Browsing Tag

serambi mekah

Tok kenali
Personaliti,

Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

TOK Kenali, seorang tokoh ulama terkenal di sebalik gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberikan kepada negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang guru agama Islam yang masyhur, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Asia Tenggara dan pencetus ilmu pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Kelantan, sekitar awal abad ke-20. 

Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan sekitar tahun 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dan warak. Bapanya seorang petani yang dikenali dengan kesolehannya. 

Membesar didampingi ajaran Islam, Tok Kenali sudah khatam al-Quran sejak kecil. Di Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru agama tersohor seawal usia sembilan tahun. Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah.

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tok Kenali mula mekar apabila mula berguru dengan Syeikh al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya. Beliau juga sempat belajar bersama Nik Mahmud bin Nik Ismail di sana. Setelah gurunya meninggal dunia, Tok Kenali kembali ke Kelantan pada tahun 1909, setelah 22 tahun berada di Mekah.

TOK Kenali telah berguru dengan ramai guru agama terkemuka sejak kecil lagi.

Menurut catatan, Tok Kenali mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan. Jasa beliau paling bermakna adalah dengan memperkenalkan sistem pengajian pondok.

Sekembali dari Mekah, Tok Kenali telah membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Paya. Dalam masa dua tahun sahaja, namanya telah dikenali seluruh negeri dan ramai individu dari dalam dan luar negara termasuk Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia datang menuntut ilmu darinya.

Pondok Kenali telah melahirkan ramai ulama dan cendekiawan yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 

Selain itu, Tok Kenali juga merupakan seorang pengarang dan penterjemah. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menterjemah buku-buku Arab seperti Kitab al-Umm, Tafsir Khazin, and Tafsir Ibn Kathir. 

PONDOK Tok Kenali kekal sehingga hari ini. Antara jasa terbesar beliau adalah memperkenalkan sistem pengajian pondok.  Pondok Tok Kenali telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh agama tersohor.

Segala usaha perjuangan ulama tersohor ini dimungkinkan dengan kegiatan aktif beliau dalam bidang politik. Tok Kenali pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau termasuk dalam tokoh-tokoh penting yang telah terlibat dalam penubuhan Majlis Agama Islam, perpustakaan negeri dan sebuah jabatan percetakan kerajaan.

Tok Kenali meninggal dunia di usia 65 tahun pada hari Ahad, 2 Syaaban tahun 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi. Jenazah beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Foto: Amir Irsyad Omar, Google