Browsing Tag

Sayangi diri

Untitled design - 2022-10-06T092613.250
Gaya Hidup,

Manusia ciptaan ALLAH yang unik, sama-sama kita sayangi diri

SAYANGI diri sendiri sebenarnya merupakan satu elemen penting dalam kehidupan. Malangnya, tidak ramai yang sedar mengenainya.

Bagi segelintir masyarakat, lebih mudah untuk menyayangi orang lain berbanding diri sendiri. Maka tidak hairanlah apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia pada Jun lalu mendedahkan, hampir satu bilion orang di seluruh dunia mengalami beberapa bentuk gangguan kesihatan mental.

Lantaran itu, tenaga pengajar di Sekolah Antarabangsa Seven Skies, Ustazah Nurul Asyiqin Sazali menegaskan, begitu signifikannya sifat menghargai diri apatah lagi dalam era digital kini yang adakalanya dicemari dengan persekitaran toksik terutamanya menerusi media sosial.


PROGRAM Lebih Sayangi Diri (Love Me More) menampilkan barisan panel seperti Mizz Nina (dua, kiri), Dr Atiyah (dua, kanan) dan Ustazah Nurul Asyiqin (kanan). -FOTO: IHSAN SEVEN SKIES INTERNATIONAL SCHOOL

“Menerusi platform ini, kita boleh melihat kehidupan semua orang. Lebih-lebih lagi bila bangun saja daripada tidur, kita akan terus buka media sosial, lihat Instagram, Facebook dan sebagainya.

“Kemudian apabila terlihat sisi kehidupan orang lain yang lebih baik, mulalah kita rasa diri tidak bertuah dan bersedih dengan nasib diri. Sebaiknya, dalam keadaan itu, pastikan diri dalam keadaan rasional supaya tidak timbul perkara yang boleh melorongkan kita untuk tidak menghargai diri.

“Sebaliknya, saat melihat media sosial, biarlah kita rasa terinspirasi dengan membanyakkan amal kebajikan, bersedekah dan lain-lain lagi,” katanya ketika menjadi panel forum bertajuk Me, Myself & I, pada program Love Me More di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Program anjuran Mercy Mission Malaysia dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Seven Skies yang dihadiri kira-kira 1,500 peserta itu turut menampilkan doktor perubatan dan penulis, Dr Atiyah Azmi serta selebriti dakwah, Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina sebagai panel.

Menyambung hujahnya, apabila kita mula membandingkan diri dengan orang lain, Ustazah Nurul Asyiqin mengajak umat Islam segera mengingati tujuan manusia diciptakan.

Firman ALLAH SWT: “AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-KU.” (Surah al-Dzariyat, ayat 56)

Melihat bait-bait kalamullah itu, ujar Ustazah Nurul Asyiqin, jelaslah bahawa kita dijadikan oleh ALLAH SWT semata-mata untuk beribadah.

“Seperkara lagi, Islam mengajar kita untuk menyayangi diri sendiri. Setiap makhluk ciptaan-NYA, DIA berikan imej dan identiti, sepatutnya kita berbangga kerana unik dengan cara tersendiri.

“Adakalanya kita dibadai emosi, rasa sedih, tidak gembira dan sebagainya. Ya, kita hanyalah manusia yang lemah, tetapi carilah kekuatan itu pada-NYA kerana ALLAH SWT sahajalah sumber kekuatan kita,” ungkapnya.

Cipta ‘kotak alatan’ sendiri

Sementara itu, Dr Atiyah menyarankan agar setiap insan mencipta ‘kotak alatan’ masing-masing sebagai antara satu cara untuk membina keseimbangan diri dalam melayari kehidupan dunia yang fana ini.

DR ATIYAH

Jelas beliau, kehidupan manusia sememangnya kompleks memandangkan setiap insan mempunyai aspek spiritual, emosi, minda dan fizikal.

“Jadi, set minda masing-masing kepada perkara yang boleh memperkasakan kecintaan dan sayang pada diri. Salah satu perkara yang diperlukan dalam ‘kotak alatan’ kita adalah lingkungan sosial yang mana antara lain, berdamping bersama orang beragama. Insya-ALLAH kita akan sentiasa mendengar sesuatu yang baik dan bermanfaat.

“Apabila berada dalam persekitaran tersebut, kita juga akan menerima tempiasnya dan belajar untuk sesuatu yang memberi kebaikan kepada diri,” ungkapnya.

Baca juga 3 jenis sahabat ini perlu kita miliki… Ikuti panduan yang digariskan agama ini

Begitu juga halnya dengan kecergasan tubuh, Dr Atiyah menyarankan, selain melakukan aktiviti fizikal secara semula jadi, jangan lupa untuk bermuhasabah diri.

“Renung semula pada diri sendiri dan apa yang ada dalam kehidupan kita. Pada masa sama, berterima kasihlah kepada semua orang yang ada dalam hidup kita.

“Apabila kita menzahirkannya dan mengucap syukur, ALLAH SWT akan menambah lagi nikmat-NYA,” ujarnya.

Sujud pada ALLAH SWT

Sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta, tidak lengkap rasanya andai diri tidak tunduk sujud kepada-NYA. Itu antara tip signifikan yang dikongsikan oleh Mizz Nina pada program berkenaan.

MIZZ NINA

Jelas beliau, bersujud ketika solat berupaya menenangkan jiwanya setiap kali dilanda gelora. Pada masa sama, berdoa dan mengadulah kepada ALLAH SWT tentang apa sahaja kepedihan serta kesedihan yang ‘bersarang’ dalam hati.

“Walaupun mungkin kita tidak tahu bagaimana untuk ‘bercakap’ dengan ALLAH, tidak mengapa jika tidak berbuat demikian. Sesungguhnya, ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI apa yang ada dalam hati kita.

“Paling penting, pada saya, bersujud sebenarnya lebih mendekatkan saya dengan ALLAH. Pada masa sama, teruskan rutin berdoa, saya berasa seolah-olah dilindungi-NYA. Kalau tidak buat begitu, saya rasa ada sesuatu yang kurang dalam diri,” katanya.

Baca juga Bersujudlah selalu, agar wajah kekal berseri sepanjang hari

Sekalipun merasakan kita mampu bergantung kepada diri sendiri untuk merentasi liku-liku kehidupan, Mizz Nina memberi peringatan bahawa semua itu datangnya daripada YANG MAHA ESA.

ALLAH SWT yang menjadi sumber kekuatan kita sebenarnya, ungkapnya.

“Dulu saya terlalu bergantung kepada diri, saya dapat itu dan buat ini, semuanya boleh. Namun hakikatnya, semua kekuatan itu daripada ALLAH SWT.

“Jadi sekarang apabila saya memerlukannya, saya akan minta kepada-NYA dan ‘bercakap’ dengan-NYA. Ini penting supaya kita bukan sekadar berzikir umpama robot, tetapi juga bersungguh-sungguh mahu keampunan dan perlindungan-NYA,” ungkapnya.

Sebelum menoktahkan bicara, bekas penyanyi itu menitipkan pesanan gurunya agar kita meluangkan masa dengan berzikir sekitar lima limat sebelum melelapkan mata.

“Sebelum tidur, tutup mata dan baca astaghfirullah dan alhamdulillah dengan sepenuh jiwa raga. Selaminya dengan baik, pasti kita akan rasa berbeza,” titipnya.

***Foto: Freepik