Browsing Tag

Sedekah pakaian lama

Sedekah pakaian lama
Gaya Hidup,

Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

SETIAP kali mengemas kediaman masing-masing, pasti ada sahaja barang yang akan disisihkan. Masakan tidak, barangan tersebut kadangkala tidak digunakan.

Disebabkan itu, adakalanya kita memikirkan lebih baik jika ia dibuang daripada disimpan terlalu lama tanpa tujuan.

Namun begitu, terdapat segelintir orang pula lebih gemar mengambil pendekatan dengan menyedekahkah barangan tadi. Lebih-lebih lagi jika ia masih lagi baru dan belum pernah digunakan seperti peralatan elektrik dan pakaian.

Meskipun demikian, apabila melibatkan barangan yang usang dan pakaian lama, kita jadi serba salah untuk menyumbang kepada orang lain. Bukan apa, bimbang ia tidak diterima oleh-NYA memandangkan kondisinya yang sudah lama.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, secara umumnya, sedekah merangkumi dua jenis iaitu sedekah fardu atau dipanggil zakat dan sedekah sunat.

DR ZULKIFLI

Bahkan, katanya, ALLAH SWT menggambarkan betapa besarnya pahala bersedekah sehingga 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi kalam ALLAH SWT: “Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan ALLAH adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan ALLAH melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan ALLAH itu MAHA LUAS lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

Melihat ungkapan itu, ujar Dr Zulkifli menjelaskan, ayat tersebut meliputi sebarang bentuk sedekah waima dalam bentuk harta benda, makanan, minuman, pakaian dan seumpamanya.

“Selain itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana ALLAH SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya akan meraih ganjaran balas yang menguntungkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Soal Jawab Agama #144 Sedekah Barangan Lama di laman web maktabahalbakri.com.

Begitupun, jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, terdapat dalil yang jelas berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian berdasarkan kepada satu riwayat daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: “Segala puji bagi ALLAH yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku”. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama), lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan ALLAH, pemeliharaan-NYA, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad)

Sedekah pakaian lama

BAGI mereka yang mahu menyedekahkan pakaian, carilah pakaian yang baik dan sesuai.

Sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana ALLAH SWT, tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya akan meraih ganjaran balas yang menguntungkan. – Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Justeru, jelas agamawan itu, walaupun barangan atau pakaian tersebut sudah lama, andai ia masih elok dan memberikan manfaat kepada penerimanya, pasti sedekahnya akan diterima selagi mana dirinya ikhlas berbuat demikian.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

“Ketahuilah bahawa pahala bagi mereka yang menyedekahkan pakaian atau barangan lama amat besar sehingga mendatangkan kebaikan sehinggalah selepas kematian sepertimana yang disebutkan dalam hadis tadi.

“Bagi tujuan sedekah pakaian, disarankan supaya mencari pakaian yang baik dan sesuai untuk disedekahkan. Selain itu, carilah penerima yang benar-benar memerlukan pakaian tersebut,” syornya.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash