Browsing Tag

siang ikan hidup-hidup

Siang ikan
Gaya Hidup,

Siang ikan hidup-hidup, di mana keihsanan sebagai manusia? Ini hukumnya yang wajib diketahui

DI laman YouTube, agak banyak video yang memaparkan tutorial siang ikan hidup-hidup. Adakalanya haiwan berdarah sejuk itu masih bergerak-gerak seakan-akan meronta ketika disiang.

Sedangkan jika melibatkan haiwan lain seperti ayam dan lembu, dagingnya akan dilapah dan disiang apabila ia telah benar-benar mati selepas disembelih.

Meskipun ikan tidak perlu disembelih, namun menyiangnya hidup-hidup itu pada pandangan segelintir orang, ia disifatkan agak keterlaluan.

Bagaimana pula Islam memandang isu tersebut? Adakah kita dibenarkan melakukan sedemikian?

Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan, seseorang yang mendapatkan ikan masih hidup, dia tidak boleh terus memakannya sehinggalah ia mati atau dimatikan terlebih dahulu.

Siang ikan

MASAK ikan hanya selepas ia mati, disiang dan dibersihkan, elakkan daripada memasaknya ketika masih hidup. -FOTO: FREEPIK

“Makruh hukumnya jika kita memanggang ikan berkenaan hidup-hidup kerana perbuatan itu dikira menyeksanya tanpa keperluan.

“Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka kita boleh tunggu sehingga ia mati terlebih dahulu sebelum dimasak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1008 Menyiang Ikan Hidup-Hidup menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Sembelih dua ekor kambing berasingan untuk anak lelaki, adakah masih dikira sebagai akikah?

Menurut Imam al-Nawawi, andai ikan yang masih hidup itu ditelan ataupun dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan, maka terdapat dua pendapat dalam hal itu.

“Pandangan paling sahih adalah makruh dan bukannya haram, manakala pandangan kedua adalah haram serta ia merupakan pendapat al-Ghazali.

“Ini termasuklah haiwan-haiwan atau hidupan air lain yang mengambil hukum ikan,” katanya.

Menerusi perbahasan tersebut, maka jelaslah bahawa makruh hukumnya menyiang ikan secara hidup-hidup. Malah, ia juga menyalahi sifat berlaku ihsan yang dituntut dalam Islam.

“Apatah lagi, lazimnya haiwan yang tinggal di dalam air seperti ikan tidak dapat hidup lama di atas darat (selepas berpisah dari air).

“Ingatlah, agama Islam mengajar kita agar bersikap ihsan terhadap haiwan. Menyeksanya dengan cara menyiangnya hidup-hidup adalah termasuk dalam perbuatan tidak termasuk dalam sifat ihsan itu, selain tidak mencerminkan akhlak seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

Renungkanlah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Siang ikan

-Gambar hiasan/FOTO: FREEPIK

Bukan sahaja menyiang hidup-hidup, tetapi juga memasak ikan, sotong atau apa sahaja hidupan (yang halal dimakan) ketika masih hidup juga makruh hukumnya.

Cara terbaik adalah dengan mematikannya terlebih dahulu dengan kaedah paling baik atau menunggunya mati terlebih dahulu.

“Kebiasaannya, haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (selepas berpisah dari air),” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-409: Hukum Memasak atau Memakan Haiwan yang Masih Hidup yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ingatlah ajaran Islam agar kita sentiasa berbuat baik sesama makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan jika ingin menyembelihnya, kena dilakukan dengan cara terbaik dan tidak menyakitinya.

***Foto: Pexels