Browsing Tag

Sayu saat Ramadan pergi

Sayu saat Ramadan pergi
Isu,

Hati hatilah andai tiada rasa sayu dalam hati saat Ramadan akan pergi

Oleh DR HIDRIS SAHRI

SALAH satu tanda keimanan sesorang itu adalah bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan yang merupakan tetamu dari ALLAH SWT. Pemberian dan kurniaan tetamu agung yang tidak ternilai kepada umat nabi Muhammad SAW.

Kasih sayang ALLAH terserlah dengan kehadiran bulan mulia ini. Seperti mana sabda Rasulullah daripada Abi Hurairah, “Setiap amalan anak Adam akan dilipat gandakan 10 kebaikan hingga 700 kali ganda. Berfirman ALLAH SWT kecuali puasa, kerana puasa itu adalah untuk-KU dan AKU yang yang akan membalasnya” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka hendaklah kita berasa khuatir andai tiada perasaan gembira langsung di dalam hati kita dengan kehadiran bulan penuh barakah ini.

Baca juga Jangan Sia-Siakan Ramadan, Ikuti Tatacara Yang Betul Sambut Bulan Mulia Itu

Firman ALLAH yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Dengan kurnia ALLAH dan rahmat-NYA, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia ALLAH dan rahmat-NYA itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan. (Surah Yunus, ayat 58)

Contohilah sifat para solihin apabila berdepan dengan bulan Ramadan. Ibn Rajab al-Hambali berkata: Dahulu mereka (para salaf) berdoa kepada ALLAH selama enam bulan agar mereka dipertemukan lagi dengan Ramadan. Kemudian mereka juga berdoa selama enam bulan agar ALLAH menerima (amal-amal soleh di Ramadan yang lalu) mereka.” (Latha’if Al-Ma’arif hal 232)

Sayu saat Ramadan pergi

PARA salafus soleh terdahulu berdoa selama enam bulan masing-masing agar dipertemukan Ramadan dan semoga ALLAH SWT menerima amal soleh yang dilakukan pada Ramadan tempoh hari.

Kenapa perlu kita bersyukur dan bergembira? Inilah bulan yang ALLAH limpahkan rahmat-NYA dan kasih sayang-NYA.

Ini digambarkan dalam hadis Rasulullah: “Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan yang diberkati. ALLAH mewajibkan atas kalian berpuasa padanya. Pintu-pintu surga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan 1000 bulan. Siapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh ia terhalangi.” (Hadis Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (2/385)

Alangkah sombongnya kita

Apakah dikata sombong, apabila seorang mukmin diberi khabar gembira dengan terbukanya pintu-pintu syurga. Tertutupnya pintu-pintu neraka. Bagaimana mungkin seorang yang berakal tidak bergembira jika diberi khabar tentang sebuah waktu yang di dalamnya para syaitan dibelenggu. Dari sisi manakah ada suatu waktu menyamai musim Ramadan ini?

Justeru, setelah beberapa minggu melayani tetamu ALLAH yang mubarak ini, sewajarnya setiap muslim bermuhasabah diri dengan beberapa pertanyaan.

Baca juga Ayuh segarkan setiap detik dalam bulan Ramadan dengan amalan kebaikan

Apakah kita telah meraih maghfirah (keampunan) daripada ALLAH? Adakah kita benar-benar telah menambahkan keimanan dengan berpuasa? Adakah kita telah bersungguh mencari dan mengumpul pahala daripada ALLAH tanpa perasaan riya sedikit pun. Adakah kita masih tergolong dalam golongan yang Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampunkan dosanya, maka semakin jauh ia dengan ALLAH.” Berbaloikah kita berpuasa sebulan dengan tidak meraih apa-apa, hanya berlapar dan dahaga sahaja?

Sifat mukmin sejati

Di penghujung 10 hari terakhir kita bersama Ramadan tahun ini, hidupkanlah malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca al-Quran. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Sayu saat Ramadan pergi

AYUH sama-sama kita tingkatkan momentum ibadah dan kekal istiqamah.

Berqiam dan beribadah melakukan kebaikan bersama ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah ketika masuk pada 10 malam terakhir. Dekatkan diri dengan rumah ALLAH dengan beriktikaf, perbanyakan doa kerana kita sentiasa mengharapkan kepada-NYA dan kongsikanlah harta yang kita perolehi dengan orang yang memerlukan.

Semoga penghujung Ramadan, tetamu agung, berlalu dengan kita jiwa yang membenarkan ZAT yang disembah, YANG MAHA BERKUASA lagi MAHA PENGASIH serta meyakini keutamaan qiyam malam-NYA dan kewajipan puasa-NYA. Takut terhadap seksa-NYA ketika meninggalkan-NYA, serta berharap pahala-NYA yang melimpah ruah. Sesungguhnya Inilah sifat orang mukmin sejati.

Sisa dosa yang tidak terampun

Berat hati membiarkan Ramadan berlalu pergi dengan jutaan kebaikan dan rahmat. Masih tersisa dosa yang mungkin belum diampunkan, masih ada amalan kebaikan yang belum dilaksanakan, masih sedikit zikir dan amalan hati dijelmakan.

Apakah diri ini mampu melalui pintu kemuliaan Rayyan, mampukah kita meraih cinta ALLAH dan memiliki kurniaan serta gelaran hamba bertakwa. Kita berharap semoga masih ada ruang dan peluang, mencapai sabda kekasih ALLAH, “Ramadan ke Ramadan penghapus dosa dan menjadi asbab-ku mendapat jauh dari neraka.”

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika datang akhir malam bulan Ramadan, langit dan bumi, serta para malaikat menangis kerana merupakan musibah bagi umat Nabi Muhammad SAW. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, musibah apakah itu? Rasulullah menjawab: lenyaplah bulan Ramadan kerana sesungguhnya doa-doa di bulan Ramadan dikabulkan, sedekah diterima, kebaikan dilipat gandakan dan azab ditolak.”

Terus rafakkan doa agar dengan berlalunya Ramadan, dosa-dosa kita diampunkan oleh ALLAH, diterima segala amalan yang telah dikerjakan serta menjadi seorang yang istiqamah dalam beribadat bukan hanya istiqamah di bulan Ramadan.

***Dr Hidris Sahri ialah Pengerusi Pertubuhan al Khairiah Mersing, Johor

Foto: 123rf & Freepik