Browsing Tag

rugi tinggalkan

Solat tarawih
Isu, Pilihan Editor,

Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja

no comment

SOLAT sunat tarawih menjadi satu kemestian untuk dilakukan apabila tibanya bulan Ramadan. Masakan tidak, kehadirannya hanya sebentar iaitu cuma ketika bulan penuh rahmat dan keberkatan itu menjengah.

Alhamdulillah, pada tahun ini, kita diberi kesempatan untuk mengimarahkan ibadah berkenaan di masjid mahupun di surau. Tidak seperti tahun lalu apabila kebanyakan umat Islam hanya berbuat demikian di rumah masing-masing gara-gara amukan Covid-19.

Semuanya dilakukan demi menghidupkan bulan Ramadan yang penuh barakah dan maghfirah sematamata kerana ALLAH SWT.

Biarpun ada segelintir orang yang mengabaikannya kerana kekangan dan alasan tertentu, ketahuilah bahawa amat rugi jika kita meninggalkan solat tarawih begitu sahaja. Apatah lagi kita sebenarnya mempunyai waktu yang panjang bermula selepas solat Isyak sehinggalah sebelum Subuh untuk mengerjakannya.

Ini kerana solat sunat tarawih mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Meskipun ‘hadis‘ palsu yang memerihalkan tentang fadilat beramal dengannya mengikut hari tertentu pernah tersebar suatu ketika dulu, namun ia tidak merencatkan kemuliaan solat tarawih berkenaan.

Apakah kehebatan solat sunat tarawih sehingga ramai orang sanggup mengetepikan perkara lain demi memberi keutamaan kepada ibadah itu? Benarkah mereka yang menunaikannya mendapat ganjaran pahala seumpama qiamullail sepanjang malam?

Tiada rakaat khusus

Ketika diajak berbicara lanjut tentang topik berkenaan, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad menjelaskan, solat sunat tarawih merupakan ibadah yang mempunyai beberapa ciri dan cara yang khusus.

DA’I FUAD

Ujar beliau, solat sunat tersebut hanya boleh dilakukan selepas menunaikan solat Isyak sepanjang bulan Ramadan. Perkataan tarawih sebenarnya berasal daripada tarwihah atau istirahat.

“Disebabkan itulah apabila kita menunaikan solat sunat tarawih sebanyak empat rakaat dengan dua salam, lazimnya kita akan berhenti beristirahat.

“Pada zaman para sahabat dari zaman Rasulullah SAW, mereka beristirahat dengan melakukan tawaf. Meskipun di tempat kita tiada Kaabah, namun masyarakat kita kebiasaannya akan mengisi waktu berkenaan dengan berzikir dan berselawat,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Dari segi hukum pula, Da‘i Fuad menjelaskan, tarawih yang turut dipanggil sebagai Qiamur Ramadan (membangunkan malam Ramadan dengan beribadah kepada ALLAH khususnya selepas Isyak) adalah sunat muakkad.

Meskipun tiada bilangan khusus dalam mendirikan solat tarawih, Da‘i Fuad menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW menyebut dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa kita perlu banyak bersujud kepada ALLAH SWT. Apatah lagi dalam ibadah-ibadah sunat yang tidak mempunyai rakaat khusus.

“Cuma baginda SAW tidaklah hari-hari menunaikan tarawih di masjid kerana enggan para sahabat menganggap solat sunat tarawih adalah wajib dalam bulan Ramadan. Namun begitu, baginda tidak pernah langsung meninggalkannya.

“Sebaik sahaja selesai mendirikan solat sunat tarawih, Rasulullah SAW lantas menutupnya dengan solat sunat witir sebanyak tiga rakaat, berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Muttafaqun Alaih.

“Justeru tidak kiralah sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat solat dilakukan, tutuplah ia dengan solat sunat witir sebagaimana yang dilakukan oleh baginda,“ katanya.

Ketika zaman Saidina Umar al-Khattab RA, jelas pendakwah itu, umat Islam menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Malah, ada riwayat menyatakan bahawa pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, solat sunat tarawih dikerjakan sebanyak 36 rakaat.

“Tidak kiralah berapa bilangan rakaat yang dilakukan, ketahuilah bahawa solat tarawih merupakan ibadah yang sangat dimuliakan oleh ALLAH SWT,“ jelasnya.

Baca juga Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini

Ganjaran

Benarkah mereka yang mendirikan solat sunat tarawih akan diberikan ganjaran pahala seumpama mengerjakan qiamullail sepanjang malam?

Solat tarawih

ANDAI tidak berkesempatan ke masjid, lakukanlah solat sunat tarawih secara berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

Menjawab persoalan itu, Da‘i Fuad menjelaskan, terdapat perbezaan khilaf dalam kalangan ulama tentang kenyataan tersebut meskipun ia disebut dalam sebuah hadis yang berstatus hasan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).“ (Riwayat al-Tirmizi)

Ujar pendakwah itu, hadis berkenaan memerihalkan tentang fadilat amal yang memberikan kita semangat untuk beribadah kepada ALLAH SWT.

“Namun, kita kena ingat bahawa tetap ada perbezaan antara orang yang bangun pada akhir malam untuk bertahajud kepada ALLAH SWT dengan orang yang sekadar solat tarawih selepas Isyak.

“Sebenarnya, orang yang tidur sebentar dan berusaha untuk bangun malam, dirinya telah bersusah payah semata-mata untuk beribadah kepadaNYA. Maka pastinya golongan itu ada ganjaran yang lebih.

“Dalam kaedah usulul fiqh menyebut, lebih banyak kesusahan dan kepayahan yang direntas seseorang dalam melakukan ibadah kepada ALLAH SWT, maka golongan itu akan mendapat ganjaran yang lebih besar,“ katanya.

Mudah kata, dalam meraih ganjaran pahala, ia tetap ada perbezaan kemuliaan dengan mereka yang betul-betul bangun malam untuk bermunajat kepada ALLAH SWT, ungkapnya.

“Maka gunakanlah Ramadan ini sebagai kesempatan untuk kita menjadi orang yang kuat beribadah kepada ALLAH,“ nasihatnya.

Senada dengan Da‘i Fuad ialah pendakwah Muhammad Hadi Talhah. Jelas beliau, begitu besarnya rahmat yang tersirat di sebalik solat sunat tarawih dalam bulan Ramadan.

MUHAMMAD HADI

Keistimewaan paling besar, katanya, apabila ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa silam hamba-hamba-NYA jika ia dilakulan dengan penuh ikhlas kerana-NYA.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.“ (Riwayat al-Bukhari)

“Tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa melainkan ALLAH SWT. Sebab itulah doa yang paling utama adalah doa memohon keampunan kepada ALLAH. Ia terletak pada kedudukan yang pertama.

“Masakan tidak, apabila kita meraih keampunan-NYA, ia sebenarnya merupakan satu rahmat dan nikmat yang paling besar,“ katanya.

Rugi tanpa keampunan

Di samping keampunan, Muhammad Hadi menjelaskan, sudah tentulah ganjaran pahala dapat digapai. Apatah lagi jika kita melakukan solat sunat itu dalam bilangan rakaat yang banyak.

Solat tarawih

BANYAKKAN berdoa memohon keampunan ALLAH SWT sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Ujar beliau, bukan selalu ‘lubuk keemasan‘ itu diperoleh kerana solat sunat tarawih hanya ada dalam bulan Ramadan. Ketahuilah, sesiapa yang terlepas peluang berkenaan, dirinya berada dalam kerugian.

Bahkan, Rasulullah SAW dalam satu riwayat masyhur mengaminkan doa yang dibaca oleh Malaikat Jibril: “…Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosadosanya diampuni…“ (Riwayat al-Tirmizi)

Begitupun, agamawan itu mengingatkan bahawa dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampunkan oleh ALLAH. Sementelah, dosa-dosa besar pula diampunkan dengan bertaubat.

Baca juga Orang Yang Rugi Ketika Ramadan

“Apa jua amalan soleh yang dilakukan waima kebaikan, ia sebenarnya menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Adapun bagi meraih keampunan terhadap dosa-dosa besar, bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh iaitu menyesal dengan perbuatan yang dilakukan, tinggalkan perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya kembali.

“Tidak kiralah banyak mana pun dosa besar yang dilakukan, ALLAH SWT tetap akan mengampunkannya.

“Biarlah taubat tadi terbit daripada hati yang tulus. Itulah yang sebaik-baiknya kerana manusia sememangnya dituntut bertaubat apabila melakukan dosa,“ jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Muhammad Hadi mengingatkan agar umat Islam tetap memelihara rukun solat meskipun sekadar menunaikan solat sunat seperti tarawih.

“Ia penting bagi menentukan kesahan solat berkenaan. Bahkan, ibadah sunat yang sepatutnya mencatatkan pahala berganda sebaliknya boleh mengundang dosa jika tidak memenuhi rukun solatnya,“ tegas beliau.

Perbanyak amalan sunat untuk tampung kekurangan solat fardu

Salain solat sunat tarawih, umat Islam turut digalakkan memperbanyak ibadah solat sunat yang lain terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan rahmat ini.

Pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, antara solat sunat yang boleh dilakukan termasuklah solat hajat, tahajud, taubat dan witir.

WAN AKASHAH

Lazimnya, jelas beliau, kebanyakan masyarakat hanya melakukan tiga rakaat solat sunat witir. Sebenarnya kita boleh menambah lagi solat sunat berkenaan menjadi lima, tujuh, 11 dan paling maksimum 13 rakaat.

“Seandainya kita sudah melakukan solat witir sebaik sahaja selesai menunaikan tarawih, tidak perlulah lagi mengulanginya sejurus selepas solat tahajud jika kita bangun pada awal pagi atau waktu sahur.

“Solat witir memadai dilakukan sekali sahaja pada satu malam.

“Jika kita belum lagi menyempurnakan solat witir usai bertarawih, maka lakukannya selepas kita selesai solat sunat tajahud pada awal pagi atau waktu sahur,“ katanya.

Istimewanya solat sunat, jelas Wan Akashah, apabila ibadah berkenaan akan menampung ibadah solat fardu kita.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, ALLAH SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?“ Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Ketahuilah, dalam bulan Ramadan, pahala bagi setiap solat sunat itu seumpama seperti kita menunaikan solat fardu, manakala ibadah fardu akan digandakan sehingga 70 kali ganda, ungkapnya.

“Maka sebab itulah kita digalakkan melakukan ibadah-ibadah sunat kerana ia akan menampung kekurangan ibadah fardu yang kita lakukan.

Solat tarawih

AMALAN sunat yang dikerjakan boleh menjadi penghapus dosa-dosa kecil, manakala dosa-dosa besar hanya akan diampunkan dengan taubat bersungguh-sungguh.

“Umpamanya, kadangkala solat lima waktu sehari semalam yang menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam ada kekurangan, maka di sinilah solat sunat seperti tarawih, witir dan sebagainya yang akan menampungnya,“ katanya.

Bukan sahaja solat sunat, ujar Wan Akashah lagi, ia termasuk juga ibadah-ibadah sunat yang lain yang boleh menutupi ‘kecacatan‘ ibadah fardu kita.

“Justeru, kita disunatkan melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan sunat termasuklah solat tarawih,“ nasihatnya.

ANEKDOT

HADIS palsu tentang kelebihan solat tarawih setiap malam

Solat tarawih

TIADA bilangan khusus dalam jumlah rakaat untuk menunaikan solat tarawih. Lakukanlah ia mengikut kemampuan kita tidak kiralah sama ada lapan atau 20 rakaat.

– Suatu masa dahulu, ‘hadis‘ yang memerihalkan tentang kelebihan solat sunat tarawih pada setiap malam pernah tersebar.

– Dalam hadis yang dikatakan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib itu menjelaskan tentang ganjaran yang bakal diraih apabila kita melakukan solat tarawih pada malam berkenaan.

– Begitupun, status hadis berkenaan adalah palsu semata-mata dan dusta atas nama Nabi Muhammad SAW.

– Ketahuilah, sesiapa yang menyebarkan hadis berkenaan sedangkan mereka tahu bahawa ia merupakan hadis palsu, maka individu itu sebenarnya menempah diri mereka untuk ke neraka kerana berdusta atas nama baginda SAW.

– Walaupun ‘hadis‘ berkenaan mungkin disebarkan untuk menggalakkan orang ramai bertarawih, namun matlamatnya tidak menghalalkan cara.

– Ingatlah bahawa menipu atas nama Nabi adalah dilarang. Hukumnya haram dan berdosa.

– Seperkara, kelebihan yang dinyatakan dalam hadis palsu itu dilihat terdapat unsur berlebihlebihan dalam memberikan ganjaran dan tidak munasabah.

Sumber: Pendakwah Muhammad Hadi Talhah

Foto: Bernama & Freepik