Browsing Tag

Rakaman ayat-ayat al-Quran

Rakaman ayat-ayat al-Quran
Gaya Hidup,

Tak Cukup Hanya Pasang Ayat Al-Quran Dalam Rumah Untuk Elak Gangguan

no comment

KEBANYAKAN daripada kita gemar memasang rakaman ayat-ayat al-Quran di dalam rumah. Apatah lagi jika empunya diri tidak berkesempatan membaca kitabullah tersebut.

Masakan tidak, bait-bait kalam ALLAH SWT itu mampu menghadirkan ketenangan dalam diri. Jiwa yang resah gelisah terasa seolah-olah hilang begitu sahaja.

Demikianlah betapa hebatnya al-Quran kepada kehidupan manusia. Ia bukan sekadar kitab semata-mata untuk dibaca, sebaliknya turut menjadi manual kehidupan kepada umat Islam.

Disebabkan keagungan yang ada pada mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, ada segelintir orang yang menggunakannya dengan memasang ayat-ayat al-Quran bagi tujuan menghalau makhluk halus di dalam rumah.

Adakah memadai kita berbuat demikian untuk mengelakkan gangguan tersebut?

Pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, sebenarnya tidak memadai jika kita hanya memasang ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah bagi mengelakkan gangguan makhluk halus.

AHMAD DUSUKI

“Apa yang patut dilakukan ialah kita sendiri yang laksanakan amal ibadah waima membaca al-Quran, melakukan solat sunat mahupun mengajak orang lain untuk buat jamuan makan dan sebagainya.

“Pada masa sama, usahlah kita berbuat maksiat kepada ALLAH SWT. Ingatlah, apabila kita berbuat demikian di dalam rumah kita, senang gangguan tersebut datang.

“Misalnya, rumah kita ada patung, alat muzik atau apa sahaja yang boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH SWT. Ketahuilah, apabila DIA murka, maka syaitan yang akan datang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Rakaman ayat-ayat al-Quran

SEBAIKNYA kita sendiri yang melakukan ibadah seperti membaca al-Quran, solat sunat dan selainnya serta tidak berbuat maksiat kepada ALLAH SWT untuk mengelakkan gangguan di kediaman masing-masing.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, agamawan itu menitipkan pesanan agar kita tidak membiarkan diri dimurkai ALLAH SWT di sisi-NYA.

“Begitu juga dengan rumah tangga kita. Jaga dan peliharalah dengan sebaiknya,” nasihatnya.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash