Browsing Tag

sikap

thumb2-2022-new-year-golden-2022-background-happy-new-year-2022-golden-leather-texture-2022-concepts
Gaya Hidup,

 Bina Azam Baru Yang Praktikal. Baca 10 Tip ini .

2021 hampir pergi. Lusa tahun baru 2022 akan tiba. Dengan pelbagai isu dan peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini, daripada pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, pertukaran tampuk pemerintahan negara, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang silih berganti hinggalah dugaan banjir yang melanda hampir separuh negara, kita merasakan bahawa tahun 2021 begitu pantas berlalu.

Namun seperti biasa, tradisi yang tidak ditinggalkan oleh semua orang apabila menjelang tahun baru ialah menetapkan azam-azam yang ingin dilaksanakan menjelang  tahun baru.

Memetik huraian siri 160, Bayan linnas di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan : “Dalam menapak ke tahun hadapan, semestinya kita mempunyai hasrat dan harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan, warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui, sebagaimana firman ALLAH di dalam Surah Ali Imran: ayat 140: yang bermaksud:

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”.

Mari kita renung sejenak kisah Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab R.A sebagai iktibar untuk membina cita-cita ke arah yang lebih baik di dalam melayari kehidupan. Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

“Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”

Lalu Umar R.A berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005) dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Pengajaran daripada perbualan ini amat banyak. Antaranya:

  • Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menghasilkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
  • Menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia mengikut neraca syariah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
  • Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islam.

 

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”. (Surah Ali Imran : 140)

Mengambil inspirasi daripada kisah Saidina Umar ini, seandainya anda belum menetapkan lagi azam, jangan risau kerana masih ada masa untuk berfikir. Azam tersebut tidak perlu besar. Sekecil-kecil azam pun masih baik kerana yang penting ialah kita berusaha menjadi insan lebih baik dari sebelumnya. Sinar Islam Plus ingin berkongsi beberapa azam yang anda boleh sesuaikan dengan situasi semasa:

  1. Belajar dan Asah Kemahiran Baharu

Ambil masa untuk belajar kemahiran baru. Contohnya belajar  menulis, memasak, menjahit, coding, grafik, suntingan video, bertukang atau berkebun. Selain mendapat ilmu, mungkin hobi baru itu boleh menjana pendapatan sampingan. Banyak kursus dalam talian yang boleh didapati secara percuma atau dengan harga yang murah.

  1. Memperbaharui Pelan Perbelanjaan

Mungkin pelan perbelanjaan kita sebelum ini tersasar atau sudah banyak berubah. Memang normal perbelanjaan berubah setiap tahun kerana beberapa faktor. Contohnya anda baru mendirikan keluarga, beli rumah, beli kereta, dapat anak dan sebagainya. Jadi eloklah semak kembali perbelanjaan bulanan untuk tahun 2022.

  1. Berazam untuk bayar zakat.

Ini sepatutnya menjadi satu aktiviti wajib setiap kali masuknya tahun baru. Zakat bukan sekadar zakat fitrah yang dibayar setiap kali tibanya Ramadan. Tetapi meliputi zakat pendapatan, zakat harta, zakat perniagaan dan sebagainya.

Membayar zakat akan mencuci harta seorang Muslim dan dengan sendirinya akan memulangkan ‘hak’ kepada golongan yang memerlukan. Anda akan merasa lebih ‘segar’ dan mendapati hidup lebih bermakna setelah selesai melunaskan zakat.

  1. Perbaiki Kualiti Kesihatan

Muslim yang sihat ialah muslim yang hebat. Untuk memperbaiki kualiti kesihatan tidaklah susah sangat. Walaupun seeloknya wajar disertakan rutin senaman seperti berjoging dalam jadual mingguan, anda masih boleh lakukan beberapa perkara mudah ini untuk menjadi lebih sihat:

  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Kurangkan stress
  • Kurangkan makanan berminyak dan gula
  • Minum air masak secukupnya
  • Banyakkan berpuasa
  • Banyakkan berjalan kaki atau menaiki tangga
  • Sertai aktiviti setempat seperti gotong-royong atau kerja amal
Doa ketika musibah

JADIKAN aktiviti amal sebagai rutin tahun 2022

 

  1. Ubah Gaya Pemikiran Atau Mentaliti

Gaya pemikiran lebih sukar untuk diubah kerana ia adalah sesuatu yang dipengaruhi oleh cara kita dibesarkan dan juga persekitaran. Namun, ia bukanlah alasan untuk mengelak dari sentiasa ‘mengemaskini’ gaya pemikiran. Perubahan mentaliti mesti berlaku dahulu sebelum perubahan sikap dan karakter. Di antara mentaliti yang boleh dicontohi:

  • Berhenti mengharap ihsan pihak lain untuk menaikkan tahap kualiti kehidupan.
  • Kebersihan sesuatu kawasan adalah tanggungjawab semua orang, bukan hanya tukang bersih.
  • Meneliti pandangan dan pendapat orang lain, bukan memikirkan hanya kita sahaja yang betul.
  • Memeriksa sumber sesuatu perkara atau berita sebelum menyebarkannya.
  • Berfikir sebelum bercakap, dan lebih baik diam dan belajar dahulu sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.
  • Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, maka selesaikannya. Jika mustahil, maka ia adalah di luar kawalan kita dan kita tidak perlu bimbang atau stres.
  • Sentiasa menimba ilmu pengetahuan walaupun sudah meninggalkan sekolah dan universiti.
  • Buang ‘victim mentality’ dan berhenti merungut! Kalau tidak suka sesuatu, ambil tindakan untuk ubah keadaan.
  1. Luangkan Lebih Banyak Masa Dengan Keluarga

Masa yang diluangkan bersama keluarga adalah terlalu penting kerana ia adalah faktor yang menguatkan hubungan kekeluargaan. Keluarga adalah tulang belakang yang membantu kita mengatasi masalah, berkongsi suka dan duka, tempat memberi dan menerima kasih sayang.

  1. Rancang Percutian

Memandangkan banyak lagi negara luar yang masih menutup pintu gara-gara Covid-19, apa kata anda rancang percutian di dalam negara. Negeri-negeri di Malaysia juga banyak tarikan yang unik, terutamanya pulau-pulau indah seperti Pulau Perhentian, Tioman, Redang, Sipadan dan banyak lagi. Selain harga yang berbaloi berbanding percutian luar negara, anda juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia.

  1. Banyakkan Membaca

Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan, mudah, murah, dan bermanfaat. Carilah masa lapang untuk membaca buku, tak kiralah untuk hiburan atau menimba ilmu. Banyak jenis genre yang kita boleh pilih dalam fiksyen dan bukan fiksyen. Kalau inginkan info yang lebih tentang buku-buku terbaik sebagai bahan bacaan, singgah sahaja ke Karangkraf Mall di Seksyen 15, Shah Alam,

Tip: Selangkan satu genre dengan genre yang lain supaya anda terus berminat untuk membaca.

  1. Buang Tabiat Buruk

Manusia memang tak pernah sempurna. Tetapi, ini bukanlah alasan untuk tidak memperbaiki diri. Di antara tabiat buruk yang boleh dibuang ialah:

  • Tidak menepati masa
  • Merokok
  • Pengotor
  • Melengahkan kerja
  • Malas
  • Mencarut
  • Mengumpat
  • Solat pada akhir waktu

Nafkah mertua

  1. Perbanyakkan Derma dan Ibadah

Sebagai tanda kesyukuran diatas limpahan rezeki yang Allah kurniakan, maka perbanyakkanlah derma dan sentiasa memperbaiki amal ibadah. Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Bahkan Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Firman ALLAH di dalam Surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki”

 

Selamat Tahun Baru 2022 kepada semua pembaca Sinar Islam Plus.