Browsing Tag

Retreat

Nilai kemanusiaan
Dalam Negara,

‘Retreat’ Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang rapatkan penggerak legasi al-Quran

PERTUBUHAN Rumah Ngaji Pahang (PRNP) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat julung kalinya menganjurkan program Retreat PRNP di Kem Akademi Azam, Kuantan, Pahang selama dua hari bermula 15 Oktober lalu.

Setiausaha merangkap Penyelaras PRNP, Ustaz Mohd Rozamli Mohd Razak berkata, seramai 42 peserta yang terdiri daripada penggerak, pengajar dan ahli dari 31 Rumah Ngaji di seluruh Pahang berhimpun untuk membugarkan hala tuju PRNP agar selaras dengan visi dan misi WUIF.

“Peserta diberi pendedahan mengenai maklumat terkini program dan aktiviti semasa Rumah Ngaji. Mereka juga berkongsi maklumat mengenai semua aktiviti yang dijalankan daripada setiap Rumah Ngaji di kawasan masing-masing.

Retreat ini juga menjadi platform kepada penggerak, asatizah dan ahli untuk mengeratkan silaturrahim serta bertukar pengalaman dalam menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Baca juga Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara

“Melalui kaedah tadabbur dan tazakkur, ia mampu membumikan al-Quran dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita ingin mencapai visi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah menjelang 1500H,” katanya.

Terdapat pelbagai kempen yang digerakkan oleh WUIF dengan kerjasama Rumah Ngaji seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour, World #QuranConvention, Majlis Ayah, Majlis Ibu, MyHadithTime, Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH), Soul Fitness dan Masuk Syurga Sekeluarga.

Retreat

PESERTA Retreat PRNP terdiri daripada penggerak, asatizah dan ahli Rumah Ngaji berhimpun untuk legasi al-Quran.

Tambah beliau, Retreat PRNP secara langsung dapat menyemarakkan semangat mereka dalam merealisasikan misi dan visi Rumah Ngaji Malaysia.

Turut bersama dalam pengisian program ialah Ketua Penyelidik dan Pembangunan WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein, manakala Majlis Perasmian Penutup Retreat PRNP disempurnakan oleh Ketua Pegawai WUIF, Marhaini Yusoff.

Antara pengisian program Retreat PRNP ialah Taklimat Rumah Ngaji Pahang, Berinteraksi dengan Alam di Pantai Cempaka, RICH dan teknik tadabbur al-Quran, Legasi My #QuranHour dan penyerahan Panji Rumah Ngaji.

Mohd Rozamli berkata, penggerak, pengajar dan peserta diharapkan terus istiqamah bersama Rumah Ngaji untuk membina legasi al-Quran ke seluruh ummah sehingga berupaya menjadi ejen perubahan dan pencorak gaya hidup berdasarkan al-Quran.

“Tidak dinafikan terdapat kekangan bilangan tenaga pengajar dan peserta dalam menggerakkan aktiviti Rumah Ngaji. Namun, dengan kesungguhan mereka untuk bersama bagi mencapai tujuan meletakkan nilai al-Quran menjadi realiti dalam kehidupan.

Baca juga Sepayah mana pun kehidupan, seberat apapun masalah, jadikan kalamullah sebagai teman paling setia

“Kita akan perbanyakkan pendedahan, kursus dan program Rumah Ngaji agar jelas penguasaan serta penglibatan lebih umum dan mesra pelanggan.

“Rata-rata peserta memberi maklum balas positif terhadap program yang disertai dan meluahkan keuntungan berada dalam gerakan Rumah Ngaji. Ini membuatkan mereka rasa sangat terisi apabila cahaya al-Quran dihidupkan dalam hati,” katanya.

PRNP bersinergi dengan Masjid Taman Temerloh Jaya, Universiti Malaysia Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Kem Akademik Azam bagi menjaya program Retreat ini.

“PRNP merancang menganjurkan Pahang #QuranHour dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan dan korporat pada masa akan datang,” ujarnya.

WUIF menjalankan projek #Aktifkan Rumah Ngaji di seluruh negara untuk menjalankan program ilmu secara percuma termasuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal sejak 2014.

Untuk info lanjut mengenai Rumah Ngaji, layari https://quranhour.org/rumahngaji/.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas