Browsing Tag

Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari
Personaliti,

Sahih Al-Bukhari Karya Imam Al-Bukhari Jadi Rujukan Utama Selepas Al-Quran

no comment

DALAM historiografi Islam, Imam al-Bukhari tercatat sebagai ulama hadis tersohor. Ketokohannya begitu dikagumi dan disegani kerana monumental karyanya bertajuk Sahih al-Bukhari menjadi sumber utama.

Ia bukan sahaja menjadi kitab pertama dihasilkan dalam dunia pengajian Islam, bahkan jumhur ulama hadis Ahli Sunah Waljamaah itu juga mengiktiraf bahawa Sahih al-Bukhari merupakan kitab paling sahih.

Seperti kata Ibn Taimiyyah Rahimahullah: “Tidak ada di bawah permukaan langit ini kitab yang lebih sahih selepas al-Quran daripada Sahih al-Bukhari dan Muslim.”

Menjejaki riwayat hidup tokoh ulama hebat itu, nama al-Bukhari hanyalah gelarannya sahaja. Ia dinisbahkan kepada tempat kelahirannya di Bukhara, Khurasan. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari dan dilahirkan pada tahun 194 Hijrah.

Imam al-Bukhari


KITAB Sahih al-Bukhari karya Imam al-Bukhari.

Cendekiawan itu bergelar anak yatim sebaik bapanya meninggal dunia ketika dirinya masih kecil. Justeru, ibunya yang mencorakkan kehidupan beliau.

Bakat Imam al-Bukhari sudah dapat dihidu sejak zaman kanak-kanaknya lagi apabila beliau dilihat begitu cenderung menghafaz hadis-hadis Rasulullah SAW dan mendalami ilmu-ilmu agama.

Tahun 210 Hijrah menjadi detik permulaan agamawan berkenaan meluaskan perjalanannya dalam menuntut ilmu hadis. Selepas ke Makkah dan pernah menetap di situ, agamawan itu berkelana ke Syam, Mesir, Jazirah, Arab, al-Bashrah, Kufah dan Baghdad.

Ilmu hafalannya sangat kuat sehingga dikisahkan dalam satu riwayat. Imam al-Bukhari sendiri pernah menyatakan: “Aku hafal 100,000 hadis sahih dan 200 hadis tidak sahih.”

Baca juga Imam Haramain Al-Juwayni Abadikan Diri Untuk Menggali Ilmu Sepanjang Hayatnya

Disegani ramai

Dek ketinggian ilmu yang dimiliki menyebabkan ulama hadis di Baghdad cuba menguji kemampuannya. Para ulama tersebut telah mengumpulkan 100 buah hadis yang telah ditukar sanad dan matannya.

Imam al-Bukhari

ILUSTRASI Imam al-Bukhari.

Satu demi satu pertanyaan tentang hadis berkenaan dilontarkan, namun Imam al-Bukhari dengan tenang membetulkan semua hadis kembali.

Bukan sahaja keintelektualannya yang disegani, malah keperibadian figura itu juga cukup dikagumi. Beliau digambarkan sebagai seorang yang zuhud, berhati-hati dan menjauhi hal-hal yang haram dan syubhah, di samping terkenal dengan sifat berani dan dermawan.

Imam Khuzaimah Rahimahullah pernah menyatakan: “Tidak ada seorang pun di bawah langit ini yang lebih tahu dan lebih hafal tentang hadis Rasulullah SAW daripada Muhammad bin Ismail alBukhari.”

Kredibilitinya ilmuan itu juga sangat terserlah terutama ketelitiannya ketika mengistinbatkan (amalan mengeluarkan hukum atau keputusan berdasarkan al-Quran atau hadis tertentu) suatu hadis yang begitu menakjubkan. Itulah yang kita dapat lihat dalam karyanya yang agung, Sahih al-Bukhari.

Bercerita tentang kitab berkenaan, sebenarnya judul asalnya begitu panjang. Imam al-Bukhari telah memberi nama begitu istimewa iaitu al-Jami’ ash-Shahih al-Musnid min Hadits Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi.

Dalam monumentalnya itu, Imam al-Bukhari hanya memilih hadis-hadis sahih sahaja dan bersesuaian dengan bab-bab yang terdapat di dalamnya.

Menurut riwayat yang masyhur, terdapat 7,275 jumlah hadis dihimpunkan dalam Sahih al-Bukhari dan ada 4,000 hadis tidak berulang. Jumlah itu hanyalah sebahagian daripada 600,000 hadis yang diterimanya.

Menariknya, beliau tidak akan menulis hadis di dalam karyanya itu, melainkan sudah membersihkan diri iaitu mandi atau berwuduk dan solat dua rakaat.

Dikatakan bahawa solat yang ditunaikan oleh ulama hebat itu adalah solat istikharah memohon pertolongan kepada ALLAH SWT agar menerima amalan dan memberkatinya.

Imam al-Bukhari


KOMPLEKS Makam Imam al-Bukhari yang terletak di Samarkand, Uzbekistan.

PROFIL

Nama penuh: Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari

Gelaran: Imam al-Bukhari, Abu Abdillah, imam ahli hadis atau amir al-Mukminin dalam hadis

Asal: Bukhara, Khurasan

Tahun kelahiran: 194 Hijrah

Tahun kematian: 256 Hijrah di Samarkand, Uzbekistan.

Sumbangan: Menghasilkan kitab Sahih al-Bukhari yang menjadi rujukan dalam bidang hadis. Monumental itu menjadi kajian ulama terkenal seperti Ibn Hajar dan as-Sayuthi. Imam al-Bukhari juga menetapkan syarat hadis sahih untuk menjaga ketulenan hadis dan boleh dijadikan hujah.

Karya agung: Sahih al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad dan al-Tarikh al-Kabir

Sumber & Foto https://muftiwp.gov.my/, https://pic.upm.edu.my/, http://myhadith.islam.gov.my/, https://english.alarabiya.net/, https://theforevermuslim.com/, onlineislamicbooks.com, https://en.wikishia.net/ dan https://en.wikipedia.org/