Browsing Tag

saudi arabia

WhatsApp Image 2023-01-20 at 12.32.34 PM
Antarabangsa,

Singgah ke Rumah Ngaji @ Ummi Darul Barakah di Kota Makkah

PEMBANGUNAN yang pesat di kawasan Masjidil Haram memberi kesan kepada pengusaha pusat pengajian Darul Arqam untuk berpindah ke lokasi lain.

Namun itu tidak mematahkan semangat bagi Pengurus Madrasah Tahfiz Lil Banat Darul Quran, Yuhani Ahmad yang membuka kelas pengajian tersebut bersama Allahyarham suaminya, Fakhri Hassan Zaini di Jumaizah, Makkah sejak tahun 2010.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ummi menerima lebih 50 pelajar yang berusia antara lima hingga 75 tahun dari tempatan dan luar negara. Kebanyakan mereka mengikuti keluarga yang bertugas di hospital, Masjidil Haram dan Kerajaan Arab Saudi di Kota Makkah.

Pada masa sama, Ummi menguruskan Pusat Tahfiz Darul Arqam yang berusia lebih 40 tahun. Ia diasaskan oleh wanita Mesir bernama Ustazah Majdah Masriah.

“Sebelum penularan wabak Covid-19 pada 2020, kita mempunyai lebih 100 pelajar di madrasah tahfiz ini. Kini, banyak madrasah dibuka di kebanyakan kawasan penduduk tempatan atas sumbangan orang ramai.

“Dahulu, kita agak sukar untuk mendapat rumah wakaf bagi menjalankan madrasah. Saya menggerakkan Madrasah Al-Idrus hasil sumbangan keturunan Kafilah Al Idrus Abu Bakar. Pusat pengajian kami mengeluarkan sijil pengiktirafan bagi pengajian al-Quran daripada pihak Masjidil Haram.

Beliau yang bermastautin selama 34 tahun di Makkah bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan walaupun tidak mendapat bantuan mana-mana pihak secara langsung. Pihak beliau mampu meneruskan madrasah di Kampung Jumaiza melalui infak orang ramai.

“Jika saya seorang diri mungkin tidak mampu bertahan dalam mengusahakan madrasah tersebut. Harapan saya dengan adanya Rumah Ngaji @ Ummi Darul Barakah, ia menjadi platform kepada orang ramai untuk mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal.

“Ada kalangan orang Arab tidak mahir membaca al-Quran. Mereka sebenarnya lebih sukar belajar kerana lidah keras. Wahyu ALLAH dalam bahasa Arab  sebagai bahasa al-Quran tidak sama dengan bahasa pertuturan. Ia perlu dibaca dengan tertib, bertajwid, khusyuk, tawaduk dan memahami makna.

“Kewajiban saya untuk membuka Rumah Ngaji @ Ummi Darul Barakah kepada penduduk kampung di Jumaiza kerana ingin membantu lebih ramai pandai membaca al-Quran. Harapan Ummi, Rumah Ngaji menjadi platform masyarakat untuk mendekati al-Quran. Kelas tersebut dibuka setiap hari Ahad hingga Khamis.

“Di sini banyak pengajaran yang Ummi belajar daripada penduduk kampung di sini. Penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk India dan Indonesia. Setakat ini hanya dua orang dari Malaysia yang belajar di madrasah Ummi.”

Antara warganegara yang mendaftar secara rasmi untuk mengaji di Madarasah Tahfiz Lil Banat Darul Arqam dari Bangladesh, Jordan, Indonesia, Yaman, Sudan, Malaysia, dan Pakistan.

Beliau yang merupakan guru bacaan bersanad adalah penerima ijazah dari Maahad Majodah dan tauliah bersanad daripada Ahlul Bait Sheikh Adnan Al Mansi di Makkah. Beliau mengalu-alukan kedatangan orang luar dari Arab Saudi ke Rumah Ngaji Ummi Darul Barakah untuk memperbetulkan bacaan Surah Al-Fatihah daripada guru yang menerima tauliah bacaan bersanad. Beliau bersedia untuk membimbing bacaan dan tasmi’ al-Quran kepada sesiapa sahaja yang datang ke Rumah Ngaji @ Ummi Darul Barakah.

“Ummi mengajak tetamu haji dan umrah dari Malaysia untuk singgah ke pusat pengajian kami untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Saya mendapati ramai kalangan jemaah yang perlu memperbaiki bacaan al-Quran terutamanya Surah Al-Fatihah,” katanya.

Kempen #AktifkanRumahNgaji digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran melalui baca, faham dan amal. Ia bertujuan mengukuhkan kesatuan hati dalam mencapai misi mengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari di https://quranhour.org/rumahngaji/. Sesiapa yang ingin membuka Rumah Ngaji, sila daPendaftaran Rumah Ngaji di https://quranhour.org/daftar-rumah-ngaji/.