Browsing Tag

qanaah

qanaah
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Qanaah, tanda reda dengan kurnia Ilahi, tidak terkilan kalau rezeki itu sedikit

QANAAH dalam istilah mudahnya, reda dengan habuan dunia. Pendek kata, kita sentiasa merasa cukup dan reda dengan apa jua kurniaan Ilahi. Bahkan, tiada langsung perasaan terkilan andai rezeki yang dikurniakan-NYA begitu sedikit.

Ya, bukan mudah kita menerima hakikat pangkat ditarik, gaji dipotong atau rezeki yang hendak masuk ke mulut tiba-tiba jatuh ke tanah. Di situlah lahirnya nilai qanaah.

ALLAH yang memiliki segala kekuasaan MAHA MAMPU mengurniakan apa saja buat hamba-NYA. Sebagai mukmin kita perlu sedar, harta yang dicari akan datang bersama komitmen yang cukup besar.

Naluri manusia normal inginkan kehidupan yang selesa, lengkap dan serba mewah. Namun, kemewahan itu tiada akhirnya. Semakin dapat yang dihajat, semakin besar pula nafsu untuk memiliki lebih daripada itu. Justeru, perisai untuk mengekang nafsu daripada terlalu ‘melampau berhajat’ ialah menyuburkan qanaah di dalam hati.

Jauhkan diri daripada rasa ‘tidak puas’

Pensyarah Akademik, Jabatan Bahasa Arab, IPG Kampus Darulaman, Ustaz Azahari Hamzah berkata, qanaah adalah sikap reda menerima serta menjauhkan diri daripada rasa tidak puas.

USTAZ AZAHARI

“Qanaah ialah merasa cukup dengan apa yang ALLAH beri. Qanaah itu, ar ridha bil qismi : ‘Reda dengan habuan yang diperoleh didunia’, maksud habuan ialah segala bentuk rezeki dan nikmat seperti duit ringgit, anak-anak, pangkat dan apa jua perkara fizikal. Kita bersyukur kalau dapat lebih dan tidak terkilan kalau dapat sedikit.

Didik diri lebih memahami sifat qanaah dapat mendidik diri memahami bahawa ALLAH berhak mengurniakan rezeki mengikut ketetapan-NYA tanpa sebarang keterikatan dengan mana-mana pihak.

Adakalanya, ALLAH mengurniakan rezeki kepada kita daripada sumber yang tidak disangka. Begitulah hebatnya kekuasaan dan kebesaran ALLAH, yang mencipta kita sebagai hamba-NYA dan memberikan rezeki pula kepada kita. Harta yang diperoleh bukan semua milik kita secara mutlak, sebaliknya ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Sebab itu, dalam Islam adanya zakat dan sedekah.

Baca juga Keajaiban sedekah subuh.. amalkan setiap hari pasti ada ganjaran rezeki yang tak disangka

“Keadaan ini sudah tentu dapat mendidik jiwa agar bersederhana menikmati harta dunia dan tidak kedekut memberikan bahagian tertentu kepada yang berhak. Dalam mencari dan mengumpul harta, diri perlu dididik dengan sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yang dikurniakan ALLAH,” jelas Azahari.

Menurut beliau lagi, jiwa yang tebal dengan qanaah bermakna ia penuh dengan keimanan terhadap ALLAH.

“Apa sahaja habuan diterima dengan lapang dada. Qanaah menunjukkan kita bersyukur. Sama ada rezeki itu diterima sedikit ataupun banyak. Qanaah dapat melembutkan jiwa. Sebab kita sentiasa memahami apa yang ALLAH berikan adalah yang terbaik.

SENTIASA lafaz rasa syukur dengan rezeki yang diterima tanda roh qanaah kian sebati dalam diri

“Selain itu, qanaah dapat menenangkan hati dan jiwa. Bila jiwa tenang maka dapat mengikis sifat tamak dan keji yang tercela dalam hati, seterusnya menghadirkan aura positif dalam kehidupan,” jelas Azahari lagi.

Tidak boleh langsungkah bermewah sedikit daripada hasil usaha kita? Menjelaskan hal ini Azahari berkata, di dalam Islam bermewah itu tidak salah.

“Sedikit bermewah itu tiada masalah, bahkan digalakkan jika boleh menenangkan hati kita. Cuma jangan bermewah ke tahap membazir. Contohnya kalau benda ‘dah ada, kemudian kita beli lagi tetapi tidak digunakan, jadi membazir, maka perkara ini dilarang. Ingat, membazir itu saudara syaitan.

“Haram menggunakan rezeki yang diperoleh ke arah perkara sia-sia. Tidak salah bermewah sedikit kalau untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” ujar beliau lagi.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Berpada-pada nikmati harta dunia

Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Dr Zaizul Ab Rahman menjelaskan, qanaah perlu wujud di dalam jiwa, kerana ia mendidik rohani agar berpada-pada menikmati harta dunia dan jangan kedekut.

DR ZAIZUL

“Diri perlu dididik dengan qanaah. Jauhkan diri daripada dengki dan iri hati dengan orang lain. Islam tidak menyekat umatnya bersungguh mencari harta bahkan menggalakkan, yang dilarang ialah jangan lupa diri.

“Orang yang memiliki sifat qanaah atas rezeki yang diterima, memperlihatkan dirinya sebagai hamba yang tahu bersyukur kepada ALLAH. Meskipun dia tidak memiliki banyak harta, dia tetap berasa lega, tiada dengki dan tidak tamak kepada harta orang lain,”

“Sebaliknya, jika tiada sifat qanaah, perasaan kurang senang akan menghantui diri. Malah, dia menyangka Tuhan tidak berlaku adil kerana tidak mendapat rezeki seperti orang lain,”

“Rezeki ini ALLAH yang tentukan. Sebab itu kita melihat ada sahabat kita, yang walaupun hanya kerjanya biasa-biasa sahaja, tapi hidupnya amat bahagia.

“Konsep rezeki itu sangat besar dan menyeluruh. Rezeki bukan saja dari segi Ringgit Malaysia, bahkan kesihatan juga rezeki, isteri dan suami yang setia dan jujur itu rezeki, anak yang sihat, jiran yang baik serta sahabat yang setia di sisi kita juga adalah rezeki. Harta bukan ukuran kebahagiaan,” ujar beliau.

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki Kerana Nafkah Halal Lagi Berkat Tuntutan Dalam Islam

Dengan mendalami sifat qanaah, jiwa akan sentiasa disuburkan rasa ‘mencukupi’ atas apa yang dia miliki.

“Bahkan seseorang itu akan merasa bahawa dunia serta isinya seolah telah cukup atas harta yang ia miliki, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, daripada ’Ubaidillah bin Mihshan Al-Anshary, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa di antara kalian mendapatkan rasa aman di rumahnya (pada diri, keluarga dan masyarakatnya), diberikan kesihatan badan, dan memiliki makanan pokok pada hari itu di rumahnya, maka seakan-akan dunia telah terkumpul pada dirinya,” hujah Zaizul lagi.

Apabila nurani dan emosi telah sebati menerima qanaah, segala tindak tanduk seseorang Muslim itu pasti terarah kepada rasa reda dengan  segala kurnia Ilahi, bahkan tidak langsung terkilan di hati kalau rezeki itu sedikit.

Foto: Freepix & Pexels