Browsing Tag

Riak ketika beribadah

Isu,

Amalan Ditolak Jika Riak Beribadah

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

“PENYAKIT suka menunjuk-nunjuk ibadah yang dilakukan sering menyerang ahli ibadah. Sesungguhnya, dalam melaksanakan hal berkaitan dengannya (ibadah) memerlukan perjuangan yang besar.”

Itu kata dua daripada pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad yang mengulas mengenai kelompok yang gemar menunjuk-nunjuk segala perbuatan baik agar dilihat oleh orang lain dan meraih puji-pujian.

DA’I FUAD

“Dalam hal ini, kita sebagai umat Islam seharusnya perlu berasa cukuplah ALLAH SWT sahaja yang melihat amalan dan perbuatan yang kita ingin persembahkan. Riak ini satu penyakit yang sangat berbahaya kerana ia mendatangkan syirik yang boleh menjadikan amalan kita ditolak oleh ALLAH SWT.

“Maka, berhati-hatilah ketika melakukan ibadah. Jika kita rasakan diri seolah-olah ke arah riak atau mahu menunjuk-nunjuk, maka berhentilah, usah diteruskan,” nasihatnya.

Baca juga Elak Menunjuk-Nunjuk Ketika Beribadah, Kelak Dibimbangi Membawa Kepada Syirik

Dalam pada itu, menjawab satu soalan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum melakukan amalan semata-mata ingin mendapat ganjaran yang bersifat keduniaan semata-mata adalah tidak dibolehkan.

“Ini kerana perkara tersebut akan menyebabkan amal ibadat yang kita lakukan tidak ikhlas kerana ALLAH, sedangkan kita diperintahkan untuk melakukan amalan hanya kerana-NYA. Haruslah kita menginsafi dan mengingati bahawa keredaan di sisi ALLAH SWT dan imbalan-NYA di akhirat adalah lebih besar berbanding ganjaran keduniaan yang bersifat sementara,” kata mereka.

Justeru, setiap kali kita mendirikan solat, berdoalah kepada ALLAH seperti yang disebut dalam doa Iftitah agar kita peroleh sifat ikhlas dalam setiap amalan yang dilakukan.

Lafazkanlah: Qul inna salati wanusiki wama yahya wamamati lillahi rabbilalamin. Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)

Riak ketika beribadah

BIARLAH hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu ibadah dan amalan yang kita lakukan tanpa mengharapkan pujian orang lain.

ANEKDOT

CARA menghindari riak dalam beribadah seperti yang dianjurkan oleh ulama Mesir, Syeikh Ahmad Al-Misri

1. Memohon kepada ALLAH agar diberikan keikhlasan dalam beramal dengan mengamalkan doa ini.

Allahumma innii a‘udzu bika an usyrika bika wa anaa a‘lamuhuu wa astaghfiruka limaa laa a‘lamuhu. (Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada berbuat syirik dalam keadaan tahu, dan aku memohon ampun daripada apa yang tidak aku ketahui.“

2. Mengatur dan menata hati untuk ikhlas sebelum beramal.

3. Berusaha menyembunyikan amal kebaikan daripada pandangan manusia, sebagaimana kita menyembunyikan keburukan diri.

4. Mengingati betapa besarnya kerugian orang yang riak dan tidak ikhlas dalam beramal.

5. Mempelajari dan mencontoh teladan generasi awal umat Islam.

Sumber: Syeikh Ahmad Al-Misri

Foto: Bernama & Pexels