Browsing Tag

rumah ngaji

Berita Semasa,

TOT Tadabbur asas beri pendedahan penggerak Rumah Ngaji

OLEH  FOUZIAH AMIR

KAEDAH tadabbur semakin tidak asing dalam masyarakat untuk mendekati al-Quran, khususnya pengikut My #QuranTime 1.0 yang bersiaran di TV AlHijrah dan platform media sosial My #QuranTime Official.

 

USTAZ FAZRUL

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai jurulatih pada program Training of Trainers (TOT) : Kaedah Asas Tadabbur (Cara mudah faham al-Quran) di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 12 November lalu.

Kata beliau, jika sebelum ini orang awam berasa sukar dengan tadabbur, kini mereka tidak kekok apabila pendekatan kaedah tersebut diperkenalkan dalam memahami al-Quran pada program My #QuranTime 1.0 dan Rumah Ngaji.

Mereka berasakan tadabbur sentiasa dinantikan untuk mengambil panduan. Kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal diharapkan lebih meluas dalam mencapai misi MenQuran Bangsa Mengikhlaskan Ummah.

“Tadabbur asas adalah jangan tokok tambah daripada terjemahan ayat al-Quran dan disiplinnya jangan keluarkan hukum. Manakala tazakkur adalah apa pengajaran dan tindakan yang kita boleh ambil daripada mesej ALLAH SWT.”

 

Kongsi dengan keluarga

TOT anjuran WUIF menjadi platform latihan tadabbur peringkat asas kepada semua  penggerak, asatizah dan wakil Rumah Ngaji di seluruh negara. Seramai 60 peserta termasuk pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengikuti program sehari tersebut.

Menurut beliau, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta untuk mempelajari kaedah tadabbur asas untuk diri dalam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

“Ilmu tadabbur asas boleh dikongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk memahami al-Quran. Kaedah tersebut merupakan sebahagian modul dalam Akademi My #QuranTime (AMQT).

“AMQT mempunyai modul yang lebih komprehensif untuk melatih lebih ramai pentadabbur di peringkat Rumah Ngaji, tempat umum, negeri, negara dan antarabangsa. Akademi tersebut dijangka akan dibuka pada tahun hadapan selepas My #QuranTime  2.0 dilancarkan.

 

DATO HUSSAMUDDIN

Sementara itu, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dalan ucapannya pada program TOT berkata, kebanyakan orang Islam hari ini kosong jiwa kerana tidak diisi dengan al-Quran. Ia menjadi punca masalah seperti tidak amanah, rasuah dan mengabaikan keluarga.

“Oleh itu, kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal bertujuan membentuk kerangka fikir dan sistem operasi diri dengan nilai al-Quran untuk menjadi insan lebih baik.

“My #QuranTime 2.0 memberi pendekatan bacaan tartil, lebih mendalam tadabbur dan tazakkur serta memperkenalkan elemen menghafal. Diharapkan semua orang boleh menghafal al-Quran.

“Rumah Ngaji merupakan wakil komuniti yang paling dekat dengan masyarakat untuk mempelajari dan memahami al-Quran. Kita juga perlu bekerjasama dengan pihak masjid yang boleh memanfaatkan dana untuk menyelamatkan ummah,” katanya.

 

APA KATA PESERTA;

USTAZ MOHAMMAD AMIR

“Ilmu tadabbur asas sangat bagus untuk diberi pendedahan kepada orang ramai agar lebih mudah untuk berinteraksi dengan al-Quran. Dengan kemahiran tersebut, kita mampu mengutip mutiaran dari 114 surah dalam al-Quran.” – Ustaz Mohammad Amir Kholis, 29, Pengasas Pusat Quran Hilwan Madani, Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi 3 Rumah Ngaji Kelantan.

 

A’ISYAH

“Saya berasa lebih tenang dalam kehidupan seharian apabila dapat menjaga solat dan membaca al-Quran. Saya selalu membaca al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat hingga satu juzuk selepas subuh. Saya boleh memanfaatkan ilmu tadabbur asas ini untuk diri dan juga orang lain.” – A’isyah  Shahrul Nizar, 21, pelajar UIAM.

 

MUHAMMAD ADAM

“Saya kini lebih memahami kaedah tadabbur untuk mempelajari dan mengajar al-Quran. Saya boleh kongsikan dengan adik-beradik dan juga anak murid di kelas ngaji. Diharapkan saya dapat membuka pusat ngaji al-Quran pada masa akan datang.” – Muhammad Adam Shah, 14, pelajar.

 

“Bagus untuk kita mempelajari ilmu tadabbur dan mempraktikkan pengajarannya dalam kehidupan sebelum menyampaikan kepada orang lain. Kaedah tadabbur menyebabkan saya jatuh hati dengan al-Quran. Saya mudah mengalir air mata apabila membaca ayat al-Quran.” – Addina Husna Ismadi, 19, bekerja sendiri.

“Ilmu tadabbur banyak membantu saya untuk menarik minta pelajar mendekati al-Quran. Saya suka menganjurkan program tadabbur alam yang dikaitkan dengan kebesaran ALLAH SWT yang Maha Pencipta.” –   Ustaz Nur Ahmad Hafizin Mohd Fuzi, guru al-Quran

 

Nilai kemanusiaan
Dalam Negara,

‘Retreat’ Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang rapatkan penggerak legasi al-Quran

PERTUBUHAN Rumah Ngaji Pahang (PRNP) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat julung kalinya menganjurkan program Retreat PRNP di Kem Akademi Azam, Kuantan, Pahang selama dua hari bermula 15 Oktober lalu.

Setiausaha merangkap Penyelaras PRNP, Ustaz Mohd Rozamli Mohd Razak berkata, seramai 42 peserta yang terdiri daripada penggerak, pengajar dan ahli dari 31 Rumah Ngaji di seluruh Pahang berhimpun untuk membugarkan hala tuju PRNP agar selaras dengan visi dan misi WUIF.

“Peserta diberi pendedahan mengenai maklumat terkini program dan aktiviti semasa Rumah Ngaji. Mereka juga berkongsi maklumat mengenai semua aktiviti yang dijalankan daripada setiap Rumah Ngaji di kawasan masing-masing.

Retreat ini juga menjadi platform kepada penggerak, asatizah dan ahli untuk mengeratkan silaturrahim serta bertukar pengalaman dalam menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Baca juga Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara

“Melalui kaedah tadabbur dan tazakkur, ia mampu membumikan al-Quran dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita ingin mencapai visi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah menjelang 1500H,” katanya.

Terdapat pelbagai kempen yang digerakkan oleh WUIF dengan kerjasama Rumah Ngaji seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour, World #QuranConvention, Majlis Ayah, Majlis Ibu, MyHadithTime, Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH), Soul Fitness dan Masuk Syurga Sekeluarga.

Retreat

PESERTA Retreat PRNP terdiri daripada penggerak, asatizah dan ahli Rumah Ngaji berhimpun untuk legasi al-Quran.

Tambah beliau, Retreat PRNP secara langsung dapat menyemarakkan semangat mereka dalam merealisasikan misi dan visi Rumah Ngaji Malaysia.

Turut bersama dalam pengisian program ialah Ketua Penyelidik dan Pembangunan WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein, manakala Majlis Perasmian Penutup Retreat PRNP disempurnakan oleh Ketua Pegawai WUIF, Marhaini Yusoff.

Antara pengisian program Retreat PRNP ialah Taklimat Rumah Ngaji Pahang, Berinteraksi dengan Alam di Pantai Cempaka, RICH dan teknik tadabbur al-Quran, Legasi My #QuranHour dan penyerahan Panji Rumah Ngaji.

Mohd Rozamli berkata, penggerak, pengajar dan peserta diharapkan terus istiqamah bersama Rumah Ngaji untuk membina legasi al-Quran ke seluruh ummah sehingga berupaya menjadi ejen perubahan dan pencorak gaya hidup berdasarkan al-Quran.

“Tidak dinafikan terdapat kekangan bilangan tenaga pengajar dan peserta dalam menggerakkan aktiviti Rumah Ngaji. Namun, dengan kesungguhan mereka untuk bersama bagi mencapai tujuan meletakkan nilai al-Quran menjadi realiti dalam kehidupan.

Baca juga Sepayah mana pun kehidupan, seberat apapun masalah, jadikan kalamullah sebagai teman paling setia

“Kita akan perbanyakkan pendedahan, kursus dan program Rumah Ngaji agar jelas penguasaan serta penglibatan lebih umum dan mesra pelanggan.

“Rata-rata peserta memberi maklum balas positif terhadap program yang disertai dan meluahkan keuntungan berada dalam gerakan Rumah Ngaji. Ini membuatkan mereka rasa sangat terisi apabila cahaya al-Quran dihidupkan dalam hati,” katanya.

PRNP bersinergi dengan Masjid Taman Temerloh Jaya, Universiti Malaysia Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Kem Akademik Azam bagi menjaya program Retreat ini.

“PRNP merancang menganjurkan Pahang #QuranHour dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan dan korporat pada masa akan datang,” ujarnya.

WUIF menjalankan projek #Aktifkan Rumah Ngaji di seluruh negara untuk menjalankan program ilmu secara percuma termasuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal sejak 2014.

Untuk info lanjut mengenai Rumah Ngaji, layari https://quranhour.org/rumahngaji/.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

al-Quran
Berita Semasa, Dalam Negara,

Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara

BUKAN mudah untuk bina legasi perjuangan al-Quran. Namun, semua itu tidak menjadi perintang buat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk merealisasikannya.

Ia dapat dilihat menerusi kesungguhan WUIF bersama wakil penggerak Rumah Ngaji negeri yang berkampung di Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Bentong, Pahang dalam program Retreat Rumah Ngaji Malaysia dalam membawa misi ‘MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah‘ selama tiga hari pada penghujung Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pertemuan WUIF bersama wakil Rumah Ngaji bertujuan bermuhasabah diri dalam membawa gerakan al-Quran dan membuat perancangan membina legasi 10 tahun ke hadapan.

MARHAINI

“Setiap Rumah Ngaji negeri ada kekuatan masing-masing dalam menjayakan pelbagai program, namun masih perlu mengutamakan misi al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Baca juga Gunakan cara ini untuk jadikan anak seronok mengaji di rumah

“Selepas 10 tahun misi berakhir tahun ini, kita teruskan perancangan membawa al-Quran untuk 10 tahun mendatang bermula 2023 hingga 2032. Kita tak mahu bekerja sepenuh tenaga tetapi hati tak bersih. Kita perlu muhasabah diri.

“Program berinteraksi dengan al-Quran, perlu dijadikan projek 360 darjah yang membumikan al-Quran dalam kehidupan, kaunseling dan psikologi. Kita boleh hidupkan bacaan dan khatam al-Quran di merata tempat,“ katanya.

Bina legasi

Sehingga kini, WUIF belum mempunyai wakil Rumah Ngaji di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perlis serta luar negara yang bersedia ke hadapan untuk membawa misi tersebut.

“Sedekad lalu, kita memfokuskan untuk mengubah ekosistem melalui membaca al-Quran, mengambil ibrah dan bertadabbur melalui Rumah Ngaji. Untuk sedekad akan datang, kita memfokuskan sinergi dan membina legasi bersama pelbagai institusi termasuk keluarga, pejabat dan sekolah.

“Kini Pusat Pelancongan Islam (ITC) bersinergi dengan WUIF untuk membawa tema Pelancongan Mesra Muslim. Ia bukan sahaja memfokuskan kepada fizikal seperti masjid tetapi kejiwaan dan kerohanian. Misinya adalah menghidupkan hati dengan al-Quran.

“WUIF melalui Unit Penyelidikan dan Pembangunan memfokuskan Tematic & Reconstruct dalam mengkaji ayat al-Quran dan mengikut tema untuk mendekatkan masyarakat kepada perubahan kerangka fikir berlandaskan al-Quran dan sunnah,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik, Fazrul Ismail berkata, program Retreat Rumah Ngaji menjadi platform WUIF dan Rumah Ngaji berkongsi maklumat dari segi mengemaskini perancangan ke hadapan.

FAZRUL

Baca juga Kenali 12 ciri-ciri hamba ALLAH YANG MAHA PENGASIH

“Setelah mendapat maklum balas daripada pihak WUIF, diharapkan wakil Rumah Ngaji terarah untuk bergerak dalam membina generasi dengan akhlak al-Quran.

“Cabaran Rumah Ngaji antaranya melahirkan pentadabbur, penggerak yang mempunyai kemahiran digital dan dana. Kita perlukan dana dalam membina lebih ramai pentadabbur dan pengerak untuk memasyarakatkan al-Quran serta mengQurankan masyarakat.

“Oleh itu, kita perlu sokongan agensi luar seperti majlis agama dan dana daripada pihak korporat bagi memudahkan urusan transformasi sosial kepada dunia dan negara ini,“ ujarnya.

Selain berbengkel, peserta turut mengikuti program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) di Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik dan Tafakur Alam selepas solat Subuh di luar bangunan Cherengin Hills.

al-Quran

SESI Tafakur Alam di luar bangunan Cherenghin Hills Convention & Spa Resort, Janda Bai

Dalam pada itu, Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein dan Fazrul memberi pengukuhan hala tuju serta pengisian pada program tersebut.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Cherengin Hills, Mohd Fauzi A Latif yang berkongsi inspirasi menjadikan lokasi tersebut sebagai lembah ilmu al-Quran.

Muslimin dijemput menyertai Rumah Ngaji sebagai peserta dan penggerak. Layari https://quranhour.org/rumahngaji/ untuk info.

***Penulis & Foto: Fouziah Amir