Browsing Tag

Sijil vaksin

Sijil vaksin
Isu, Pilihan Editor,

Penipu Sijil Vaksin perlu bertaubat

ENGGAN divaksin, tetapi tetap mahu ‘melanggan’ sijil vaksinasi Covid-19. Demikianlah perbuatan salah laku yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Apa tidaknya, kita dapat melihat banyak tangkapan telah dibuat membabitkan kes penjualan sijil vaksin kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan.

Dalam kes terbaharu, tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak, Selangor ditahan selepas disyaki terlibat dengan salah laku berkenaan.

Sebelum itu, di Kuala Terengganu, Terengganu, Polis Diraja Malaysia berjaya merampas 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi dan menahan seorang doktor berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang.

Dalam kes seperti itu, bukan sahaja kesalahan menipu, tetapi ia membabitkan perbuatan mengkhianati amanah yang diberikan.

Jelas sekali kedua-dua perilaku berkenaan bercanggah dengan tuntutan agama.

Baca juga Vaksin Ikhtiar Terbaik

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan dan pelakunya juga dianggap berdosa.

DR ZULKIFLI

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah – yakni rosak. Maka, baginda SAW bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, riwayat tersebut menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haram perbuatan menipu dan telah disepakati oleh para ulama.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Dalam isu penipuan sijil vaksin, ujar Dr Zulkifli, perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam perilaku yang mendedahkan diri kepada bahaya.

Sijil vaksin

MENIPU sijil vaksin boleh mendedahkan diri kepada bahaya. -Gambar hiasan

“Ini kerana dengan tidak mengambil vaksin, risikonya untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain adalah lebih tinggi. Hal ini bertepatan dengan larangan yang disebutkan ALLAH SWT menerusi firman-NYA dalam ayat 195, Surah al-Baqarah.

“Barangkali ada yang mendakwa dan menganggap bahawa perbuatan menipu sijil vaksin itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan.

“Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan menjadi ‘barah’ dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, budaya tipu menipu dan seumpamanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #308: Menipu Sijil Vaksin yang disiarkan menerusi maktabahalbakri.com.

Secara tuntasnya, Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia menyimpulkan, menipu sijil vaksin termasuk dalam perbuatan yang dilarang dalam agama dan pelakunya dianggap berdosa.

“Apatah lagi, perbuatan ini juga boleh mendedahkan diri dan orang lain kepada bahaya, di samping memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negara.

Sijil vaksin

VAKSIN merupakan salah satu bentuk ikhtiar bagi melindungi diri dan masyarakat daripada Covid-19.

“Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, kita sepatutnya menyahut seruan kerajaan untuk mengambil vaksin sebagai salah satu bentuk ikhtiar bagi melindungi diri dan masyarakat daripada Covid-19,” nasihatnya.

Kepada yang sudah terlanjur berbuat demikian, agamawan itu menasihatkan agar mereka insaf dan bertaubat kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benarnya.

“Di samping itu, banyakkanlah berzikir dan beristighfar kepada-NYA,” saran beliau.

Foto: Bernama