Browsing Tag

seniman

ac85d9a8-aba2-4d80-996f-c56939a0620f
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Seni tidak membezakan agama: Lelaki Hindu menulis ayat al-Quran di 200 Masjid

no comment

ARTIS kaligrafi India, Anil Kumar Chowhan telah menulis ayat-ayat al-Quran di lebih 200 masjid seluruh India sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni itu.

Lelaki berusia 50 tahun yang menetap di Hyderabad memulakan kerjaya seni itu dengan mula melukis papan tanda kedai sekitar bandar India Selatan di dalam bahasa Urdu sebagai sumber mata pencariannya.

“Saya tergolong dalam keluarga Hindu yang sangat miskin. Saya telah berhenti belajar sejak usia 10 tahun bagi menyara keluarga. Saya pandai melukis, jadi saya fikir mengapa tidak memanfaatkan kemahiran ini untuk menjadikan lukisan papan tanda sebagai kerjaya, ”katanya.

Chowhan turut menambah bahawa dia juga telah melukis di lebih 30 buah kuil dengan gambar dewa-dewa Hindu serta beberapa dargah (makam) dan biara.

“Walaupun telah melukis lebih daripada 200 masjid, namun saya hanya mengambil bayaran untuk 100 lebih masjid sahaja dan selebihnya tidak. Saya merasakan hubungan rohani dengan bekerja di tempat-tempat itu menghalang saya daripada menuntut bayaran,” kata artis yang memperoleh sekitar RM1,458.92 sebulan sebagai pekerja bebas.

Hasil kerja Chowhan mendapat pengiktirafan ramai.

Chowhan mengatakan bahawa dia tidak bersekolah di sekolah formal atau Islam untuk mempelajari tulisan Arab atau bahasa Urdu.

“Semasa tugas melukis diberikan, saya mula belajar membaca dan menulis dalam bahasa Urdu. Selepas ramai yang mengakui hasil kerja tangan saya, ereka mula memberi saya peluang untuk memperindah seni bina terkenal di sekitar bandar dengan ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Di Hyderabad 30 tahun yang lalu, permintaan kaligrafi untuk menulis papan tanda dalam bahasa Urdu sangat tinggi kerana majoriti penduduk di situ terdiri daripada penjual yang beragama Islam. Oleh itu, dia tidak mempunyai pilihan selain untuk mengenal dan belajar bahasa itu dengan cepat.

Namun dalam pada dia perlahan-lahan menulis dalam bahasa Urdu tanpa memahaminya, dia mengatakan bahawa dia mula jatuh cinta dengan tulisan di dalam bahasa jawi.

“Dari hari ke hari, saya mula mengenali huruf jawi dan perlahan-lahan minat itu mula datang secara semulajadi. Pada masa lapang, saya akan menulis ayat-ayat dalam bahasa Urdu, menyalin perkataan dari buku teks membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar, ”katanya.

Bagi Chowhan, seni tidak membezakan agama.

Chowhan mengatakan bahawa dia mendapat tugas besar pertamanya pada tahun 1990 ketika dia diminta untuk memperindah Masjid Noor yang menjadi ikonik di Hyderabad dengan ayat-ayat al-Quran.

“Saya merasa seperti berada di bulan kerana setiap tugasan besar yang diberikan mendapat pujian dan pengiktirafan dengan hasil kerja seni saya. Golongan elit di bandar memuji dan sangat menyukai apa yang saya buat dan ia membuka lebih banyak peluang saya untuk menerima tawaran-tawaran lain.

“Tetapi biasalah hidup ini sering kali kita akan berhadapan dengan cabaran. Sebilangan penduduk tempatan menentang pekerjaan saya hanya kerana saya beragama Hindu.

“Namun saya bertekad untuk meneruskan kerjaya ini dia sehingga saya memperoleh sijil dari Universiti Jamia Nizamia di Hyderabad untuk diiktiraf menjadi seorang seniman. Pengurusan universiti yang kagum dengan karya seni saya telah menggantung kanvas yang tertulis surah Yasin dengan ukuran 183 sentimeter lebar dan 122 sentimeter tinggi di galeri utama universiti itu,” katanya.

Salah satu masjid di India yang dilukis oleh Chowhan.

Hari ini, penduduk tempatan yang sama yang pernah membantah pekerjaannya memanggil Chowhan dengan gelaran “jiwa rohani” dan semakin hormat dengan kerjayanya.

“Saya percaya seni tidak membezakan agama. Tuhan, Allah, Jesus, mereka semua adalah satu. Dan kita adalah anak-anak Tuhan. Hari ini, kebanyakan rakan saya beragama Islam. Kami makan bersama, melepak bersama, mengambil bahagian dalam perjumpaan dan memperkayakan kehidupan masing-masing, ”kata Chowhan yang juga berkecimpung dalam puisi Urdu dan sering diundang ke perjumpaan di kota untuk membacakan puisinya.

Chowhan juga merancang untuk mengadakan pameran lukisan al-Qurannya.

Begitupun jelasnya, dia tidak pernah memaksa dua anak lelaki dan perempuan untuk mengikuti jejaknya sebagai seniman kaligrafi.

“Saya bukan jenis orang yang memaksa mengikuti keputusan yang saya buat di dalam keluarga. Tidak ada yang memaksa saya untuk menceburi seni ini dan begitu juga saya menyerahkan pilihan kerjaya anak-anak saya kepada mereka. Kedua-duanya adalah lulusan dan mempunyai pekerjaan yang baik di syarikat swasta. Mereka sangat gembira, ”katanya.

Namun, Chowhan gembira kerana adiknya membantunya dalam pekerjaan dan mereka sering bersama untuk melakukan tugas. Mereka juga telah pergi ke negeri jiran Karnataka, Andhra Pradesh dan Maharashtra untuk bekerja.

Chowhan tidak pernah memaksa anak-anaknya mengikuti jejaknya sebagai artis kaligrafi.

Chowhan mengakui dia tidak kaya tetapi cukup untuk mengurus keperluan keluarganya. Sudah tentu ada hari mereka akan mendapat banyak tawaran dan adakalanya tidak. Malah dia juga sering terpaksa bekerja sehingga 16 jam sehari untuk mengejar tarikh akhir yang diberikan pelanggan.

“Sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, saya antara yang paling sibuk kerana terpaksa bergerak dengan cepat dari satu masjid ke masjid yang lain untuk menyampaikan amanat Allah melalui seni saya. Tapi saya tidak pernah menyesal apatah lagi mengeluh kerana saya sangat sukakan tugasan yang diberikan.

“Masjid, kuil, biara, saya telah menghiasi semuanya. Semua tempat ini memberikan pesanan yang sama iaitu cinta, kedamaian dan kesatuan umat manusia. Agama adalah kekuatan penyatuan, bukan pemecah belah.

“Sekiranya kita mengikuti ajaran tuhan, kita semua dapat hidup dengan harmoni dan dunia akan menjadi lebih kaya untuknya,” katanya.

Sumber: Al Jazeera