Browsing Tag

segera beramal

Sifat suka bertangguh
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Suka Bertangguh, Sifat Itu Dibimbangi Menyebabkan Diri Ditimpa Ujian Sehingga Kufur

no comment

LUMRAH kehidupan manusia ada pasang surutnya. Pada hari-hari tertentu, kita begitu bersemangat melakukan apa sahaja kerja dan mampu menyempurnakannya dengan baik sebelum tempoh masa ditetapkan.

Namun, adakalanya tatkala perasaan malas mula bertandang, ditambah pula dengan tekanan perasaan dan dihambat emosi yang berkecamuk, segalanya serba tidak menjadi. Ringkas kata, semua pekerjaan tertangguh atau sengaja ditangguhkan.

Seandainya situasi itu berlaku hanya sesekali, tidak mengapa kerana ia sudah menjadi fitrah seorang manusia. Ya, seperti kata peribahasa, langit itu cerah, sesekali awan mendung pasti akan kelihatan. Begitu jugalah dengan momentum kehidupan kita.

Namun begitu, jika sifat suka bertangguh-tangguh sudah acap kali tercetus, ia bukan dianggap sebagai satu perkara biasa lagi. Sebaliknya, ia sudah menjadi tabiat buruk yang perlu kita buang jauh-jauh.

Bukan sahaja tidak disukai oleh masyarakat sekeliling, bahkan agama Islam juga melarang keras umatnya daripada bersikap jelik sedemikian. Perilaku tersebut begitu bertentangan dengan kehendak agama. Mengapakah sifat suka bertangguh begitu dilarang dalam Islam? Benarkah ALLAH SWT akan melambat-lambatkan rezeki buat orang yang memiliki sikap mazmumah itu?

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan pandangan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Membuka bicaranya, beliau menjelaskan, pada hakikatnya, tiada satu dalil khusus yang boleh mengesahkan bahawa melambat-lambatkan pekerjaan itu merupakan satu penyakit rohani.

Namun, terdapat banyak dalil dalam al-Quran memerintahkan umat Islam agar segera melakukan sesuatu amalan sama ada pekerjaan dunia mahupun akhirat.

Baca juga Waspada Apabila Keluarkan ‘Fatwa’

Bersegera

“Sebagai contoh, ALLAH SWT memerintahkan kita agar segera melakukan amal soleh dan sifat orang yang bertakwa itu dikaitkan juga dengan langkah segera mereka untuk menggapai keampunan-NYA.

“Dalam Surah Ali ‘Imran misalnya, ALLAH SWT mengaitkan sifat bersegera mengejar keampunan-NYA sebagai sebahagian daripada sifat orang bertakwa. Ia seakan-akan ada kaitan antara kekuatan rohani seseorang dengan sifat bersegera melakukan amal soleh,“ katanya baru-baru ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang yang pada pagi harinya beriman, namun boleh jadi waktu petangnya telah menjadi kafir.“ (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, hadis itu jelas memerihalkan bagaimana Rasulullah SAW mengaitkan perbuatan bersegera melakukan amalan soleh dengan kedudukan iman seseorang.

“Dibimbangi sekiranya lambat melakukan amal soleh, mereka akan ditimpa fitnah (ujian) yang menyebabkan seseorang boleh menjadi kufur,“ ujarnya.

Menyambung hujahnya, ahli akademik itu menjelaskan, sifat suka bertangguh kadangkala terhasil daripada sikap bermalas-malasan, sedangkan ia sangat ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri mendidik kita agar memohon daripada ALLAH SWT atas segala sifat lemah dan malas.

Sifat suka bertangguh

BERTANGGUH dalam sebarang urusan duniawi dan ukhrawi hanya akan merugikan diri sendiri.

“Malah, al-Raghib al-Asfani dalam karyanya, al-Zari‘ah pernah memberikan kata-kata yang keras mengenai sikap malas ini. Beliau menegaskan bahawa sikap malas pada hakikatnya mengeluarkan seseorang itu daripada sifat kemanusiaan.

“Manusia tidak seharusnya jatuh ke tahap malas kerana haiwan sendiri sangat rajin dalam melakukan pekerjaan mereka,“ tegasnya.

Dari perspektif lain pula, Dr Ahmad Sanusi turut menukilkan pandangan al-Imam Ibn al-Jauzi tentang sifat orang mukmin yang mana setiap perkara yang dilakukan golongan itu seharusnya mengingatkan mereka akan perkaitannya dengan kehidupan di akhirat.

“Andai pekerjaannya di dunia dikaitkan dengan hasil yang akan dituai di akhirat kelak, maka mereka akan lebih bersifat aktif.

“Sebagai contoh, mereka membayangkan pekerjaan masing-masing menyara keluarga sebagai sebahagian daripada usaha jihad, maka mereka juga akan terbayang akan menuai hasil pahalanya di akhirat kelak.

“Oleh yang demikian, orang beriman seharusnya bersikap cergas dan aktif dalam kehidupan dunianya kerana dunia ini ialah ladang semaian yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.

Sifat suka bertangguh

ORANG beriman seharusnya bersikap cergas dan aktif dalam kehidupannya termasuk ibadah kerana dunia ialah ladang semaian yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.

“Sikap suka bertangguh ini hanya akan melemahkan umat Islam. Atas dasar itulah Rasulullah melarang kita daripada bersikap malas dan tidak aktif,“ ujarnya.

Senjata iblis

Apakah sifat bersegera dalam beramal mungkin menyebabkan hasil kerja kurang sempurna kerana terpaksa melakukannya secara tergesa-gesa?

Menjawab persoalan tersebut, Dr Ahmad Sanusi menegaskan, sikap berkenaan bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama.

Sekalipun Islam memerintahkan kita segera melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan, tegasnya, ia tidak bererti kualiti atau hasil pekerjaan itu hanya dipandang sebelah mata.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa: “ALLAH sangat menyukai hamba-NYA yang menjalankan kerja dengan bersungguh dan cermat.“ (Riwayat Abu Ya‘la dan al-Tabarani)

Berkongsi pandangan yang sama ialah pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad.

DA’I FUAD

Ujar beliau, sikap suka bertangguh dalam beramal atau at-taswif dalam bahasa Arab begitu dilarang dalam Islam.

“Imam al-Ghazali Rahimahullah mengingatkan bahawa antara senjata iblis adalah menghasut manusia supaya menangguh-nangguhkan ibadah termasuklah pekerjaan dan keperluannya.

“Bahkan, kata Imam al-Ghazali lagi, ramai daripada kalangan insan yang suka bertangguh-tangguh itu akhirnya memberikan kemudaratan yang besar dalam kehidupan mereka,“ katanya.

Baca juga  Sultan Abdul Hamid II : Penentang Awal Zionis 

Bukan itu sahaja, Da‘i Fuad menjelaskan, al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya, Madarij as-Salikin juga pernah menyatakan, sifat bertangguhtangguh itu boleh menjadikan seseorang jatuh muflis dan akan membawa perkara yang buruk dalam kehidupan mereka.

“Berdosakah jika bersifat begini? Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada apa yang dilakukan. Rezeki barakah Jika perbuatan bertangguh itu pada asasnya melibatkan perkara-perkara ibadah, maka ia termasuklah perkara-perkara yang bakal memberikan kita dosa dan impak tak baik.

“Seandainya perkara tersebut tidak terkait secara khusus dalam agama dan keperluan ke atas kewajipan, maka ia tidaklah dikira sebagai berdosa,“ ujarnya.

Sifat suka bertangguh

SIFAT suka bertangguh kadangkala terhasil daripada sikap bermalas-malas, sedangkan ia begitu ditegah dalam Islam.

Da‘i Fuad kemudiannya berkongsi sebuah hadis yang menyeru kita untuk menyempurnakan sesuatu mengikut keperluan dan tidak mensia-siakan waktu.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW memegang kedua-dua bahuku lalu bersabda: “…Jika kamu berada pada waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.“ (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar beliau, seandainya kita mempunyai kekuatan dan waktu, maka lakukanlah terus perkara yang mesti kita laksanakan.

“Bahkan, Abu Ishak Rahimahullah ketika didatangi seseorang yang meminta wasiat daripadanya, beliau berkata: ‘Jauhkanlah kamu daripada sifat suka bertangguh‘,“ jelasnya.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang suka menangguh-nangguh amalan pekerjaannya, maka akan dilambatkan hartanya.“ (Riwayat Muslim)

Disebabkan itu, jelas Da‘i Fuad, Islam menganjurkan umatnya supaya bangun awal pagi dan berpagi-pagian ketika mencari rezeki supaya meraih lebih banyak memanfaatkan kehidupan.

“Ya, memang semua orang yang berusaha akan peroleh rezeki. Begitu juga kepada mereka yang sebaliknya.

“Namun, ketahuilah bahawa rezeki yang barakah hanya akan diraih oleh orang Islam yang beriman dan bertawakal kepada ALLAH SWT,“ ujar beliau.

Usah tunduk dengan godaan syaitan & hawa nafsu

GODAAN syaitan dan hawa nafsu merupakan antara punca utama kepada sifat suka bertangguh, apatah lagi dalam melakukan amalan yang baik.

Pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, individu yang mempunyai sifat sedemikian sebenarnya begitu mudah tunduk dengan hasutan yang sentiasa mengajak manusia ke arah kejahatan dan berperlakuan negatif.

WAN AKASHAH

Katanya, disebabkan sikap mudah terpengaruh itulah menjebakkan seseorang menjadi manusia yang gagal dalam kehidupannya.

“Ya, memang begitulah cara syaitan yang suka menggoda anak Adam di muka bumi ini agar sentiasa berada dalam kesesatan.

“Umpamanya, kita berniat untuk menunaikan solat atau bersedekah, namun makhluk ALLAH yang terkutuk itu berbisik ‘tak apalah, esokkan boleh buat‘. Nampak macam remeh, tetapi impaknya begitu besar kerana jika dilayan, ia akan menjadi tabiat yang buruk.

“Untuk melawan syaitan, kita kena sentiasa membaca ayat suci al-Quran. Jika ada bisikan supaya kita menangguh-nangguhkan kerja, cepat-cepatlah baca A‘uzubillahi minasy syaitanir rajim,“ katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Berbeza pula dengan hawa nafsu, Wan Akashah menjelaskan, kehendaknya begitu sukar untuk ditepis.

“Jika nafsu mahukan begitu, memang kita akan terus lakukan dan tiada pilihan lain kerana ia sememangnya ada dalam diri kita.

“Justeru, untuk melawannya, tidak boleh dengan membaca al-Quran sahaja. Sebaliknya, kita perlu bermujahadah melawan nafsu,“ tegas beliau.

Tatkala hati sudah memasang niat untuk melakukan amal kebaikan, pendakwah itu menasihatkan agar kita terus melunaskan hajat tersebut. Itulah pendekatan yang sebaikbaiknya.

“Jangan ada sebarang penangguhan kerana kelak jika kita berbuat demikian, barangkali ia akan menyebabkan kita terus terlupa dan akan membentuk tabiat suka berlengah-lengah.

“Ketahuilah, dalam kalamullah dan hadis Nabi Muhammad SAW, banyak gesaan supaya kita bersegera dalam melakukan amal kebaikan dan tidak menangguh-nangguhkannya,“ ujarnya.

Sifat suka bertangguh

BERSUNGGUH-SUNGGUHLAH dalam melakukan apa jua amalan termasuklah pekerjaan untuk urusan duniawi.

ANEKDOT

TIP elak diri daripada kerja berlengah

1. Buat semua senarai kerja yang harus diselesaikan.

Senaraikan semua tugasan yang diberi untuk memudahkan kita membuat penyaringan keutamaan kerja yang perlu disiapkan mengikut masa ditentukan.

2. Pilih senarai yang perlu dibuat terlebih dahulu.

Mana-mana tugasan penting yang telah disenaraikan tadi, maka tandakan supaya kita dapat menyelesaikannya dengan segera.

3. Tampal senarai kerja di tempat yang mudah dilihat.

Boleh tampal senarai tersebut di meja kerja dan seumpamanya supaya kita sentiasa ingat dengan tugasan yang perlu dibereskan.

4. Beri penghargaan kepada diri sendiri.

Jika tugasan tadi berjaya diselesaikan, jangan lokek untuk memberikan penghargaan kepada diri sendiri atas usaha keras itu. Walaupun hadiah yang kecil, ia begitu bermakna kepada diri.

5. Penglibatan orang lain.

Jika perlu, mintalah bantuan rakan sekerja, adik-beradik, ibu bapa, ahli keluarga dan sebagainya supaya mereka sentiasa mengingatkan kita tentang amanah yang perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

Sumber: Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar (Da‘i Fuad)

Foto: Freepik