Browsing Tag

Sayang

Berita Semasa,

Kita sayang manusia dan harta benda, tapi ada satu perkara paling penting yang tidak boleh ditinggalkan…

SETIAP orang pasti mempunyai kecenderungan dan perkara yang disukai. Masing-masing mempunyai cita rasa yang tersendiri.

Meskipun rambut sama hitam, tetapi tidak semua orang mempunyai minat yang sama. Barangkali, apa yang disukai dan disayangi oleh seseorang itu, tidak semestinya ia juga digemari oleh orang lain.

Ya, suka dan sayang itu sesuatu yang begitu subjektif untuk diperkatakan. Semuanya bergantung kepada individu berkenaan.

Namun, ada satu perkara yang perlu kita tahu bahawa berbuat kebaikan dan kebajikan bukanlah pilihan.

Bunyinya nampak remeh, tetapi ia memberi impak yang besar kepada kehidupan kita di alam yang kekal abadi.

Secara fitrahnya, manusia memang sukakan kebaikan. Sejahat mana seseorang itu, pasti ada secebis kebaikan dalam dirinya kerana kita memang tidak dapat lari daripada fitrah.

Kenapa pentingnya kebaikan dan kebajikan?

Menurut pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, setiap apa yang kita sayang pasti akan meninggalkan kita suatu saat nanti.

Sayang

Kata beliau, pada masa itu, segala apa yang kita kecapi di dunia yang fana ini akan ditinggalkan apabila kita dipanggil menghadap Ilahi.

“Kita sayang manusia, sayang harta benda. Namun, saat kita meninggalkan dunia, kesemuanya akan pergi meninggalkan kita.

“(Justeru) Jadikanlah kesayangan kita adalah amal kebajikan kerana saat kita di kubur kelak adalah yang akan menjadi peneman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Twitter milik beliau baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Asal nak buat baik ada saja halangannya, ini sebabnya kenapa)

Pendakwah itu turut menitipkan pandangan seorang ulama tentang perkara itu.

Ujar beliau, seorang ulama yang disifatkan sebagai Luqman (al-Hakim) bagi umat ini iaitu Hatim Al-Asom telah berkata: “Sesungguhnya aku telah meneliti keadaannya setiap manusia dan aku mendapati bahawa tiap-tiap individu itu pasti memiliki sesuatu yang dia sayang.

“Namun, apabila dia sampai ke perkuburan, semua kesayangannya itu pergi meninggalkan dirinya. Maka, aku pun menjadikan perkara yang aku sayang adalah amal kebajikanku, supaya dia dapat bersamaku di dalam kubur kelak.” (Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, Ibnu Qudamah (1/24))

Ingatlah, apabila kita meninggalkan dunia, tiada apa-apa lagi yang mampu dibawa kecuali bekalan amalan yang selama ini dilakukan sepanjang hayat.

Renungilah hadis ini sebagai pedoman buat diri kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim)

Sayang

DOA anak soleh antara amalan yang tidak putus mengalir pahalanya meskipun kita sudah meninggal dunia.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: Freepik