Browsing Tag

Riak dalam ibadah

Pahala
Isu,

Jauhi sifat riak dalam ibadah lebih-lebih lagi saat Lailatul Qadr menjelma

SEMUA umat Islam begitu mengimpikan untuk dipertemukan dengan malam Lailatul Qadr yang digambarkan dalam al-Quran sebagai lebih baik daripada 1,000 bulan.

Betapa indahnya andai kita dapat mengejar kenikmatan tersebut dengan mengerjakan ibadah sebanyak-banyaknya.

Namun begitu, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah memberi peringatan supaya kita tidak berasa riak ketika beramal.

DA’I SYAFIQAH

“Riak adalah perbuatan amal ibadah yang mengharapkan pujian dan manfaat daripada manusia.

Baca juga Memburu rahmat dan barakah 1,000 bulan, tetapi jangan sampai jadi hamba kepada Ramadan

“Banyak contoh berlakunya sifat riak dalam amalan seperti apabila sudah melakukan amal ibadah, lantas keesokan harinya ada yang berkata, ‘malam tadi Lailatul Qadr rupanya, nasib baik aku buat solat itu ini’. Apabila ini berlaku, maka ibadah yang kita lakukan tadi pada hakikatnya jauh daripada pandangan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Ujar Da’i Syafiqah, ibadah yang dikerjakan akan menjadi tidak bernilai seandainya perasaan riak hadir dan bersemayam dalam diri. Malah, perbuatan itu akan mengundang dosa dan termasuk dalam kategori syirik kecil iaitu mensyirikkan ALLAH SWT dalam ibadah.

“Ketahuilah bahawa bukan hanya syirik dalam akidah amat berbahaya. Syirik dalam ibadah juga sama bahayanya kerana mengundang murka ALLAH dan amalan tidak diterima,” ungkapnya.

Beliau kemudian menceritakan kisah yang berlaku kepada sahabat Nabi Muhammad SAW. Ketika Saidina Umar RA masuk ke dalam Masjid Nabawi di Madinah, beliau melihat seorang seorang sahabat, Muadz bin Jabal sedang menangis teresak-esak di makam Rasulullah SAW.

Baca juga Riak, menunjuk-nunjuk semata-mata mahu meraih pujian manusia boleh membinasakan iman kita

Saat ditanya sebab tangisannya, Muadz menjawab: “Aku menangis sebab aku takut kepada riak kerana ia sebahagian daripada syirik.”

Mengambil iktibar daripada kisah tersebut, ungkap Da’i Syafiqah, kita perlulah sentiasa memohon kepada YANG MAHA ESA agar diberikan petunjuk dan hidayah-NYA supaya terhindar daripada tipu daya syaitan.

“Sifat riak menjadikan nilai ibadah kita kosong di sisi ALLAH. Justeru, segeralah bertaubat apabila hadirnya perasaan riak melakukan ibadah.

Riak dalam ibadah

SIFAT riak dalam beribadah menjadikan amal yang dikerjakan tiada nilai di sisi ALLAH SWT.

“Sebaiknya, biarlah ibadah yang kita lakukan disembunyikan dan tidak perlu dibicarakan kepada orang lain. Tidak kiralah apa jua amalan yang dilakukan waima berzikir, sedekah, bersihkan tandas, mengemas rumah atau apa-apa sahaja yang dilakukan, biarlah hanya kita dan ALLAH sahaja yang tahu.

“Jangan bercerita yang kita telah buat itu ini untuk mendapatkan penghargaan dan pujian daripada manusia,” pesannya.

Kepada satu soalan, Da’i Syafiqah menjawab: “Antara amalan yang boleh dilakukan untuk kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadr adalah dengan berdoa kepada ALLAH SWT.

“Antara doa yang boleh diamalkan iaitu ‘Ya ALLAH, rezekikan kami Lailatul Qadr pada tahun ini dan juga pada setiap tahun. Dan bantulah kami untuk menghidupkan dan membangunkan malamnya dengan Rahmat-MU, Wahai yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG’.”

ANEKDOT
TANDA-TANDA malam Lailatul Qadr

– Disebutkan oleh Ubadah bin as-Somit RA berkata secara marfu‘ (Umdah al-Qari 11/134): “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.

– Tambahan daripada Ubay bin Kaab RA. Beliau menyatakan daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”

Foto: 123rf & Pexels