Browsing Tag

roh tergantung

Hutang lama
Isu, Pilihan Editor,

Tak Halalkan Hutang Lama, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

no comment

PERASAN atau tidak, boleh dikatakan kehidupan kita penuh dengan bebanan hutang. Apa tidaknya, kebanyakan dalam kalangan kita membeli kenderaan, kediaman dan seumpamanya menerusi pembiayaan daripada pihak bank atau institusi kewangan lain.

Semua itu dikategorikan sebagai hutang. Ia perlu dilunaskan mengikut tempoh perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Bercakap tentang hutang bank, rata-ratanya mampu membayar komitmen berkenaan mengikut tempoh ditetapkan. Ini kerana masing-masing enggan namanya disenaraihitam oleh institusi kewangan, selain bimbang jika diisytihar bankrap.

Begitupun, entah mengapa apabila masih ada segelintir orang yang masih memandang enteng dalam bab hutang piutang terutama apabila melibatkan pinjaman dengan individu persendirian.

Mulut bukan main manis berjanji untuk melunaskan mengikut tempoh ditetapkan, namun apabila tiba waktunya, ada pula yang buat-buat lupa untuk membayarnya.

Hutang lama

APABILA tiba tempoh masa yang dijanjikan, segeralah menyelesaikan hutang berkenaan.

Malah, si pemberi hutang atau pemiutang pula terpaksa menebalkan muka untuk menagih wang yang pernah dipinjamkan sebelum ini. Demikianlah senario yang berlaku pada masa ini kepada segelintir pihak.

Walaupun semua mengetahui hutang wajib dibayar, tetapi masih ada sebilangan orang yang membutakan mata dan memekakkan telinga tentang hal itu.

Ketahuilah bahawa seorang pemiutang tidak berdosa seandainya dirinya enggan menghalalkan hutang penghutang tadi kepadanya, jelas pendakwah Muhammad Fahmi Rusli.

MUHAMMAD FAHMI

Beliau menegaskan, orang yang mampu membayar hutang tetapi sengaja menangguhkan untuk melunaskannya, ia merupakan satu perbuatan zalim.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbuatan orang yang kaya/mampu yang menangguh bayar hutang adalah suatu kezaliman.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

“Secara asasnya, si pemberi hutang boleh meminta hutangnya secara baik. Jika penghutang berkeras tidak mahu bayar, maka ketika ini barulah kita serahkan urusan ini kepada ALLAH SWT di akhirat kelak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya ketika menjawab soalan warganet baru-baru ini.

Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan, Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran keras menerusi hadisnya mengenai golongan yang muflis di akhirat.

Antara golongan berkenaan sebagaimana sabda baginda SAW: “Seseorang yang makan harta orang lain (secara batil)…” (Riwayat Muslim)

“Kita khuatir jika sengaja melewat-lewatkan bayar hutang dalam keadaan telah mampu bayar, individu tersebut termasuk dalam kategori ini,” katanya.

Sesungguhnya, perkara berkaitan dengan hutang tidak boleh dibuat ‘main’. Mereka yang berhutang wajib melunaskannya meskipun roh sudah terpisah daripada jasad.

Hutang lama

HUTANG tetap perlu dijelaskan meskipun kita sudah tiada di dunia lagi.

Ini kerana ada hadis yang memberi amaran keras bahawa roh orang yang berhutang akan tergantung seandainya hutang tadi tidak dijelaskan.

Diceritakan bahawa Rasulullah SAW enggan menyempurnakan solat jenazah buat orang yang tidak menjelaskan hutang.

Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya: “Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?” Mereka menjawab: “Ya.”

Lalu baginda bersabda: “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)

Justeru, berhati-hatilah apabila berhutang. Usah melengah-lengahkan bayaran atas pembiayaan yang telah kita lakukan sebelum ini.

Foto: Koleksi foto Sinar Harian & Freepik