Browsing Tag

selamat hari raya

photo-1467810563316-b5476525c0f9
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ramadan Diingati Kemenangan Dirai

no comment

Adakah ini Ramadan terakhir kita? Apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadan akan datang? Segala persoalan bermain dalam fikiran umat Islam apabila bulan yang penuh keberkatan itu akan meninggalkan kita.

Berdoalah moga dipertemukan Ramadan akan datang.

Perasaan sayu, sebak, sedih antara emosi yang sangat dirasai menjelang terbenamnya mentari petang ini, namun Allah tetap mahu menggembirakan umat Islam yang berpuasa dengan menggantikan bulan itu dengan 1 Syawal, bulan kemenangan atau Aidilfitri.

Kira-kira dua billion umat Islam dari seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan keampunan, Ramadan Al Mubarak.

Dalam keadaan biasa, Aidilfitri dimulakan dengan solat Aidilfitri, makan bersama ahli keluarga dan ziarah sesama Islam dan bermaaf-maafan.

Maswood Ahmed

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pendidikan, Majlis Muslim Britain, Maswood Ahmed, berkata Aidilfitri adalah perayaan besar yang dianugerahkan kepada umat Islam setelah berjaya melaksanakan salah satu dugaan paling besar buat manusia iaitu mengawal segala hawa nafsu dan berpuasa dari menahan diri dari lapar dan dahaga.

“Kemenangan ini dirai umat Islam untuk lebih mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam, meluangkan masa bersama keluarga, saudara-mara, jiran tertangga dan rakan taulan.

“Kita akan dapat saksikan ramai umat Islam akan berpelukan di jalan sebagai sebahagian daripada perayaan lebaran. Lelaki akan memeluk lelaki lain sebagai tanda persahabatan dan wanita akan melakukan hal yang sama dengan sesama wanita.

Bermaaf-maafan amat dituntut oleh Islam.

“Sekiranya anda keluar di jalan, orang asing atau siapa sahaja yang mereka temui, mereka akan memeluk tanda persahabatan dan bermaaf-maafan. Syawal adalah waktu untuk mencuba dan mewujudkan perasaan yang baik, segala perasaan permusuhan akan dimaafkan,” katanya.

Walaupun terdapat banyak perkara yang akan dilakukan setiap orang pada hari lebaran, dengan kira-kira 2 bilion umat Islam di seluruh dunia, tidak menghairankan bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri merayakan perayaan suci ini.

close up view of traditional turkish baklava with pistachio on a black board

Sebahagian besar di negara timur tengah menganggap Syawal adalah ‘Pesta Gula’ di mana kebanyakkan sajian yang dihidangkan untuk tetamu adalah menu pencuci mulut.
Namun setiap negara di dunia mempunyai kegemaran yang berbeza seperti Turki terkenal dengan gula-gula Turki seperti baklava, kunafa dan pelbagai lagi untuk diberikan kepada rakan, keluarga dan jiran sebagai hadiah semasa lebaran.

Jika negara Iraq dan Arab Saudi, kurma adalah menu yang sangat penting sepanjang Ramadan dan Syawal yang boleh dimakan pada bila-bila waktu siang dan malam hari. Di kedua negara ini kuih tradisi mereka adalah Kleichas yang merupakan biskut berperisa mawar dan berisi kacang serta kurma. Mereka menganggap Kleichas adalah biskut kebangsaan mereka.

Kleichas berinti kacang dan kurma

Di Yaman, kuih tradisi mereka adalah Bint al sahn atau disebut sebagai kek madu. Ia dihiasi dengan biji habbatussauda dan sangat disukai pelbagai golongan masyarakat Yaman.

Berbeza di Rusia, masyarakatnya akan membuat kiuh tradisional yang dikenali sebagai manti yang sangat popular pada Aidilfitri. Manti biasanya diisi dengan sejenis daging ayam, kambing atau lembu yang disalut dengan lapisan kulit diperbuat dari tepung dan dikukus.

Makanan tradisi Islam Rusia, Manti berinti daging dimakan pada pagi Syawal.

Manakala di Malaysia, Aidilfitri tidak akan meriah tanpa lemang, ketupat, rendang ayam dan daging serta pelbagai biskut manis dengan pelbagai perisa. Jika dulu sebelum pandemik Covid-19, aktiviti memasak lemang, ketupat atau mengacau dodol akan dilakukan secara bergotong-royong, acara ini dilakukan bagi mengeratkan hubungan sesama Islam baik keluarga, saudara-mara, jiran tetangga mahupun kenalan baik.

Tidak meriah Aidilfitri tanpa lemang.

Tidak lupa masyarakat Islam China meraikan Aidilfitri dengan makanan tradisi mereka iaitu You Xiang yang diperbuat dari tepung, air dan roti ragi yang digoreng dalam minyak. Ia diberikan sebagai hadiah atau dimakan pada pagi 1 Syawal.

Ucapan lebaran juga adalah salah satu perkara yang paling umum kita mendengarnya, di negara timur tengah kebiasaannya menyebut ‘Eid Mubarak’ yang bermaksud ‘Idul Fitri’ atau ‘yang diberkati’ dan merupakan cara untuk menyatakan ucapan perayaan. Anda mungkin juga mendengar ‘Eid sa’id’ yang bererti ‘Selamat Hari Raya’.

Negara-negara lain mempunyai ucapan yang berbeza. Di Nigeria, masyarakatnya cenderung mengucap ‘Balla da Sallah’. Di Malaysia, Aidilfitri disebut sebagai Selamat Hari Raya.

Tradisi lain juga yang agak unik dirai masyarakat Islam di dunia seperti di Afghanistan. Aidilfitri disambut berbeza di mana masyarakatnya akan melukis telur rebus dan berlawan sesama mereka. Permainan ini dikenali sebagai Tokhm-Jangi. Semua orang akan terlibat dan tujuannya adalah untuk memecahkan telur lawan sambil memastikan telur sendiri tidak pecah.