Browsing Tag

Senja

Berkeliaran waktu Maghrib
Gaya Hidup,

Larangan berkeliaran waktu Maghrib bukan mitos

PANTANG nenek moyang kita apabila ada sesiapa yang berkeliaran waktu Maghrib. Kalau boleh, memang semua orang disuruh pulang ke rumah sebelum senja.

Lebih-lebih lagi kanak-kanak dan bayi. Nampak sahaja golongan itu dibawa merayap oleh ibu bapa mereka, terus sahaja disuruh masuk.

Ya, demikianlah yang berlaku sebelum ini. Barangkali dalam era moden kini, sudah kurang kedengaran tegahan sebegitu meniti pada bibir ibu bapa kita.

Namun, ‘ajaran’ mereka itu masih tersemat kemas dalam ingatan. Sekali-sekala apabila pulang waktu Maghrib, sudah terasa semacam dan meremang!

Ketahuilah bahawa pantang larang tersebut sebenarnya ada asasnya dalam agama Islam. Ia bukan mitos!

Menurut Jabatan Mufti Negeri Perak, sememangnya kanak-kanak dilarang merayap pada waktu Maghrib kerana syaitan berkeliaran ketika itu.

Berkeliaran waktu Maghrib

JANGAN biarkan anak-anak kecil berkeliaran atau bermain di luar ketika waktu Maghrib. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: UNSPLASH

“Kita bimbang apa-apa terjadi kepada mereka.

“Oleh itu, setengah jam atau 40 minit sebelum Maghrib, masukkan mereka ke dalam rumah untuk menjaga keselamatan masing-masing,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi Soal Jawab Fiqh di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak.

Baca juga Mandi selepas Asar, Maghrib dan Isyak jejas kesihatan serta dilarang agama… Itu semua karut, hakikatnya

Dalam hal itu, terdapat beberapa hadis sahih yang memerihalkan tentang perkara itu, kata laman web islamqa.info.id.

Antaranya daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika malam datang menjelang, atau kalian berada pada lewat petang, maka tahanlah anak-anak kalian kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada ALLAH kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada ALLAH walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain, Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jangan lepaskan haiwan ternak dan anak-anak kalian apabila matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak kerana syaitan bertebaran jika matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ketika mensyarahkan hadis tersebut, Ibn Jauzi dalam Fathul Bari menyatakan, kerisauan bagi kanak-kanak ketika itu kerana perkara-perkara najis yang selalu dicari syaitan secara umumnya terdapat pada mereka, sedangkan zikir yang dapat melindungi mereka tidak ada pada anak kecil.

“Sedangkan ketika syaitan berkeliaran, mereka bergantung dengan apa sahaja yang mereka dapat. Itulah kebimbangan terhadap kanak-kanak tadi.

Berkeliaran waktu Maghrib

ELAKKAN bertebaran di luar pada waktu senja kerana syaitan mula berkeliaran ketika itu. -FOTO: PEXELS

“Adapun bertebarannya syaitan pada waktu itu kerana malam lebih mudah bagi mereka berbanding siang. Ini disebabkan kegelapan lebih mendatangkan kekuatan bagi makhluk menyesatkan itu berbanding waktu lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi islamqa.info.id.

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

Mudah kata, ibu bapa perlu menahan anak-anak mereka daripada keluar pada waktu Maghrib kerana dibimbangi mereka terkena kejahatan syaitan disebabkan jumlahnya yang tidak terhitung.

Tutup pintu dan tingkap

Seperkara lagi, sebelum tiba waktu senja, segeralah tutup semua pintu dan tingkap di dalam rumah yang terbuka.

Ini kerana dalam hadis yang dinyatakan tadi secara jelas menyuruh kita berbuat demikian.

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-255: Perkara Sunat Ketika Maghrib yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut, kita dituntut atau disunatkan menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja sebagaimana diingatkan oleh orang tua kita.

Baca juga Tutup pintu dan tingkap sebelum maghrib, wajib buat dan pesan pada anak-anak kita… 

“Ini kerana syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut dan dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut.

Berkeliaran waktu Maghrib

SEBELUM waktu Maghrib, tutup semua pintu dan tingkap. -FOTO: FREEPIK

“Ingatlah, syaitan itu sifatnya adalah menyakiti manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.

Justeru, elakkan diri daripada keluar pada waktu senja demi kebaikan diri dan anak kecil kita.

***Foto: Unsplash

pexels-selim-çetin-2042108
Gaya Hidup,

Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

no comment

KEBIASAANNYA menjelang sahaja waktu senja, ramai ibu bapa mula memanggil anak-anak yang leka bermain supaya pulang ke rumah. Kata mereka wajib berada di dalam rumah sebelum berkumandangnya azan Maghrib.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya, pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun berpandangan, pada zaman dahulu, ramai dalam kalangan ibu ayah kebiasaannya sentiasa berpesan supaya jangan balik lewat Maghrib. Apabila Maghrib pastikan sudah berada di dalam rumah dan bersiap-siap untuk mandi dan sebagainya serta perlu memastikan semua pintu dan tingkap ditutup rapat.

Menurut Ustazah Asma’, sebenarnya kata-kata ibu bapa itu ada asasnya di dalam agama kita.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama ALLAH kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”

 

Waktu Maghrib hingga ke Isyak biasanya digunakan untuk membaca al-Quran dan melakukan akiviti ilmiah.

Jelas beliau lagi, daripada hadis di atas terdapat tiga pesanan yang Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada umat Islam hari ini iaitu yang pertama tahanlah anak-anak ketika Maghrib daripada berada di luar rumah, yang kedua tutuplah pintu-pintu rumah dan yang ketiga sebutlah nama ALLAH.

“Subhanallah. Bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada sebab dan alasannya.

“Sahabat, saya ingin kongsikan doa yang sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan. Doa ini adalah petikan daripada Surah al-Mukminun ayat 97 dan 98 maksudnya: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”,” kongsinya.

Ujar Ustazah Asma’, doa di atas tidaklah terikat pada sesuatu masa untuk dibaca. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan dan semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan ALLAH SWT.