Browsing Tag

serangan halus Barat

Muslim pantauan FBI
Isu,

Ketahui sejarah Islamofobia dan serangan halus untuk burukkan Islam

SEJAK kebelakangan ini, sentimen Islamofobia dan serangan halus terhadap Islam dilihat begitu ‘kencang’. Lebih-lebih lagi apabila kitab suci al-Quran dibakar secara terbuka.

Melihat mukjizat agung Nabi Muhammad SAW itu diperlakukan sedemikian rupa membuatkan suhu kemarahan umat Islam seantero dunia mendidih.

Tindakan biadab aktivis anti-Islam, Rasmus Paludan sebanyak dua kali baru-baru ini tidak boleh diterima sama sekali.

Bayangkan, kitab ALLAH yang menjadi manual hidup Muslim dipijak bagai tiada nilai. Ia sesuatu yang sukar dicerna oleh akal.

Baca juga Biadapnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Walaupun pemimpin negara-negara Islam termasuk Malaysia, Turkiye, Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras perbuatan itu tetapi isu berkaitan Islamofobia dilihat tidak pernah kendur.

Tindakan membakar kitabullah merupakan satu contoh kes Islamofobia atau dengan kata lainnya, menyimpan rasa takut, benci dan prasangka terhadap Islam dan umatnya.

Peristiwa itu seakan sengaja mencabar parameter kesabaran Muslim. Provokasi demi provokasi yang ditonjolkan memperlihatkan sisi hormat terhadap umat Islam diabaikan.

Mengapa Islam dilihat sebagai ancaman, sedangkan ia adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam? Sampai bila Muslim akan dilihat dengan pandangan salah?

Bimbang pertambahan umat Islam

Mengupas lanjut topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Che Yaacob.

DR AHMAD

Tatkala diajukan persoalan tersebut, beliau menjelaskan, isu Islamofobia sebenarnya berpunca daripada ketakutan dan kebimbangan Barat disebabkan pertambahan umat Islam di Eropah.

“Bukan sahaja dari aspek kuantiti tetapi juga kualiti mereka yang sudah memeluk Islam. Orang Eropah yang bergelar Muslim berubah perangai ke arah lebih baik.

“Ia termasuklah beberapa orang ahli politik Eropah yang dahulunya kuat menentang Islam seperti bekas pemimpin anti-Islam yang memeluk agama suci ini dan menulis buku tentang keindahannya pada Oktober 2018, Joram van Klaveren.

“Sebelum itu, Arnoud van Doorn yang juga bekas pemimpin anti-Islam mengambil langkah sama pada 2012 selepas menerbitkan filem yang mengaitkan Islam dengan keganasan,” terangnya.

Perkara sama turut mempengaruhi kejadian pembakaran al-Quran baru-baru ini.

Menurut perspektif Dr Ahmad, insiden tersebut bukan disebabkan hilangnya sensitiviti bukan Islam terhadap Muslim.

Baca juga 90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia

“Sebaliknya, ia berpunca daripada rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang semakin bertambah.

“Kejadian yang mencetus provokasi berkenaan dipercayai akibat dorongan untuk meraih populariti dan kepentingan politik peribadi menjelang pilihan raya pada September,” ungkapnya.

Selepas peristiwa serangan ke atas Menara Berkembar World Trade Center di New York pada 11 September 2001, ahli akademik itu menjelaskan, Islam telah diberikan imej negatif oleh media Barat.

Islamofobia

TINDAKAN biadab ahli politik Sweden membakar al-Quran mendapat bantahan dan kecaman ramai menerusi demonstrasi termasuk di Malaysia baru-baru ini. -FOTO: BERNAMA

“Sebenarnya, ia adalah antara bentuk serangan pemikiran (ghazwatul fikri) oleh Barat untuk memberikan imej buruk terhadap Islam,” katanya.

Rahsia kekuatan Islam

Menelusuri lembaran historiografinya, jelas Dr Ahmad, serangan pemikiran Barat sudah bermula seawal abad ke-12 lagi ketika berlaku Perang Sabib antara umat Islam dan Kristian selama 200 tahun.

Menurut beliau, Raja Louis IX, raja Perancis yang terlibat dalam siri Perang Salib sebanyak dua kali itu mendapati, kekuatan umat Islam bukan terletak pada bilangan tentera, sebaliknya ia berkait dengan akidah.

Raja Louis IX mengatakan: “Jika kamu ingin mengalahkan umat Islam, jangan perangi mereka hanya dengan senjata kerana kamu telah kalah waktu menggunakan senjata. Namun, perangilah akidah dan pemikiran mereka, keluarkan semangat Islam daripada dada mereka, jadikan mereka bodoh terhadap akidah Islam kerana dalam akidahlah terletak kekuatan Islam. Apabila akidah telah hilang, mudah untuk mengalahkan mereka. Dengan menyerang pemikiran mereka, kita tidak akan rugi, bahkan kaum Muslimin yang akan rugi.”

Baca juga Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

Bukan itu sahaja, ahli akademik itu menjelaskan, rahsia kekuatan Islam juga dipelajari oleh Barat hingga wujud kelompok dikenali sebagai orientalis.

Islamofobia

PROTES orang ramai terhadap tindakan Paludan membakar al-Quran di Turkiye baru-baru ini.
-FOTO: AP

Sejak Islam mula bertapak, katanya, pihak Barat berusaha untuk mengetahui kekuatan agama suci itu.

“Raja Parsi misalnya, menghantar seorang pengintip bernama Ibn al-Dahqan al-Attar untuk menyiasat rahsia kekuatan umat Islam Madinah.

“Alangkah terkejut dirinya apabila dia tidak menemui seorang lelaki pun kerana semuanya menunaikan solat Jumaat. Tambah memeranjatkan lagi apabila didapati Saidina Umar RA mengadili sendiri kes-kes mahkamah dan dengan aman tidur sendirian di bawah pohon kayu tanpa sebarang kawalan keselamatan,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Dr Ahmad menjawab: “Sampai bila Islam akan diberi label yang salah, semua itu bergantung kepada umat Islam sendiri.

“Banyak perkara terjadi hari ini di mana umat Muslim sendiri telah gagal menampilkan imej Islam sebenar sebagai agama yang adil, toleran, mementingkan kebersihan dan sebagainya.

“Kita tidak mampu mengubah apa yang ada dalam pemikiran orang tetapi kita boleh melakukan transisi bagi memberikan imej yang bersih dan adil,” titip beliau.

ANEKDOT

Tindakan yang boleh dilakukan umat Islam membendung Islamofobia

1. Negara-negara Islam hendaklah bersatu untuk menyatakankecaman terhadap perbuatan membakar al-Quran dan apa-apa perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

2. Negara-negara Islam hendaklah memboikot aktiviti ekonomi dari negara yang membenarkan perbuatan yang mengancam kesucian agama Islam.

3. Usaha untuk mencetak dan mengedarkan al-Quran secara percuma kepada seluruh dunia.

4. Memberikan dakwah dan penerangan yang benar tentang agama Islam dalam pelbagai media termasuklah dalam bentuk media filem, hiburan, sukan serta media sosial.

Islamofobia

SENTIASA menonjolkan akhlak Islam dalam setiap perbuatan selain tidak bertindak keterlaluan di luar batas syariat andai menerima provokasi daripada kelompok lain. -FOTO: 123RF

5. Umat Islam tidak cepat melatah dan tidak bertindak di luar batas yang dibenarkan oleh hukum serta undang-undang. Sebaliknya hendaklah mengamalkan akhlak yang baik dan tidak membalas dengan membuat kerosakan serta keburukan.

6. Golongan Muslim dan pertubuhan sosial serta kebajikan Islam menggandakan lagi usaha untuk memberi imej yang baik supaya syiar agama Islam terserlah seperti memberikan bantuan makanan percuma dan pakaian kepada gelandangan di negara Barat. Ini kerana Barat sedang mengalami masalah kemiskinan bandar dan kemelaratan hidup terutama dalam kalangan gelandangan dan mereka yang ketagih arak.

7. Umat Islam hendaklah memperbaikisahsiah dan peribadi mereka, disamping menambahkan lagi ilmu supaya mencerminkan akhlak sebenar Islam.

***Sumber Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.