Browsing Tag

Restoran ‘no pork’

chef
Berita Semasa,

Chef dedah realiti dunia masakan, ini nasihat buat Muslim

KALAU malas nak memasak, pilihan yang ada adalah makan di luar iaitu di restoran yang berdekatan.

Asalkan nampak halal dan ramai Muslim, pasti restoran itu akan menjadi pilihan bagi mengisi perut yang lapar.

Rentetan isu yang tular baru-baru ini di media sosial mengenai restoran nasi ayam claypot popular di Sri Petaling didakwa menggunakan ‘rice wine’ dalam masakan.

Seorang pemilik restoran Abang Ameen Cuisine & Grill, Abang Ameen tampil berkongsi hakikat sebenar kerjaya sebagai seorang Chef apabila tidak semua kedai makanan berlaku jujur ketika memasak. Hal ini kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam dunia tersebut.

Baca Juga Nasi ayam claypot viral, JAKIM sahkan tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)

Ameen mendedahkan kepada khalayak maya akan realiti sebenar dunia masakan. Jelasnya ada banyak perkara ‘terselindung’ yang orang awam tidak tahu, khususnya yang melibatkan unsur syubhah mahupun diragui status halalnya.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook peribadi miliknya, apa yang ingin dikongsikan itu bukan bertujuan membuka pekung di dada atau menyinggung perasaan sesiapa, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman.

BARU-BARU ini tular sebuah video berkenaan status halal sebuah premis nasi ayam dalam periuk tanah (claypot) yang menggunakan wain beras (rice wine) dalam masakan.

“Ini lah realiti yang harus kami tempoh sebagai seorang Chef demi secebis ilmu.

“Di sebalik makanan tersimpan seribu kelicikan. Berwaspadalah saudara semua apa yang hendak kita makan.

“Seandainya semua orang tahu apa yang telah kami (semua chef) ketahui nescaya kamu semua akan sangat takut untuk makan sebarangan. Kesangsian kami terhadap makanan sangatlah tinggi. Kerana kami kebanyakannya tahu akan kelicikan itu.

Baca Juga 

“Saya telah melalui pelbagai fasa dalam mengharungi dunia masakan ini. Pendek kata saya telah memasak pelbagai hidangan. Baik yang halal mahupun yang haram.

“Bukan hanya sekadar babi, tetapi ia lebih dari itu. Termasuk lah anjing yang harus di bakar kulitnya untuk mendapatkan isinya. ular sawa dan katak itu adalah hidangan biasa. Segala-galanya telah saya lalui demi secebis ilmu.

“Apatah lagi masakan yang menggunakan wain, samsu, sake ,vodka dan tequila ia adalah permainan untuk meningkatkan aroma dan rasa ketagihan.

MASAKAN yang menggunakan wain, samsu, sake ,vodka dan tequila ia adalah permainan untuk meningkatkan aroma dan rasa ketagihan. -Foto: Pexels 

“Lemak-lemak protein haiwan juga digunakan sebagai base (ibu) pada masakan. White stock dan roux yang dihasilkan menjadi veloute. Lalu ia digunakan dalam semua masakan untuk rasa yang sangat umami. Veloute yang paling sedap adalah terhasil dari tulang sumsum seekor babi.

“Darah dan lemak juga sering digunakan di dalam menghasilkan stock, ia di masak hingga sebati dengan ramuan yang mana bila kita hirup rasanya tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Maka jadilah kita seperti Raja Bersiong yang hidup dalam ketagihan.

Turut Disyorkan Restoran ada tanda ‘no pork’, ‘pork free’ bukan 100 peratus halal

“Jadi ingin saya berpesan di sini, berhati-hati lah kalian semua jika ingin menikmati hidangan di luar.
Terutama nasi ayam, mi kari, sup dan segala makanan jenis berkuah. Carilah yang halal bukan yang syubhah (ragu-ragu).

“Jangan mudah percaya dengan papan tanda “NO PORK , NO LARD” kerana di sebalik perkataan itu tersembunyi tipu daya yang maha dahsyat,” tulisnya.

Titipnya lagi, kepada semua Chef Muslim, memasaklah dengan penuh beretika dan bertanggungjawab kerana kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perkara yang kita lakukan atas dunia ini.

pork free
Berita Semasa, Soal Jawab Netizen, Video,

Restoran ada tanda ‘no pork’, ‘pork free’ bukan 100 peratus halal

APABILA melalui deretan restoran di premis perniagaan atau pusat beli-belah, perasan atau tidak, kadangkala terpampang tanda tulisan no pork dan pork free.

Sekali pandang, restoran itu nampak begitu meyakinkan kerana tidak menyajikan makanan yang haram di sisi agama Islam iaitu daging khinzir.

Persoalannya, bolehkah kita makan di kedai berkenaan? Adakah restoran berkenaan berstatus halal? Apa pula hukumnya jika kita makan di kedai tersebut?

Mengulas lanjut jawapannya, pendakwah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris mengajak kita untuk menelusuri dahulu tentang status halal.

Ujar beliau, seantero dunia termasuk Malaysia menggunakan status halal termasuk di premis makanan.

“Ia sebagai satu penanda aras bahawa restoran tersebut menggunakan 100 peratus barang-barang yang halal,” katanya merungkaikan persoalan berkenaan dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

Hasil pembacaan Fitri tentang restoran yang menggunakan tanda no pork atau pork free daripada seorang cef terkemuka dan beberapa artikel lain, beliau menyimpulkan kebarangkalian besar bahawa pengusaha  premis perniagaan berkenaan tidak mendapat sijil halal yang jelas.

“Ini kerana, ada percampuran (dalam produk dijual). Umpamanya, kedai itu menjual minuman arak di satu bahagian kedai. Satu bahagian lagi mereka betul-betul jaga, maknanya menggunakan ayam yang disembelih, kuali yang bersih dan diasingkan antara benda yang halal dan tidak halal.

“Walaupun ia sudah elok diasingkan, namun ada benda-benda lain yang mana ia tidak 100 peratus halal. Sebab itu mereka letak (tanda) pork free kerana tidak menggunakan 100 peratus halal di dalam kedai tersebut,” terangnya.

Dalam hal itu, beliau menasihatkan kita agar memilih kedai yang jelas dari segi status halalnya.

“Ia termasuklah bahan yang digunakan dan sebagainya. Namun, jika kedai itu dekat dengan kampung kita contohnya (kedai) mak cik yang tiada tanda halal, itu cerita lain.

“Kalau kita yakin, tahu latar belakang mereka dan sebagainya serta menggunakan sumber yang halal, maka tidak perlulah sampai status halal,” jelasnya.

Tegas beliau, amat penting kita sebagai umat Islam prihatin tentang perkara yang melibatkan soal halal atau haram suatu makanan.

“Sebolehnya, pergilah ke kedai yang ada sijil halal. Ia penting bagi mengelakkan kita daripada memakan benda-benda yang meragukan.

“Bukan apa, ia dikhuatiri akan ‘menghitamkan’ hati kita. Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging kita. Jadi elakkan berbuat demikian,” tegasnya.