Browsing Tag

sinaislamplus

Berdoa
Gaya Hidup,

Jangan Lupa Berdoa Ketika Senang, Ini Sebabnya

no comment

PERASAN atau tidak, saat dirundung kesedihan mahupun kesusahan, bibir mudah benar mengungkapkan doa supaya ditenangkan hati dan dilapangkan dada menghadapi semuanya.

Ketika itu, mulut kita tanpa henti merintih dan mengadu kepada YANG MAHA ESA dengan bersungguh-sungguh.

Masakan tidak, ada segelintir orang lebih selesa berbuat demikian berbanding berkongsi masalah dengan insan di sekeliling mereka.

Namun, tatkala hidup dilimpahi kesenangan, ungkapan doa kepada-NYA pula semakin dipinggirkan. Adakalanya langsung tidak berdoa.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan agar kita tetap terus berdoa waima hidup dihimpit kesempitan mahupun kesenangan.

MUHAMMAD FAHMI

Ujar beliau, salah satu fiqah dalam berdoa ialah kita berdoa sewaktu senang. Ia sama keadaannya sebagaimana kita berdoa saat berada dalam kesusahan.

“Ramai manusia ini apabila dia dalam keadaan senang, dia abaikan berdoa atau sekurang-kurangnya berdoa, tetapi tidak bersungguh.

“Namun saat dalam kesusahan, begitu bersungguh dia berdoa, menangis, berdoa berulang kali, rayu dan terus merayu.

“Sedangkan antara faktor ALLAH SWT menolong kita saat kita susah ialah kita banyak mengingati ALLAH saat kita senang,” katanya sebagaimana dipetik daripada ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Fakta itu, jelas Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, ia bertepatan dengan maksud sebuah hadis masyhur.

Hadis yang dimaksudkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Kenalilah ALLAH semasa senang, nescaya DIA akan mengenali kamu semasa kamu susah.” (Riwayat Hakim)

Berdoa

INGATLAH ALLAH SWT pada setiap waktu, nescaya DIA akan mengingati dan mengenali hamba-NYA.

Dalam pada itu, agamawan itu turut mengemukakan pandangan Ibn al-Qayyim tentang perihal insan yang berdoa dan mengingati ALLAH SWT.

Ibn al-Qayyim menukilkan sebuah atsar yang menyebut: “Seorang hamba yang taat, yang sentiasa mengingati ALLAH apabila kesulitan menimpanya, atau apabila dia meminta sebarang hajat, maka para malaikat akan berkata: “Wahai Tuhan, ini adalah suara yang dikenali daripada seorang hamba yang dikenali.” (Rujukan al-Wabil al-Sayyib, Ibn al-Qayyim (87))

Justeru, apa jua keadaan kita, jangan sesekali lupa memanjatkan doa. ALLAH SWT suka mendengar rintihan hamba-hamba-NYA. Itu tanda kita berserah dan bergantung harap hanya kepada-NYA.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: 123rf & Freepik

Al-Idrisi
Personaliti,

Ciptaan Agung Tokoh Islam, Al-Idrisi Sehingga Namanya Diabadikan Di Pergunungan Sputnik di Pluto

no comment

AL-IDRISI atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad Al-Idrisi berasal daripada keturunan yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW menerusi cucu sulung baginda, Hasan bin Ali. Dek kerana keturunannya itu, beliau diberi gelaran al-Sharif (orang yang mulia).

Figura hebat berkenaan dilahirkan pada tahun 1100 Masihi di Ceuta, Maghribi. Pendapat paling masyhur menyatakan, Al-Idrisi berjaya menamatkan pendidikan agama di tempat kelahirannya.

Ketika zaman remaja, Al-Idrisi melawat banyak tempat di Afrika Utara dan Andalusia. Pelbagai maklumat yang dikumpulkannya mengenai kedua-dua wilayah berkenaan.

Mengikut riwayat, Al-Idrisi telah memilih untuk tinggal di Cordoba untuk mempelajari pelbagai cabang ilmu. Beliau mula mengkhususkan kepada bidang geografi terlebih dulu.

Setelah tamat pengajian, Al-Idrisi yang ketika itu berusia 16 tahun mengembara lagi ke Eropah, utara Sepanyol, Portugal, pantai Atlantik Perancis, selatan England dan di benua Asia.

Bagi meluaskan langkahnya, ilmuan tersebut melakukan perjalanan mengelilingi dunia. Dalam tempoh tersebut, Al-Idrisi dikatakan telah menulis tentang semua yang dilihat dan didengarinya.

Al-Idrisi

SALAH satu peta dunia yang dilukis oleh Al-Idrisi untuk Raja Roger II pada tahun 1154 Masihi yang dianggap paling maju pada era itu.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Idea hebat

Ternyata kegigihannya itu mendapat perhatian Raja Roger II dari Sicilia, Itali. Baginda dikenali sebagai raja berpengetahuan yang telah membiayai terjemahan karya ilmiah serta falsafah Arab dan Yunani ke bahasa Latin.

Tatkala baginda mendengar perkhabaran tentang Al-Idrisi termasuk karya geografinya yang luar biasa, baginda mengutuskan surat dengan mengajak tokoh Islam tersebut berkunjung dan tinggal di Sicilia. Pelawaan tersebut diterima baik.

Al-Idrisi kemudian telah diarah untuk membuat peta dunia untuk memenuhi satu projek besar yang mahu dilaksanakan oleh Raja Roger II.

Berbekalkan ilmu yang dimilikinya, cendekiawan terbabit berjaya menghasilkan konstruksi bola dunia dan peta berbentuk cakera yang diperbuat menerusi piring besar daripada perak yang padat.

Peta tersebut dibuat oleh Al-Idrisi dan dinukilkan dalam Kitab Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq yang juga dikenali sebagai Kitab ar-Rujari (Roger’s Book). Ia merupakan sebuah karya geografi deskriptif Al-Idrisi.

Penemuan berkenaan disifatkan sebagai warisan agung agamawan itu yang kemudian dikenali sebagai Peta Idrisi Yang Besar. Beliau mula menyusun peta dan buku geografi seperti dunia yang belum pernah lagi dilihat pada zaman sebelumnya.

Al-Idrisi

TUGU Al-Idrisi yang dibangunkan di Ceuta, Maghribi sebagai memperingati jasa tokoh geografi ulung berkenaan.

Meskipun Raja Roger II telah mangkat, Al-Idrisi meneruskan usaha dengan menghasilkan tiga karya geografi utama selama 15 tahun lamanya.

Baca juga Piri Reis Rujuk Lebih 30 Sumber Hasilkan Peta Dunia Yang Menakjubkan

Ia termasuklah Planisfera atau peta bebola perak, peta dunia yang terdiri daripada 70 bahagian dibentuk dengan membahagikan bumi di utara Khatulistiwa menjadi tujuh zon iklim lebar yang sama dan ensiklopedia geografi.

Walaupun dikhabarkan Planisfera perak telah hilang, namun begitu, peta dunia dan monumental Roger’s Book telah digunakan berabad-abad lamanya sebagai rujukan utama ramai sarjana dan penyelidik.

Sesungguhnya, penemuan ilmuan Islam tersebut bukan calang-calang. Bahkan, Al-Idrisi juga berusaha menggabungkan geografi deskriptif dan astronomi.

Sempena memberi penghormatan kepada ahli geografi dan kartografer ulung itu, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas telah mengabadikan nama Al-Idrisi di Pergunungan Sputnik Planum di Pluto dengan nama Al-Idrisi Mountains.

Sumber & Foto Republika.co.id, www.ensyclopedia.com, mvlism.com, ms.wikipedia.org & amust.com.au