Browsing Tag

sambut Ramadan

Jangan sia-siakan Ramadan
Gaya Hidup,

Jangan Sia-Siakan Ramadan, Ikuti Tatacara Yang Betul Sambut Bulan Mulia Itu

no comment

Oleh DR FAUZI DERAMAN

UMAT Islam kini berada di ambang Ramadan. Satu musim yang begitu istimewa dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Justeru, tidak wajar bagi setiap Muslim memandang sepi dan membiarkan ia berlalu begitu sahaja. Malah, kita sepatutnya berlumba-lumba untuk mengambil peluang semaksimum mungkin.

Justeru, penting untuk kita menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak dengan cara yang betul sebagaimana yang disarankan. Antaranya;

1. Berdoa.

Para sahabat dan salaf al-Soleh berdoa supaya mereka sempat berada dalam Ramadan dalam tempoh enam bulan sebelumnya. Mereka juga menitipkan doa agar sentiasa berada dalam kebaikan dan taat kepada ALLAH SWT serta diterima segala amalan mereka.

Um al-Mukminin Aishah menyebut bahawa Rasulullah banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Anas bin Malik pula berkata, Muslimin sudah tekun dengan al-Quran sejak Syaaban lagi dan mengeluarkan zakat harta mereka bagi membantu fakir miskin menghadapi Ramadan. Mereka menamakan bulan Syaaban sebagai bulan para Qurra’.

Apabila anak bulan Ramadan kelihatan mereka berdoa: “Terbitkanlah bulan tersebut kepada kami dengan berkah, iman, keselamatan serta Islam! Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Jangan sia-siakan Ramadan


RAMADAN adalah peluang terbaik untuk kita bertadarus al-Quran bersama keluarga, di samping memperbetul bacaan anak-anak agar mereka lancar dan fasih mengaji dengan tajwid dengan betul.

2. Bersyukur sempat sampai ke bulan Ramadan.

Sebesar-besar nikmat daripada ALLAH SWT ke atas hamba-NYA adalah petunjuk untuk taat kepada-NYA dan beribadah. Maka apabila kita masuk bulan Ramadan dalam keadaan baik, ketahuilah, ia satu nikmat besar yang selayaknya disyukuri.

3. Bergembira atas kedatangan bulan mulia.

Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabat-sahabatnya dengan kedatangan Ramadan dengan sabdanya: “Sungguh telah datang padamu bulan Ramadan, bulan Ramadan yang penuh berkah, di mana ALLAH telah mewajibkan kepada kamu puasa padanya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan….(Riwayat an-Nasai dan Ahmad)

Begitu juga dengan salaf al-Soleh. Masakan tidak, tiada lagi kegembiraan yang lebih besar selain perkhabaran tibanya Ramadan, musim kebaikan dan turunnya pelbagai rahmat.

4. Perancangan mantap memanfaatkan Ramadan.

Ramai yang mempunyai perancangan hebat dalam urusan duniawi, tetapi tidak ramai untuk akhirat.

Namun, jangan sesekali lalai dan lupa dengan peluang untuk bersama ALLAH dan ‘temu janji’ penting untuk membersihkan diri. Justeru, rancanglah program amali sepanjang waktu siang dan malam Ramadan demi mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

5. Tanam azam kukuh hidupkan Ramadan dan mengimarahkannya dengan amal soleh.

Jangan sia-siakan Ramadan

BANYAKKAN amal soleh seperti bersedekah pada bulan Ramadan.

Sesiapa yang benar dengan ALLAH, nescaya DIA akan membenarkan dan membantunya untuk ketaatan dan memudahkan jalannya.

6. Mendalami ilmu fiqah.

Ketahuilah bahawa menjadi satu kesilapan apabila kita beribadah tanpa ilmu terutama bagi seorang Muslim. Tiada maaf bagi golongan yang jahil dengan perkara-perkara yang difardukan oleh ALLAH SWT seperti puasa.

7. Tinggalkan dosa dan bertaubat.

Bulan Ramadan ialah bulan taubat. Andai kita tidak mengambil peluang untuk berbuat demikian pada bulan mulia ini, bila lagi mahu bertaubat?

Tonton juga[Video] Persiapan Menuju Ramadan

8. Persiapan spiritual.

Caranya adalah melalui pembacaan dan menonton bahan-bahan mengenainya sehingga kita rasa terpanggil untuk melakukannya. Nabi Muhammad SAW sendiri memberi motivasi kepada para sahabatnya pada penghujung Syaaban dengan menyebut tentang kelebihan-kelebihan Ramadan.

9. Buka lembaran baharu dengan ALLAH SWT, Rasulullah SAW, ibu bapa, kaum kerabat, isteri dan anak-anak serta masyarakat sekeliling.

Dengan ALLAH, caranya adalah bertaubat dengan taubat yang benar, manakala dengan Rasulullah SAW pula, taatlah segala yang diperintahkan dan jauhi larangan baginda.

Kepada ibu bapa, kaum kerabat, isteri dan anak-anak, lakukanlah sebaik-baik amalan dan meninggalkan larangan-NYA.

Jangan sia-siakan Ramadan

LAKUKANLAH ibadah setulusnya kerana ALLAH SWT kerana setiap amalan yang dilakukan semata-mata kerana-NYA, insya-ALLAH akan meraih keredaan di samping menjadi asbab ia diterima oleh-NYA.

Rebut peluang

Demikianlah cara umat Islam menyambut Ramadan. Semua itu tidak lain tidak bukan agar kita terus bersemangat merebut peluang yang terhidang di depan mata sepanjang bulan yang penuh barakah ini.

Suka saya ingatkan agar kita berpuasa setulusnya kerana ALLAH SWT. Ini kerana segala perbuatan yang ikhlas kerana ALLAH adalah kunci ketaatan dan penyebab amal ibadah kita diterima.

Ingatlah, mereka yang berpuasa, ganjarannya begitu besar. Antaranya, sesiapa yang berpuasa satu hari kerana ALLAH, maka akan dijauhkannya daripada neraka selama 70 tahun. Bahkan, puasa juga akan menjadi syafaat kepada kita di hari akhirat kelak.

Ketahuilah, syurga bernama ar-Rayyan menanti buat orang yang berpuasa. Malah, puasa Ramadan juga akan menghapuskan semua dosa silam seseorang.

Jika disebut satu persatu, memang terlalu banyak imbalannya. Semoga semua itu terus menjadi pendorong kepada umat Islam untuk meraih hadiah yang sangat bernilai daripada YANG MAHA ESA.

Mengabaikan segala kelebihan seperti yang telah tercatat dalam al-Quran akan mengundang penyesalan yang yang tidak berkesudahan.

Semoga ALLAH SWT memilih kita untuk bersama-sama menyemarakkan bulan yang paling mulia ini. Diharapkan seluruh umat Islam akan terus diberi kekuatan untuk memanfaatkan keberadaan Ramadan.

***Dr Fauzi Deraman ialah Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia

Foto: Freepik