Browsing Tag

Pusat Da’wah Jepun

Pusat Da'wah Jepun
Berita Semasa,

RM2 juta diperlukan untuk Pusat Da’wah Jepun

PUSAT Da’wah Jepun dan Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk mengumpul dana sebanyak RM2 juta sebelum 15 September ini bagi penubuhan Pusat Untuk Wanita dan Kanak-Kanak Jepun.

Pengasas persatuan, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, dana tersebut digunakan untuk membeli bangunan yang dijadikan sebagai tempat belajar dan perlindungan bagi golongan wanita dan kanak-kanak Muslim di Jepun.

“Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia berperanan menyediakan dana untuk membeli bangunan dan membiayai RM35,000 setiap bulan kepada Japan Da’wah Centre untuk pengurusan pertubuhan.

“Kini semakin ramai rakyat Jepun memeluk Islam, senario ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Pusat Untuk Wanita dan Kanak-Kanak Jepun di Okayama,” katanya.

USTAZ ABDULLAH BUKHARI

Tambahnya, wanita berhak mendapat peluang menuntut ilmu sebagaimana golongan lelaki. Bagaimanapun, ramai wanita di sana dianiaya dari segi mental, fizikal dan emosi.

Baca juga Bilangan penduduk Jepun peluk agama Islam semakin meningkat. Ini faktor-faktor yang menyumbang

Sementara itu, Pengasas Japan Da’wah Centre, Zulkarnain Hasan Basri yang bermastautin di Jepun berkata, majoriti Muslimah merupakan warga terpinggir kerana fatwa yang berbeza dalam kalangan Muslim di sana.

“Kebanyakan wanita mualaf yang ditinggalkan suami tidak mempunyai asas ilmu Islam yang kukuh. Mereka tiada tempat untuk belajar dan tiada kumpulan sokongan yang boleh membantu bagi meneruskan kelangsungan hidup, terutamanya dalam membesarkan anak-anak mengikut ajaran Islam sebenar.

“Jika kita bersama memajukan wanita, maka majulah Islam di Jepun, insya-ALLAH. Justeru kami amat mengalu-alukan bantuan daripada rakyat Malaysia,” ungkapnya.

Jelas beliau, Program Pusat Da’wah Jepun merupakan inisiatif untuk wanita dan kanak-kanak yang berminat mengenai Islam. Ia bertujuan menggalakkan pemahaman tentang Islam, juga berkongsi ilmu kepada dunia melalui Islam dan umat Islam.

Pusat Da'wah Jepun

ZULKARNAIN (berdiri, kiri) bersama anak muda yang berminat mengenali Islam di Japan Da’wah Centre.

Baca juga Bilangan Umat Islam di Jepun Meningkat Dengan Cepat

“Pusat ini berfungsi sebagai pusat sehenti untuk wanita dan kanak-kanak menyertai aktiviti dan kelas keagamaan.

“Ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran dakwah Islamiah, pusat kebajikan dan komuniti, pusat ilmu Islam, pusat ekonomi penduduk tempatan, dan pusat perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak daripada kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Umat Islam dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia menerusi akaun Maybank 5621-0669-8737 atau CIMB DiDBMT (Da’wah Islam di Bumi Matahari Terbit) 86-05519647 (Semasa) dengan rujukan Pusat Untuk Wanita dan Kanak-Kanak Jepun.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas