ada kaedah yang diajarkan oleh Islam untuk melupuskannya.

Baca juga Hukum mencium al-Quran, ramai yang masih keliru tentang perkara ini. Jom hadamkan penjelasan pendakwah ini

Foto: Freepik & Bernama

josh-appel-NeTPASr-bmQ-unsplash
Gaya Hidup, Panduan,

Boleh gunakan duit anak untuk keperluan semasa mereka kalau terdesak. Tapi ambil tahu dulu apa situasinya…

AMALAN menabung sememangnya sudah kita pratiskan sejak dari kecil lagi. Semua itu hasil didikan ibu bapa dan keluarga.

Maka, tidak hairanlah apabila usia telah meningkat dewasa dan punya keluarga sendiri, amalan itu sudah menjadi kelaziman buat kita.

Malah, kita akan semakin bersemangat untuk menyimpan wang apabila dikhabarkan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Namun, kehidupan manusia kadangkala ada pasang surutnya. Barangkali ada suatu masa hidup kita sedang diuji dengan kekangan kewangan.

Guna duit anakPada masa itu, teringat pula duit tabungan yang dibuat untuk anak. Apatah lagi jumlah simpanan tersebut semakin meningkat, ditambah lagi dengan duit anak hasil pemberian orang setiap kali Hari Raya. Ia membuatkan jumlah tabungan mereka adakalanya lebih banyak daripada kita.

Andai kata kita dalam kesempitan dan terdesak, bolehkah kita menggunakan wang anak tadi untuk keperluan mereka seperti yuran persekolahan?

Mengulas lanjut, pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menjelaskan, pada asalnya, kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain sepertimana yang disebut dalam nas.

DR MOHAMAD FITRI

“Perkara itu adalah jelas tidak boleh dilakukan walaupun ia hak isteri, ibu, bapa dan anak sendiri.

“Namun, perkara yang asalnya tidak boleh digunakan, ada keringanan dalam hal-hal tertentu,” katanya.

Jelas beliau lagi, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk ibu bapa mengambil duit milik anak.

“Situasi pertama adalah jika wang yang digunakan tadi tidak memudaratkan anak.

Guna duit anak

“Kedua, jika anak kita belum baligh lagi, tiada masalah untuk ibu bapa menggunakan wang mereka untuk keperluan semasa anak. Misalnya, ibu bapa pada masa itu tiada wang untuk bayar yuran sekolah anak.

“Jadi, dibolehkan orang tua menggunakan wang anak-anak demi memenuhi keperluan tersebut sahaja,” jelasnya.

Baca juga Boleh guna duit raya anak, tapi jangan sampai memudaratkan mereka

Seandainya anak-anak sudah berakal, Dr Mohamad Fitri menitipkan pesan agar ibu bapa perlu meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan duit mereka.

“Itulah yang sebaik-baiknya,” jelas beliau lagi.

Walaupun taraf kita sebagai ibu bapa lebih tinggi daripada anak, usahlah gunakan tiket itu sebagai alasan untuk kita sewenang-wenangnya menggunakan duit mereka.

Foto: Freepik

quran hour
Berita, Berita Semasa,

Ini sebab pemilihan Surah al-Mulk jadi tema program interaksi dengan al-Quran dan #QuranHour 2021

Oleh FOUZIAH AMIR

SEBELUM melelapkan mata, Surah al-Mulk sering kali menjadi alunan umat Islam untuk membasahkan lidah bagi sesiapa yang biasa melazimkannya.

Masakan tidak, surah hebat itu begitu istimewa dan terdapat banyak kelebihan yang ada padanya sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih yang masyhur.

Baca juga Elak seksaan kubur, jom sama-sama amalkan Surah al-Mulk setiap hari

Apabila diteliti pada setiap bait ayat dalam surah ke-67 dalam al-Quran itu, ia sebenarnya mengajak manusia untuk berubah cara berfikir daripada pemikiran jahiliah kepada moden yang jauh ke hadapan.

Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bagi program My #QuranTime, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, disebabkan itu setiap umat Islam perlu memahami konsep akidah iaitu segala sesuatu adalah milik ALLAH SWT.

“Pada zaman jahiliah, masyarakat mempercayai ALLAH, tetapi ada perkongsian lain sebagai pengantara. Surah al-Mulk menjelaskan bahawa ALLAH MAHA ESA dan tiada yang disembah melainkan ALLAH.

“Surah az-Zariyat ayat 56 menjadi kompas tujuan kehidupan manusia untuk beribadah kepada ALLAH.

“Kita menyampaikan al-Quran dan misi ALLAH dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya ketika membentangkan isi Surah al-Mulk pada program di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Surah al-Mulk

SESI rakaman program Mengopi Bersama Ayah yang menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail (tengah) dan anak, Adam serta dihoskan oleh Ustaz Mustafar (kiri) di sungai Teratak Melaya, Bentong Pahang, baru-baru ini.

Sepanjang program berkenaan, Ustaz Safri di samping Ustaz Mustafar Mohd Suki memainkan peranan membentangkan isi Surah al-Mulk dalam sesi berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

WUIF turut menjalankan pelbagai aktiviti di Teratak Malaya, Janda Baik. Antaranya rakaman program Simfoni Wahyu (Surah al-Mulk), Mengopi Bersama Ayah, Tick Talk Mom’s Coffee Talk, Soul Fitness dan Tick Surah Talk Santun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff ketika berkongsikan perancangan tahun 2021 berkata, untuk meneruskan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah, pihaknya memilih Surah al-Mulk dalam pelbagai program #QuranHour sepanjang tahun ini.

MARHAINI

Surah al-Mulk katanya, bermaksud kerajaan. Ia menunjukkan kekuasaan ALLAH di atas segala sesuatu untuk menjadi motivasi diri, keluarga dan negara dalam menghadapi ujian serta cabaran kehidupan pada hari ini.

“Kita boleh mengambil ibrah daripada surah berkenaan untuk meningkatkan tauhid kita kepada ALLAH SWT dan menjadikan diri serta keluarga kita melakukan amalan yang lebih baik untuk keberkatan di dunia dan di akhirat,” katanya.

Nantikan gema Surah al-Mulk di seluruh dunia pada World #QuranHour 24 Ramadan 1442 Hijrah nanti!

Layari pautan ini untuk sama-sama membaca Surah al-Mulk bersama keluarga setiap malam melalui https://www.instagram.com/ticktalktv/. Untuk maklumat lanjut layari https://www.facebook.com/.WorldQuranHour.

Surah al-Mulk

KETUA Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkongsi ilmu selepas solat Isyak pada program di Teratak Malaya, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

anil-xavier-xQwbmiCSAOg-unsplash
Agama,

[VIDEO] Jangan main petik buah daripada pokok tidak bertuan. Ini dia adab yang Islam ajar jika kita nak manfaatkan buah-buahan tadi

KADANGKALA di tepi jalan raya, kelihatan beberapa batang pokok sedang berbuah lebat. Umpamanya buah rambutan, mempelam dan ciku yang sering kali kita lihat di kebanyakan tempat.

Terdetik juga dalam hati siapalah pemilik tanaman berkenaan. Jika diketahui, pasti sudah lama buah itu dipetik dan dimakan.

Malangnya, pertanyaan itu adakalanya terbiar tanpa jawapan. Maklum sahajalah, mahu memetiknya takut pula orang melabelkan sebagai pencuri.

Apatah lagi ingin dimakan. Sudah terang dan jelas bahawa buah itu pasti milik orang. Bukahkah kita dilarang sama sekali untuk mengambil hak orang lain tanpa izin?

Begitupun, apabila difikir-fikirkan semula, lebih baik buah itu dimanfaatkan daripada dibazirkan begitu sahaja.

Apabila diajukan kepada orang di sekeliling, sedikit hampa kerana tiada tahu siapakah tuan kepada pokok berkenaan.

Andai kita dalam situasi itu, bolehkah kita memetik dan makan buah tersebut tanpa izin.

Menurut pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, terdapat tiga adab yang perlu dipenuhi jika kita ingin memanfaatkan buah daripada pokok yang tidak diketahui siapa tuannya.

DR MOHAMAD FITRI

Sekiranya satu-satu pokok berbuah dan tidak diketahui siapakah gerangan pemiliknya, jelas beliau, paling tidak pun bertanyalah kepada orang di sekeling kawasan itu sekurang-kurangnya (minimum) sebanyak tiga kali.

“Andai mereka mengatakan tidak tahu atau tiada jawapan dan seumpamanya, maka kita dibolehkan untuk memakan buah berkenaan.

“Begitupun, ada syarat yang perlu dipenuhi iaitu kita hanya makan buah berkenaan di situ sahaja. Ia tidak boleh dibawa balik atau dijual sama sekali,” ujarnya.

Pokok tidak bertuan

Dalam pada itu, Dr Mohamad Fitri yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia berkata, paling penting pokok tadi mestilah tidak berada di dalam kawasan berpagar.

“Tempat sebegitu adalah simbolik kepada pemilikan seseorang.

“Apa-apapun, berwaspadalah dan jangan mengambil hak orang lain tanpa izin,” jelas beliau.

Baca juga Makanan Tidak Baik Jadi Punca Hati Gelap

Ingatlah, jagalah adab yang diajarkan oleh Islam. Jangan sampai kita termakan hak orang lain.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-mentatdgt-1078740
Isu,

Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

JIKA kita kurang arif tentang sesuatu perkara, menjadi kelaziman untuk kita bertanya. Sekiranya tidak berbuat demikian, kita pula yang akan ‘tersesat jalan’.

Begitupun, dalam setiap pertanyaan kita itu, bukan semua orang boleh memberikan respons yang baik. Ada segelintir orang seolah-olah enggan berkongsi jawapan, hatta membimbing kita.

Tambah menyedihkan, kadang-kadang pertanyaan itu dibalas dengan memek muka yang sungguh menjengkelkan. Terdapat juga yang menjawabnya, tetapi secara acuh tidak acuh sahaja atau tanpa kesungguhan.

Lebih teruk, segelintir dalam kalangan kita terus mengungkapkan ‘tidak tahu’ terhadap persoalan yang dilontarkan, meskipun tahu jawapannya.

Sebagai hamba ALLAH, kita tidak sepatutnya bersikap sedemikian rupa. Enggan berkongsi ilmu, apatah lagi menyimpan pengetahuan yang dimiliki, bukan satu perilaku yang baik.

Ketahuilah, ilmu itu kurniaan ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Maka, wajar ia disampaikan kepada seluruh umat manusia agar pemberiaan berharga itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Apakah hukumnya apabila kita kedekut dengan ilmu yang dimiliki? Benarkah bakhil dengan sebarang pengetahuan merupakan petanda akhir zaman?

Dekatkan manusia kepada ALLAH

Sebelum menyelami topik berkenaan, pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat mengajak umat mendasari kepentingan ilmu.

USTAZAH NOURUL IMAN

Ujar beliau, ia adalah kaedah yang ALLAH SWT ciptakan untuk manusia bagi mencapai tujuan dan kelangsungan hidup di atas muka bumi. Bahkan, ilmu juga merupakan simbol ketamadunan sesuatu bangsa itu.

“Ketahuilah, ilmu merupakan satu komponen yang amat penting untuk menjadikan seseorang manusia bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Beliau menambah, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menuntut ilmu. Dengan pengetahuan yang ada dalam dada itulah seseorang hamba ALLAH akan beramal.

“Andai seseorang itu tidak menuntut ilmu, dirinya akan jadi seorang yang jahil.

“Sekiranya itulah yang berlaku, bagaimana mungkin dia mengenal ALLAH, mencintai-NYA dan sebagainya,” katanya sambil menjelaskan bahawa ALLAH melantik Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi ini dengan komponen ilmu untuk mentadbir dunia dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Ustazah Nourul Iman turut memperbetulkan tanggapan sebilangan orang yang menganggap ilmu sekadar untuk mencari makan demi kelangsungan hidup.

Jelas beliau, ilmu sebenarnya ialah nur iaitu cahaya bagi mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan.

Ini bermakna, ilmu menjadi jalan ataupun panduan untuk seseorang itu mencapai kemuliaan dan keredaan di sisi ALLAH SWT.

Kedekut ilmuMenyambung hujahnya, Ustazah Nourul Iman menjelaskan, kewajipan orang yang menggali dan memiliki ilmu tidak terhenti di situ sahaja.

Malah, golongan itu perlu menyebarkan dan berkongsi pengetahuan tersebut kepada manusia sejagat supaya mereka dapat keluar daripada kejahilan.

“Segala ilmu yang kita peroleh merupakan satu tanggungjawab agar manusia melakukan amal ibadah yang dengan pengetahuan yang dimilikinya, bukan kerana terikut-ikut,” ujarnya.

Hukum sembunyikan ilmu

Seandainya seseorang itu tidak menyampaikan ilmu apabila ditanya tentang suatu perkara yang diketahuinya atau dalam bidangnya, ujar Ustazah Nourul Iman, tindakan individu tersebut akan menyebabkan orang lain berada dalam kekeliruan dan kesesatan.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

“Apatah lagi jika mereka bertanyakan ilmu yang berkaitan dengan fardu ain yang membolehkan seseorang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

“Berdosa besar hukumnya jika menyembunyikan suatu ilmu yang diketahuinya. Ia sebagaimana yang termaktub dalam Kitab al-Kabair,” katanya.

Bahkan, Rasulullah SAW pernah bersabda: Barang siapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, lalu orang yang ditanya itu menyembunyikan ilmunya, maka tidak memberitahukannya, maka dia akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.” (Riwayat al-Hakim)

Bukan itu sahaja, jelasnya, orang yang menyembunyikan ilmu itu sifatnya sama sepertimana ahli kitab. Perkara itu ada dirakamkan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 71.

Kedekut ilmuMelihat ungkapan berkenaan, jelaslah begitu besar implikasinya kepada kita andai menyimpan sifat kedekut ilmu dalam diri. ALLAH SWT membalas segala azab yang berat di akhirat kelak kepada golongan berkenaan, kata pendakwah itu.

“Mereka yang menyimpan ilmu bersendirian juga atas tujuan keduniaan termasuklah kemasyhuran, tidak mahu lihat orang lebih daripadanya dan tidak mahu orang mengetahui perkara yang halal dan haram, maka orang tersebut akan mendapat seksaan dan kelaknatan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Sehubungan itu, pendakwah berkenaan mengajak umat Islam berdoa dengan ungkapan yang disampaikan Nabi Muhammad SAW menerusi hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan an-Nasai. Doa itu berbunyi, ‘A’uzubika min ilmin la yanfa’ (Aku berlindung pada-MU ya ALLAH daripada ilmu yang tidak bermanfaat).

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman senada dengan Ustazah Nourul Iman.

USTAZ MK AZMAN

Ujar beliau, terlalu banyak dalil yang memerihalkan tentang natijah dan ancaman andai kedekut dengan ilmu milik ALLAH SWT.

Antaranya, sabda Rasulullah SAW: “Kecelakaan besar bagi orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu) dan kecelakaan besarlah bagi orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya.” (Riwayat Abu Nuaim)

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu dan kemudian tidak menyampaikannya kepada orang lain bagaikan orang yang menyimpan harta namun tidak menggunakannya.” (Riwayat at-Tabarani)

Berdasarkan dua hadis tersebut, seperti saranan Ustazah Nourul Iman, Ustaz MK Azman sekali lagi mengingatkan umat Islam agar berkongsi dengan orang lain yang dahagakan ilmu dan panduan.

Kerugian besar

“Kita dianggap kedekut berkongsi ilmu jika meletakkan syarat. Umpamanya mengenakan bayaran atas ilmu yang dikongsikan.

“Begitupun, jika ia melibatkan kos yang tinggi, wajar untuk kita tentukan bayaran yang munasabah atas perkongisan ilmu yang diberikan,” ujarnya.

Benarkah sifat seseorang yang kedekut ilmu itu antara petanda akhir zaman?

Menjawab persoalan itu, Mudir Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Nurul Hidayah di Naka, Padang Terap, Kedah itu menjelaskan, tiada dalil khusus menyatakan tentang perkara itu. Namun, banyak yang memperkatakan tentang sifat kedekut secara umum.

Kedekut ilmuDalam sebuah hadis riwayat at-Tabarani misalnya, ada dinyatakan bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah meluasnya sifat kedekut.

“Gambaran menerusi hadis itu menjelaskan keadaan manusia akhir zaman akan diselubungi oleh sifat kedekut yang berleluasa sehingga memberi kesan besar kepada keseluruhan kehidupan mereka.

“Mereka mula berkira-kira untuk menginfakkan sedikit harta mereka kerana kebimbangan akan menjadi fakir dengan kekurangan harta tersebut,” katanya.

Ustaz MK Azman turut mengemukakan pandangan Dr Muhammad Ahmad Al-Mubayadh dalam Mausu’ahnya yang menjelaskan, maksud kebakhilan itu adalah satu sifat yang bukan membabitkan harta benda saja, bahkan semua perkara termasuk ilmu dan hal kehidupan yang lain. 

“Bagaimanapun, pengkhususan sifat kebakhilan itu lebih cenderung kepada penggunaan harta yang berkait rapat dengan hal ehwal pembayaran zakat dan kegunaan harian seperti penyediaan makanan dan lain-lain,” jelasnya.

Tidak kiralah apa jua maksud bakhil itu, pendakwah itu sekali lagi memberi peringatan bahawa kita akan berdepan dengan kerugian yang besar andai bersikap tamak dengan ilmu hingga enggan menyampaikannya.

Masakan tidak, kelebihan menyebarkan ilmu itu begitu banyak sekali. Antaranya, pahala akan mengalir sekalipun dirinya sudah tiada lagi di dunia ini, ujarnya.

“Bagaimana mereka mahu tergolong dalam kalangan kelompok itu jika ilmunya tidak disebarkan dan dikongsikan dengan orang lain? Inilah namanya orang yang kufur pada nikmat. ALLAH kurniakan ilmu untuk diri dan sepatutnya dikongsikan dengan orang lain.

“Namun, kerana rasa kedekut lebih menguasai diri, nikmat memiliki ilmu itu tidak dijadikan sebagai cara untuk mendapatkan pahala sesudah meninggal dunia. Inilah namanya tidak mensyukuri nikmat kurniaan ALLAH,” ujar beliau.

Tinggi ilmu bukan tiket perlekeh, aibkan manusia lain

Sejak turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu lima ayat pertama Surah al-‘Alaq, jelas betapa pentingnya setiap umat Islam untuk menggali ilmu.

Begitupun, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, tiada gunanya jika kita berilmu, tetapi tidak diamalkan. Ia umpama pohon rendang dan subur, malangnya tidak berbuah.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

“Tanpa amal, ilmu yang kita pelajari hanya akan tersimpan dalam buku atau gajet kita. Paling tidak pun, ia hanya akan berada dalam fikiran tanpa kita mengambil faedah daripadanya.

“Perbuatan itu akan merugikan diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Sebaiknya, ilmu yang diperoleh itu kita amalkan agar menjadi lebih mahir dan lebih mendalam kesannya,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Namun begitu, Perunding Keluarga dan Remaja itu mengingatkan agar sesuatu ilmu itu dipelajari dengan cara yang betul memandangkan kecanggihan teknologi pada era milenial ini memudahkan maklumat diakses dengan mudah.

“Bagi memastikan apa yang diperoleh adalah ilmu yang benar, maka kita perlu titik beratkan sumber maklumat tersebut adalah sah, berautoriti dan tidak melanggar syariah. Dalam erti kata lain, mencari ilmu perlu diperoleh dan dirujuk daripada guru atau ulama yang sebenar-benarnya sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian,” nasihatnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Siti Fatahiyah menjawab: “Dalam proses mencari ilmu atau menjadi orang yang berilmu, kita perlu memenuhi tiga elemen penting iaitu beriman, berilmu dan beradab.

“Tanpa iman, ilmu yang kita dapat mungkin akan membawa kita jauh dari persimpangan agama. Namun, tanpa adanya adab, dikhuatiri akan mendorong orang yang berilmu itu menjadi sombong, bongkak, tidak menghormati orang lain, tidak beradab, riak dan termasuklah memperlekehkan atau mengaibkan orang lain.

“Lebih kronik lagi apabila kesemua itu dilakukan dengan sengaja. Oleh itu, tiga elemen penting ini tidak boleh dipisahkan atau diabaikan dalam proses kita mencari ilmu,” katanya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar umat Islam berpaksikan niat kerana ALLAH SWT dalam proses menggali ilmu dan lakukanlah dengan penuh keikhlasan.

“Ingatlah tiga elemen tadi iaitu iman, ilmu dan adab. Pada masa sama, elakkan daripada menghukum orang lain tanpa usul periksa dengan ilmu yang dimiliki.

“Jangan disebabkan ketinggian ilmu yang dimiliki membuatkan kita tergamak mengaibkan atau memperlekehkan orang lain.

“Sesungguhnya, ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI apa yang kita lakukan secara zahir ataupun tersembunyi,” nasihatnya.

Kedekut ilmuANEKDOT

JENIS-JENIS ilmu

– Secara umumnya, ilmu dapat dikategorikan kepada dua jenis iaitu ilmu fardu ain dan fardhu kifayah.

– Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya. Berdosa hukumnya jika sengaja meninggalkannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan asas Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak.

– Imam al-Ghazali pernah menghuraikan ilmu fardu ain di dalam kelompok ilmu al-Muamalat iaitu ilmu yang melibatkan tentang akidah (kepercayaan), syariat (ibadah) dan adab (akhlak).

– Semua ilmu itu amat penting dipelajari dan dikuasai oleh seluruh masyarakat Islam kerana ia berkait rapat dalam hal-hal pembentukan peribadi mulia seseorang insan yang berteraskan akidah, ibadah dan akhlak.

– Sementara itu, ilmu fardu kifayah pula bermaksud kewajipan yang difardukan ke atas seluruh umat Islam. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya, maka terlepaslah tanggungjawab itu daripada seluruh umat Islam yang lain.

– Misalnya, ilmu astronomi begitu penting kepada umat Islam. Ia diperlukan bagi menentukan arah kiblat, tarikh permulaan puasa dan Hari Raya, waktu wukuf, waktu solat dan seumpamanya.

– Oleh sebab itu, umat Islam perlu berusaha dengan lebih gigih meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan agar menjadi menjadi umat yang hebat dan cemerlang di mata dunia.

– Apa jua ilmu yang dipelajari baik di masjid, madrasah dan sekolah-sekolah nasional, semuanya merupakan ilmu yang baik untuk dipelajari. Ia amat diperlukan oleh kita, masyarakat dan negara.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud

Foto: Freepik & Pexels