Browsing Tag

sakit

Jamak solat
Ibadah,

Bolehkah jamak solat disebabkan sakit?

SOLAT jamak sering dikaitkan dengan individu yang bermusafir atau melakukan perjalanan jarak jauh. Itu antara rukhsah yang diberikan kepada golongan berkenaan.

Masakan tidak, solat merupakan tiang agama dan menjadi perkara pertama yang bakal ditanya di akhirat kelak. Keringanan diberikan itu menunjukkan betapa indahnya Islam dalam memberikan kemudahan kepada hamba-NYA untuk menunaikan kewajipan sebagai Muslim dalam apa jua keadaan.

Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains

Lantaran itu, terdapat segelintir orang yang bertanyakan rukhsah berkenaan sama ada terpakai untuk orang sakit atau tidak. Jika kelompok tersebut dibolehkan untuk jamak solat, sakit bagaimana yang dimaksudkan dan apakah indikatornya?

Menjawab pertanyaan warganet, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, sakit bukan keuzuran yang membenarkan seseorang untuk menjamakkan dua solat. Demikian pandangan Mazhab Syafie.

DR SYED SHAHRIDZAN

Sekalipun dalam keadaan tenat, jelas beliau, mereka tidak boleh menjamakkan dua solat menurut pendapat yang muktamad.

“Akan tetapi, berdasarkan pendapat kedua Imam Syafie iaitu menurut kenyataan al-Azra’i dan al-Isnawi serta pandangan peribadi Imam al-Nawawi, orang sakit diharuskan menjamakkan dua solat sama ada takdim atau takhir,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Hal itu disebutkan dengan jelas oleh Sheikh Shato al-Bakri menerusi karyanya, I’anat al-Talibin: “Tidak boleh (haram) menjamakkan solat disebabkan lumpur (di jalanan disebabkan hujan) dan sakit menurut pendapat yang masyhur (rajih) menurut Mazhab Syafie. Tetapi pendapat yang terpilih (di sisi al-Nawawi) sepertimana seseorang yang demam panas (kuat) misalnya (dijangka berlarutan dan bertambah) pada waktu yang kedua, lalu melakukan jamak takdim dengan syarat-syarat jamak takdim, atau sakit itu bermula pada waktu solat yang pertama lalu ditakhirkan dengan niat jamak pada waktu solat yang pertama.”

Baca juga Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

Mengulas lanjut, Dr Syed Shahridzan berkata, majoriti ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafie yang mengharuskan jamak solat bagi orang sakit kerana kekuatan dalilnya.

Jamak solat

MAJORITI ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafie yang mengharuskan untuk menjamakkan solat bagi orang sakit dengan syarat tertentu. -FOTO: CANVA

Ia dinyatakan sendiri oleh Sheikh Zainuddin al-Malibari dalam kitab Fath al-Mu’in: “Harus menjamakkan solat secara takdim dan takhir disebabkan sakit menurut pandangan yang dipilih (oleh Imam al-Nawawi).”

Piawaian sakit yang dibenarkan jamak

Sebagaimana rukhsah yang lain, sudah tentu ada syarat-syarat tertentu untuk solat berkenaan ditunaikan oleh orang sakit.

Jelas Dr Syed Shahridzan, ulama mutakhir Mazhab Syafie menetapkan piawaian sakit yang membenarkan kelompok berkenaan untuk menjamakkan dua solat sebagaimana dijelaskan dalam kitab I’anat al-Talibin.

Berikut perinciannya:

i. Imam al-Nawawi dan ulama mutakhir Mazhab Syafie berpandangan, orang yang ditimpa sakit harus menjamakkan antara dua solat sama ada jamak takdim atau takhir. Oleh yang demikian, masyarakat boleh beramal dengan pandangan tersebut.

ii. Sakit yang mengharuskan dua solat dihimpunkan dalam satu waktu itu mestilah sakit yang kuat atau teruk sehingga pesakit itu sukar untuk mendirikan sembahyang pada setiap waktu akibat sakit tenat yang dialaminya. Contohnya seperti sakit yang susah untuk berwuduk dengan sendiri, sakit yang tidak boleh bangun dan sakit ketika hendak bersalin.

Baca juga Solat jamak ketika banjir, adakah dibolehkan? Berikut perinciannya.

iii. Bagi mereka yang sakit ringan seperti pening kepala dan demam ringan, tidak dibenarkan solat jamak sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri dalam I’anat al-Talibin.

Jamak solat

SAKIT ringan seperti pening kepala dan demam ringan, tidak dibenarkan solat jamak. -FOTO: CANVA

iv. Solat jamak dalam perbahasan itu hanya melibatkan jamak sahaja, iaitu tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit, melainkan si pesakit berada dalam keadaan musafir.

Kepada mereka yang sakit kuat, gunakanlah kemudahan yang diberikan ini dengan sebaiknya jika memenuhi piawaian ditetapkan.

Ingatlah, hanya solat jamak sahaja yang boleh ditunaikan iaitu menghimpunkan doa sembayang dalam satu waktu. Tidak boleh melakukan solat qasar iaitu memendekkan atau meringkaskan solat fardu menjadi dua rakaat.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva

berwuduk luka
Ibadah,

Solat tak boleh ditinggal walau sakit, ini cara berwuduk pada luka berbalut

Solat tak boleh ditinggal walau sakit, ini cara berwuduk pada luka berbalut…

BAK kata pepatah, malang tak berbau, begitulah kemalangan adakalanya berlaku tanpa dijangka.

Apabila dilanda kesakitan atau terlibat dalam sesuatu kecelakaan, ada segelintir yang memilih untuk meninggalkan solat. Barangkali kerana tidak tahu cara hendak berwuduk jika anggota badan terluka atau merasa sukar untuk menunaikannya.

Namun dalam Islam, terdapat banyak rukhsah atau keringanan yang boleh dipilih oleh seseorang. Hal ini kerana tuntutan solat masih wajib bagi semua orang yang bergelar Muslim.

Sinar Islam Plus ingin berkongsi beberapa cara untuk berwuduk apabila terdapat kekangan sakit atau luka.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

PELBAGAI rukhsah atau keringanan yang diberikan kepada umat Islam bagi melaksanakan ibadah termasuk dari segi berwuduk ketika luka.

Turut disyorkan Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

Namun, sebelum itu kita perlu mengenali anggota wuduk dan tayamum dahulu.

Anggota wuduk dan tayamum
Anggota wuduk yang wajib ada empat iaitu:
-Muka
-Tangan hingga siku
-Kepala
-Kaki

Manakala, anggota tayammum ada dua iaitu:
-Muka
-Bahagian tangan hingga siku

Jika luka yang ada itu tidak membolehkan seseorang berwuduk menggunakan air seperti biasa, maka menurut pendapat Mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi, dia dibolehkan untuk bertayamum atau menyapu balutan anggota yang sakit kerana ia diqiyaskan kepada menyapu khuf (stokin/kasut) untuk solat. Namun ada beberapa perbezaan pada pelaksanaannya mengikut mazhab.

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

berwuduk luka

AIR adalah komponen utama dalam penyucian diri bagi umat Islam sebelum beribadah. Foto: Unsplash

Baca juga Solat Atas Batu Dan Tanah, Ini Penjelasannya Yang Perlu Kita Tahu

Cara berwuduk ketika luka mengikut mazhab

1. Pendapat Mazhab Syafie
Menurut Mazhab Syafie, sebelum kawasan terluka itu dibalut, orang yang sakit tersebut mestilah berada dalam keadaan suci (sudah mengambil wuduk sebelum itu).

Jika balutan dipakai dalam keadaan tidak suci yakni belum berwuduk, maka solat masih perlu diteruskan tetapi perlu diqada semula selepas sembuh.

a. Kaedah berwuduk menggunakan air
1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit seperti biasa bermula daripada muka (mengikut turutan anggota wuduk).

2. Apabila tiba pada anggota yang berbalut contohnya kepala, maka perlu menyapu keseluruhan pembalut (jabirah) tersebut dengan air seterusnya menyambung wuduk pada anggota seterusnya hingga selesai.

Turut disyorkan Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

KAEDAH berwuduk secara tayamum adalah pilihan kedua sekiranya tidak mahu menyapu balutan luka. Foto: Unsplash

Baca juga Solat jamak ketika banjir, adakah dibolehkan? Berikut perinciannya.

b. Kaedah berwuduk dengan tayamum
Kaedah berwuduk secara tayamum adalah pilihan kedua sekiranya tidak mahu menyapu balutan luka. Caranya adalah dengan:

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit seperti biasa bermula daripada muka.
*Jika luka yang ada adalah pada sebahagian muka, maka perlu membasuh dulu bahagian muka yang tidak sakit. Kemudian lakukan tayamum bagi menggantikan bahagian muka yang sakit.

Perlu diingat bahawa bahagian anggota tayamum (muka dan tangan hingga siku) mestilah dalam keadaan terbuka bagi membolehkan tayamum dilakukan.

2. Sambung berwuduk dengan air pada bahagian anggota wuduk yang lain yang tidak sakit sehingga selesai.
*Jika ada pula luka pada bahagian kaki, maka lakukan tayamum untuk menggantikan bahagian kaki yang tidak boleh terkena air.

Namun, jika terdaya membasuh bahagian sakit yang ditutup oleh pembalut dan tidak memudaratkan, maka ia perlu membasuh dengan air dan tidaklah wajib menyapu.

Turut disyorkan Guna tisu basah ketika istinjak? Hati-hatilah kerana ia masih dikira menanggung najis

berwuduk luka

DALAM mazhab Syafie, solat yang dilakukan menggunakan rukhsah tersebut perlu diulangi setelah sembuh daripada sakit. Foto: Unsplash

Baca juga Ini cara menegur orang tersalah kiblat ketika solat

c. Perlu ulangi solat selepas sembuh
Menurut Mazhab Syafie, solat perlu diulang kembali setelah sembuh apabila berlaku perkara di bawah.

1. Apabila luka dibalut dalam keadaan tidak bersuci (tidak berwuduk dahulu atau dalam keadaan janabah).
2. Balutan luka menutupi kawasan tayamum iaitu muka dan tangan hingga siku.
3. Balutan melebihi kawasan yang cedera (lebih daripada kawasan yang perlu).

Cara yang digariskan oleh Mazhab Syafie ini kelihatan agak berat untuk dilakukan lebih-lebih lagi jika luka dan kecederaan yang dialami banyak dan memakan masa yang lama untuk sembuh.

Oleh itu, jika terdapat kesusahan untuk melakukannya, maka dalam hal ini, bolehlah bertaqlid iaitu mengikut pendapat dalam Mazhab Hanafi Dan Maliki seperti di bawah.

Turut disyorkan Singgah masjid tapi tak solat tahiyyatul masjid ‘perbuatan kurang baik’

berwuduk luka

AMALKAN perkara yang disebutkan artikel bagi mereka yang sedang diuji kesakitan atau sekadar sebagai langkah persediaan. Foto: Unsplash

2. Pendapat Mazhab Hanafi dan Maliki
Tidak disyaratkan untuk berada dalam keadaan bersuci (berwuduk atau mandi wajib) sebelum membalut luka. Sapuan masih boleh dibuat walaupun tidak dalam keadaan bersuci.

Solat juga tidak perlu diulang. Pendapat ini lebih dekat dengan realiti semasa kerana kadang-kadang kecederaan berlaku tidak dijangka dan akan terus dirawat di klinik atau hospital.

Cara berwuduk adalah seperti biasa dan apabila tiba pada bahagian yang luka, tidak perlu bertayamum dan boleh menyapu sahaja balutan dan menyambung wuduk hingga selesai.

Semoga penerangan ini mampu membantu para pembaca yang sedang diuji kesakitan atau buat mereka yang ingin tahu sebagai langkah persediaan.

Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan tzkrh.com

Foto: Unsplash

Larangan ALLAH
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

5 cara ALLAH SWT menghapuskan dosa hamba-NYA. Cara yang kelima sangat sukar dilalui manusia, namun besar ganjaran menanti

SAKIT itu menghapuskan dosa. Demikianlah ungkapan yang acap kali kita dengar selama ini.

Sesungguhnya, ia memang bukan sekadar omongan semata-mata, tetapi perkara itu telah dinyatakan secara jelas dalam satu riwayat.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan ALLAH SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan hadis berkenaan, dapat dilihat bahawa bukan sekadar ujian penyakit sahaja, malah terdapat beberapa cara ALLAH SWT untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-NYA.

Berikut perinciannya sebagaimana yang dirujuk menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kalam.sindonew.com, graphology.com.my dan karteldakwah.com:

1. Ditimpa penyakit atau kesakitan.

Dosa

BERSABARLAH andai ditimpa kesakitan. -FOTO: 123RF

Tidak dinafikan begitu peritnya rasa apabila kita jatuh sakit. Namun, usahlah kita cepat melatah ataupun mengalah. Sebaliknya bersabarlah dengan ujian tersebut kerana ada ganjaran yang akan menanti.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap Muslim yang terkena musibah penyakit atau yang lain pasti akan dihapuskan kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau sesuatu perkara yang lebih berat dari itu melainkan diangkat darjatnya dan dihapuskan dosa kerananya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

2. Keletihan.

Sebagai manusia biasa yang kerdil, tipulah jika dikatakan kita tidak letih. Ini kerana semua itu merupakan lumrah bagi setiap insan.

Ya, adakalanya kita mengeluh, mulut juga tidak berhenti merungut dek kerana kepenatan tadi. Namun, percayalah setiap titis keringat yang keluar tadi akan dinilai oleh ALLAH SWT.

Masakan tidak, kerjakan merupakan suatu ibadah. Oleh itu, usah sesekali merasa lelah dengan apa sahaja pekerjaan halal yang dilakukan. 

3. Kegusaran.

Ketahuilah bahawa perasaan gusar, bimbang dan waswas merupakan muslihat syaitan. Tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memperdayakan anak Adam selagi masih bernafas di dunia ini.

Dosa

PERCAYALAH setiap kegusaran dan kesedihan yang dialami pasti ada hikmah di sebaliknya. -FOTO: 123RF

Makhluk ALLAH yang terkutuk itu telah berjanji untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Niat mereka hanyalah untuk menimbulkan keraguan dalam hati manusia tentang kekuasaan ALLAH SWT dan takdir yang ditetapkan-NYA sejak kita dalam kandungan lagi.

4. Kesedihan.

Kehidupan manusia sememangnya tidak mendatar. Ada masanya kita diuji dengan kesedihan. Tidak kiralah besar atau kecil kepiluan yang ditanggung, jangan sesekali menyalahkan takdir atau qada dan qadar.

Baca juga Hati sedih dan galau, ‘merdekakan’ rasa itu dengan cara yang dianjurkan agama ini…

Sebenarnya, ketika itulah detik paling sesuai untuk kita mengadu dan memohon keampunan atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Jika perasaan galau itu ditangani dengan bijak, insya-ALLAH kekhilafan kita akan diampunkan-NYA.

5. Gangguan dan kesusahan.

Ia berbentuk gangguan dalam kehidupan kita seperti kesusahan dan musibah. Ada orang diuji dengan masalah keluarga, segelintirnya menghadapi kekangan kewangan, dikurniakan anak nakal dan seumpamanya.

Baca juga Musibah itu penghapus dosa, ini rupanya sebab ramai yang tak sedar perkara ni

Selain itu, ada juga gangguan lain yang mungkin kita tidak nampak. Contohnya, setiap kali kita mahu lakukan kebaikan, ada sahaja penghalang dan godaan daripada syaitan.

Dosa

MENGERTILAH bahawa dunia merupakan pentas ujian buat hamba-NYA. Justeru, bersabarlah atas segala yang berlaku dan berusahalah menangani sedaya upaya dengan cara yang dianjurkan oleh Islam. -FOTO: 123RF

Semua ‘kekacauan’ tadi sebenarnya hanyalah untuk menguji sejauh manakah keimanan kita kepada-NYA. Itu antara cara DIA untuk menghapuskan dosa silam kita.

Meskipun kita diuji dengan pelbagai musibah atau dugaan, hiasilah diri dengan sifat sabar yang tinggi. Mengertilah, dunia ini hanyalah pentas ujian buat kita dan ia merupakan tanda sayang ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

DIA berikan kesulitan itu untuk menghapuskan dosa-dosa silam kita, sekali gus mengangkat darjat kita. Percayalah setiap apa yang dilalui pasti terselit hikmah di sebaliknya.

Penuhi enam hak sesama Muslim
Isu, Uncategorized,

Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

PENUHI enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah

Tahukah anda bahawa wujudnya hak tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap Muslim terhadap satu sama lain?

Islam sememangnya agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Betapa syumulnya Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sehinggakan hak sesama saudara seagama juga pernah digariskan Nabi SAW sendiri dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis riwayat Muslim)

Penuhi enam hak sesama Muslim

MUNGKIN enam hak yang disebutkan itu nampak kecil tetapi kesannya besar menguatkan talian ukhuwah sesama umat Islam.

Enam hak sesama Muslim yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Mengucapkan salam
Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam. Apabila seorang Muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenali atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam.

Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Selain menjadi suatu doa yang dapat menggugurkan dosa, perbuatan memberi salam juga menjadi pengikat tali persaudaraan sesama kaum Muslimin.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

2. Memenuhi undangan
Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Saling menasihati
Lumrah sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, maka sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya.

Penuhi enam hak sesama Muslim

MASIH ramai yang menggunakan frasa Inggeris, ‘Excuse me’ apabila bersin. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

4. Mendoakan ketika bersin
Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ini bertepatan dengan saranan hadis Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘Alhamdulillah’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘Yarhamukallah’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘Yarhamukallah’ maka hendaklah menyebut ‘Yahdikumullah wa Yuslih baalakum’. (Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Menziarahinya ketika sakit
Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi jika dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri.

Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit.

Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

Baca juga Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

6.Mengiringi jenazah

Mengiringi jenazah itu bukan sahaja mengandungi doa, malah ia sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Sesiapa yang menziarah jenazah seorang Muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat dua qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia mendapat satu qhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sematkan azam agar dapat melaksanakan keenam-enam hak ini kerana kita hidup di dunia bukannya berseorangan. Sebaliknya ALLAH mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak supaya kita dapat saling kenal mengenali.

Foto: Freepik & Pexels