Browsing Tag

Rasulullah SAW

fizikal Rasulullah SAW
Rindu Rasulullah,

Wajah secerah rembulan. Seindah inilah rupa fizikal Rasulullah SAW

SEBAGAIMANA pepatah Melayu mengungkapkan tidak kenal, maka tidak cinta, begitu juga kita umat Rasulullah SAW perlu mengenali setiap inci kehidupan baginda daripada sejarah hidup, perjuangan dan susur galur keluarga hingga ciri fizikal.

Mengambil sebahagian hidup Nabi Muhammad SAW untuk diteladani ialah amalan yang sangat baik, namun ia belum mencukupi untuk menzahirkan kecintaan hakiki terhadap baginda.

Segala-gala terkait dengan baginda tidak sepatutnya ditinggalkan, bahkan wajar diterokai untuk meningkatkan keimanan.

Baca juga Rasulullah Didik Keluarga Sebagaimana Dikehendaki ALLAH. Ini Beberapa Kaedah Yang Digunakan

Pastinya antara kerugian besar yang dialami kita umat sekarang adalah tiadanya peluang untuk bertemu dengan Rasulullah SAW di muka bumi ini.

Pun begitu, kita masih boleh membayangkan rupa fizikal baginda menerusi sebuah hadis ini yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA.

fizikal Rasulullah SAW

BETAPA sayangnya para sahabat terhadap Rasulullah SAW sehinggakan setiap ciri fizikal baginda terpahat dalam minda mereka. Foto: Unsplash

Turut disyorkan Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

Seperti yang dikongsikan oleh agamawan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, dalam hadis tersebut, Ali bin Abu Talib RA pernah menyifatkan Rasulullah SAW dengan katanya:

Tidak terlalu tinggi melayup dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain, rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus, tetapi antara keduanya tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.

“Mukanya bulat dan putih kemerahan, rambutnya lebat, sendi-sendinya tampak jelas, tidak banyak bulu di badan kecuali pada anggota tertentu, badannya tidak dipenuhi bulu, tapak tangan dan kakinya tebal,

“Kalau dia berjalan, maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi, bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun, kalau dia berpaling, maka dipalingkan berserta badannya, antara dua belikatnya, ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda SAW penyudah segala nabi,

Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

Turut disyorkan Bukan sahaja dibaca untuk orang meninggal… Ini kebaikan Surah Yasin kepada kita yang masih hidup

“Memiliki tapak tangan yang paling lapang (boleh juga diertikan sebagai pemurah), dan dada yang sangat bidang (atau diertikan dengan berlapang dada–berdasarkan huraian ulama hadis penterjemah), paling benar sebutan dan percakapannya, paling mengotakan perjanjian, manusia paling lembut perangainya, paling mulia pergaulannya, siapa yang melihatnya sekali, lalu terasa kehebatannya,

“Dan siapa yang benar-benar bergaul dengannya, akan mencintainya. Ada seorang yang menyifatkannya dengan berkata: “Tidak pernah aku lihat sebelum dan selepasnya orang yang sepertinya, Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

fizikal Rasulullah SAW

RASULULLAH SAW dilahirkan pada waktu Subuh, hari Isnin tanggal 12 Rabiuawal bersamaan 20 April 571 Masihi. Foto: Unsplash

Berdasarkan nas di atas, sifat fizikal Rasulullah SAW seperti berikut:

1. Warna kulit: Rasulullah SAW dikatakan berkulit putih dan juga putih kemerahan. Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW berkulit putih seolah-olah terbentuk daripada perak.

2. Rupa paras: Dikatakan bahawa Rasulullah SAW seorang yang tampan, sederhana fizikalnya dan menarik perhatian.

3. Mata: Dikatakan bahawa Rasulullah SAW mempunyai mata yang jelas putihnya dan hitamnya. Di samping itu matanya lebar di mana belahan matanya panjang. Dikatakan alisnya nipis dan lentik serta keningnya bersambung. Baginda SAW banyak memandang ke bawah, menunduk kepala dan menatap bumi lebih lama dari memandang langit.

4. Rambut: Rasulullah SAW mempunyai rambut yang lebat dan dibelah dua serta menyelusur ke belakang sampai ke bahunya di mana sifat rambutnya ikal mayang. Menurut Anas bin Malik RA, rambut Baginda SAW tidak kerinting dan tidak lurus.

BAGINDA SAW seorang usahawan berjaya yang telah berniaga sejak umurnya kecil lagi. Foto: Unsplash.

5. Dahi: Dikatakan Rasulullah SAW mempunyai dahi yang luas menunjukkan watak kecerdikan dan pemikir yang unggul.

6. Wajah: Dikatakan muka Rasulullah SAW yang bersifat bulat dan penuh. Tidak cengkung atau tembam dan raut wajahnya seolah-olah memikirkan sesuatu dan banyak berdiam. Apa yang dikiaskan oleh Hindun bahawa wajah baginda SAW cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari.

7. Mulut: Mengikut riwayat Jabir bin Samurah RA bahawa Rasulullah SAW mempunyai mulut yang lebar. Bila ditanya kepada Sammak maksud mulut lebar, jawabnya: Bentuk mulutnya besar, seimbang dengan bentuk wajahnya.

Baca juga Belum hujung bulan poket ‘dah kering, istiqamahkan lima perkara ini dan lihat keajaibannya

8. Gigi: Putih berseri dan bersifat jarang di hadapan serta sentiasa bersugi.

9. Suara: Dikatakan bahawa Rasulullah SAW mempunyai suara yang serak basah dan percakapannya mudah difahami.

10. Leher: Dikatakan Rasulullah SAW mempunyai leher yang jenjang. Daripada pangkal leher sampai ke pusat bulu yang tebal tumbuh seperti garisan.

11. Tubuh badan: Dikatakan dadanya bidang dan sama tinggi dengan perutnya yang melambangkan tidak buncit. Badannya tidak terlalu berbulu kecuali segaris bulu halus dari dada ke pusat.

fizikal Rasulullah SAW

NABI Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di puncak Jabal Nur (Bukit Cahaya). Foto: Flickr

12. Tanda khatamul nubuwah: Di antara dua tulang belikatnya ada tanda kenabian sebesar telur merpati.

13. Anggota tangan dan kaki: Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar. Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah. Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya. Dikatakan sebagai bekas tapak kaki baginda SAW.

13. Peluh: Peluh baginda SAW dikatakan lebih wangi daripada kasturi.

14. Cara berjalan: Apabila Rasulullah SAW berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang serta tawaduk. Jika baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Nabi SAW sedang turun ke tempat yang rendah. (Rujuk Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 26-29)

Baca juga Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

Turut disyorkan Lalai dengan hidup di dunia. Pastikan anda tiada tanda-tanda ini.

Di akhirat nanti, setiap orang beriman akan berpeluang untuk melihat Rasulullah SAW, ia tidak terhad kepada yang menerima syafaat sahaja.

Oleh itu, sama-samalah kita berusaha memperbanyakkan ibadah kepada ALLAH SWT serta menyantuni segala ajaran baginda SAW agar dapat tergolong dalam kalangan orang yang beriman.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: Unsplash & Flickr

rasulullah sihat
Gaya Hidup, Rindu Rasulullah,

Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

RASULULLAH SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

Nabi Muhammad SAW adalah insan terbaik yang wajib dicontohi. Baginda diriwayatkan memiliki personaliti menarik dengan ciri fizikal yang segak.

Namun, berbeza dengan umatnya selepas 1400 kewafatan baginda. Rata rata Muslimin di Malaysia tidak begitu sasa, ramping dan memiliki kecergasan setara dengan baginda Rasulullah.

Malaysia adalah negara dengan kadar obesiti paling tinggi di Asia Tenggara. Kenyataan itu pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun ini.

 Baca juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

Lebih membimbangkan, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2019 juga mendapati bahawa kira-kira 50.1 peratus rakyat negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan.

Ini bermakna satu dalam setiap dua rakyat dewasa di Malaysia dikira obes.

Masyarakat perlu mengambil serius hal ini kerana rata-rata penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan strok mempunyai kaitan dengan kegemukan atau obesiti yang biasanya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.

SESUNGGUHNYA perbuatan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat agar kita tidak merana terlantar di katil hospital akibat penyakit kronik. Foto: Pexels

Dalam mengamalkan gaya hidup sihat, Nabi Muhammad SAW antara contoh terbaik. Selain cergas dan mampu bergusti mengalahkan lawannya, baginda juga seorang panglima perang yang telah menyertai banyak peperangan besar semasa hidupnya.

Bagaimana baginda menjadi begitu cergas dan sihat?

Jelas Ustaz Yusri Yubhi menerusi portal PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru-guru agama Islam Singapura) , ia berbalik kepada gaya pengamalan hidup sihat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui empat perkara ini, iaitu diet pemakanan, puasa, solat dan doa.

Baca juga Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

rasulullah sihat

RASULULLAH SAW sangat bersederhana dalam cara pemakanannya. Bahkan baginda dikatakan hanya menjamah sekadar menghilangkan lapar dan bukannya untuk kenyang. Foto: Unsplash

1.Rasulullah tidak berlebihan ketika makan.

Terdapat banyak sekali hadis-hadis yang meriwayatkan tentang anjuran untuk menjaga diet pemakanan selain riwayat hadis mengenai sunnah gaya pemakanan Nabi SAW sendiri.

Salah satunya adalah baginda menganjurkan kita agar tidak makan terlalu banyak sehingga memenuhi ruang perut kita. Sabda Rasulullah SAW:

Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Antara menu pemakanan harian Nabi pula terdiri daripada roti yang diperbuat daripada gandum, susu, cuka buah-buahan, madu serta kurma seperti yang disebutkan dalam kitab Syamail al-Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi.

Baca juga Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar

AMBIL peluang berpuasa sunat pada hari Selasa dan Khamis. Amalan itu bukan sahaja menjadi lubuk pahala, malah ia baik untuk kesihatan. Foto: Pexels

2.Rasulullah banyak berpuasa.

Selain itu, baginda SAW konsisten berpuasa pada setiap minggu. Antara amalan baginda ialah berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari ‘Ayyamul Bidh’ atau hari-hari putih iaitu pada 13,14 dan 15 pada setiap bulan Hijriah di samping puasa lain seperti puasa Hari ‘Arafah (9 Zulhijah) dan lain-lain.

Selain menjadi satu bentuk ibadah untuk mendekatkan diri kepada TUHAN, puasa juga mempunyai faedah-faedah tertentu dari sudut kesihatan tubuh badan.

Perkara ini diakui sendiri oleh para saintis dan pakar kesihatan sendiri yang mengatakan bahawa amalan berpuasa dapat membersihkan toksin yang terdapat di dalam tubuh seseorang.

Baca juga Rupanya Ada Banyak Kelebihan Apabila Kita Berpuasa Sunat Isnin Dan Khamis

3.Senaman Rasulullah melalui solat.

Yang ketiga, Nabi SAW juga dikenali sebagai seseorang yang sering bersolat malam dengan jangka waktu yang sangat lama.

Maka tidak hairanlah, seorang sahabat meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW solat sehingga bengkak-bengkak kakinya. Pastinya ini tidak dapat dilakukan melainkan baginda seorang yang sangat cergas dan sihat fizikal tubuh badannya.

Dari Mughirah bin Syu’bah RA katanya: “Nabi SAW pernah melakukan solat sampai bengkak kedua tumit beliau. Lalu beliau ditanya orang, “Mengapa engkau memaksa diri begini? Padahal ALLAH TAALA telah mengampuni segala dosa engkau, baik yang telah lalu dan yang kemudian.” Jawab Rasulullah SAW, “Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba ALLAH yang tahu bersyukur?” (Hadis Riwayat Muslim)

Seperti yang kita maklum, solat itu sendiri padat dengan senaman. Setiap pergerakan mempunyai kebaikan-kebaikan pada anggota tubuh badan, urat serta perjalanan darah kita.

Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains

rasulullah sihat

SIAPA sangka ada banyak kebaikan dari segi kesihatan pada pergerakan-pergerakan yang dilakukan ketika solat. Pexels

4.Rasulullah berdoa diberi kesihatan baik.

Tidak kurang juga, Rasulullah banyak mengamalkan doa dan tasbih tertentu dalam solat-solat baginda terutamanya dalam posisi rukuk dan sujud.

Antara doa yang sering dibaca oleh Rasullah SAW dalam rukuk ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظْمِي وَعَصَبِي

Ertinya: “Ya ALLAH kepada-MU aku rukuk, kepada-MU aku beriman, kepada-MU aku berserah diri, khusyukkanlah pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, dan urat-uratku telah tunduk kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

JANGAN lupa juga memohon kepada ALLAH SWT untuk dikurniakan kesihatan yang baik kerana tiada yang mampu mengabulkan doa melainkan DIA.

Sementara doa yang dibaca Rasulullah SAW dalam sujudnya ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Ertinya: “Ya ALLAH, hanya untuk-MU aku melakukan sujud, hanya kepada-MU aku beriman, dan hanya kepada-MU aku berserah diri. wajah ku bersujud kepada ZAT yang telah menciptakan dan membentuknya, serta yang telah membelahkan pendengaran serta penglihatannya, MAHA TINGGI ALLAH SEBAIK-BAIK PENCIPTA.” (Hadis Riwayat Muslim)

Doa-doa berikut disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin sebagai doa yang paling afdal diamalkan dalam amalan rukuk dan sujud solat kita menurut mazhab Syafie.

Baca juga Elakkan lipat pakaian ketika tunaikan solat, ini sebab-sebabnya

Maka jelas di sini, rahsia kesihatan dan kecergasan fizikal Rasulullah SAW tidaklah datang secara kebetulan, tetapi ia diusahakan oleh baginda melalui gaya pemakanan, ibadah puasa, solat serta doa sehingga dijadikan amalan gaya hidup sihat.

Sebagai umatnya, pastinya kita ingin mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW sebagai bukti kecintaan terhadap baginda.

Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

Sumber: Blog PERGAS

Foto: Google, Pexels & Unsplash

Bercakap tentang orang lain
Rindu Rasulullah,

Awas ‘kaki sembang’, ia antara perilaku yang dibenci Rasulullah SAW

BERSEMBANG menjadi perkara biasa bagi setiap insan. Apatah lagi apabila kita bertemu adik-beradik, rakan-rakan, saudara-mara mahupun kenalan lain.

Tidak salah untuk kita beramah mesra dengan mereka, tetapi biarlah mengikut batas-batas yang disyariatkan Islam dan tidak berlebih-lebihan. Masakan tidak, apabila kita mula jadi ‘kaki sembang’, maka semakin banyak perkara yang dibualkan.

Tanpa sedar, bukan sahaja tutur kata kita mengguris hati orang lain, adakalanya mengumput mahupun mencemuh kenalan masing-masing.

Dalam hal itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan tentang peringatan Rasulullah SAW mengenai perilaku yang menjauhkan kita dengan baginda dan sikap yang dibenci olehnya, menerusi kitab Riyadus Salihin.

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

Memetik portal Republika, diceritakan bahawa pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW berkumpul dengan para sahabat, lalu baginda pun memberikan nasihat kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu dan paling dekat dengan tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci di antara kamu dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari kiamat ialah al-Tsatsarun, al-Mutasyaddiqun dan al-Mutafaihiqun…” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, terdapat tiga perilaku yang dibenci oleh baginda SAW kerana ia termasuk sebagai akhlak mazmumah.

Sembang

JAGA lidah daripada menuturkan sebarang perkara yang mengguris hati orang lain dan bercakap berlebih-lebihan. -FOTO: 123RF

Berikut perinciannya:

1. Al-Tsatsarun (orang yang banyak bercakap berjela-jela dan suka bercakap besar).

Mudah kata, kelompok itu ialah seorang yang ‘kaki sembang’ atau pendusta yang banyak cakap dan bercakap besar. Adakalanya butir bicaranya disulami dengan hujah logik, tetapi mengandungi unsur pembohongan.

Sebab itulah Rasulullah SAW pernah bersabda supaya ‘berkata baik atau diam’ dalam Hadis Riwayat al-Bukhari. Itulah sebaik-baik perbuatan daripada membicarakan perkara yang tidak bermanfaat, malah mendatangkan dosa pula.

Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga ada memberi peringatan supaya kita mengerjakan apa yang dibualkan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Baca juga Selamatkan diri dari azab neraka dengan menjaga lidah dan lisan

2. Al-Mutasyaddiqun (orang yang suka bercakap berlebihan dan meremehkan orang lain).

Golongan sebegitu berpura-pura hebat dengan topik perbualan. Jika dilihat gayanya, adakalanya begitu berlebih-lebihan sehinggakan kita merasakan tidak sepadan dengan realitinya.

Sembang

JANGAN bercakap berlebih-lebihan dan merendah-rendahkan orang lain. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga mahu mendapatkan pujian. Meskipun bahasanya yang dilontarkan cukup indah, tetapi begitu ‘berbisa’ sehingga merendah-rendahkan orang lain.

Ingatlah, dalam diri setiap insan, kita ada hati, akal dan nafsu. Andai kotor hati kita, maka apa yang keluar dari mulut kita juga bersifat jelik. Sebaliknya, jika hati kita baik, begitulah juga ucapan yang dituturkannya.

ALLAH SWT berfirman: “Maka DIA mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams, ayat 8-10)

3. Al-Mutafaihiqun (orang yang suka membesarkan diri apabila bercakap).

Kelompok ketiga yang dibenci oleh Rasulullah SAW ialah orang yang sombong atau bongkak.

Malah, dalam sebuah hadis, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.” (Sahih Muslim)

Baca juga Cakap tak serupa bikin, ALLAH benci orang yang tak beramal dengan apa yang dia cakapkan

Bukan itu sahaja, sejarah juga telah membuktikan, sifat sombong akhirnya akan memakan diri. Lihat sahaja pada syaitan yang bersikap sedemikian sehinggakan enggan sujud kepada Nabi Adam AS apabila diperintahkan oleh ALLAH SWT. Akhirnya, makhluk terkutuk itu diusir daripada syura.

Begitu juga dengan Firaun yang mengaku sebagai Tuhan. Malangnya, pengakhiran hidupnya begitu menyedihkan apabila tenggelam dalam Laut Merah.

Sembang

Bahaya mulut mampu membawa ke neraka. -FOTO: MYKMU.NET

Sama juga halnya dengan Qarun yang terlalu bermegah-megah dengan hartanya. Akhirnya, Qarun lenyap ke dalam perut bumi.

Berdasarkan tiga perlakuan tersebut, jelaslah bahawa begitu bahayanya apabila kita menjadi ‘kaki sembang’ atau kuat bersembang.

Bukan apa, dibimbangi apa yang kita bualkan itu mengundang kepada perilaku yang dibenci oleh Rasulullah SAW.

***Foto: Unsplash

Rabiulawal
Berita Semasa,

5 keistimewaan Rabiulawal yang perlu diketahui

RABIULAWAL sudah pun membuka tirainya pada Rabu. Sedar atau tidak, kita sudah memasuki bulan ketiga dalam kalendar Islam.

Berbicara tentangnya, ingatan pasti terarah kepada peristiwa Maulidur Rasul yang menjadi lipatan sejarah penting buat umat Islam seantero dunia.

Pada bulan itulah lahirnya seorang nabi dan rasul yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Baginda ialah Nabi Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada para anbia dan rasul.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Rabiulawal bermaksud bulan yang mana bermulanya musim bunga dan musim buah bagi tanaman.

Malah, sepanjang sepurnama itu juga, banyak peristiwa besar yang berlaku. Bukan itu sahaja, Rabiulawal turut mempunyai keutamaannya yang tersendiri sebagaimana dipetik daripada laman web Umma.id, cnnindonesia.com dan tzkrh.com.

Berikut perinciannya:

i. Lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Menurut riwayat, baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah bersamaan hari Isnin. Kelahirannya membawa 1,001 rahmat dan demi menyempurnakan keindahan akhlak umat manusia.

Rabiulawal

NABI MUHAMMAD SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun gajah. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Begitu mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW yang perlu kita tahu…

ii. Bulan kewafatan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, Rabiulawal juga menjadi bulan penting bagi seluruh umat Islam mengingati kewafatan baginda iaitu pada hari Isnin tahun 11 Hijrah.

Meskipun tarikh kewafatan baginda ada perselisihan dalam kalangan ulama, apa yang pasti junjungan besar nabi kita meninggal pada waktu Duha bulan tersebut.

iii. Bulan penuh berkat.

ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, jelaslah Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH SWT sebagai rahmat bagi alam semesta.

Rahmat bererti pemberian ALLAH SWT kepada seluruh makhluk di alam ini.

Baca juga Lazimkan 3 amalan utama ini bagi buktikan kecintaan kita kepada baginda yang banyak berkorban untuk seisi umat Islam

iv. Disunatkan supaya banyakkan berselawat.

Rabiulawal

BANYYAK berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda. -FOTO: 123RF

Jika sudah namanya pun umat Nabi Muhammad SAW, tidak lengkap andai kita sendiri tidak berselawat ke atas baginda. Itu sahajalah antara cara kita untuk menzahirkan kasih sayang kepada baginda.

Meskipun sebagai umat akhir zaman, kita tidak pernah bertemu empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ungkapan mulia yang lahir tulus dari hati itu akan ‘mendekatkan’ kita pada baginda.

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

v. Bulan maghfirah (keampunan)

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW sebenarnya dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa kecil.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berselawat ke atasku kerana sesungguhnya selawat ke atasku adalah kebersihan (keampunan) bagi (dosa) kamu dan mintalah kepada ALLAH untukku akan wasilah.” (Al-Samarqandi dari kitab Tanbih al-Ghafilin)

Justeru, ambillah peluang sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW untuk kita menambah lagi mana-mana sunnah baginda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik pada setiap hari.

***Foto: Freepik 

Rasulullah lakukan ini ketika bermusafir
Hukum,

Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.

FIRMAN ALLAH “DIA-lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya..”(Surah al-Mulk, ayat 15)

Islam sangat menggalakkan umatnya mengembara. Sambil-sambil meneroka alam ciptaan ALLAH, dapat juga memahami gaya hidup serta budaya masyarakat lain.

Rasulullah SAW juga banyak bermusafir untuk urusan perniagaan dan dakwah Islamiah. Mungkin kaedah pengangkutan yang ada pada hari ini berbeza dengan Nabi SAW yang menunggang unta dan berkuda namun amalan Baginda kekal relevan sehingga kini.

Tatkala bermusafir ada beberapa tatacara yang elok untuk diamalkan sebagaimana anjuran Rasulullah, berikut perinciannya:

1. Menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bermusafir
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah mengajar kami beristikharah dalam semua perkara sebagaimana satu surah al-Quran.

Pesan Nabi:Jika kamu memikir-mikirkan tentang sesuatu, maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib. Kemudian berdoa (doa istikharah).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Cari peneman atau berkonvoi
Nabi bersabda: “Kalaulah manusia tahu apa yang aku tahu tentang seseorang apabila berseorangan, pasti tiada siapa pun yang akan menunggang pada waktu malam seorang diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW lakukan perkara ini ketika bermusafir

WALAUPUN kaedah pengangkutan kini tidak serupa zaman Nabi SAW dahulu, namun ajaran baginda tetap dapat kita praktikkan.

3. Memulakan perjalanan pada hari Khamis atau pada waktu malam
Kaab bin Malik berkata: “Rasulullah keluar ke perang Tabuk pada hari Khamis. Baginda memang suka keluar pada hari Khamis.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga gemar melakukan perjalanan pada malam hari kerana suasananya yang lebih baik dan sejuk berbanding waktu siang yang panas.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW juga bersabda:
Berjalanlah berjalan malam, sesungguhnya bumi ‘dilipat’ pada waktu malam.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut Imam al-Munawi, keadaan malam yang tenang juga boleh membuatkan perjalanan terasa lebih cepat jika dibandingkan dengan waktu siang.

4. Membaca doa safar (musafir) sebelum memulakan dan setelah pulang daripada permusafiran

Mulakan doa safar dengan bertakbir sebanyak tiga kali اَللهُ أَكْبَرُ

Kemudian diikuti dengan doa berikut:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Ertinya: “Maha Suci ALLAH yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya, ALLAH! Sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini, dan dengan amalan yang ENGKAU redhai. Ya ALLAH! Permudahlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya ALLAH! Sesungguhnya ENGKAU adalah teman dalam perjalanan, dan ketua bagi ahli keluarga. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung denganMU dari kesukaran perjalanan ini, dan pemandangan yang buruk. Dan dari kejahatan yang boleh menimpa harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.”

 

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

HIASI perjalanan kita dengan doa dan kalamullah supaya diberkati ALLAH SWT.

5. Mendoakan orang yang ditinggalkan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berpesan:

Sesiapa yang hendak bermusafir, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan:

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ

Aku mengamanahkan kamu kepada ALLAH yang tidak pernah hilang simpanan-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

6. Bertakbir (Allahuakbar) apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih (Subhanallah) ketika melewati tempat rendah

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya kami apabila menaiki tempat yang tinggi, maka kami bertakbir dan apabila kami menuruni tempat yang rendah, maka kami bertasbih.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

7. Segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai
Rasulullah bersabda: “Perjalanan satu keratan daripada azab. Kamu tidak boleh makan, minum dan tidur (seperti biasa). Maka apabila urusan musafir kamu selesai, segeralah kembali kepada keluarga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

8. Balik daripada musafir membawa hadiah
Tidak semestinya hadiah yang mahal-mahal tetapi cukup sebagai tanda kita ingat akan mereka.

Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

PELIHARA adab ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya tatkala bermusafir.

9. Zikir dalam perjalanan pulang

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Anas pernah bermusafir bersama Nabi. Tatkala kota Madinah kelihatan, Baginda pun mengucapkan (bacaan di atas).

Baginda ulang-ulang sehinggalah kami tiba di Madinah.” (Hadis riwayat Muslim)

10. Solat di masjid berdekatan
Kaab bin Malik berkata: “Ketika pulang daripada perjalanan, Baginda akan singgah di masjid dahulu untuk solat dua rakaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semoga perkongsian ini dapat dijadikan amalan setiap kali anda melakukan sesuatu perjalanan. Sambil berjalan, sambil beramal. Barulah perjalanan menjadi lebih mudah dan diberkati ALLAH SWT.

Foto: Unsplash

'Dekat' dengan ALLAH
Isu,

Teladani cara Rasulullah SAW dan solafussoleh ‘dekat’ dengan ALLAH

RAMADAN sebagai bulan yang melatih diri menjadi insan bertakwa seharusnya membuatkan kita semakin mudah dan istiqamah untuk menjaga perkara wajib serta melaksanakan amalan soleh pada hari-hari mendatang.

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, ia bersangkut paut dengan konsep hamba rabbani, bukan hamba Ramadan.

Oleh itu, beliau menitipkan pesan agar kita menjadi hamba rabbani yang merasakan bahawa setiap tingkah laku kita di mana sahaja dan pada bila-bila masa diperhatikan oleh ALLAH SWT.

Baca juga Biar beramal sedikit, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Ini antara solusi ampuh untuk istiqamah

“Bukan itu sahaja, didiklah diri juga untuk menjaga dan menitikberatkan perkara fardu, selain tidak meninggalkan amalan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berzikir.

“Kita ada 24 jam sehari. Berilah masa untuk roh dan jiwa kita berehat daripada kesibukan dunia. Andai melakukan dosa secara sedar ataupun tidak, segerakanlah bertaubat dan banyakkanlah beristighfar. Usah tunggu bulan Ramadan atau Syawal berikutnya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

DA’I SYAFIQAH

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW begitu memberi penekanan supaya kita menjaga solat fardu lima waktu, menghormati ibu bapa dan selainnya dalam kehidupan seharian. Amalan itu tidak tertakluk semata-mata pada bulan Ramadan atau Syawal sahaja.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW turut mengajarkan doa agar hati kita tetap teguh dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT. Doa itu berbunyi: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Justeru, perbanyakkanlah membaca doa ini agar kita diberikan kekuatan untuk beramal soleh,” ungkapnya.

Selain itu, para ulama juga memberi panduan tentang perbuatan baik yang boleh kita lakukan agar kita kekal istiqamah dalam beribadah.

“Pertama sekali, kita perlulah sentiasa tajdid niat iaitu ikhlas dalam melakukan setiap amalan.

“Kemudian, carilah jemaah atau sahabat yang suka beramal soleh iaitu melakukan kebaikan. Dengan adanya sahabat begini, mereka boleh mengajak kita untuk melakukan kebaikan dan menegur apabila kita melakukan kesalahan.

“Contohilah kerajinan dan semangat para sahabat dan Rasulullah SAW sendiri yang mana walaupun mereka telah dijamin syurga, tetapi tetapi bersemangat melakukan amal soleh kepada ALLAH SWT,” katanya.

'Dekat' dengan ALLAH

BERDOALAH kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati untuk terus istiqamah beribadah dan taat kepada perintah-NYA.

Beliau kemudian memperincikan amalan para salafussoleh sebelum kedatangan Ramadan dan selepas bulan mulia itu berlalu. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma’arif yang menukilkan ungkapan kata seorang ulama tabiin bahawa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan, para sahabat berdoa supaya dipertemukan dengan bulan mulia itu. Selepas enam bulan sesudahnya, mereka berdoa agar ALLAH SWT menerima amal masing-masing pada bulan Ramadan lalu.

Baca juga Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

Ini kerana, Da’i Syafiqah berkata, amalan itulah yang akan membuatkan mereka istiqamah dan beramal soleh serta dapat menjaga diri daripada perbuatan yang sia-sia.

“Justeru, ayuh kita mencontohi amalan para salafus soleh untuk mendekatkan diri dengan cinta ALLAH SWT,”sarannya.

Rasulullah SAW
Isu,

Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

no comment

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF

DALAM memastikan sesebuah kepimpinan mencapai objektif berlandaskan ajaran Islam, kerjasama dan peranan ramai pihak sangat penting.

Oleh yang demikian, perlu adanya seseorang yang mampu memikul tanggungjawab besar dalam memastikan maklumat dan penyampaian yang diberikan dapat difahami dengan sebaik-baiknya.

Maka, Nabi Muhammad SAW yang merupakan makhluk terbaik di dunia telah diutuskan oleh ALLAH SWT bagi menyempurnakan akhlak melalui penyampaian dakwah Islam kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Baginda yang merupakan nabi terakhir dan digelar sebagai kekasih ALLAH YANG MAHA ESA telah diangkat sebagai model dalam kehidupan manusia seperti tertulis dalam kitabullah.

Keperibadian Rasulullah sentiasa menjadi ikutan sepanjang zaman walaupun baginda tiada lagi di dunia ini. Namun, segala sunnah dan ajaran yang dititipkan sentiasa melekat dan menjadi pegangan oleh sekalian umat Islam.

Firman ALLAH dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi sesiapa yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH.“

Zahirkan kecintaan

Sesungguhnya, umat Nabi Muhammad SAW sangatlah beruntung dan istimewa kerana kita semua bukan sahaja sekadar membaca sebuah kitab agung iaitu al-Quran yang padat dengan nasihat dan perkara-perkara yang perlu dijadikan rujukan, malah dapat menerima segala saranan dan tunjuk ajar daripada seorang nabi yang juga daripada golongan manusia seperti kita.

Rasulullah SAW

JADIKAN al-Quran dan as-Sunnah sebagai pegangan untuk kita melayari kehidupan di muka bumi ini.

Maka, selayaknya Rasulullah dilabel sebagai tokoh terbaik dalam semua aspek kehidupan.

Sesungguhnya, dalam diri baginda, terdapat segala-galanya yang diperlukan untuk kita menuju ke jalan kebenaran yang diredai oleh YANG MAHA ESA.

Sebagai umat Nabi Muhammad juga, sewajarnya kita menerapkan rasa cinta terhadap baginda, selepas kasih kepada ILAHI. Bersyukur dan berbanggalah kerana kita telah terpilih menjadi umat kekasih ALLAH pada akhir zaman yang penuh dengan syafaat.

Bukan sahaja hanya berulang kali menyebut atau mengingati baginda bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul sahaja, tetapi sentiasalah menzahirkan rasa cinta kepadanya pada setiap saat, masa dan dalam apa keadaan sekalipun.

Tidak lupa juga dengan mengamalkan sunnah dan memperbanyakkan selawat. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatnya berselawat dan memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada Nabi Muhammad SAW. Wahai orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.“ (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Apa yang boleh saya katakan, sehingga pada detik ini, bahkan barangkali sampai menjelmanya hari kiamat, manusia akan terus menerus membicara dan mengkaji tentang ketokohan Nabi Muhammad SAW.

Ya, keunggulan Rasulullah SAW bukan sahaja berkaitan dengan keperibadiannya yang sungguh terpuji, tetapi dari segi pengurusan kendiri, perniagaan, politik, ketenteraan, keluarga dan lain-lain terlalu hebat untuk diungkapkan.

Martabatkan sunnah

Wabak Covid-19 yang melanda alam semesta ini adalah ketentuan penuh hikmah yang telah ditetapkan oleh-NYA.
Peringatan saya kepada semua, jangan sesekali biarkan ketaatan kita kepada ALLAH dan Rasulullah SAW semakin berkurangan, apalagi terhakis dalam lubuk hati hanya kerana berdepan dengan situasi getir berkenaan.

Sepatutnya, ia perlu semakin bertambah dari semasa ke semasa kerana kita ialah hamba kepada ALLAH SWT dan umat kepada Nabi Muhammad.

Rasulullah SAW

MANIFESTASIKAN kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW pada setiap saat, masa dan dalam apa keadaan sekalipun, bukan hanya ketika Sambutan Maulidur Rasul.

Bagi mengelak kita tergelincir, saya menyarankan kepada semua termasuk diri saya sendiri untuk mengkaji dan mempelajari kaedah yang digunakan oleh baginda dalam mempertingkatkan amal ibadah seharian demi mencapai nilai ketakwaan yang tinggi di sisi-NYA.

Selain itu, dalam memastikan bangsa dan negara kita terus maju, metodologi yang digunakan oleh Rasulullah wajarlah diikuti dan dijadikan pedoman.

Bersama-samalah kita terus menjadikan baginda sebagai model ikutan yang paling ulung dan berpengaruh dalam kehidupan kita dengan memartabatkan sunnahnya, sekali gus menjadikannya satu amalan yang sentiasa dilakukan.

Mudah-mudahan ia membawa kita semua kembali mengingati dan menghargai kekasih ALLAH itu sebagai seorang rasul akhir zaman yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Sekali lagi, perbanyakkan berselawat kepada junjungan besar baginda agar kita sama-sama mendapat kebaikan dalam kehidupan di dunia yang fana ini.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat.“ (Hadis Riwayat Muslim)

***Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknologi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor

Foto: Unsplash

sesat
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

no comment

Terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat di Malaysia yang pernah didedahkan oleh media secara meluas. Walaupun kumpulan ini dari segi luarannya mendakwa berlandaskan agama Islam, namun apabila diteliti sebaliknya, amalan mereka ini bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengapa ajaran sesat bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Ahli Sunnah Wal Jamaah berasal daripada dua patah perkataan iaitu, “Ahl Al-Sunnah” dan “Al- Jamaah” yang memberi maksud golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW dan jemaah para Sahabat terutamanya Khulafa’ Ar-Rasyidin yang dididik oleh Baginda SAW.

Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Nabi SAW serta para Sahabat Baginda SAW.

Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah diambil dan dirumuskan oleh ulama berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi daripada Abdullah Bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada tujuh puluh dua kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab: “Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para Sahabatku.”

Berdasarkan riwayat hadis tersebut dan riwayat-riwayat lain yang sama erti dengannya, para ulama telah membuat kesimpulan bahawa maksud mereka yang mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat adalah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Kemudian, ia disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh ulama-ulama terkemudian terutamanya dua tokoh utama imam Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu, Imam Abu Al-Hassan
Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur AlMaturidi.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya.

Inilah antara pegangan utama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu diberi perhatian agar ia dipraktikkan dalam kepercayaan (akidah), pengamalan (syariat) dan keperibadian (akhlak) kita sebagai seorang Muslim.

Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi pegangan tersebut maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.

Mengenali ajaran sesat

Ajaran sesat didefinisikan sebagai sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.

Sedangkan pada hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariat dan akhlak.

Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Syiah, Murjiah, Khawar, Qadariyyah, Jabariyyah dan Muktazilah.

Antara fahaman kontemporari yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah seperti Nasionalisme, Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.

Malah di Malaysia beberapa ajaran sesat yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat seperti Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarridah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Abd. Wahab (Ketupat Linux), Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tah@Khadah Ali, Ajaran Islam Jamaah,
Qadiani@Ahmadiah, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit dan lain-lain.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam iaitu al-Quran, As-Sunnah, ijmak dan qias. Contoh:

Mengamalkan solat yang wajib kurang atau lebih daripada lima waktu.
Mengguna pakai kaedah perlaksanaan zakat dan puasa yang menyalahi kaedah perlaksanaan yang sedia maklum.
Menunaikan haji bukan di Makkah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengagungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat.

Mereka menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi yang muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut. Dakwaan palsu itu boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.

Doktrin bermaksud prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya yang dapat diterima sebagai kepercayaan seterusnya pengamalan. Doktrin ajaran sesat bermaksud beberapa prinsip atau kepercayaan yang menjadi asas kepercayaan seterusnya pengamalan kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat.

Antara doktrin ajaran sesat secara umumnya adalah:
Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam.
Meyakini atau mengikuti akidah yang bercanggah dengan syarak.
Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran.
Melakukan pentafsiran al-Quran tanpa kaedah yang betul.
Mengingkari kedudukan hadis Nabi SAW sebagai sumber ajaran Islam.
Merendahkan para nabi dan rasul.
Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir.
Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.
10 Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarii.

Selain itu, antara bentuk-bentuk doktrin umum ajaran sesat adalah seperti dakwaan wujudnya agama atau ajaran baharu, kitab suci baharu selain al-Quran, nabi atau rasul baharu selepas Nabi Muhammad SAW, syariat baharu yang menyalahi syariat yang sedia dimaklumi dan tafsiran-tafsiran agama yang menyeleweng daripada al-Quran dan as-Sunnah. Kesemua doktrin atau dakwaan ajaran sesat tersebut adalah pencemaran terhadap ajaran Islam yang suci.

Kesimpulan

Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ia juga bermaksud Islam adalah agama yang bersifat sederhana, mudah, praktikal dan bertoleransi. Kerana itu penganut agama Islam disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya.

sulthan-auliya-rzzS0_pMsD0-unsplash
Panduan,

Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

ANJURAN untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW begitu digalakkan bagi setiap umat Islam. Ia bukan sekadar meniti pada bibir kita saat sedang menunaikan solat iaitu ketika bacaan tahiyat awal dan akhir sahaja.

Namun, selawat boleh juga diucapkan di luar waktu solat, selain sewaktu kita berdoa.

Ungkapan mulia itu boleh sahaja diucapkan pada bila-bila masa.

Bahkan, ketika mendengar nama Nabi Muhammad SAW disebut juga, kita dianjurkan supaya berselawat dan salam ke atas baginda.

Malah, acap kali kita dengar rata-rata orang akan mengulang kembali sebutan Sallallahu ‘alaihi wa sallam (صلى الله عليه وسلم) tatkala mendengar nama kekasih ALLAH itu disebut.

Ada juga orang yang lebih selesa menyebut penuh selawat ke atas Rasulullah SAW sebaik sahaja mendengar nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang kita cintai itu disebut-sebut.

Ucapan bagaimanakah yang paling utama sekiranya kita mendengar nama Rasulullah SAW?

Berkongsi jawapan tentang perkara itu, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, al-Imam Ibn Hajar al-Haithami pernah ditanyakan tentang perkara itu.

Antara sebutan Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sebutan Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad (اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى نَبَيِّنَا مُحَمَّدٍ), yang manakah lebih utama disebut sebaik kita mendengar nama baginda disebut?

Al-Imam Ibnu Hajar menjawab: (Yang afdalnya adalah berselawat) dengan menggunakan sighah permintaan (iaitu sebutan allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad atau allahumma salli wa sallam alaih). Ini kerana ia merupakan sighah yang warid di dalam khabar (riwayat hadis) dan tidaklah Rasulullah SAW mengajarkan mereka (para sahabat) melainkan sesuatu yang lebih afdal. (Rujukan Al-Qawl Al-Badi’ fi Al-Solat ‘ala Al-Habib Al-Syafi’ oleh al-Imam al-Sakhawi (1/157) Cetakan bersama Dar al-Yusr & Dar al-Minhaj)

Ujar Ustaz Muhammad Fahmi, ketika beliau berada di Jordan suatu ketika dulu, gurunya juga memberi anjuran yang sama iaitu dengan membaca Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad sebaik mendengar nama baginda SAW disebut.

Selawat dan salamBaca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

“Begitupun, tiada masalah pun sebenarnya andai kita mahu menyebut ulangan atau apa yang kita dengar daripada mereka yang menyebut nama Rasulullah SAW (iaitu Sallallahu ‘alaihi wa sallam).

“(Ia) Masih mendapat pahala selawat. Isunya bukan pada betul atau salah. Akan tetapi, pada (lafaz) yang baik dengan yang lebih baik,” jelas beliau merungkaikan jawapannya.

Justeru, tiada masalah untuk kita menyebut ulangan sebutan sebagaimana yang disebutkan oleh individu yang mengungkapkan Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, ucapan yang paling utama adalah Allahumma salli wa sallam ‘ala nabiyyina Muhammad.

Tidak kiralah mana satu lafaz sama ada selawat atau salam yang menjadi pilihan kita, tetapi janganlah berat mulut pula untuk mengungkapkannya ketika nama Rasulullah SAW disebut.

Renungkanlah firman ALLAH SWT dalam kalam-NYA yang suci: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: Freepik & Unsplash

Berita Semasa,

Rasulullah SAW sentiasa berada di tempat terunggul, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi baginda

NABI MUHAMMAD SAW ialah insan yang paling agung dalam kalangan insan yang pernah dilahirkan di muka bumi ini.

Masakan tidak, pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh baginda SAW telah menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik untuk diteladani.

Malah, hasil daripada sikap kesederhanaan itulah telah membuka hati ramai penduduk Arab memeluk Islam.

Kebijaksanaan seperti itu amat diharapkan agar terus wujud dalam masyarakat Islam pada zaman milenial ini.

Dalam hal pengurusan, baginda SAW memiliki pelbagai jenis kelebihan, keunikan dan ciri khas yang sangat menonjol. Dari aspek kehidupan pula, Rasulullah SAW sentiasa di tempat paling unggul.

Tidak ada pemimpin di dunia ini yang apa sahaja yang ucapan atau bait perkataan yang terungkap dari bibirnya dan segala perbuatannya dibukukan hingga berjilid-jilid seperti baginda.

Hal itu sering disebut dalam Hadis al-Bukhari, Muslim, an-Nasai, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, al-Hakim, Ibnu Hibban, at-Tabarani, al-Baihaqi, Ibnu Asakir dan Imam Ahmad.

Jika diamati, tiada manusia di planet ini yang perilakunya sebaik Rasulullah SAW, baik dalam perihal ibadah, berdoa, berzikir, makan, minum, berpakaian, berkeluarga dan memimpin.

IKUTI sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Justeru, jadikanlah Rasulullah sebagai kayu ukur dalam segala hal khususnya dalam bidang kepemimpinan dan pengurusan.

Pengurusan seimbang

Menghuraikan mengenai aspek pengurusan, Rasulullah SAW telah mengaturnya dengan seimbang atau harmoni.

Umpamanya, walaupun dalam Perang Badar, pasukan baginda hanya berjumlah 300 orang dengan peralatan yang sederhana, namun mampu mengalahkan pasukan Quraisy yang jumlahnya tiga kali ganda lebih banyak malah lengkap dengan pelbagai peralatan perang yang canggih.

Ternyata Rasulullah SAW sangat memahami bahawa kekuatan sumber manusia adalah faktor paling penting dalam peperangan mahupun kerja.

Disebabkan itulah baginda SAW lebih mengutamakan pembinaan perilaku peribadi daripada unsur-unsur pengurusan yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Hai Nabi, kobarkanlah semangat Mukmin untuk berperang jika ada 20 yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. Sekarang ALLAH telah meringankan kepadamu dan DIA telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antara 100 orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang kafir; dan jika di antaramu ada 1,000 orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan 2,000 orang, dengan seizin ALLAH. Dan ALLAH berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 65-66)

Berdasarkan ayat itu, jelaslah bahawa kualiti seorang yang sabar setanding dengan dua hingga 10 orang musuh. ALLAH SWT menyebutnya dengan jumlah yang banyak iaitu 20 hingga 100 orang.

Ia menunjukkan bahawa Islam sangat menekankan kerja secara berkumpulan, kerjasama atau tolong-menolong. Pasukan kerja yang hebat akan berjaya menyelesaikan pelbagai jenis tugas, tangunggjawab dan pekerjaannya dengan baik.

Bukan itu sahaja, cara pengurusan Rasulullah SAW juga adalah paling dinamik. Ia dapat dilihat apabila baginda menghadapi 1,001 permasalahan termasuklah masalah yang sukar sekalipun, semuanya mampu ditangani dengan baik.

CONTOHI cara muamalat Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Begitu dinamiknya cara pengurusan Rasulullah SAW bermula daripada masalah keluarga, agama hinggalah kepada masalah negara.

Dalam peperangan misalnya, Rasulullah terlibat sebanyak 62 siri peperangan. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kali peperangan dilakukan tanpa kehadiran baginda.

Selebihnya, sebanyak 27 kali peperangan dihadiri oleh Nabi Muhammad SAW secara langsung dengan sembilan kali baginda menjadi panglima perang.

Jika dihitung, tempoh Rasulullah SAW berada di Madinah adalah selama 10 tahun atau 120 bulan. Ini bererti bahawa setiap dua bulan sekali, Rasulullah terlibat dalam peperangan. Uniknya, Madinah tetap aman, stabil dan terkawal.

Mudah kata, pengurusan Rasulullah SAW adalah tidak rumit dan mudah. Ia juga tidak memberatkan dan tidak berlebihan. Ini kerana semuanya telah diukur dan diseragamkan sesuai dengan kapasiti dan kemampuan manusia.

Jadi, tatkala diri kita dihimpit apa jua masalah, maka ambillah penyelesaian berdasarkan pengurusan cara Rasulullah SAW.

Berbeza sungguh dengan pengurusan birokrasi pada hari ini yang kadangkala lebih banyak disukarkan daripada dipermudahkan.

Renungkanlah firman ALLAH ini: “ALLAH mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

ANDAI dihimpit dengan masalah atau ujian, contohi cara Rasulullah SAW menangani permasalahan berkenaan. -Gambar hiasan

Demikian roh dan inti pati cara Rasulullah iaitu dalam rangka memberikan kemudahan dan memberi khabar gembira kepada umatnya yang bersesuaian dengan fitrah manusia.

Oleh yang demikian, jadikanlah Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam setiap perkara yang dilakukan dalam meniti kehidupan di muka bumi yang fana ini.

***Artikel ditulis oleh Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru, Johor

Foto: Freepik