Browsing Tag

Rugi ketika Ramadan

Untitled design - 2021-04-16T085442.754
Isu,

Orang Yang Rugi Ketika Ramadan

no comment

SEBELUM tibanya bulan Ramadan, ada sahaja alasan yang meluncur keluar dari bibir tatkala diajak melakukan kebaikan atau mengubah sikap ke arah kebaikan.

Tanpa sedar, sebenarnya manusia sudah pun termakan hasutan syaitan yang sering kali mengajak kita melakukan perkara yang bertentangan dengan kebaikan.

Begitupun, kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya kita berperilaku sedemikian. Masakan tidak, syaitan sudah pun ditambat dan diikat agar tidak mengganggu umat manusia yang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu…” (Riwayat al-Tirmizi & Ibnu Majah)

Namun begitu, masih ada lagi segelintir orang yang masih berperilaku menjelikkan dalam bulan Ramadan meskipun syaitan sudah ditambat. Malah, ada juga orang yang masih mengamalkan sihir dalam bulan penuh barakah itu.

Pendakwah Elyas Ismail menjelaskan, ini kerana bukan semua syaitan dirantai sepanjang Ramadan. Hanya sebahagian sahaja yang ditambat. Demikianlah pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani tentang maksud syaitan yang diikat dalam hadis berkenaan.

“Hanya syaitan yang bersifat ganas dan menentang sahaja yang akan ditambat.

“Ingatlah bahawa masih ada syaitan-syaitan ala-ala ‘budak pratikal’ dan ‘geng tadika’ masih bebas yang mengganggu kita,” katanya dipetik menerusi kuliah Facebook Live bertajuk Perubahan Hati Di Ramadan menerusi laman sosial miliknya anjuran Emzi Holdings Sdn Bhd baru-baru ini.

Baca juga Lima Perkara Tentang Ramadan

Bagaimanapun, jelas Elyas, ada pendapat lain menyatakan bahawa maksud syaitan dirantai dan dibelenggu itu adalah disebabkan oleh ibadah puasa yang kita lakukan.

“Asbab aneka ibadah yang kita kerjakan sepanjang Ramadan seperti puasa, solat sunat, sedekah dan lain-lain, semua yang dilakukan itu menyebabkan syaitan terikat.

“Maklum sahajalah, baru mahu berbisik, kita pula mendengar ceramah agama. Situasi itu berbeza berbanding bulan-bulan lain yang mana kita memusatkan pemikiran lebih kepada perihal makanan,” katanya.

Disebabkan itulah, pendakwah itu menjelaskan, tidak mustahil amalan sihir masih lagi berlaku dalam bulan Ramadan.

Rugi ketika Ramadan

WALAUPUN sudah memasuki bulan Ramadan al-Mubarak, masih ada segelintir orang tanpa segan silu berbuat perkara tidak baik dan mengamalkan sihir.

“Ingatlah, ALLAH SWT telah mengajarkan kita bahawa tiada satu pun musibah menimpa hamba-hamba-NYA kecuali dengan izin-NYA. Maka, apa sahaja boleh berlaku,” jelasnya.

Dosa besar

Berbicara lanjut tentang sihir dan perbuatan menyekutukan ALLAH, Elyas mengingatkan agar umat Islam tidak terjebak dengan perbuatan tersebut. Bahananya bukan calang-calang kerana ia merupakan salah satu daripada dosa besar.

Bahkan, ujarnya, ALLAH SWT juga telah merakamkan dalam al-Quran bahawa orang yang melakukan mahupun terlibat dengan perbuatan dosa syirik itu tidak akan diampunkan-NYA.

“Andai dirinya meninggal dunia tanpa sempat memohon ampun dan bertaubat, na’uzubillah. Begitu dahsyat natijahnya kerana diharamkan syurga baginya.

“Bayangkan sepanjang bulan Ramadan, bibir kita tanpa henti berdoa untuk memohon reda ALLAH dan syurga, namun disebabkan perbuatan berkenaan, syurga tidak dapat dijejaki,” ujarnya.

Rugi ketika Ramadan

BIASAKAN diri menuturkan perkataan yang baik apatah lagi dalam bulan Ramadan ini dan jauhilah segala perkara yang dilarang oleh ALLAH SWT.

Di sebalik bulan Ramadan yang sarat dengan rahmat-NYA, Elyas mengajak umat agar menyulaminya dengan penuh keinsafan dan menjauhkan diri daripada terjebak ke kancah yang dilarang oleh-NYA.

ALLAH SWT menjadikan setiap manusia ada hati dan terdapat pelbagai kalimah berkenaan disebutkan dalam al-Quran, ungkapnya.

“Begitu juga dengan kehidupan manusia, terlalu banyak perkara yang dikaitkan dengan hati antaranya buah hati, saguhati, cenderahati dan sebagainya.

“Kata para alim ulama, hati yang sejahtera itu membawa maksud hati yang bebas daripada kesyirikan,” katanya.

Dalam al-Quran, jelas Elyas, perkataan hati disebut dalam pelbagai kalimah antaranya qalb (tempat letaknya iman), fuad (tempat letak ilmu pengetahuan), sadr (tempat masuknya ajaran nabi) dan lub (tempat letaknya akal fikiran).

Justeru, beliau mengajak umat supaya mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan untuk memperbaiki diri menjadi orang yang lebih baik.

“Tiada orang yang paling bertuah di dalam dunia ini melainkan dosanya diampunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.Rugi ketika RamadanUSAH biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja dengan perbuatan yang sia-sia. Kelak kita akan rugi dan menyesal membiarkan bulan penuh keberkatan pergi.

Sebelum mengakhiri bicaranya, beliau mengajak umat merenung dua hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain, baginda SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni…” (Riwayat al-Tirmizi)