Browsing Tag

satu bahagian lembu

Korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing
Hukum,

Antara korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing, mana lebih afdal?

“ANTARA korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing. Mana satu nak pilih ni?”

Kadangkala persoalan tersebut berlegar-legar dalam fikiran kita. Maklum sahajalah, musim haji dan Hari Raya Aidilfitri semakin menghampiri.

Pada masa ini pula, begitu banyak tawaran dan iklan untuk menyertai ibadah korban. Tidak kiralah sama ada dari pihak masjid, surau mahupun badan bukan kerajaan dan lain-lain lagi.

Inilah saatnya jika kita mahu berlumba-lumba untuk melakukan ibadah korban kerana apabila tibanya Hari Raya Aidiladha nanti, ia boleh disempurnakan dengan sebaiknya.

Lazimnya di Malaysia, ramai yang gemar menyembelih lembu untuk melakukan ibadah korban. Malah, kebanyakan pihak yang menganjurkan program korban juga menawarkan satu bahagian haiwan korban kepada mereka yang mahu menyertainya.

Tidak kurang juga mereka yang mahu memilih kambing sebagai haiwan korban.

Namun begitu, antara korban seekor kambing dengan satu bahagian lembu, yang mana satukah lebih afdal?

Memetik artikel Irsyad Fatwa Siri ke-52 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal jika dibandingkan dengan satu bahagian lembu.

Korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing

BAGI mereka yang berkemampuan, lakukanlah ibadah korban yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, selain membantu golongan fakir dan miskin merasai kenikmatan daging korban.

Ia bukan sekadar omongan kosong kerana perkara itu ada disebutkan oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj.

Baca juga Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

Menurut ulama yang masyhur dalam Mazhab Syafie itu: “(Melakukan korban) bagi seekor kambing adalah lebih afdal daripada berkongsi seekor unta kerana seseorang itu bersendirian dalam menumpahkan darah dan lebih enak dagingnya.”

Seperkara lagi, andai seseorang itu mahu berkongsi duit satu bahagian korban, Imam al-Muhammad al-Syarbini al-Khatib dalam Kitab al-Iqna’ menjelaskan ia dibolehkan.

Jelas beliau: “Hukumnya ialah sunat muakkad yang dianggap benar di sisi kami (Safieyyah) secara sunat kifayah, (yakni) jika ramai ahli dalam sebuah rumah itu, maka jika dilaksanakan korban seseorang daripada mereka, maka memadailah (pahala korban) daripada sekalian lainnya. Jika hanya seorang sahaja, maka jadilah sunat ain.”

Dalam kitab berkenaan turut menyebut, harus melaksanakan korban daripada seekor haiwan badanah (unta dan lembu) sebanyak tujuh orang.

Ia berpandukan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji, lalu baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing

AGIHKAN dating korban kepada golongan yang dianjurkan dalam Islam.

Dalam sebuah hadis Aisyah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda: “Dengan nama ALLAH. Ya ALLAH! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.” (Sahih Muslim)

Baca juga Tuan Korban Tak Boleh Makan Daging Korban Dalam Keadaan Ini – Azhar Idrus

Berdasarkan hadis berkenaan, Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj berkata, dibenarkan seseorang itu melakukan ibadah korban bagi dirinya dan keluarganya serta pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya.

“Demikianlah pandangan Mazhab Syafieyyah dan jumhur ulama. Memang asal hukumnya adalah satu bahagian mewakili nama seorang sahaja.

“Namun begitu, dari sudut pahala, ALLAH akan bahagikan pada syiar, pelaksanaan sunnah dan tolong-menolong atas kebaikan, insya-ALLAH,” katanya sebagaimana yang dipetik menerusi artikel al-Kafi #351: Berkongsi Satu Bahagian Korban di laman web muftiwp.gov.my/.

Justeru, kepada sesiapa yang berhajat untuk menyertai ibadah korban pada tahun ini, teruskanlah niat suci masing-masing.

Cuma pilihan di antara korban satu bahagian lembu dan seekor kambing, semuanya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Foto: Bernama