Browsing Tag

sepanduk

Jack Gues
Jendela Dunia,

Objek dan Simbol Sudu Kini Meriah di Gaza

BENDERA dan sepanduk yang dihiasi dengan objek sudu kini menjadi strategi utama pejuang Palestin menjatuhkan moral dan maruah rejim Israel. Ia rentetan enam tahanan Palestin berjaya menusuk keluar dari penjara Gilboa yang dikhabarkan memiliki ciri-ciri keselamatan terbaik di dunia.

Enam tahanan Palestin berjaya melarikan diri pada 6 September lalu dari penjara itu melalui lubang singki dengan mengoreknya menggunakan sudu dan peralatan makanan lain.

Selepas beberapa hari usaha menjejak tahanan Palestin oleh tentera Israel dilakukan, akhirnya kesemua tahanan itu berjaya ditangkap kembali baru-baru ini.

Seorang pelukis menghasilkan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik . Gambar: Mahmud Hams/AFP

Menurut peguam kepada salah seorang rakyat Palestin yang ditangkap itu, Ruslan Mahajaneh, anak guamnya Mahmoud Abdullah al-Ardah mengatakan bahawa dia hanya menggunakan sudu, piring dan pemegang cerek untuk kerja menggali terowong dari selnya.

“Peristiwa memalukan itu mengingatkan kembali kejadian sama yang berlaku pada 1996 di Kota Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki Israel. Tahanan Palestin, Ghassan Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara melalui terowong yang digali hanya dengan menggunakan paku.

“Dia telah ditangkap kerana didakwa telah menyertai kumpulan bersenjata semasa intifada Palestin pertama yang berlangsung hingga awal 1990-an. Mahdawi berjaya melarikan diri dari penjara dan ditangkap kembali, dia akhirnya dibebaskan selepas 19 tahun menjadi tahanan rejim Israel.

“Saya teringat kata-kata Mahdawi, untuk melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang biasa akan dipikirkan oleh setiap tahanan. Semua yang berlaku ini akan tetap menjadi sejarah yang akan diingati oleh generasi akan datang,” katanya.

Orang ramai berhimpun di hadapan Masjid Dome of The Rock. Gambar: Ahmad Gharabli/AFP

Selepas kesemua enam tahanan itu ditangkap kembali, ramai rakyat Palestin mengadakan demonstrasi membantah penangkapan mereka. Kini di Kota Gaza, kelihatan seorang pelukis mengabadikan sebuah mural dengan objek sudu sebagai simbolik dan sindiran kepada rejim Israel.

Begitu juga kelihatan orang ramai berhimpun di hadapan masjid Dome of The Rock dengan di tangan setiap orang mengangkat sudu sebagai tanda sokongan kepada enam tahanan Palestin yang ditangkap.

Arca berbentuk tangan sambil memegang sudu. Gambar: Yasser al-Zayyat/AFP

Tidak ketinggalan, artis seni dari Kuwait, Maitham Abdal turut menghasilkan arca bernama ‘Spoon of Freedom’ sebagai menghormati tahanan Palestin itu.

Di Kota Umm al-Faham, ramai warganegara Palestin berhimpun dengan mengangkat sudu ketika mereka melakukan protes terhadap tindakan tentera Israel.

Malah, ramai penduduk Palestin menaikkan sepanduk dengan tanda pagar, ‘sudu ajaib’ sebagai sindiran untuk mengganggu mental dan menjatuhkan moral rejim Israel.

Sumber: Al Jazeera