Browsing Tag

rombakan

National Endowment for the humanities
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Larangan Buku Ekstremisme dan Aktiviti Dakwah Di Masjid Arab Saudi

no comment

PIHAK berkuasa Arab Saudi memerintahkan masjid-masjid negara itu untuk mengeluarkan buku yang bersifat ‘ekstremisme’ daripada perpustakaan negara. Arahan itu juga dikeluarkan kepada rakyatnya agar tidak menyampaikan khutbah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menteri Hal Ehwal Islam, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid di seluruh negara dan memerintahkan untuk meneliti setiap buku-buku di perpustakaan masjid yang bersifat ekstremisme dan pemisahan.

Larangan berdakwah di masjid dan kepada bukan Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Gambar: Al Jazeera.

“Lima surat pekeliling dikeluarkan kepada semua pengurusan masjid dan imam agar tidak berdakwah kepada orang bukan Islam tanpa kebenaran kementerian. Pekeliling itu juga menyatakan sesiapa yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman.

“Menteri itu menekankan pentingnya perpustakaan masjid sebagai gudang intelektual dan rujukan bagi mereka yang menuntut ilmu seperti penyelidik dan pelajar.

“Menteri mengarahkan para pegawai untuk memeriksa semua perpustakaan dan membuang buku-buku yang cenderung kepada aktiviti ekstremisme, kepartian serta topik serupa,” katanya.

Arahan itu juga memerintahkan pegawai masjid untuk memberikan laporan berkala kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti masjid.

Pengurusan masjid telah diberitahu untuk menyusun senarai literatur yang tersimpan di perpustakaan mereka dan tidak menambahkan lagi koleksi buku tanpa izin daripada pihak berkuasa.

Para imam dan pendakwah juga disarankan untuk mengikuti Kursus Keselamatan Intelektual yang dikendalikan oleh kementerian dan mengambil bahagian dalam persidangan serta acara yang diatur oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan itu lagi, menteri mengarahkan para pendakwah masjid untuk menjelaskan kepada masyarakat berkaitan peraturan Syariah yang sebenar, menekankan aspek mematuhi adab dan akhlak yang baik.

Selain mematuhi kewarganegaraan dengan mendengar serta mematuhi arahan kerajaan dan menjauhkan diri daripada membicarakan masalah perundangan di mana terdapat perbezaan pandangan para sarjana.

“Sebarang aktiviti dakwah boleh dilakukan hanya setelah solat fardu dan solat jenazah selesai. Sudah tidak boleh ada aktiviti dakwah bermula panggilan azan pertama hingga iqamah yang boleh menyebabkan kelewatan untuk bersolat.

“Arahan itu adalah sebahagian daripada rombakan institusi agama dan masjid di Arab Saudi, yang antaranya telah dikaitkan dengan penafsiran Islam yang radikal,” menurutnya.

Gambaran Arab Saudi sebagai ‘pengeksport’ aktiviti ekstremisme muncul setelah kebangkitan kumpulan radikal di seluruh dunia yang mengaitkan dengan Salafisme iaitu mazhab Muslim diikuti oleh kepemimpinan Saudi.

Di bawah pimpinan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, pihak berkuasa berusaha menjauhkan diri daripada tafsiran radikal terhadap Islam dan kumpulan pelampau.

Mesir juga memerintahkan masjid pada minggu ini untuk menghapus segala buku ekstremisme yang berkaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Kedua-dua negara telah berusaha untuk menghalang penyokong Ikhwanul Muslimin setelah revolusi pro-demokrasi Arab Spring pada tahun 2011 dan Mesir telah memenjarakan ribuan pengikut fahaman pertubuhan itu serta aktivis pro-demokrasi yang lain.

 

Sumber: Arab News