Browsing Tag

sijil halal

Halal
Berita Semasa,

Minuman Nutri Malt keluaran Carlsberg tidak layak mohon sijil halal

MINUMAN jenama Nutri Malt keluaran Carlsberg Brewery Malaysia Berhad yang tular di media sosial baru-baru ini disahkan tidak memiliki, selain tidak layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook milik mereka pada petang Selasa.

Menerusi kenyataan itu, langkah tersebut bertepatan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 Klausa 6(2) yang menyatakan, syarikat yang mengeluar dan/ atau mengedar produk halal dan tidak halal (termasuklah perkhidmatan penghantaran makanan) tidak layak untuk memohon pensijilan halal Malaysia.

Lantaran itu, Jakim menyarankan agar umat Islam memilih produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Ia bukan sahaja dijamin halal, tetapi toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran berkenaan.

Kepada pengguna yang mahu membuat semakan status halal produk atau premis makanan berserta panduan penuh, layari portal rasmi Halal Malaysia, aplikasi SmartHalal dan Verify Halal.

Halal

SEMAKAN status halal produk atau premis makanan boleh dibuat menerusi portal rasmi Halal Malaysia, aplikasi SmartHalal dan Verify Halal. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Baru-baru ini di media sosial, seorang lelaki menunjukkan minuman tersebut yang dijual di sebuah kedai serbaneka 24 jam dan diletakkan di dalam peti sejuk bersama minuman yang memiliki logo halal.

Baca juga Guna logo halal palsu, Brunei rampas beberapa produk sejuk beku

Minuman menyerupai arak

Mengulas tentang produk minuman yang menyerupai arak, Sinar Islam Plus merujuk artikel Bayan Linnas Siri ke-198 yang disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tiga tahun lalu.

Sebagaimana diketahui, arak merupakan najis dan berdosa besar sekiranya kita melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya.

“Justeru, wajib umat Islam untuk menjauhinya dan ia merupakan perintah ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel berkenaan.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Malah, jumhur ulama bersepakat dalam pengharaman meminum arak sama ada banyak atau sedikit. Ia disebabkan sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati ALLAH SWT.

Halal

JAUHKAN diri daripada sebarang produk yang meragukan adalah kewajiban umat Islam. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: UNSPLASH

Dalam perihal minuman bukan arak yang menyerupainya, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, umat Islam diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan suatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada suatu perkara yang dilarang.

Baca juga [VIDEO] Status minum minuman halal yang diletak dalam peti sejuk sama tempatkan arak. Ini penjelasannya…

Maka disebabkan itulah kita juga dilarang oleh Rasulullah SAW agar tidak menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka.

Perkara itu jelas dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah dari kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Perbuatan meminum arak dan mengadakan majlis minum arak merupakan amalan dan tradisi biasa bagi orang kafir. Sedangkan ia jelas dilarang dalam agama Islam.

“Maka umat Islam dilarang sama sekali menirunya walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang meminum arak,” katanya.

Bagi mereka yang mengadakan majlis seperti gaya majlis minum arak seperti perbuatan mengedarkan gelas-gelas arak, dituang air dan dilagakan gelas antara satu sama lain sebelum minum, Dr Zulkifli menjelaskan, Imam al-Nawawi mengatakan, wajib dikenakan hukuman takzir.

“Al-Rahibani dalam Mazhab Hanbali juga menyatakan, diharamkan menyerupai golongan peminum arak, bahkan ditakzir pelakunya walaupun minuman itu sendiri halal.

Halal

“Jika suatu kumpulan berkumpul, diadakan majlis, dibawakan alat-alat minuman dan bekas-bekasnya, lalu dituangkan minuman as-sakanjabin (bukan arak) atau seumpamanya dengan dilantik seorang pelayan melayaninya, di samping mereka saling mengucapkan ungkapan biasa oleh peminum arak (seperti ‘cheers’), maka hukumnya adalah haram walaupun minuman itu halal,” tegas beliau.

Baca juga Haram pekerja terlibat jual beli arak meskipun di kaunter

Begitu jugalah halnya dengan status minuman tidak beralkohol yang dikeluarkan oleh syarikat arak.

“Ini kerana, selain daripada syarikat yang mengeluarkannya adalah syarikat arak, ia juga dipakejkan dalam bentuk botol arak dan mempamerkan jenama arak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam terhadap kewajiban menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna Muslim yang bijak untuk menjauhkan diri daripada sebarang produk meragukan.

“Lebih-lebih lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang oleh syarak seperti arak,” katanya.

***Foto: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM