Browsing Tag

raffa

Irish News
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Hidayah Buat ‘Pembenci’

no comment

HIDAYAH itu datang tanpa disangka, malah tidakkan pernah untuk sesiapa merancangnya selain semuanya datang daripada kehendak Allah.

Adalah Rasulullah SAW dalam khutbahnya, dia memuji Allah dan memuja-Nya mengikut yang selayaknya, kemudian bersabda: “Sesiapa yang Allah hidayatkan padanya, maka dia tidaklah sesat dan siapa yang disesatkannya, nescaya seseorang itu tidak akan mendapat petunjuk.” Riwayat Muslim (867) dan al-Nasaie (1578)

Melalui sebuah rakaman video yang tersebar baru-baru ini, nama seorang saudara baharu, Lauren Booth kembali diperkatakan apabila ucapannya dalam suatu program telah menyentuh perasaan ramai penonton yang menyaksikannya.

Ketika menjadi tetamu di salah satu stesen televisyen. Gambar: Flickr

Beliau cuba mengimbas kembali hidayah yang diterimanya walaupun beliau sebelum itu adalah seorang yang pembenci Islam.

Lauren yang juga adik ipar kepada mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair tiba-tiba terdiam seolah menahan kesedihan apabila pengacara memberi ruang kepadanya menceritakan awal mula dirinya mengenal Islam.

Menurut Lauren, ketika khidmatnya diperlukan untuk menjadi sukarelawan ke bumi Palestin pada 2008, perasaannya tidak begitu senang apatah lagi bakal tinggal untuk beberapa lama di negara yang majoritinya adalah penduduk Islam.

“Pada 2008 adalah kali pertama saya ke sana sebagai bukan muslim dan berada di sana sepanjang bulan Ramadan. Di mana saya membiarkan saja lengan dan rambut saya kelihatan kerana itu adalah kebiasaan bagi saya sejak dulu.

“Bagi saya, kesopanan, gaya hidup, penampilan mungkin bukan suatu yang layak untuk orang lain pertikaikan,” katanya yang mendapat layanan sangat mesra daripada penduduk setempat meskipun mengenakan pakaian yang kurang sopan dan mendedahkan auratnya sebagai seorang wanita.

“Saya tidak pernah pun mendengar masyarakat Gaza menegur saya dengan perkataan haram dengan penampilan saya ketika itu. Malah sepanjang saya berada di sana pada bulan Ramadan, bebas berjalan-jalan, perkataan yang banyak mereka ucapkan kepada saya hanyalah ‘salam’,” katanya.

Lauren dilayan mesra oleh sebuah keluar Palestin di Gaza ketika menjadi sukarelawan. Gambar: UPI

Menceritakan lebih lanjut sebelum penghijrahannya menjadi seorang muslim pada 2010, Lauren pernah mengunjungi sebuah keluarga yang sangat miskin di Raffa.

Di mana tempat tersebut merupakan tempat asal jejaka Palestin, Faris Odeh yang ditembak mati oleh Pasukan Pertahanan Israel pada tahun 2000.

“Malam itu saya mengetuk pintu rumah keluarga yang sangat miskin di sebuah kem di Raffa. Dan keluar seorang wanita membuka pintu dan mengucapkan, ‘Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, silakan masuk. Selamat datang,” katanya.

“Dia menyambut saya masuk seolah dia sedang tinggal di dalam Taj Mahal dan bukannya sebuah kem yang miskin dengan wajahnya yang begitu cerah dan bercahaya.

“Saya cuma ingin tahu dan bertanya khabar adakah dia dalam keadaan baik sekarang. Wajahnya begitu bersinar dan saya tahu ia disebut ‘nur’. Wajahnya penuh dengan nur,” katanya.

Ketika Lauren masuk ke dalam rumah, hanya terdapat satu ruangan dengan lantai dan dinding simen serta tidak ada apa pun di dalamnya. Yang ada hanyalah tilam lusuh yang digunakan oleh pasangan suami isteri, orang tua dan anak-anaknya untuk tidur.

“Ketika itu perasaan saya menjadi marah, adakah seperti ini keadaan orang Islam. Saya sering berfikir, kenapa mereka orang berpuasa? Kenapa Tuhan sampai hati membuat orang Islam lapar? Langsung saya bertanyakan kepada wanita itu, kenapa mereka puasa di bulan Ramadan? Apa tujuannya?

“Mereka memberitahu Islam menyuruh berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan, tetapi kenapa selepas habis bulan Ramadan mereka masih tidak mempunyai makanan untuk dimakan dan menyebabkan mereka meneruskan berpuasa.

“Apa yang saya lihat hanya ada air untuk diminum, itu pun dalam keadaan yang keruh dan tidak sesuai untuk diminum,” katanya.

Wanita Palestin itu hanya memandang Lauren dan memberikan jawapan yang membuat Lauren semakin ingin tahu.

“Kata wanita itu, dia berpuasa di bulan Ramadan untuk mengingat kesusahan orang miskin. Dia tidak punya apa-apa dan saya tidak mampu memahaminya. Kenapa dia boleh puasa untuk mengingat kesusahan orang lain, sedangkan keadaan dia sendiri pun sangat susah sehingga tiada apa benda yang hendak dimakan,” katanya.

Lauren Booth secara rasmi memeluk Islam pada tahun 2010 selepas dua tahun pulang dari Palestin. Gambar: WISE Muslim Women.

Ketika itu, terlintaslah di fikiran Lauren mengenai tuhan, Islam dan terbuka hatinya untuk menjadi seorang muslim.

“Jika ini adalah Islam, saya ingin jadi Muslim. Jika kasih sayang Tuhan berupa sebuah agama, maka saya ingin agama itu.

“Jika kasih sayang kamu kepada sesama Islam dalam keadaan berat yang kamu tanggung demi kerana agama, maka saya ingin masuk agama itu.

Jika kasih sayang kepada seorang musafir seperti saya kerana agama, maka izinkan saya untuk menjadi seorang muslim seperti kami, Subhanullah,” kata Lauren yang mengambil masa selama dua tahun untuk dia betul-betul bersedia memeluk Islam.

“Saya mengambil masa selama dua tahun sebelum saya begitu yakin untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Allah maha mengetahui berapa lama yang saya perlukan untuk cukup bersedia dalam keadaan merendah hati dan membersihkan hati ini daripada segala penyakit yang ada di dalamnya,” katanya sambil mengesat air mata yang mengalir ke pipinya.

Lauren secara rasmi memeluk Islam pada tahun 2010, perjuangannya dalam menemukan jalan Allah SWT dilihat unik, di mana awalnya dia adalah pembenci Islam.