Browsing Tag

Sedekah ketika wabak

Berita Semasa,

Sedekah ketika wabak, kalaulah kita tahu ganjarannya…

DI SEBALIK musibah wabak koronavirus (Covid-19) yang dihadapi ketika ini, ia juga merupakan ujian bagi hamba-hamba-NYA.

Ia bukan sahaja berkait soal tentang kesihatan dan penularan wabak semata-mata, malah turut memberi kesan kepada ekonomi kita.

Sedar atau tidak, ada orang dihimpit dengan masalah kewangan akibat terkesan dengan ekonomi semasa. Segelintir masyarakat pula barangkali dikurniakan rezeki yang lebih.

Ketahuilah bahawa saat ini, amalan sedekah sewaktu kesempitan ketika semua sedang bergelut wabak adalah sebaik-baik perbuatan.

Ini kerana kesanggupan kita mendahulukan kesenangan orang lain, sedangkan diri kita juga dalam keadaan kesempitan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133-134)

Bahkan, orang yang memberi makan pada hari kelaparan (dzi mas-ghabah) seperti yang disebutkan dalam ayat 14, Surah al-Balad menunjukkan bahawa bersedekah ketika krisis, wabak dan kesukaran hidup adalah amat diutamakan.

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin (1347-1421 Hijrah) menyatakan: “Dzi mas-ghabah bererti keadaan penuh kelaparan, boleh jadi kerana kelaparan melanda, boleh jadi kerana hasil pertanian dan buah-buahan berkurang, boleh jadi pula kerana penyakit pada tubuh mereka, atau boleh jadi pula, ada makanan namun tidak mengenyangkan.” (Tafsir Al-Quran Al-Karim Juz ‘Amma, hlm. 220)

Sedekah ketika wabak

SAMA ada banyak atau sedikit jumlahnya, ia bukan menjadi ukuran suatu sedekah itu.

Meskipun kita juga dalam keadaan sukar untuk bersedekah, namun yakinlah bahawa ALLAH pasti akan memberikan ganjaran berkali ganda jumlahnya.

Bukan kecil atau besar sedekah yang menjadi ukuran, apa yang penting adalah ikhlas dan reda kerana bukan semua orang sanggup berbuat demikian dalam keadaan sukar.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Riwayat al-Bukhari)

Seandainya kita tahu betapa besarnya ganjaran bersedekah dalam kesempitan, pasti ramai yang akan berlumba-lumba berbuat demikian.

Sedekah itu bukan sahaja mampu untuk menolong orang lain, tetapi akan membantu diri kita juga.

Daripada sedekah tadi itulah akan melahirkan keberkahan dalam pelbagai bentuk. Antaranya terhindar daripada bala bencana, serangan penyakit atau dilapangkan segala kesulitan.

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah berkata: “ALLAH SWT menolak pelbagai bencana dengan sedekah. Ketentuan ini sememangnya dimaklumi sama ada bagi para ulama ataupun orang awam. Sebab itulah ramai yang mempercayainya kerana mereka telah mencubanya.”

Ujar beliau lagi: “Sedekah memiliki kehebatan yang luar biasa untuk menolak pelbagai bencana meskipun sedekah itu dikeluarkan oleh orang yang fasik, zalim atau kafir.”

Betapa hebatnya kuasa sedekah. Jom sama-sama kita bersedekah. Semoga segala amal kebajikan yang kita lakukan diterima oleh-NYA.

(Sumber: Seindah Sabda Rasul, Muhd Nasruddin Dasuki & Rumaysho.com)