Browsing Tag

sekolah rendah

sk kelana jaya
Berita Semasa,

Pameran unik SK Kelana Jaya (1) wajar dicontohi, pupuk cinta terhadap Rasulullah SAW

RERUAI pameran anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Kelana Jaya (1) dengan kerjasama Yayasan Ihsan Rakyat dan Pusat Nasyrul Quran menjadi tarikan utama dalam Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah itu, baru-baru ini.

Menurut Guru Besar SK Kelana Jaya (1), Zaizar Abdullah, Pameran Reruai Jejak Rasul 2022 itu antara aktiviti yang dianjurkan sempena program tahunan sekolah meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Kata beliau, ini adalah kali pertama pameran sedemikian diadakan di peringkat sekolah rendah.

“Ini kali pertama pameran sebesar ini dilakukan di peringkat sekolah rendah. Kami berharap ia (pameran) akan dicontohi untuk diadakan di sekolah-sekolah rendah yang lain pula,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Sinar Islam Plus.

sk kelana jaya 1

PAMERAN Reruai Jejak Rasul 2020 berkenaan mempamerkan pelbagai aspek kehidupan baginda SAW menerusi replika, ilustrasi dan hasil seni pelajar. Foto: Sinar Islam Plus & SK Kelana Jaya (1)

Selain ibu bapa dan pelajar SK Kelana Jaya (2), Sinar Islam turut diberi peluang melawat tapak Pameran Reruai Jejak Rasul berkenaan.

Antara keistimewaan pameran tersebut adalah pada kepelbagaian ‘reruai’ yang menampilkan maklumat tentang Nabi Muhammad SAW menerusi hiasan dekorasi menarik menggunakan ilustrasi serta hasil seni pelajar.

Dalam pada itu, setiap reruai menelusuri aspek kehidupan Rasulullah yang berbeza seperti akhlak, keluarga, sejarah peperangan, makanan kegemaran serta peristiwa mukjizat yang dialami oleh baginda SAW.

Baca juga Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar

PELAJAR SK Kelana Jaya (1) turut dibantu oleh pihak guru serta ibu bapa dalam menjayakan program Pameran Reruai Jejak Rasul 2022. Foto: Sinar Islam Plus

Satu lagi perkara menarik tentang pameran tersebut adalah himpunan kiswah Kaabah yang diperagakan di suatu sudut.

Kiswah Kaabah yang disediakan oleh Pusat Nasyrul Quran itu asli dibawa dari Arab Saudi.

KISWAH Kaabah asli dibawa dari Arab Saudi menjadi salah satu tarikan di pameran tersebut. Foto: Sinar Islam Plus

Mengulas tentang Pameran Reruai Jejak Rasul 2022, Zaizar memberitahu, pertunjukan tersebut bertujuan menanam kecintaan pelajar terhadap junjungan Nabi Muhammad SAW dengan memperkenalkan keperibadian baginda.

Turut memiliki harapan sama adalah Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzana Rahmat selaku salah satu penganjur program Jejak Rasul SK Kelana Jaya (1): Muhammad Inspirasi Cinta Luar Biasa.

Ketika merasmikan upacara Majlis Pelancaran Jejak Rasul 2022 SK Kelana Jaya (1) di Petaling Jaya, Datuk Rozzana berkata, Rasulullah SAW adalah ‘uswatun hasanah’, iaitu suri teladan terbaik yang perlu dicontohi oleh seluruh umat Islam.

KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzana Rahmat ketika perasmian Majlis Pelancaran Jejak Rasul 2022 pada 3 Oktober lalu. Foto: SK Kelana Jaya (1)

Sehubungan itu, beliau memuji program Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan oleh pihak sekolah berkenaan.

“Program ini patut diberikan pujian kerana sangat bermanfaat dan memberikan impak yang sangat berkesan dalam memupuk kecintaan dan memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah SAW,” ucapnya sewaktu majlis berlangsung.

Dalam masa sama, pendakwah itu memetik sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA menyebut sabda Nabi SAW: “Tidak sempurna keimanan seseorang diantara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

SK Kelana Jaya (1) turut mengadakan aktiviti-aktiviti lain seperti perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini. Foto: SK Kelana Jaya (1)

Maka, Datuk Rozzana mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan pesanan serta mencontohi keperibadian baginda sebagai bukti kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Antara bukti cinta kita terhadap Rasulullah adalah kita harus selalu amalkan pesanan baginda. Oleh itu, marilah kita menanam dalam diri kita dan seluruh keluarga (agar) selalu berselawat kepada Nabi SAW,” katanya.

Selain Pameran Reruai Jejak Rasul, program Jejak Rasul SK Kelana Jaya (1) turut menganjurkan aktiviti lain seperti Perarakan Gema Selawat, Kiosk As Sakinah serta Pertandingan Penulisan Wahyu.

PAMERAN Reruai Jejak Rasul 2022 yang dianjurkan oleh SK Kelana Jaya (1) wajar dicontohi serta dilaksanakan rendah lain sebagai usaha menyemai rasa cinta terhadap Rasulullah SAW dalam diri anak-anak kecil. Foto: Sinar Islam Plus.

Foto: Instagram Rozzana Rahmat, Pihak SK Kelana Jaya (1) dan Sinar Islam Plus