Browsing Tag

simpanan

Ekonomi
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Contohi cara Nabi Yusuf AS tangani kegetiran ekonomi

BERBAKI lagi 15 hari, kita bakal melangkah ke tahun baharu 2023. Namun begitu, perkhabaran duka tentang keadaan ekonomi getir tahun hadapan menggusarkan hati orang ramai.

Apatah lagi pada 11 November lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menjelaskan, Malaysia telah mula menyaksikan tanda-tanda inflasi. Ia didorong oleh permintaan dalam persekitaran deposit yang tinggi. Meskipun keadaan itu dijangka kekal tinggi, tetapi Malaysia tidak menjangkakan kemelesetan.

Sesungguhnya, bukan mudah untuk berhadapan dengan situasi mencabar kerana ia bukan sahaja melibatkan negara, tetapi juga soal ekonomi keluarga. Lebih-lebih lagi kita baru sahaja melalui fasa bangkit semula selepas berdepan kesukaran akibat wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Bagi mendepani rintangan tersebut, perlu ada persiapan rapi. Pastinya al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi manual kehidupan kita perlu dirujuk sebagai pedoman. Ia sentiasa relevan pada bila-bila masa.

Apakah cara dianjurkan Islam dalam menghadapi situasi kegetiran ekonomi? Bagaimana untuk mendepani keperitan tersebut sekali lagi?

Mimpi Raja Mesir

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin membuka kalamnya dengan mengajak umat Islam mengambil ibrah daripada kisah mimpi Raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf AS.

DR MUHAMMAD IQMAL HISHAM

Ia sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah Yusuf, ayat 43 dan ayat 47 hingga 49.

Kalamullah itu menceritakan Raja Mesir bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus dan tujuh tangkai gandum hijau serta tujuh tangkai lainnya yang kering. Baginda kemudian bertanyakan kepada pembesar-pembesarnya untuk mentakwilkan mimpinya.

Disebabkan tidak mampu mentafsir, akhirnya tugas itu diberikan kepada Nabi Yusuf AS yang arif ‘membaca‘ mimpi sebagaimana disebutkan dalam ayat 47-49, Surah Yusuf yang bermaksud: “Dia (Yusuf) berkata, “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu membiarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar), kecuali sedikit daripada apa (gandum) yang kamu simpan. Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur).“

Baca juga Renungkan cara Nabi Yusuf tangani kegawatan ekonomi pada zamannya

Berdasarkan kisah tersebut, ujar Dr Muhammad Iqmal Hisham, kitaran pertumbuhan ekonomi dalam dunia realitinya sememangnya begitu. Jika diteliti rekod 100 tahun sebelum ini, memang ada ketikanya ekonomi baik dan mengalami kemelesetan.

“Jadi kita gunakan konsep sama sebagaimana tindakan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS, sepanjang tempoh tujuh tahun yang baik, mereka melaksanakan catuan terhadap hasil-hasil pertanian dan ternakan serta menyimpannya.

“Apabila berlakunya tujuh tahun yang mencabar iaitu ketika kemarau melanda, maka mereka memiliki bekalan harian yang mencukupi untuk menampung waktu-waktu tersebut,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ekonomi

RANCANG kewangan masing-masing dengan bijak agar tidak terperangkap dengan cabaran ekonomi keluarga. -FOTO: PEXELS

Perkara itu juga boleh diaplikasikan dalam konteks ekonomi negara pada masa kini, ungkapnya.

“Pada waktu ekonomi berkembang secara positif atau baik, sepatutnya pihak kerajaan dari sudut makronya membuat simpanan lebih atau akan memastikan bajet lebihan (surplus) supaya kita ada lebihan dana untuk disimpan pada masa depan dan boleh digunakan pada waktu kemelesetan,“ jelasnya.

Baca juga Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

Sifat wasatiyah

Menyambung hujahnya, pakar ekonomi Islam itu menjelaskan, konteks ekonomi negara tidak sama dengan individu.

“Masyarakat sememangnya mahu bebas berhutang kerana itulah indikator yang baik bagi mereka, tetapi bagi negara pula, mereka perlu memanfaatkan kemampuan dan pengeluaran yang ada dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika negara tidak berbuat demikian dengan membuat pinjaman dan sebagainya, ekonomi kita akan bergerak dengan lambat dalam erti kata mudah.

“Sebenarnya tiada masalah untuk membuat pinjaman asalkan ia mesti berpandukan kepada had-had yang dirasakan sesuai dan ada kemampuan untuk membayar semula,“ ungkapnya.

Dari satu sudut, Islam melarang umatnya membazir, tetapi masyarakat digalakkan berbelanja untuk merancakkan sektor ekonomi. Bagaimana kita mahu mengimbanginya?

Menjawab persoalan itu, Dr Muhammad Iqmal Hisham menjelaskan, sebagaimana yang dianjurkan oleh agama suci itu, kita hendaklah bersifat wasatiyah iaitu bersederhana.

Mudah kata, tidak terlalu lebih berbelanja mahupun kedekut ketika menggunakan wang. Begitu juga ketika dalam situasi kegetiran ekonomi dan bila-bila masa, terangnya.

Ekonomi

ISLAM mengajar umatnya agar tidak membazir ketika berbelanja dan pada masa sama, jangan terlalu kedekut demi kemaslahatan diri dan keluarga. -FOTO: PEXELS

Walaupun menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merangsang ekonomi dalam keadaan kemelesetan, namun Dr Muhammad Iqmal berkata, organisasi seperti syarikat swasta perlu memainkan peranan sama.

Baca juga Makanan yang dibuang, dicampak adalah habuan syaitan. Justeru jangan sesekali membazir apalagi mencela makanan

“Maksudnya bila kerajaan menggalakkan berbelanja lebih, syarikat kena faham walaupun mereka juga menghadapi kesukaran disebabkan kemelesetan.

“Mereka kena ambil tindakan berani dengan membuat perbelanjaan juga. Ada pihak buat keputusan mengurangkan kos dengan membuang pekerja dan sebagainya. Perkara ini harus diteliti semula kerana Islam menganjurkan supaya kita menjaga kebajikan dan ‘membina‘ mereka yang perlukan pertolongan.

“Walaupun mereka berkuasa berbuat begitu (kurangkan pekerja), tetapi perlu ada pertimbangan untuk menjaga kebajikan masyarakat,“ katanya sambil menjelaskan mekanisme lain dalam Islam seperti zakat dan wakaf yang turut berperanan membantu golongan terjejas.

Kepada satu soalan: “Kewajipan membayar zakat bergantung kepada gaji setiap individu mengikut tempoh haul dan berapa jumlah yang dikenakan mengikut institusi zakat di negeri masing-masing. Pengiraan zakat pendapatan ini hampir sama dengan cukai, ada pemotongan-pemotongan tertentu yang dibenarkan.

“Katakan ketika kemelesetan ekonomi, ada yang pendapatannya berkurangan. Sudah pasti jumlah pembayaran zakatnya juga akan menyusut. Mungkin kalau pemotongan itu begitu ketara sehinggakan seseorang individu berada di bawah kategori jumlah yang tidak cukup untuk membayar zakat, jadi dia tidak perlu membayarnya ketika itu,“ jelasnya.

Elak meminjam

Mengulas tentang keseriusan kegetiran ekonomi pada tahun 2023, Sinar Islam Plus mendapatkan Profesor Madya di Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

DR AHMED RAZMAN

Jelas beliau, laporan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan bergerak perlahan dari tahun ini dan sesetengah negara mungkin berdepan kemelesetan. Jika dirujuk kepada data bagi negara di Asia Pasifik, pertumbuhan ekonomi diramal sedikit tinggi daripada purata global.

Berdasarkan kebarangkalian pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun hadapan, katanya, ia berada dalam momentum positif dengan unjuran berkembang sekitar 4.3 peratus meskipun sedikit rendah berbanding jangkaan pertumbuhan KDNK pada tahun ini.

“Ia disebabkan beberapa faktor ketidaktentuan yang berlaku di peringkat global terutamanya isu geolitik dan faktor lain seperti cuaca serta rantaian bekalan global.

“Walaupun dijangka mencabar tahun depan, tetapi saya melihat Malaysia mempunyai beberapa potensi yang membolehkan kita mampu kekal berdaya saing jika berupaya mengambil kesempatan atau merancang sebaiknya pada tahun depan.

“Contohnya, harga komoditi minyak mentah dunia masih pada kadar tinggi iaitu lebih kurang AS$80 setong dan ini satu peluang untuk memastikan hasil sentiasa meningkat. Selain itu, China sudah mula membuka sektor ekonominya dan ini peluang untuk kita meningkatkan eksport sedia ada yang sudah meningkat, sekali gus akan menambah peluang potensi ekonomi kita kerana China merupakan rakan dagang utama,“ katanya.

Baca juga Pemerintah Wajib Kawal Kenaikan Harga Barangan Agar Rakyat Tidak Terus Dibebani

Semua itu akan memberikan impak kepada masyarakat dengan cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

Perkara tersebut diakui oleh Dr Ahmed Razman, namun beliau yakin kerajaan pada hari ini menjadikan perkara berkenaan sebagai agenda utama untuk ditangani, tetapi ia mengambil masa kerana banyak faktor termasuk di peringkat global.

Ekonomi

JIKA tiada keperluan mendesak, elakkan daripada membuat pinjaman, sebaliknya buat simpanan atau laburkannya dalam sektor pelaburan yang terjamin. -FOTO: 123RF

Justeru, Dr Ahmed Razman berpesan agar masyarakat tidak sesuka hati membuat pembiayaan tidak perlu dalam tempoh terdekat kerana Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka terus meningkat.

“Sebaiknya, teruskan amalan perbelanjaan berhemat mengikut keperluan dan jangan terleka. Kalau ada peluang melabur dan menyimpan, ia amat digalakkan agar memberi pulangan yang menjamin kitaran hidup kita,“ nasihat beliau.

Simpanan
Antarabangsa,

Simpanan haji dimakan anai-anai, lelaki warga Indonesia reda dengan ujian-NYA

RAMAI yang berusaha membuat simpanan haji semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH SWT di Tanah Suci. Masakan tidak, memang menjadi impian setiap umat Islam seantero dunia untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Andai ia berjaya ditunaikan, terasa seperti telah lengkap melaksanakan seluruh Rukun Islam dengan sempurna.

Namun begitu, tidak semua berupaya berbuat demikian kerana pelbagai kekangan berbangkit. Ini kerana untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, kita hendaklah berkemampuan. Salah satunya dari sudut kewangan.

Disebabkan itu tidak hairanlah jika kita melihat ramai yang berusaha menyimpan wang bertahun-tahun lamanya untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Jawa Tengah, Indonesia. Lelaki yang dikenali sebagai Samin turut menyimpan duit bagi menunaikan ibadah haji bersama isteri dan dua anak mereka.

Malangnya, puluhan juta rupiah yang disimpan beliau di dalam dua bekas simpanan plastik di rumahnya selama dua tahun setengah musnah sekelip mata sahaja.

Bayangkan not kertas yang berjumlah hampir 100 juta Rupiah (RM30,354) itu dimakan anai-anai.

Simpanan

SAMIN reda duit simpanan untuk menunaikan haji bersama isteri dan dua anaknya dimakan anai-anai. Semoga beliau diberi kekuatan untuk kembali mengumpul duit bagi menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci suatu hari nanti. -Gambar hiasan

Baca juga Yang ada emas dan wang simpanan, jangan lupa bayar zakat

“Saya berhasrat untuk mendaftar haji. Rezeki yang saya peroleh sedikit demi sedikit saya masukkan ke dalam bekas simpanan tersebut lebih kurang dua tahun setengah sebelum Covid-19 lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kompas.com.

Tiga hari sebelum itu, lelaki berusia 53 tahun tersebut ada meminta isterinya untuk membuka tabung tersebut yang diletakkan di tempat tidur mereka kerana isinya sudah penuh.

Namun, dek kerana tidak punya kesempatan masa, bekas simpanan tersebut baru sahaja dibuka pada Selasa, tetapi tidak menyangka mereka pula menerima kejutan lain.

“Jam 9 pagi tadi (semalam) ketika mahu masukkan wang, macam bunyi runtuh. Setelah dibuka tabungnya, keluar anai-anai. Wang yang dimakan anai-anai itu berada dalam tabung berwarna hijau. Kondisi duit sudah tidak berapa utuh dan rosak. Ada sekitar 50 juta Rupiah (RM15,177) di dalamnya.

“Sedangkan dalam tabung berwarna ungu pula, sebahagian besar not itu masih utuh meskipun ada yang dimakan anai-anai. Wang di dalam itu ada dalam sekitar 48 juta Rupiah (RM14,570),” katanya yang menabung hasil titik peluhnya berjualan makanan ringan di kantin sekolah tempat kerjanya.

Baca juga Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

Sejak tahun 2019, Samin mengakui, beliau tidak pernah gagal menyimpan wang antara 100,000 Rupiah (RM30.35) hingga 200,000 Rupiah (RM60.71).

“Gaji yang yang diterima sebagai pengawal sekolah digunakan untuk keperluan seharian, manakala hasil berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah pula untuk tabungan.

Simpanan

SEMUA wang simpanan Samin adalah hasil keringat beliau berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah.

“Saya ingatkan simpan wang dalam tabung itu lebih selamat. Lagipun, sedikit saja tabungan yang diperoleh. Setiap kali dapat rezeki, mudah untuk saya masukkan dalam tabung, tidak terfikir mahu ke bank,” katanya yang reda dengan ujian tersebut.

Dalam pada itu, portal berita Kompas.com turut mendapatkan Ketua Pejabat Perwakilan Bank Solo Indonesia, Nugroho Joko Prastowo mengulas tentang insiden duit rosak berkenaan.

Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Jelas beliau, pertukaran wang rosak boleh dilakukan dengan syarat duit berkenaan diperakui keasliannya. Wang berkenaan mestilah dua pertiga daripada saiz asal not.

“Biasanya hanya dua bahagian sahaja dikira sebagai polisi khas iaitu wang bersaiz dua pertiga daripada asal, kita akan gantikan dengan wang baru.

“Kalau wang itu terpisah dan disambungkan, ia akan dihitung secara manual mahupun imbasan. Andai saiznya sekurang-kurangnya dua pertiga, duit itu akan segera digantikan,” katanya.

Foto: Republika, Kompas.com & Freepik

Akaun Shariah KWSP
Iqtisad, Perbankan Islam,

Peri pentingnya Muslim tukar ke Akaun Shariah KWSP, ini sebab-sebabnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditubuhkan pada 1951. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu tenaga kerja Malaysia menabung bagi simpanan hari tua mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Pada pandangan saya, tidak dinafikan bahawa tujuan penubuhan KWSP ini menepati maqasid syariah (objektif syariah). Dari aspek pemeliharaan harta, memang jelas sekali kerana dengan wujudnya KWSP, harta ahlinya dilindungi oleh Akta KWSP 1991.

Apatah lagi dengan peraturan yang ditetapkan berkaitan dengan pengeluaran simpanan ini banyak memberi manfaat kepada ahlinya. Bayangkan jika simpanan di KWSP ini diberi kebebasan kepada ahlinya untuk mengeluarkannya pada bila-bila masa, tentu sekali ia tidak berfungsi untuk membantu mereka dari segi kewangan apabila mereka mencapai hari tua. Malah, simpanan ini juga dapat membantu waris ahli sekiranya berlaku kematian ahli.

Walaupun jika dinilai dari segi tujuannya, penubuhan KWSP dilihat selari dengan Maqasid Syariah, namun ada satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan iaitu semenjak KWSP ditubuhkan, semua akaun ahlinya adalah tidak patuh syariah.

Pelaburan bercampur

Ini kerana wang caruman ahli akan dilaburkan dalam pelaburan yang bukan 100 peratus patuh syariah. Apabila pelaburan yang dibuat melibatkan pelaburan yang tidak patuh syariah, maka dividen tahunan yang diberi juga tentu sekali tidak patuh syariah juga. Hanya dividen daripada pelaburan yang patuh syariah sahaja yang halal dimiliki oleh ahli berkenaan.

Baca juga Fahami konsep pelaburan atau perniagaan berasaskan perkongsian untung rugi

Oleh itu, meskipun tujuannya menepati maqasid syariah, tetapi jika caranya menyalahi hukum-hakam syariah, maka ia tetap tidak halal kerana niat/tujuan tidak menghalalkan cara.

Akaun Shariah KWSP

MAJORITI ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah.

Namun, pada 8 Ogos 2016, ahli yang beragama Islam mula ada pilihan untuk menukar akaun mereka kepada Akaun Shariah dan mulai 1 Januari 2017, berkuatkuasalah Akaun Shariah bagi mereka yang telah berbuat demikian.

Kewujudan Akaun Shariah KWSP ini merupakan satu rahmat kepada ahli KWSP beragama Islam di Malaysia. Ini kerana mereka tidak lagi perlu risau tentang pulangan dalam bentuk dividen yang tidak patuh syariah kerana kesemua caruman dalam akaun syariah hanya dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah sahaja. Oleh itu, dividen yang diterima kesemuanya halal.

Sebaliknya, apabila pelaburan yang dilakukan itu bercampur antara yang patuh syariah dan yang tidak patuh syariah, maka tentu sekali bahagian dividen yang tidak patuh syariah itu perlu dibersihkan oleh ahlinya yang beragama Islam dengan cara memberinya kepada pihak ketiga seperti badan kebajikan misalnya.

Bayangkan jika peratus pelaburan yang tidak patuh syariah lebih tinggi berbanding yang patuh syariah, maka sudah tentu jumlah dividen yang perlu dibersihkan juga lebih besar. Bukankah itu satu kerugian besar berbanding mereka yang memilih Akaun Shariah?

Namun, adakah semua umat Islam yang mencarum di KWSP perihatin tentang isu tersebut? Saya berani mengatakan bahawa tidak ramai yang ambil kisah tentang status tidak patuh syariah pada sebahagian dividen yang diterima. Ini terbukti apabila diberitakan bahawa sebahagian besar daripada ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah walaupun sudah lima tahun lebih akaun syariah diperkenalkan.

Memandangkan masih ramai lagi yang belum beralih kepada akaun syariah, kempen dan saranan supaya umat Islam bertukar kepada akaun syariah perlu dipertingkatkan lagi. Para penceramah di masjid dan surau sewajarnya menekankan juga tentang perkara ini kerana ia melibatkan soal hukum. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Sinar Harian & Freepik