Browsing Tag

semangat kebersamaan

Kehebatan doa seorang emak
Gaya Hidup,

Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat tatkala melihat insan di sekeliling ditimpa musibah banjir akibat hujan berterusan pada penghujung tahun 2021 wajar dipuji.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, perilaku tersebut sememangnya pernah dizahirkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada kita.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Perbuatan mulia Nabi Muhammad itu dapat dilihat apabila baginda menyantuni dan bergaul dengan ahli suffah (sahabat yang duduk di persekitaran Masjid Nabawi) meskipun ada dalam kalangan mereka merupakan seorang asnaf, terangnya.

IMAM MUDA ARAN

“Baginda langsung tidak meminggirkan mereka, malah bercampur dengan semua masyarakat daripada setinggi-tinggi kedudukan taraf sehingga serendah-rendah pangkat.

“Ia bukan terhad hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi juga sesama bukan Muslim. Sifat ini dapat dilihat apabila Rasulullah SAW ingin pergi berperang.

“Tatkala meninggalkan keluarga untuk tujuan tersebut, baginda pernah menggadaikan baju besi perangnya kepada seorang Yahudi. Dengan nilai yang diperoleh tersebut, maka sebanyak itulah bekalan makanan disediakan buat keluarga baginda. Justeru, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam,” katanya.

Ya, semangat kebersamaan begitu penting tidak kiralah sama ada dalam perkara susah mahupun senang. Namun, Imam Muda Aran mengingatkan supaya sikap itu diimplementasikan juga dalam hal membanteras perkara maksiat.

Ia sebagaimana yang disuruh oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “…Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Andai kita tidak mampu memberikan bantuan dari segi harta benda mahupun tenaga kepada orang lain, berdoalah kepada ALLAH SWT dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang ditimpa ujian. Doa adalah senjata orang Mukmin.

“Kepada mereka yang diberikan ujian, minta tolonglah kepada ALLAH SWT dengan bersabar. Ingatlah, apa jua situasi kita, sifat tersebut begitu penting.

Puji ALLAH

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat Malaysia ketika musibah banjir pada penghujung tahun lalu wajar dipuji. Sifat itu sememangnya ada dalam diri Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada seluruh umat.

“Tidak kiralah musibah mahupun kesenangan yang dikurniakan-NYA kepada kita, jangan lupa untuk memuji Tuhan. Ini kerana ALLAH jualah yang menurunkan musibah kepada kita. Andai kita bersabar dengan ujian-NYA dan sentiasa mengingati-NYA, pahala bakal diraih.”

Foto: Freepik & Bernama