Browsing Tag

ROKET

dd407a3c-7513-460b-a433-f8d300ec7a8a
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kisah Anak Syurga Gaza

no comment

Ketika diminta untuk menggambarkan bagaimana perasaan mereka, ramai antara ibu bapa akan menjawab dengan redha, ‘Itu kehendak Allah’.

Kata-kata itu sering menjadi mainan bibir ibu bapa di Palestin apabila kehilangan anak yang mereka sayangi syahid terlebih dahulu daripada mereka angkara penggeboman rejim Israel ke atas kediaman mereka. Lebih sayu, mereka mengatakan bahawa anak-anak mereka ingin menjadi doktor, artis dan pemimpin suatu hari nanti.

Hala Rifi bercita-cita ingin menjadi doktor.

“Saya seperti tidak percaya,” kata  Saad Asaliyah yang juga seorang pemandu teksi dari Jabaliya. Bapa ini kehilangan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.
“Saya cuba melawan perasaan dengan mengatakan bahawa itu kehendak Allah untuk dia pergi meninggalkan kami,” katanya.

Selama 11 hari pertempuran antara Israel dan Hamas, sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak di bawah umur 18 terbunuh di Gaza dan dua di Israel, menurut laporan The New York Times.
Hampir semua kanak-kanak yang terbunuh adalah warga Palestin.

Yazan-al-Masri-2-Marwan-al-Masri-6-Rahaf-al-Masri-10-dan-Ibrahim-al-Masri terbunuh di kediamannya di Beit Hanoun, Gaza.

Kepadatan penduduk di Gaza lebih cenderung didiami golongan muda dengan anggarannya separuh daripadanya berusia di bawah 18 tahun. Oleh itu, ketika pesawat perang Israel menyerang rumah dan kawasan perumahan, jumlah kanak-kanak yang berisiko mati adalah sangat tinggi. Adakalanya hampir keseluruhan isi rumah mati dengan hanya satu letupan bom.

Israel menyalahkan Hamas atas jumlah kematian orang awam yang tinggi di Gaza kerana kumpulan itu melancar roket dan melakukan operasi ketenteraan dari kawasan awam. Pengkritik Israel menyebut angka kematian sebagai bukti bahawa serangan Israel itu dilakukan secara membabi buta.

Di Gaza, mereka hidup di tengah-tengah kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, malah tidak dapat melakukan pergerakkan bebas di dalam mahupun ke luar wilayah kerana sekatan yang dikenakan oleh Israel dan Mesir.

Mereka juga hidup di bawah ancaman perang yang berterusan. Rata-rata yang berusia 15 tahun telah melalui empat serangan besar Israel dalam usia muda itu. Malah hampir semua orang di Gaza mengetahui seseorang boleh terbunuh dalam setiap pertempuran itu.

“Saya melihat kanak-kanak yang terbunuh, saya melihat mereka yang masih hidup ditarik keluar dari runtuhan bangunan dan kehilangan anggota badan, malah merasai bagaimana kanak-kanak ini pergi ke sekolah dan melihat rakan mereka sudah tiada, satu perasaan hiba yang cukup sukar untuk diluahkan,” kata seorang Psikologi kanak-kanak di Gaza, Ola Abu Hasaballah.

Nadine Awad, 16 berkebolehan berbahasa Inggeris dengan baik.

Di kampung Arab Dahmash, ketika siren berbunyi sekitar jam 3 pagi 12 Mei lalu, Nadine Awad, 16, dan ayahnya berlari keluar untuk bersembunyi.  Namun bom yang jatuh bersebelahan rumahnya telah membunuh dua beranak itu,” kata bapa saudara kepada Nadine, Ismail Arafat.

Tambah Ismail, Nadine sangat rapat dengan ayahnya dan suka menemani ke mana ayahnya pergi.

“Yang menyedihkan ketika siren berbunyi, dia masih mahu mengikuti ayahnya untuk mencari tempat berlindung dan kini dia bahagia menemani ayahnya di kubur,” katanya dengan penuh sebak.
Gurunya, Sirin Slameh berkata, Nadine adalah pelajar pintar dan berkebolehan bertutur di dalam bahasa Inggeris dengan baik. Dia juga berkemahiran bermain piano dan aktif melakukan kerja-kerja kebajikan.

“Seminggu sebelum kematiannya, dia baharu saja menerima keputusan ujian matematik di sekolahnya dengan memperoleh markah cemerlang iaitu sebanyak 97 per seratus,” kata Sirin yang mengimbas kenangan bersama anak syurga itu.

Hamada al-Emour,13 dan sepupunya, Ammar-al-Emour-10.

Pada hari yang sama, 12 Mei, Hamada al-Emour, 13, dan sepupunya, Ammar al-Emour, 10, keluar untuk menggunting rambut di kedai berhampiran rumahnya bagi persediaan sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

Ketika perjalan pulang selepas menggunting rambut, serangan udara dari rejim Israel telah membunuh kedua kanak-kanak ini yang berlaku di hadapan mata ayahnya, Atiya al-Emor.
“Saya tidak mahu mengingatkan apa berlaku di hadapan mata saya kerana ia terlalu menyedihkan dan mengerikan,”  kata Atiya.

Mahmoud Tolbeh, anak yang rajin membantu keluarga.

Mahmoud Tolbeh, 12, adalah pelajar cemerlang, kata ayahnya, Hamed Tolbeh. Dia menyukai sains dan bercita-cita menjadi jurutera mekanikal. Dia banyak membantu kerja-kerja rumah, membuat telur dan sandwic untuk adik-beradiknya.

Menyediakan teh dan kopi ketika tetamu datang ke rumah, membersihkan rumah dan rajin membantu membeli barang makanan di kedai.
“Dia adalah tulang belakang keluarga dan kami sangat bergantung kepadanya jika ingin meminta bantuannya,” kata Hamed.

Pada malam terakhir Ramadan, dia pergi meneman sepupu ke kedai gunting rambut. Mahmoud berada beberapa langkah dari pintu masuk kedai ketika serpihan bom dari serangan udara Israel menghentam kepala dan lehernya.

Yahya Khalifa, 13 mengimpikan untuk membaca al-Quran di dalam Masjid Al-Aqsa.

Yahya Khalifa, 13,terbunuh oleh serangan tentera Israel ketika dia keluar ke kedai untuk membeli yogurt dan askrim untuk keluarganya.
“Dia suka menunggang basikal, dia juga telah menghafal beberapa bab al-Quran dan katanya suatu hari nanti berharap dapat membaca al-Quran di dalam Masjid Al- Aqsa,” kata  bapanya, Mazen Khalifa.

Identiti kanak-kanak yang terbunuh, gambar mereka dan keadaan kematian mereka datang dari ibu bapa dan saudara-mara mereka yang lain, guru dan sekolah di Gaza dan Israel, organisasi hak antarabangsa, pegawai Palestin, media sosial, dan organisasi berita di Gaza dan Israel.

Empat beradik mati bersama, Amir Tanani,(6), Ahmad Tanani (2), Ismail Tanani (7) dan Adham Tanani (4)- (tiada di dalam gambar).

Sebilangan besar perincian disokong oleh pelbagai sumber

Pengarah Pusat Hak Asasi Manusia Palestin di Gaza, Raji Sourani berkata, tentera Israel mengatakan bahawa ia mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kematian orang awam.
Dikatakan sasaran utama pengebomannya ditujukan kepada rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang juga sebuah laluan strategik ketenteraan Hams yang berada di bawah kawasan kediaman awam.

“Akan tetapi, ramai orang di Gaza mengatakan bahawa jumlah orang awam yang terbunuh membuktikan bahawa apa sahaja langkah berjaga-jaga yang mungkin diambil Israel tidak mencukupi.
“Mereka yang mengeluarkan kenyataan harus ada alasan yang kukuh, apa yang kita saksikan mereka (rejim Israel) ingin menimbulkan kesakitan dan penderitaan kepada rakyat Gaza,” katanya.
Hamas menembakkan lebih dari 4,000 roket ke bandar yang didiami orang Israel, tetapi kebanyakannya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome Israel.

Kebanyakkan penduduk Israel terselamat memandangkan mereka memiliki bilik selamat di dalam kediaman mereka. Di Gaza, kebanyakan orang tidak memiliki akses ke bilik atau tempat perlindungan yang selamat. Ramai  berlindung di sekolah-sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi mereka juga telah dibom, membuktikan rakyat Gaza boleh terbunuh di mana-mana sahaja mereka berada.

Muhammad Zain al-Attar (9 bulan) dan kakaknya, Amira-al-Attar (6) serta abangnya lelakinya, Islam-al-Attar (8), mati bersama.

Tengah malam di Beit Lahia, Gaza, tiga kanak-kanak yang ketakutan memeluk erat badan ibunya. Muhammad-Zain al-Attar, 9 bulan duduk di tengah, adiknya, Amira al-Attar, 6 dan anak lelakinya, Islam al-Attar, 8, berada di kiri dan kanan badan ibunya.

“Serangan pertama bom dari tentera Israel telah meruntuhkan pintu masuk tingkat bawah apartmen kami menyebabkan saya, isteri dan anak-anak terperangkat di bawah runtuhan hingga sukar untuk kami keluar.

Serangan kedua pula akhirnya telah meranapkan keseluruhan kediaman tiga tingkat itu menyebabkan kami terus tertimbus,” kata ayah kepada anak-anak itu, Muhammad al-Attar.
Katanya lagi, ketika dia menggali untuk menyelamatkan diri dari runtuhan itu, dia melihat isteri dan anak-anaknya terbunuh di bawah tiang konkrit bersama tiga anaknya di dalam keadaan berpeluk.

Pakar kesihatan mental dan organisasi bebas yang bekerja dengan anak-anak di Gaza mengatakan, mangsa perang di Gaza biasanya akan menderita dengan gangguan tekanan pasca-trauma, ketakutan dan kegelisahan kronik.Perasaan itu dapat menghasilkan mimpi buruk yang melemahkan semangtat seterusnya boleh merosakkan diri dan bersikap agresif.

“Gaza memberi pengalaman yang sangat ngeri bagi kanak-kanak kerana mereka berada di bawah pemerintahan tentera. Sebelas daripada kanak-kanak terbunuh bulan ini di kediaman masing-masing,” kata Jurucakap Majlis Pelarian Norway, Karl Schembri.

Beliau turut menjalankan program psikoterapi dan pendidikan untuk anak-anak di Gaza.

“Sebelum ini mereka mendapat bantuan dan pemulihan untuk mengatasi mimpi buruk dan trauma mereka akibat perang, namun kini kesemuanya terbunuh dan dikuburkan bersama impian dan tiada lagi mimpi buruk mereka selepas ini ,” kata Schembri.

Suheib al-Hadidi (12), Yahya al-Hadidi (10), Osama al-Hadidi (5) dan Abdurrahman al-Hadidi (7).

Suheib al-Hadidi, 12, tinggal bersama ibu bapa dan empat adik-beradiknya di kem pelarian Shati di Kota Gaza. Dia cemburu melihat sekawan burung yang mendapat kebebasan untuk pergi ke mana-mana dan membayangkan untuk hidup seperti burung. Dia memiliki ayam belati, melatihnya untuk duduk di bahu dan membayangkan masa depan sebagai penternak, kata sepupunya, Abdullah al-Hadidi.

Adiknya, Yahya al-Hadidi, 10, adalah seorang pemalu yang suka menunggang basikalnya dan bermain dengan kucing. Manakala adik bongsunya Osama al-Hadidi  dianggap salah seorang ahli keluarganya yang suka bergaya. Dia suka menukar pakaian dan bersusah payah untuk menyempurnakan penampilannya. Dia akan mandi dan menukar pakaiannya setiap dua jam.

Abdurrahman al-Hadidi, 7 pula minat belajar bahasa Inggeris, minat dengan kereta kawalan jauh dan mengimpikan untuk melancong ke Turki suatu masa nanti, kata ayahnya, Muhammad al-Hadidi. Keempat adik-beradik ini tidur di rumah bapa saudara mereka ketika bom Israel menghentam rumah itu menyebabkan mereka, ibu saudara dan empat sepupunya terbunuh.

Yara al-Qawlaq, (9), Hala al-Qawlaq, (12), Rula al-Qawlaq, (5), Zaid al-Qawlaq, (8), Qusai al-Qawlaq, (6) months, Adam al-Qawlaq, (3), Ahmad al-Qawlaq, (15), and Hana al-Qawlaq, (14) (tiada dalam gambar). pictured).

Keluarga al-Qawlaq memiliki dua bangunan pangsapuri bersebelahan di Jalan Al Wahda iaitu jalan raya utama di Kota Gaza.Sekitar jam 1 pagi 16 Mei, serangan Israel menyebabkan kedua-dua bangunan itu runtuh, membunuh lebih daripada 20 anggota keluarga besar itu termasuk lapan anak Yara al-Qawlaq, 9, Hala al-Qawlaq, 12, Rula al-Qawlaq, 5 , Zaid al-Qawlaq, 8, Qusai al-Qawlaq, 6 bulan, Adam al-Qawlaq, 3, Ahmad al-Qawlaq, 15, dan Hana al-Qawlaq, 14.

Mencari mangsa dari keluarga al-Qawlaq.

“Itu tidak dapat dibayangkan, ia diluar keperimanusiaan dan satu penyeksaan,” kata Waseem al-Qawlaq, yang selamat.

Dima al-Ifranji, (15),Yazan al-Ifranji, (13), Mira al-Ifranji, (11) dan Amir al-Ifranji, (9).

Dima al-Ifranji, 15, adalah anak harapan buat ayahnya. Dia adalah salah seorang pelajar cemerlang di kelasnya. Mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis dan mengimpikan untuk belajar perubatan, kata ayahnya, Rami al-Ifranji.

Adiknya, Yazan al-Ifranji, 13, adalah anak yang cerdas, sering kali menjadi yang pertama menjawab soalan di kelas. Dia suka bermain bola sepak dan mendengar muzik, dan berharap dapat menjadi jurutera komputer.

Mira al-Ifranji, 11, membayangkan masa depan untuk menjadi seorang doktor gigi. Dan Amir al-Ifranji, 9, adalah anak yang sopan dengan senyuman bersemangat dan suka bermain bola sepak dan permainan video di telefonnya. Serangan udara Israel pada 16 Mei lalu membunuh keempat-empat kanak-kanak dan ibu mereka.

Dana Ishkontana, (9), and Lana Ishkontana, (5), Yahya Ishkontana, (4), dan Zain Ishkontana, (2).

Walaupun sudah lewat malam selepas sambutan perayaan menyambut akhir Ramadan sudah berakhir, Dana Ishkontana, 9, dan Lana Ishkontana, 5, ingin terus mengenakan pakaian barunya itu kerana ayahnya, Raed Ishkontana mahu mengambil gambar mereka melalui telefonnya. Sementara dua adik-beradiknya lain Yahya Ishkontana, 4, dan Zain Ishkontana, 2, berada bersama ibunya.

Raed Ishkontana, yang terselamat dalam serangan udara, meratapi kematian isteri dan empat anaknya.

Apabila, ibunya mahu melangkah ke dapur untuk mengambil makanan ringan, gula-gula coklat dan kerepek kentang untuk anaknya, roket tentera Israel telah membedil kediaman mereka menyebabkan keempat anak dan ibu mereka terbunuh.

Tala Abu Elouf, (13) dan abangnya, Tawfiq Abu Elouf, (17).

Ayahnya menggelar ‘Galaxy’ kepada anaknya  Tala Abu Elouf, 13 kerana dia mempunyai mata berwarna coklat. Dia suka bergurau bersama ayahnya, Dr. Ayman Abu Elouf, kata sepupunya, Alaa Abu Elouf. Abangnya, Tawfiq Abu Elouf, 17, adalah seorang pelajar yang serius dan sedang gigih mempersiapkan diri untuk ujian peperiksaan bagi sekolah menengah. Kesemua keluarga saudaranya itu terbunuh dalam serangan udara Israel di Jalan Al Wahda di Kota Gaza pada 16 Mei, kata Abu Elouf.

Rafeef Abu Dayer.

Rafeef Abu Dayer, 10, suka melukis. Dia telah membuat lukisan salah satu bangunan tinggi yang dihancurkan oleh serangan udara Israel di Kota Gaza dua hari sebelumnya dan mula mewarnai gambarnya ketika ibunya memanggilnya untuk makan tengah hari.

“Anda boleh kembali melukis setelah anda makan,” kata ibunya.

Lukisan terakhir Rafeef Abu Dayer, 10, yang dihasilkan sebelum dia terbunuh.

Gadis itu duduk untuk makan tengah hari bersama 13 saudara di sebuah taman perumahan persendirian. Beberapa minit kemudian, Israel menyerang sebuah bangunan berdekatan, kata seorang bapa saudara. Serpihan dan runtuhan terkena Rafeef. Dia dan bapa saudara lain terbunuh.

Pada 19 Mei, sehari sebelum Israel dan Hamas menyetujui gencatan senjata, Dima Asaliyah, 10, berjalan pulang dari rumah kakaknya dengan membawa oven elektrik untuk membuat piza. Sebuah drone pengintai Israel melayang di atas kepalanya menyebabkan dia terbunuh.

Sumber: The New York Times