Browsing Tag

qailulah

Isu,

‘Qailulah’, amalan ‘power nap’ Nabi untuk kekal bertenaga

MATAHARI sedang tegak di atas kepala. Mungkin anda sedang berada di tempat kerja atau sekolah.

Masih ada banyak tugas yang perlu diselesaikan. Walau diperintahkan beberapa kali untuk bergerak, namun badan anda masih dalam posisi sama.

Pandangan menjadi kabur dan rasa mengantuk mula menyelubungi diri.

Semua orang pasti pernah mengalami perkara ini. Bangun pagi sahaja, badan terasa segar. Minda ligat, bersedia untuk melakukan apa jua kerja. Namun, apabila menjelang tengahari, tenaga tersebut entah menghilang ke mana.

Apabila sudah mengantuk, sukar untuk meneruskan kerja yang sedang dilakukan sebelum itu.

qailulah

USTAZ BADLI SHAH ALAUDDIN

Untuk memastikan tubuh kekal bertenaga supaya produktiviti kerja tidak merosot, pendakwah terkenal, Ustaz Badli Shah Alauddin berkongsikan suatu amalan mudah yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Amalan yang disebutkan ini adalah tidur Qailulah.

Qailulah berasal daripada ayat bahasa Arab قَالَ-يَقِيلُ-قَيلا-قَيلُولَة yang bermaksud tidur pada waktu siang.

Imam al-San’ani pula menyatakan bahawa maksud qailulah ialah berehat pada pertengahan siang walaupun tidak tidur.

Qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas. Baginda bersabda :

Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.” (Riwayat al-Tabarani)

Sebuah mesin yang digunakan berulang kali tanpa henti pun boleh rosak, apatah lagi kita manusia sebagai makhluk yang rapuh.

LUMRAH sebagai manusia kehilangan tenaga sehinggakan apa jua tugasan yang dilakukan ketika itu terasa sukar untuk diteruskan.

Pesan Ustaz Badli Shah, ada masanya kita perlu berehat supaya minda lebih cergas dan kerja dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Jangan jadi seperti syaitan yang tidak berehat.

Oleh itu, amalan Qailulah, iaitu tidur seketika pada waktu tengahari amat berguna.

“Tapi ingat, qailulah ini bukan (tidur yang) bentang tikar bawah meja dan baring sambil peluk bantal. Duduk sebentar pun sudah memadai,” ujarnya.

Secara ringkasnya, qailulah bermakna tidur seketika atau berehat sebentar walaupun tidak tidur.

Baca juga Mengapa tidak boleh tidur selepas Asar? Ini penjelasannya

Dari segi masa untuk melakukan qailulah, para fuqaha mempunyai berbeza pandangan.

Al-Khatib al-Syarbini menyebut bahawa waktu qailulah adalah sebelum gelincirnya matahari iaitu sebelum masuk waktu zohor.

Beliau juga berpendapat amalan ini sunat bagi orang yang ingin melaksanakan qiamullail.

“Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

Al-Bujairimi pula menyebut bahawa qailulah ialah berehat pada waktu sebelum gelincir matahari walaupun tidak tidur. Dan pandangan yang masyhur qailulah ialah tidur sebelum atau selepas gelincir matahari (iaitu selepas waktu zohor).

qailulah

AMALAN qailulah dilaksanakan ketika matahari tegak di atas kepala.

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa qailulah ialah tidur pada waktu tengahari.

Ada pandangan yang menyebut bahawa waktu qailulah adalah selepas gelincir matahari. Ini berdasarkan kenyataan Sahl. Kata beliau :

“Tidak kami berehat dan makan kecuali selepas solat Jumaat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini memberi maksud bahawa waktu qailulah adalah selepas daripada solat jumaat yang mana solat jumaat didirikan pada waktu zohor.

Bagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang dikeluarkan adalah qailulah merupakan tidur sebentar atau berehat sebelum gelincir matahari, iaitu sebelum masuknya waktu Zohor.

Yang menariknya, aktiviti qailulah juga diamalkan oleh masyarakat lain di seluruh dunia.

Qailulah dalam budaya lain

Di Sepanyol, masyarakat tempatan juga mengamalkan budaya tidur sebentar pada siang hari yang dipanggil ‘Siesta’.

Ia dilakukan antara jam 2 petang hingga 5 petang.

qailulah

AMALAN siesta tidak menjejaskan produktiviti kerja malah masyarakat Sepanyol lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas.

Siesta termasuk dalam salah satu budaya Sepanyol yang penting. Malah, di beberapa bandar, kedai-kedai akan ditutup selama beberapa jam untuk aktiviti siesta.

Namun, pasti ramai yang akan terkejut apabila mendengar Sepanyol termasuk antara negara Eropah yang bekerja paling banyak jam.

Amalan ini juga dilakukan di negara-negara lain di kawasan Mediterranean yang mempunyai iklim panas supaya masyarakat di sana dapat beristirahat sambil mengelakkan cuaca panas.

Manakala, di negara matahari terbit pula terdapat suatu budaya serupa yang dinamakan ‘Hirune’.

 

qailulah

HANYA kini para pengkaji mula sedar kelebihan tidur sebentar walhal Rasulullah SAW telah melakukan amalan berkenaan sejak beribu tahun dahulu.

Para pengkaji Jepun mendapati fenomena tidur sebentar sekitar 15 hingga 20 minit bukan sahaja boleh menghilangkan penat dan mengantuk, malah dapat menyegarkan minda dan meningkatkan fokus

Oleh itu, bagi meningkatkan produktiviti kerja, sesetengah syarikat di sana memperuntukkan masa untuk tidur seketika pada waktu tengahari kepada pekerja.

Ada juga yang siap menyediakan tempat khas dalam pejabat supaya pekerja boleh melakukan hirune.

qailulah

BEGITU berkesannya amalan tidur sebentar sehinggakan tempat khas disediakan di pelbagai syarikat terkemuka dunia seperti Google dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Jadi, gunakanlah masa rehat yang diperuntukkan untuk melakukan qailulah agar lebih bersemangat untuk menyambung tugas.

Akan tetapi, jangan berlebihan. Bagi yang sudah di alam pekerjaan, kita masih terikat dengan amanah kerja.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Foto: BBC, Pexels, Sellon Kirjasto/Flickr & Unsplash