Browsing Tag

Rabiulawal

Rabiulawal
Berita Semasa,

5 keistimewaan Rabiulawal yang perlu diketahui

RABIULAWAL sudah pun membuka tirainya pada Rabu. Sedar atau tidak, kita sudah memasuki bulan ketiga dalam kalendar Islam.

Berbicara tentangnya, ingatan pasti terarah kepada peristiwa Maulidur Rasul yang menjadi lipatan sejarah penting buat umat Islam seantero dunia.

Pada bulan itulah lahirnya seorang nabi dan rasul yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Baginda ialah Nabi Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada para anbia dan rasul.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Rabiulawal bermaksud bulan yang mana bermulanya musim bunga dan musim buah bagi tanaman.

Malah, sepanjang sepurnama itu juga, banyak peristiwa besar yang berlaku. Bukan itu sahaja, Rabiulawal turut mempunyai keutamaannya yang tersendiri sebagaimana dipetik daripada laman web Umma.id, cnnindonesia.com dan tzkrh.com.

Berikut perinciannya:

i. Lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Menurut riwayat, baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah bersamaan hari Isnin. Kelahirannya membawa 1,001 rahmat dan demi menyempurnakan keindahan akhlak umat manusia.

Rabiulawal

NABI MUHAMMAD SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun gajah. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Begitu mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW yang perlu kita tahu…

ii. Bulan kewafatan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, Rabiulawal juga menjadi bulan penting bagi seluruh umat Islam mengingati kewafatan baginda iaitu pada hari Isnin tahun 11 Hijrah.

Meskipun tarikh kewafatan baginda ada perselisihan dalam kalangan ulama, apa yang pasti junjungan besar nabi kita meninggal pada waktu Duha bulan tersebut.

iii. Bulan penuh berkat.

ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, jelaslah Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH SWT sebagai rahmat bagi alam semesta.

Rahmat bererti pemberian ALLAH SWT kepada seluruh makhluk di alam ini.

Baca juga Lazimkan 3 amalan utama ini bagi buktikan kecintaan kita kepada baginda yang banyak berkorban untuk seisi umat Islam

iv. Disunatkan supaya banyakkan berselawat.

Rabiulawal

BANYYAK berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda. -FOTO: 123RF

Jika sudah namanya pun umat Nabi Muhammad SAW, tidak lengkap andai kita sendiri tidak berselawat ke atas baginda. Itu sahajalah antara cara kita untuk menzahirkan kasih sayang kepada baginda.

Meskipun sebagai umat akhir zaman, kita tidak pernah bertemu empat mata dengan Rasulullah SAW, namun ungkapan mulia yang lahir tulus dari hati itu akan ‘mendekatkan’ kita pada baginda.

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

v. Bulan maghfirah (keampunan)

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW sebenarnya dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa kecil.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berselawat ke atasku kerana sesungguhnya selawat ke atasku adalah kebersihan (keampunan) bagi (dosa) kamu dan mintalah kepada ALLAH untukku akan wasilah.” (Al-Samarqandi dari kitab Tanbih al-Ghafilin)

Justeru, ambillah peluang sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW untuk kita menambah lagi mana-mana sunnah baginda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik pada setiap hari.

***Foto: Freepik