Browsing Tag

rakyat

Amanah
Isu,

Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

PERIHAL pemilihan pemimpin menjadi inti pati penting memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 bakal berlangsung pada 19 November nanti. Ini kerana merekalah insan penting yang akan mencatur dan mengemudikan negara.

‘Kepimpinan’ sesungguhnya begitu dititikberatkan dalam Islam. Al-Quran secara jelas menyatakan aspek itu tidak dapat dipisahkan dengan agama Islam. Masakan tidak, tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya AKU hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’…” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Sesungguhnya, memilih ketua bukan perkara mudah. Ia tidak boleh dilakukan secara tangkap muat sahaja. Terdapat justifikasi dan indikator tertentu untuk diangkat mengepalai manusia lain.

Bagaimanakah sebenarnya urusan memilih pemimpin menurut perspektif Islam? Benarkah berdosa jika kita sengaja tidak turun mengundi tanpa sebab musabab yang jelas?

Prinsip lantik pemimpin

Berbicara lanjut tentang topik semasa itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar.

USTAZAH NURZAHIDAH

Beliau memulakan perbincangan dengan historiografi pelantikan pemimpin dalam kalangan sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

Jelas beliau, terdapat beberapa prinsip signifikan yang boleh dilihat. Antaranya secara syura atau perundingan asas utama, diikuti dengan penetapan pemimpin dan pencalonan dalam proses pengundian, ungkapnya.

“Mudah kata, ia sama seperti pendekatan pilihan raya dalam amalan sistem demokrasi yang diamalkan oleh majoriti negara pada masa kini.

“Suka saya ingatkan, prinsip syura menjadi dasar utama pemilihan pemimpin Islam berdasarkan Surah al-Syura, ayat 38,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26)

Menurut perspektif Islam, ujar Ustazah Nurzahidah, jelaslah bahawa aspek utama dalam urusan melantik pemimpin terletak pada prinsip al-Quwwah (kuat) dan al-Amanah.

Jelas beliau, prinsip al-Quwwah yang dimaksudkan adalah kompeten, berkelayakan, berkemahiran, berkewibawaan atau karismatik dan berkemampuan melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik.

Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

“Tidak dilupakan juga prinsip al-Amanah yang berkait dengan soal pegangan agama atau kesolehan seseorang pemimpin. Tuntasnya, kedua-dua prinsip itu perlulah seimbang.

Pemimpin

KEPIMPINAN aspek yang dititikberatkan dalam Islam kerana ia memacu masa depan negara, pembangunan masyarakat dan tamadun bangsa. -FOTO: FREEPIK

“Namun realitinya, bagi mendapatkan keseimbangan adalah mencabar kerana sesetengah pemimpin mungkin kompeten, tetapi korup. Ada pula sebilangannya yang amanah, tetapi tidak cekap.

“Maka sebab itulah Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabat-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun individu berkenaan orang yang soleh,” katanya.

Kewajipan mengundi

Bagi mencari titik keseimbangan tersebut, ujar ahli akademik itu, ia mestilah bermula dengan asas kekeluargaan.

Beliau berhujah, seorang pemimpin yang lahir dari sebuah keluarga menerapkan nilai kepimpinan baik bermula dari pemilihan isteri, didikan anak-anak dan dibentuk dengan kualiti yang hebat daripada ibu bapa.

“Demikian juga pandangan al-Farabi dalam kitabnya, al-Madinah al-Fadhilah bahawa kualiti pemimpin dalam organisasi makro seperti pertubuhan bukan kerajaan, komuniti, kenegaraan dan sebagainya, ia mesti bermula daripada seseorang individu dalam sesebuah keluarga yang baik,” katanya.

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

Kepada satu soalan, Ustazah Nurzahidah menjawab: “Sepertimana pesanan Sadina Abu Bakar as-Siddiq mengenai penggantinya, beliau memberi ingatan yang cukup jelas kepada semua masyarakat untuk menjalankan perintah ALLAH SWT sebagai hamba-NYA dengan memilih pemimpin yang layak.

Pemimpin

MENJADI tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan memilih pemimpin yang kompeten dalam hal ehwal tadbir urus dan memelihara kesucian agama, keharmonian bangsa dan negara. -FOTO: PEXELS

“Sebagai seorang masyarakat yang prihatin dengan masa depan negara, setiap undian dan sokongan mereka merupakan tanggungjawab dan hak yang telah ditetapkan.

“Perlu difahami bahawa setiap warganegara yang mencukupi syarat wajib mengundi bagi memilih pemimpin yang layak sebagaimana ia dapat mengukuhkan pentadbiran negara pada masa hadapan bagi memastikan bahawa jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat itu tidak akan jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak.”

Ia bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Sesungguhnya seoarang mukmin terhadap mukmin bagaikan sebuah rumah, yang satu mengukuhkan yang lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Seandainya seseorang enggan mengundi sebagai tanda protes atau merosakkan undi, jelas pensyarah itu, ia bertentangan dengan semangat demokrasi Malaysia.

Baca juga Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

“Ketahuilah bahawa dalam konteks fiqh siyasah, mengundi bagi memilih wakil rakyat, menteri dan pemerintah adalah satu bukti pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang kerana wakil rakyat yang undi itu merupakan pembuat dasar dan penggubal bagi maslahat negara dan rakyat,” katanya.

Begitupun, beliau mengingatkan, hukum mengundi yang pada asalnya harus boleh berubah menjadi wajib kerana ia merupakan prasyarat bagi mewujudkan kerajaan sebagaimana ulama mengatakan; ‘Apa-apa yang tidak sempurna yang wajib melainkan dengan dia, maka perkara itu menjadi wajib’.

“Jika setiap warganegara yang layak mengundi tidak mempunyai halangan syarie, menjadi satu kewajipan untuk memilih pemimpin. Perlu difahami bahawa kewajiban dalam agama ini dinilai dengan dosa dan pahala.

“Justeru, dengan melaksanakan kewajipan tadi, ia akan dapat menegakkan syiar Islam dan keadilan untuk negara. Maka proses pilihan raya itu wajib sebagaimana wajibnya hukum memberikan hak kepada rakyat.

Pemimpin

LUANGKAN masa jalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi demi kemaslahatan masyarakat dan negara. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

“Apabila sesuatu hukum wajib ditetapkan dalam agama, dengan melaksanakannya akan mendapat pahala dan apabila ia ditinggalkan, maka berdosa.”

Kelayakan pemimpin

Bolehkah Muslim memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Nurzahidah menjelaskan, hukum asalnya adalah harus mengundi bukan non-Muslim selagi mana mereka bersifat amanah dan pakar melaksanakan tugas.

“Di samping itu, mereka perlulah tetap menghormati agama Islam dan membantu menjaga kesucian Islam serta agama lain di Malaysia,” terangnya.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Sebelum menoktahkan bicaranya, beliau mengingatkan, Islam menentukan pensyaratan seorang pemimpin dilihat pada keperibadian yang baik, berkelayakan memimpin berasaskan kecekapan, kompeten dalam mentadbir dan menjalankan pemerintahan dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, selain berpandangan jauh dalam memajukan negara.

“Tidak dinafikan, seorang pemimpin mestilah mempunyai nilai kasih sayang, bersih daripada rasuah, semangat kerjasama berpasukan dan nilai integriti tinggi dalam diri.

“Semua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih agar kepimpinan negara sentiasa dipercayai dan dihormati semua pihak,” ujarnya.