Browsing Tag

RICH

pexels-mentatdgt-1078740
Berita, Berita Semasa,

Ayuh imarahkan program kerohanian RICH setiap Sabtu, jam 4.30 pagi di rumah masing-masing

Oleh FOUZIAH AMIR

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas mengajak masyarakat Islam untuk menyertai program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 1442H secara online pada setiap Sabtu, 4.30 pagi bermula 5 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, RICH dianjurkan dengan kerjasama Rumah Ngaji kini memasuki tahun kelapan untuk membudayakan sikap umat Islam dengan al-Quran, solat dan infak.

MARHAINI

Bermula tahun 2014, program RICH diadakan di pejabat WUIF, Shah Alam, Selangor pada jam 4.30 pagi. Di sebalik hikmah pandemik Covid-19, RICH memberi peluang kepada umat Islam berkumpul menerusi platform digital Zoom Meeting dan Facebook World Quran Hour.

“Tahun ini, WUIF bersama warga kerjanya mengadakan RICH menerusi Google Meet pada 6 Februari lalu dan kini setiap hari Rabu bermula 10 Februari lalu khas untuk staf kami. Kami menggunakan pendekatan sistem buddies untuk kejutkan sahabah seawal jam 4.30 pagi.

“Sementara untuk orang awam pula, program RICH diadakan pada setiap Sabtu, jam 4.30 pagi. Harapan kami semoga lebih ramai umat Islam di dalam dan luar negara bersama untuk bersujud kepada ALLAH untuk menguatkan kerajaan diri dan keluarga, seterusnya menjadikan negara sebagai Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur,“ katanya.

Aktiviti bermula dengan Tahajud Call, pembukaan majlis, sinopsis surah, bacaan dan terjemahan ayat, diikuti dengan istighfar, selawat dan munajat. RICH kemudian berehat sebentar pada jam 5.30 pagi bagi memberi laluan kepada peserta untuk bersolat tahajud, hajat, witir dan solat Subuh di tempat masing-masing.

Baca juga Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Peserta kembali dalam talian bermula jam 6.40 pagi untuk mengikuti sesi tadabbur surah pilihan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Turut sama memberi pengisian Ketua Penyelidik WUIF, Safri Muhammad Zein dan Mustafar Mohd Suki, selain penyelidik, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi dan Hos TickTalk TV, Halim Zainudin.

Dalam pada itu, RICH 2.0 yang berlangsung pada 13 Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima lebih 400 peserta dari seluruh Malaysia.

Mereka terdiri daripada penggerak dan ahli Rumah Ngaji dan orang ramai. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

NAMANZEE

Namanzee berkata, sepanjang beliau berkhidmat dalam bidang penyiaran, program RICH disifatkan sebagai antara inovasi pendekatan yang terbaik, malah ramai yang sebenarnya tercari-cari program seperti itu.

“Antara hikmah ketika Perintah Kawalan Pergerakan apabila kita tidak mampu bersama dalam keadaan seperti dahulu, pergi masjid, surau dan majlis ilmu.

“Justeru, program seperti ini bukan sahaja membawa rakan-rakan setaman, tetapi membawa rakan satu negara bersama-sama dalam majlis ilmu yang lebih besar. Saya harap RICH dapat diteruskan dan diperluaskan dalam kalangan rakan yang bertahajud,“ katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RICH, boleh layari https://www. facebook.com/WorldQuranHour.

Foto: Pexels